Memaparkan catatan dengan label haji. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label haji. Papar semua catatan

Jumaat, April 22, 2022

Kuota haji Malaysia 14,306 tahun 2022

 



Kuota haji Malaysia tahun 2022 adalah 14,306 iaitu 45 peratus daripada kuota tahunan yang biasa diterima, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Dalam pengumuman secara langsung menerusi Facebook hari ini, Idris berkata, peratusan sama (45 peratus) terpakai kepada semua negara.

Arab Saudi menetapkan kuota haji seramai satu juta jemaah bagi musim 2022 yang mana 85 peratus daripadanya untuk jemaah luar. Jumlah sejuta jemaah itu adalah 45 peratus daripada 2.5 juta orang pada 2019.

Idris berkata, kuota sebanyak 14,306 jemaah itu ialah penurunan daripada seramai 31,600 jemaah haji Malaysia yang dibenarkan untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu, pada 2019.

"Ini (kuota jemaah bagi musim haji 2022) sudah tentunya berikutan penilaian dan langkah berjaga-jaga demi memastikan kesihatan dan keselamatan semua jemaah haji dari seluruh dunia.

"Jemaah haji yang dibenarkan pula adalah berusia 65 tahun ke bawah, tiada penyakit kronik, mempunyai sijil vaksinasi COVID-19 dan perlu mengemukakan keputusan negatif ujian calitan (PCR) dalam tempoh 72 jam daripada masa berlepas.

"Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi dengan jumlah kuota diberikan kepada jemaah haji Malaysia," katanya.

Sebelum ini, Idris dilaporkan berkata, kerajaan berharap kuota jemaah haji Malaysia ditambah jika Arab Saudi membenarkan negara luar menunaikan Rukun Islam kelima itu, tahun ini.

Beliau juga dilaporkan berkata, persediaan jemaah haji Malaysia untuk menunaikan ibadah itu pada tahun ini, termasuk logistik, penginapan hotel dan kemudahan lain sudah sedia, selain hanya menunggu pengumuman kuota haji oleh Kerajaan Arab Saudi.

Mengulas lanjut, Idris berkata, Lembaga Tabung Haji (TH) ketika ini giat membuat persiapan akhir untuk membawa bakal jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci selepas dua tahun tertangguh kerana pandemik COVID-19.

Beliau juga sudah mengarahkan TH untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada bakal jemaah haji Malaysia, selain memohon semua bakal jemaah membuat persediaan sewajarnya daripada segi ilmu, kesihatan, rohani, jasmani dan kewangan.

TH juga akan mengeluarkan surat tawaran dalam masa terdekat dengan bakal jemaah terpilih diminta membuat pemeriksaan kesihatan dan menjawab surat tawaran dengan kadar segera.

"Bakal jemaah juga dinasihatkan supaya bersedia dengan dokumen berkaitan, terutama pasport. Semua jemaah haji Malaysia perlu mengambil suntikan wajib Meningococcal serta vaksin COVID-19 apabila dipanggil Kementerian Kesihatan supaya proses pengambilan vaksin dapat dijalankan mengikut masa ditetapkan," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, bantuan pembayaran haji kepada bakal jemaah pada tahun ini akan diteruskan, selain pengumuman mengenai ketetapan bayaran baharu akan dibuat pengurusan TH, esok.

"Sebagai pengumuman awal, bantuan pembayaran Haji tetap akan diteruskan oleh pihak TH bagi bakal jemaah Haji pada tahun ini. Jika tiada aral melintang, insya-Allah pihak pengurusan TH akan mengumumkan ketetapan bayaran baharu jemaah haji esok, pada waktu yang akan diumumkan kelak.

"Sempena Ramadan Mubarak ini juga, saya memohon agar semua umat Islam di negara ini berdoa semoga Allah SWT mempermudahkan perjalanan haji tahun ini serta mendoakan kemudahan bagi TH menguruskan jemaah haji Malaysia dengan baik," katanya.

Sumber dari Berita Harian

Selasa, April 12, 2022

Pakej haji swasta tahun ini RM50,000 hingga RM270,000 seorang

Kaabah di Mekah


 

Kos menunaikan ibadah haji tahun ini menerusi syarikat pengendali umrah dan haji swasta, dijangka mencecah antara RM40,000 hingga RM50,000 seorang, kata Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) Datuk Seri Razali Mohd Sham.

Beliau berkata, peningkatan itu berikutan kos pengurusan haji yang semakin meningkat meliputi penginapan, makanan dan pengangkutan yang perlu ditanggung jemaah.

"Dahulu kos untuk seorang jemaah haji menginap di Arafah dan Mina adalah sebanyak 1,034 Riyal (kira-kira RM1,166.44), sekarang sudah 5,433 Riyal (bersamaan kira-kira RM6,128.72)," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas jangkaan berlakunya peningkatan mendadak kos menunaikan ibadah haji para jemaah tahun ini, apabila Lembaga Tabung Haji (TH) menjangkakan kos meningkat kepada lebih RM25,000 susulan kenaikan berkaitan cukai dan caj perkhidmatan baharu yang dikenakan kerajaan Arab Saudi.

Razali berkata selain itu, peningkatan kos haji juga disebabkan oleh kenaikan cukai nilai tambah (VAT) yang dikenakan kerajaan Arab Saudi.

"Sudah pasti bagi mereka yang ingin menggunakan perkhidmatan swasta ini perlu mengambil kira (pelbagai sudut termasuk) kedudukan hotel yang berdekatan dengan masjid dan sebagainya (yang) akan mempengaruhi kos," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Manazel Al Mashaer Travel Services Sdn Bhd Mohd Lokman Hamzah berkata kenaikan harga itu antara lain disebabkan oleh kos penginapan yang melambung tinggi susulan kekurangan hotel yang dibenarkan beroperasi.

"Hotel itu ada, tapi permit atau pun lesen untuk beroperasi itu belum diluluskan lagi atas faktor COVID-19 dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi. Kalau dahulu untuk sebilik katakanlah semasa Ramadan, kita boleh dapat (harga) dalam RM18,000 hingga RM19,000, tetapi sekarang dah jadi RM25,000 sebilik disebabkan kekurangan hotel," katanya.

Mengakui kenaikan kos menunaikan rukun Islam kelima itu akan memberi kesan kepada syarikat-syarikat pengendali umrah dan haji, Mohd Lokman bagaimanapun berkata kenaikan harga itu tidak dapat dielakkan.

"Kemungkinan (permintaan haji daripada jemaah) akan berkurangan disebabkan kenaikan kos. Kalau jemaah sudah terpilih, sudah tentu dia akan pilih TH yang (menawarkan kos haji sebanyak) RM25,000. Nak tak nak, mesti dia kena pergi (menunaikan haji) juga.

"Berbanding dengan swasta macam kami ini, pakej (menunaikan haji) paling rendah pun dah RM53,000 atau RM55,000 (dan) rata-rata dari semua agensi paling rendah RM55,000 dan untuk pakej yang paling tinggi boleh mencecah RM270,000 dulu RM230,000," katanya. 

Sumber dari BERNAMA