Memaparkan catatan dengan label lantikan politik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label lantikan politik. Papar semua catatan

Jumaat, Disember 16, 2022

Kerajaan tamatkan khidmat penjawat lantikan politik

 


Jemaah Menteri dikatakan sudah memutuskan bahawa pengerusi dan ahli lembaga pengarah lantikan politik ditamatkan perkhidmatan dengan serta merta.

Sumber berkata, ia membabitkan jawatan berkenaan di badan berkanun Persekutuan, syarikat menteri kewangan (Diperbadankan), syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan.

Difahamkan perkara itu diputuskan dalam dokumen yang ditandatangani Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan ditujukan kepada Ketua-ketua Setiausaha Kementerian.

Sebelum ini, pemimpin Pakatan Harapan (PH) mengkritik kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini yang melantik Ahli Parlimen Parit ketika itu, Datuk Mohd Nizar Zakaria, sebagai Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dikritik teruk oleh PH yang dikatakan membuat tindakan terdesak berkenaan bagi mendapatkan sokongan daripada Ahli Parlimen UMNO dan PAS dengan menawarkan jawatan berkenaan.

Ini bukan kali pertama pertukaran pentadbiran Persekutuan mengambil tindakan berkenaan apabila pemegang jawatan lantikan politik ditamatkan ketika kerajaan PH mentadbir pada 2018.

Menurut sumber itu, keputusan penamatan jawatan lantikan politik dibuat selepas perbincangan panjang lebar dan ada menteri yang mengakui ada sebahagian lantikan berkenaan yang cekap laksanakan tugas. Justeru, isu yang hendak diambil perhatian ialah bagaimana menentukan mereka yang cekap dan yang tidak berfungsi.

"Akhirnya keputusan dibuat secara menyeluruh iaitu ditamatkan semua khidmat lantikan politik," katanya.