Rabu, November 01, 2023

JPA akan terus taja bidang perubatan tertakluk unjuran KKM







Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan meneruskan tajaan biasiswa kepada penuntut bidang perubatan selagi terdapat keperluan guna tenaga pegawai perubatan bagi perkhidmatan kesihatan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata penajaan penuntut dalam bidang perubatan itu juga tertakluk kepada kajian dan unjuran yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

"Keputusan untuk meneruskan tajaan kepada pelajar dalam bidang yang melibatkan perubatan kesihatan termasuk pergigian dan farmasi akan dilaksanakan berdasarkan unjuran yang dikemukakan KKM," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, beliau berkata 13,659 penjawat awam menghadiri sesi libat urus berkaitan kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) setakat 25 Oktober lalu.

Beliau berkata, sesi libat urus untuk mendapatkan input penjawat awam itu meliputi enam sesi melibatkan kelompok perkhidmatan, kementerian dan agensi selain 10 sesi di peringkat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Terengganu, Negeri Sembilan, Kedah, Perak, Pahang, Perlis, Selangor, Melaka dan Kelantan.

Beliau berkata, sesi libat urus di tiga negeri lagi iaitu Sabah, Sarawak dan Johor dijangka diselesaikan dalam tahun ini.

"Setakat 25 Oktober, sejumlah 40,422 responden telah mengemukakan 97,706 cadangan menerusi portal kajian SSPA. Ini sekali gus bermakna, tidak ada istilah memilih atau meminggirkan negeri tertentu dalam kajian SSPA ini. Kita akan rangkumkan semua," katanya.

Menyentuh mengenai status pemberian award Gantian Cuti Rehat (GCR) yang masih tidak diterima oleh penjawat awam, Armizan menjelaskan permohonan perlu dikemukakan kepada kementerian masing-masing terlebih dahulu untuk tujuan kawalan dalaman dan tapisan awal sebelum dipanjangkan ke JPA untuk kelulusan.

"Kelulusan yang diberikan juga adalah tertakluk kepada had siling peruntukan yang ditetapkan kepada kementerian-kementerian oleh Kementerian Kewangan. Sekiranya ada sebarang rayuan, boleh dikemukakan kepada JPA," katanya.

Beliau juga memaklumkan pada masa ini kerajaan bersetuju mulai Julai hingga Disember 2023, amaun pencen asal (Kategori A dan Kategori B) ditambah dengan bantuan khas Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP) yang meliputi pesara yang bersara sebelum 2013 bagi membolehkan jumlah pencen yang diterima adalah sama pada Jun 2023.

Ia susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan pindaan Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 yang telah melanggar Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan. 

Sumber : BERNAMA

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts