Memaparkan catatan dengan label perubatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label perubatan. Papar semua catatan

Rabu, November 01, 2023

JPA akan terus taja bidang perubatan tertakluk unjuran KKM







Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan meneruskan tajaan biasiswa kepada penuntut bidang perubatan selagi terdapat keperluan guna tenaga pegawai perubatan bagi perkhidmatan kesihatan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata penajaan penuntut dalam bidang perubatan itu juga tertakluk kepada kajian dan unjuran yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

"Keputusan untuk meneruskan tajaan kepada pelajar dalam bidang yang melibatkan perubatan kesihatan termasuk pergigian dan farmasi akan dilaksanakan berdasarkan unjuran yang dikemukakan KKM," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, beliau berkata 13,659 penjawat awam menghadiri sesi libat urus berkaitan kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) setakat 25 Oktober lalu.

Beliau berkata, sesi libat urus untuk mendapatkan input penjawat awam itu meliputi enam sesi melibatkan kelompok perkhidmatan, kementerian dan agensi selain 10 sesi di peringkat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Terengganu, Negeri Sembilan, Kedah, Perak, Pahang, Perlis, Selangor, Melaka dan Kelantan.

Beliau berkata, sesi libat urus di tiga negeri lagi iaitu Sabah, Sarawak dan Johor dijangka diselesaikan dalam tahun ini.

"Setakat 25 Oktober, sejumlah 40,422 responden telah mengemukakan 97,706 cadangan menerusi portal kajian SSPA. Ini sekali gus bermakna, tidak ada istilah memilih atau meminggirkan negeri tertentu dalam kajian SSPA ini. Kita akan rangkumkan semua," katanya.

Menyentuh mengenai status pemberian award Gantian Cuti Rehat (GCR) yang masih tidak diterima oleh penjawat awam, Armizan menjelaskan permohonan perlu dikemukakan kepada kementerian masing-masing terlebih dahulu untuk tujuan kawalan dalaman dan tapisan awal sebelum dipanjangkan ke JPA untuk kelulusan.

"Kelulusan yang diberikan juga adalah tertakluk kepada had siling peruntukan yang ditetapkan kepada kementerian-kementerian oleh Kementerian Kewangan. Sekiranya ada sebarang rayuan, boleh dikemukakan kepada JPA," katanya.

Beliau juga memaklumkan pada masa ini kerajaan bersetuju mulai Julai hingga Disember 2023, amaun pencen asal (Kategori A dan Kategori B) ditambah dengan bantuan khas Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP) yang meliputi pesara yang bersara sebelum 2013 bagi membolehkan jumlah pencen yang diterima adalah sama pada Jun 2023.

Ia susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan pindaan Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 yang telah melanggar Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan. 

Sumber : BERNAMA

Ahad, Jun 11, 2023

Tajaan JPA bidang perubatan, pergigian, farmasi dihentikan


Kerajaan menghentikan penajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi berikutan kajian Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati bekalan pegawai perubatan akan mengalami kebanjiran mulai tahun 2026 hingga 2030.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata Laporan Petunjuk Kesihatan 2022 melaporkan pencapaian nisbah jumlah keperluan tenaga kerja perubatan seluruh negara kepada jumlah populasi penduduk sehingga Disember 2021 adalah 1:420 dan dijangkakan nisbah 1:400 akan dapat dicapai pada 2025.

Katanya, bekalan pegawai perubatan pada tahun 2021 dicatatkan berjumlah 72,812, berbanding permintaan iaitu berjumlah 70,721.

"Bekalan pegawai pergigian dan pegawai farmasi akan memenuhi keperluan permintaan masing-masing pada tahun 2025 dan 2029.

Dalam hal ini, pelajar dalam tanggungan JPA tetap akan ditaja sehingga tahun 2027," katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di portal Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Wan Saifulruddon Wan Jan (PN-Tasik Gelugor) berhubung alasan kenapa kerajaan menghentikan penajaan JPA dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi:

Armizan berkata, dijangkakan seramai 1,774 pelajar perubatan tajaan JPA akan menerima pengijazahan pada tahun 2023 dan diikuti oleh 69 pelajar pergigian serta 296 pelajar farmasi.

Katanya, seramai 2,029 pelajar perubatan, 68 pelajar pergigian dan 184 pelajar farmasi yang lain, akan menerima pengijazahan mulai tahun 2024 hingga 2027.

"Statistik ini bukti komitmen JPA dalam menaja pelajar walaupun akan berlakunya kebanjiran pegawai perubatan mulai tahun 2026 hingga 2030.

"Prinsip penajaan JPA menekankan penyerapan pelajar tajaan ke dalam perkhidmatan awam menamatkan pengajian dengan jayanya," katanya.

Tambahnya, dalam hal itu, kajian yang dilaksanakan KKM mendapati terdapat kesukaran untuk menyerap keseluruhan pelajar perubatan tajaan kerajaan ke dalam perkhidmatan awam.

"Melalui langkah ini juga, JPA dapat memberikan penajaan lebih efektif kepada lebih ramai pelajar dalam bidang yang lain.

"Sebagai makluman, kos penajaan seorang pelajar perubatan adalah bersamaan dengan kos penajaan untuk 10 pelajar dalam bidang yang lain," katanya.

Sehubungan itu, Armizan, berkata pelajar bidang perubatan boleh mendapatkan pembiayaan pengajian daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tanpa ikatan kontrak berkhidmat.

"Ini memberikan ruang dan fleksibiliti kepada pelajar perubatan dalam pemilihan institusi pekerjaan dan pelanjutan pengajian dalam bidang kepakaran pada masa akan datang," katanya.

Sumber : Berita Harian

Sabtu, Oktober 22, 2022

Darah haid jadikan wajah bersinar dan berseri

 


Darah haid boleh membuatkan kulit mulus, bersinar dan berseri?

Mendengarnya saja sudah buat tekak mual dan menjijikkan. Namun itulah hakikatnya, apabila darah haid dilumur sebagai rawatan penjagaan muka jadi trend terkini.

Ramai percaya darah haid boleh menyuburkan kulit, membersihkan jerawat dan memberi manfaat kepada kulit dalam pelbagai cara.

Rawatan menggunakan darah haid sebagai topeng muka itu tular di media sosial, baru-baru ini meskipun ia dianggap sukar dipercayai dan tak masuk akal.

Walaupun kedengaran pelik, sebilangan besar pengguna TikTok menyapu darah haid ke seluruh muka dan mempercayai mampu memberi manfaat kepada kulit.

Ada pula warganet (di luar negara) yang berkongsi dengan mendakwa darah haid mengandungi semua sel stem dan nutrien yang diperlukan oleh bayi di mana akan membawa manfaat untuk kulit dan badan.

"Selain itu, kaedah ini membantu individu mendapatkan kulit yang bersih dan berseri.

"Penggunaan darah haid untuk rawatan muka adalah trend penjagaan kulit dan orang ramai percaya bahawa darah haid mampu membersihkan jerawat, dan memberi manfaat lain kepada kulit. - jelas warganet.

Namun, adakah wajar wanita mencubanya?

Justeru, pandangan manfaat darah haid untuk penjagaan kulit wajah disangkal oleh beberapa pakar estetik, dermatologi dan pakar bedah hospital di India.

Pakar Dermatologi dari Delhi, Dr Geetika Mittal Gupta, menegaskan semua manfaat yang ditularkan ini tidak benar dan tidak mempunyai bukti saintifik.

"Darah haid boleh menyebabkan jangkitan kerana tercemar dengan sel kulit dan lapisan membaluti otot paling dalam yang mati dikenali sebagai endomisium," tulisnya menerusi laman Instagram miliknya.

Pandangan itu dipersetujui oleh Pakar Bedah Laparoskopi dan pakar persenyawaan in vitro (IVF), Dr Vidya V Bhat, menegaskan darah haid terdiri daripada tisu endometrium darah dan rembesan serviks dan faraj.

Beliau yang juga Pengarah Radhakrishna Multispeciality Hospital dan Pusat IVF, di Bangalore, berkata ramai wanita mungkin mengalami jangkitan faraj dan serviks dan juga jangkitan endometrium yang dipanggil endometritis.

"Bakteria dan kulat yang terdapat dalam cecair haid mungkin berbahaya kepada kulit dan boleh menambahkan lagi jerawat," jelasnya.

Menurut Dr Vidya, pori yang terbuka boleh dijangkiti dengan cecair yang telah dicemari ini.

Dalam pada itu, Perunding Pakar Pembedahan Plastik dan Kosmetik dari Mumbai, Dr Parag Telang, menegaskan teknik menggunakan darah haid itu tidak berfaedah dan mungkin akhirnya merosakkan kulit.

Dr Telang menyarankan orang ramai membuat pilihan rawatan yang lebih selamat dan diiktiraf manfaatnya.

"Jadi, mengapa orang memilihnya? Ramai yang mengelirukan trend menggunakan darah haid di muka untuk plasma kaya platelet (PRP).

"PRP adalah rawatan klinikal yang diperkaya dengan faktor pertumbuhan yang bukan sahaja meremajakan kulit tetapi juga menyembuhkan luka," kongsinya.

Oleh itu, orang ramai diingatkan agar berhati-hati dengan kandungan dan entri yang anda lihat atau baca dalam talian sebelum mengikutinya.

"Rujuk doktor kulit anda sebelum mencuba sesuatu yang baharu," tegas pakar terbabit. 

Sumber : Agensi

Recent Posts