Sabtu, Oktober 22, 2022

Darah haid jadikan wajah bersinar dan berseri

 


Darah haid boleh membuatkan kulit mulus, bersinar dan berseri?

Mendengarnya saja sudah buat tekak mual dan menjijikkan. Namun itulah hakikatnya, apabila darah haid dilumur sebagai rawatan penjagaan muka jadi trend terkini.

Ramai percaya darah haid boleh menyuburkan kulit, membersihkan jerawat dan memberi manfaat kepada kulit dalam pelbagai cara.

Rawatan menggunakan darah haid sebagai topeng muka itu tular di media sosial, baru-baru ini meskipun ia dianggap sukar dipercayai dan tak masuk akal.

Walaupun kedengaran pelik, sebilangan besar pengguna TikTok menyapu darah haid ke seluruh muka dan mempercayai mampu memberi manfaat kepada kulit.

Ada pula warganet (di luar negara) yang berkongsi dengan mendakwa darah haid mengandungi semua sel stem dan nutrien yang diperlukan oleh bayi di mana akan membawa manfaat untuk kulit dan badan.

"Selain itu, kaedah ini membantu individu mendapatkan kulit yang bersih dan berseri.

"Penggunaan darah haid untuk rawatan muka adalah trend penjagaan kulit dan orang ramai percaya bahawa darah haid mampu membersihkan jerawat, dan memberi manfaat lain kepada kulit. - jelas warganet.

Namun, adakah wajar wanita mencubanya?

Justeru, pandangan manfaat darah haid untuk penjagaan kulit wajah disangkal oleh beberapa pakar estetik, dermatologi dan pakar bedah hospital di India.

Pakar Dermatologi dari Delhi, Dr Geetika Mittal Gupta, menegaskan semua manfaat yang ditularkan ini tidak benar dan tidak mempunyai bukti saintifik.

"Darah haid boleh menyebabkan jangkitan kerana tercemar dengan sel kulit dan lapisan membaluti otot paling dalam yang mati dikenali sebagai endomisium," tulisnya menerusi laman Instagram miliknya.

Pandangan itu dipersetujui oleh Pakar Bedah Laparoskopi dan pakar persenyawaan in vitro (IVF), Dr Vidya V Bhat, menegaskan darah haid terdiri daripada tisu endometrium darah dan rembesan serviks dan faraj.

Beliau yang juga Pengarah Radhakrishna Multispeciality Hospital dan Pusat IVF, di Bangalore, berkata ramai wanita mungkin mengalami jangkitan faraj dan serviks dan juga jangkitan endometrium yang dipanggil endometritis.

"Bakteria dan kulat yang terdapat dalam cecair haid mungkin berbahaya kepada kulit dan boleh menambahkan lagi jerawat," jelasnya.

Menurut Dr Vidya, pori yang terbuka boleh dijangkiti dengan cecair yang telah dicemari ini.

Dalam pada itu, Perunding Pakar Pembedahan Plastik dan Kosmetik dari Mumbai, Dr Parag Telang, menegaskan teknik menggunakan darah haid itu tidak berfaedah dan mungkin akhirnya merosakkan kulit.

Dr Telang menyarankan orang ramai membuat pilihan rawatan yang lebih selamat dan diiktiraf manfaatnya.

"Jadi, mengapa orang memilihnya? Ramai yang mengelirukan trend menggunakan darah haid di muka untuk plasma kaya platelet (PRP).

"PRP adalah rawatan klinikal yang diperkaya dengan faktor pertumbuhan yang bukan sahaja meremajakan kulit tetapi juga menyembuhkan luka," kongsinya.

Oleh itu, orang ramai diingatkan agar berhati-hati dengan kandungan dan entri yang anda lihat atau baca dalam talian sebelum mengikutinya.

"Rujuk doktor kulit anda sebelum mencuba sesuatu yang baharu," tegas pakar terbabit. 

Sumber : Agensi

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.