Memaparkan catatan dengan label covid19. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label covid19. Papar semua catatan

Jumaat, Januari 29, 2021

Calitan tekak dan hidung lebih berkesan, tak perlu calitan dubur

 


Ujian calitan tekak dan nasopharyngeal melalui saluran hidung sudah memadai untuk melakukan pengesanan COVID-19.

Pakar virologi dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Yahya Mat Arip, berkata ia berdasarkan data yang menunjukkan kadar atau peratusan pengecaman virus SARS-CoV-2 dengan menggunakan dua kaedah calitan itu lebih tinggi.

Sehubungan itu, beliau berpendapat tidak perlu ujian pengesanan COVID-19 terhadap najis, dubur atau rektum yang cuma mengundang ketidakselesaan dan kesan negatif dalam kalangan masyarakat.

Mengikut data, kadar pengecaman virus SARS-CoV-2 menerusi calitan nasopharyngeal dan calitan tekak adalah 88 peratus. Calitan najis, dubur atau rektum adalah 70 peratus. Calitan konjunktiva iaitu di selaput lutsinar yang meliputi mata putih dan bahagian dalam kelopak mata pula satu peratus. Pengecaman melalui air kencing dan calitan vagina masing-masing kosong peratus. 

Berdasarkan kepada kadar (peratus) pengecaman, ujian calitan nasopharyngeal dan tekak sudah memadai untuk tujuan penyaringan COVID-19. Prosedur yang digunakan juga tidak terlalu membebankan. Ujian calitan najis, dubur, rektum boleh digunakan untuk tujuan saringan COVID-19. Bagaimanapun, prosedur yang perlu digunakan itu akan mengundang ketidakselesaan.

"Ini akan memberikan impak negatif kepada masyarakat dalam usaha menggalakkan masyarakat menjalani ujian saringan. Saya berpendapat kita tidak perlu ujian saringan membabitkan calitan najis, dubur atau rektum," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas ujian calitan dubur di China sebagai kaedah lain mengesan individu dijangkiti COVID-19.

Memetik laporan media, Li Tongzeng, seorang doktor kanan di Hospital You'an Beijing dipetik sebagai kepada CCTV, teknik calitan di dubur boleh meningkatkan kadar pengesanan dalam kalangan mereka yang dijangkiti kerana virus berkenaan bertahan lebih lama di bahagian itu berbanding saluran pernafasan.

Mengulas hal itu, Dr Yahya menegaskan pertama sekali orang ramai perlu membezakan antara 'infectivity' (jangkitan) dengan 'positivity' (positif).

Jelasnya, seseorang yang melalui pengalaman COVID-19 berkemungkinan masih boleh memberikan keputusan positif tetapi tidak berjangkit.

"Yang perlu diberi perhatian adalah keadaan 'infectiousness period' (tempoh berjangkit) yang merujuk kepada 'viral load' (beban virus) yang tinggi dan virus aktif bereplikasi atau dalam erti kata lain mengakibatkan kuantiti virus yang tinggi. Dalam keadaan ini, kebolehjangkitan adalah sangat tinggi.

"Apabila seseorang sudah pulih, masih terdapat kemungkinan saki baki virus yang telah mengalami degridasi atau bermaksud tidak lagi infectious (berjangkit) dalam badan. Ini akan masih memberikan keputusan positif apabila saringan dibuat tetapi kebolehjangkitan adalah hampir tiada," katanya.

Pakar epidemiologi dari Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud, berkata keputusan positif untuk sampel dari sistem pencernaan sudah lama diketahui.

Kajian berkaitan perkara itu sudah setahun dijalankan dan mendapati sampel yang positif dari najis boleh didapati positif lebih lama berbanding sampel daripada sistem pernafasan.

"Misalnya, sampel dari najis boleh positif hingga berpuluh-puluh hari. Bagaimanapun persoalannya, adakah pesakit yang positif calitan dubur masih boleh menjangkiti orang lain? Yang itu perlu jawapan dahulu kerana setakat ini kita tidak mempunyai pengetahuan lengkap mengenai hal ini," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

Khamis, Disember 31, 2020

PM umum strategi bersepadu pemulihan negara pasca Covid-19

 

Kerajaan menggariskan lima keutamaan dalam strategi bersepadu pemulihan negara pasca Covid-19 bagi 2021.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keutamaan pertama adalah mempertingkatkan tahap kesihatan awam melalui perolehan bekalan vaksin Covid-19 dan melancarkan program vaksinasi di seluruh negara.

Menurutnya, kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) serta Wisma Putra mewujudkan satu portfolio bekalan vaksin dan menandatangani beberapa perjanjian bagi memperoleh bekalan secepat mungkin daripada syarikat dan pengeluar vaksin.

"Kerajaan akan memastikan bekalan vaksin berkesan, selamat dan mencukupi untuk sekurang-kurangnya 80 peratus rakyat di negara ini. Vaksin akan diberi secara percuma kepada rakyat.

"Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan ini akan dilaksanakan oleh KKM melalui tiga fasa bermula seawal Februari 2021. Saya bersama petugas barisan hadapan akan menjadi antara terawal menerima suntikan bagi membuktikan vaksin ini selamat dan berkesan.

"Kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas dan pesakit menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) juga akan diberi keutamaan dalam menerima suntikan vaksin. Pemantauan keberkesanan dan keselamatan akan diteruskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas Sempena Tahun Baharu 2021 yang disiarkan secara langsung di televisyen dan media sosial, hari ini.

Muhyiddin berkata, keutamaan kedua adalah memperkukuh ekonomi prihatin rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi negara pasca Covid-19 melalui pelaksanaan Belanjawan 2021 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

"Kerajaan akan terus membangunkan jaringan keselamatan sosial seperti Bantuan Prihatin Rakyat, skim perlindungan insurans khusus untuk B40 dan memperkukuh sistem kebajikan negara untuk memastikan nasib golongan rentan, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) terbela.

"Bergantung kepada situasi ekonomi semasa kerajaan sedia mempertimbangkan suntikan fiskal strategik jika keadaan memerlukan, seperti mana pakej rangsangan ekonomi sebelum ini.

"Kerajaan akan membantu sedaya upaya untuk meringankan beban rakyat, membasmi kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan mereka.

"Apabila ekonomi rakyat kukuh, tentulah lebih mudah untuk kita memacu pertumbuhan ekonomi negara pasca Covid-19," katanya.

Selain itu, katanya, keutamaan ketiga adalah memastikan kestabilan politik dan kerajaan termasuk tadbir urus yang baik sebagai asas kepada pemulihan ekonomi yang mampan.

Bagi keutamaan keempat pula, kerajaan menjamin kedaulatan negara dan kedudukan Malaysia di persada antarabangsa diperhebat manakala keutamaan kelima, memperkukuh hubungan antara kaum serta agama dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu menentang sebarang ancaman.

"Saya yakin dan percaya, perpaduan adalah kunci kejayaan Malaysia. Lihatlah, berkat perpaduan dan kesatuan hati kita semua, satu persatu cabaran dan dugaan pandemik Covid-19 dapat kita atasi.

"Insafi dan hayatilah hakikat ini. Pupuk dan semai semangat bersatu-padu, saling memahami antara satu sama lain. Benar, ini tidak mudah, apatah lagi dengan cabaran teknologi yang semakin canggih dan ledakan informasi antara benar, separa benar dan palsu yang berlegar di ruangan maya," katanya.

Beliau menegaskan kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap individu ingkar dan menyemai api kebencian antara kaum, agama serta menghina institusi Raja Berperlembagaan di negara ini.

Sumber : Harian Metro

 

Selasa, Disember 29, 2020

Ambang tahun baharu 2021 dibatalkan

 

Setelah lima tahun diadakan, kerajaan memutuskan untuk tiada sebarang sambutan ambang tahun baharu 2021 pada lewat malam 31 Disember 2020 ini di seluruh negara.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika ditanya selepas sesi sidang akhbar mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di pejabatnya hari ini.

“Aktiviti sebegini sebenarnya termasuk dalam senarai negatif dan sambutan bagi meraikan kedatangan tahun baharu secara perhimpunan memang langsung tidak dibenarkan,” katanya.

Pada 5 Disember lalu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menerima maklum saranan Majlis Belia Malaysia (MBM) supaya acara itu dibatalkan.

Ia susulan kebimbangan berlaku lonjakan kes positif baharu wabak Covid-19 akibat tidak ramai dijangka patuh prosedur operasi standard ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beberapa buah negara turut mengumumkan pembatalan acara ambang tahun baharu pada akhir bulan ini ekoran peningkatan jumlah pesakit di sebalik usaha vaksinasi besar-besaran.

“Kita sebenarnya ada pelbagai cara, boleh buat dalam rumah bersama keluarga dan rakan, malah kerajaan tidak benar termasuk khabarnya ada cadangan dibuat di KLCC,” katanya.

Kali terakhir acara sedemikian ditiadakan ialah pada 31 Disember 2014 apabila seluruh negara berkabung susulan tragedi MH370, MH17 dan pesawat AirAsia terhempas di Indonesia.

Malahan, kerajaan pernah melakukan perkara sama ekoran bencana tsunami dahsyat yang melanda banyak negara sekitar Lautan Hindi termasuk Malaysia pada 26 Disember 2004.

Acara itu juga dibatalkan selama tiga tahun berturut-turut dari 1998 hingga 2000 kerana tarikh 31 Disember kebetulan jatuh ketika bulan Ramadan sebagai hormati umat Islam beribadah.

Sumber : Utusan

Ahad, November 22, 2020

Artis positif COVID-19, malam akhir SFMM35 ditunda

 

Sistem Televisyen Malaysia Berhad (STMB) mengumumkan seorang artis yang menyertai Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) Ke-35, yang berlangsung sejak kelmarin, dijangkiti COVID-19 berdasarkan maklumat Kementerian Kesihatan.

STMB dalam kenyataan menyebut, artis terbabit sedang menjalani rawatan di sebuah hospital kerajaan.

Menurut kenyataan itu, artis terbabit menjalani ujian saringan COVID-19 selepas mengetahui kontak rapat yang ditemuinya, Selasa lalu, didapati positif wabak itu, semalam.

Artis terbabit menjalani ujian mandatori COVID-19 yang dikendalikan KKM semalam dan disahkan positif, hari ini.

"STMB sedang bekerjasama rapat dengan KKM dan artis berkenaan untuk mendapatkan maklumat terperinci pergerakan beliau bagi mengurangkan risiko kebarangjangkitan kepada warga kerja dan semua yang terbabit dalam program SFMM35.

"Pada masa sama, kerja sanitasi di lokasi acara, Sri Pentas 2 juga dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) KKM," kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, STMB memutuskan siaran langsung pentas akhir SFMM35 yang dijadualkan malam ini, ditunda kepada tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

"STMB sentiasa mengutamakan kesihatan kakitangan dan pelanggannya serta sentiasa akur dengan setiap SOP ditetapkan KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kakitangan yang terbabit dalam produksi sudah memulakan kuarantin dan bekerja secara virtual di rumah masing-masing bermula hari ini.

"Kakitangan STMB yang juga kontak rapat dengan artis terbabit turut menjalani ujian calitan COVID-19," katanya.

Sumber :  Berita Harian

 

Isnin, Oktober 12, 2020

PKPB di Selangor, KL, Putrajaya & Sabah

 

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuat kuasa pukul 12.01 tengah malam Rabu ini hingga 27 Oktober depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPB itu selepas mengambil kira peningkatan dan penularan kes Covid-19 yang berlaku seperti di Klang dan di Gombak serta dearah-daerah lain.

“Pergerakan keluar masuk merentas daerah adalah tidak dibenarkan.

“Bagaimanapun bagi pekerja yang perlu merentas daerah, mereka perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan,” katanya pada sidang akhbar di Facebook Live Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Sumber : Kosmo

 

 

Ahad, Oktober 04, 2020

Bertenang, kes adalah terkawal - PM

 

Rakyat diminta bertenang menghadapi situasi penularan wabak COVID-19 ketika ini kerana ia terkawal.

Malah, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, turut memberi jaminan kesiapsiagaan negara adalah pada tahap tertinggi dan mampu menghadapi penularan jangkitan wabak itu, seperti yang pernah dilalui negara sebelum ini.

"Saya memahami kebimbangan masyarakat berikutan peningkatan kes baharu penularan jangkitan COVID-19.

"Saya ingin memberikan jaminan dan komitmen kerajaan untuk terus mengawal dan menguruskan penularan jangkitan virus ini sebaik mungkin.

"Saya percaya pasukan barisan hadapan negara kita terutama Kementerian Kesihatan dan pasukan keselamatan mempunyai kapasiti serta kepakaran untuk menangani situasi ini dengan baik," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhyiddin berkata pagi tadi, beliau mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung pengurusan wabak COVID-19, yang melaporkan mengenai jumlah kes harian dalam negara yang merekodkan 287 kes baharu semalam.

Beliau berkata, berdasarkan pembentangan Kementerian Kesihatan itu, 128 kes dilaporkan di Kedah membabitkan kakitangan dan tahanan di Penjara Alor Setar, manakala selebihnya dilaporkan di Sabah dan beberapa negeri lain di Semenanjung.

Katanya, laporan juga menunjukkan jumlah kes COVID-19 dari Sabah sehingga semalam membabitkan 139 orang iaitu 1.18 peratus daripada jumlah keseluruhan kes jangkitan dalam negara.

"Untuk makluman, kebanyakan kes yang berlaku adalah dalam kalangan tahanan dalam penjara, kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) dan daripada kluster yang sudah pun dikenal pasti serta terkawal.

"Semua kawasan ini dipantau setiap masa dan aktiviti pengesanan kes serta kontak rapat dijalankan secara aktif bagi memastikan kes positif dapat dikesan dan diasingkan, yang mana ia menyebabkan lebih banyak kes positif dapat dikesan serta menyumbang kepada statistik harian dalam negara.

"Saya amat berharap perkara ini dapat difahami. Saya ingin tekankan di sini bahawa keadaan adalah terkawal dan masih dapat dibendung hasil kerjasama pelbagai agensi dan aktiviti pemantauan kesihatan awam yang berterusan oleh Kementerian Kesihatan," katanya.

Muhyiddin berkata, mesyuarat hari ini turut dimaklumkan mengenai kes penularan COVID-19 di Sabah, yang didapati berpunca daripada kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari negara jiran.

Susulan itu katanya, kerajaan membuat keputusan semua PATI yang ditahan akan disaring dan ditempatkan di Pusat Tahanan dan Kuarantin Sementara (PTS) yang disediakan.

"Pada masa ini, PTS di Sabah melebihi kapasiti (PATI). Justeru, kerajaan akan membuka lebih banyak PTS baharu bagi menempatkan PATI yang ditahan sebelum proses pengusiran dilaksanakan.

"Selain itu, petugas Kementerian Kesihatan juga sudah ditambah untuk menjalankan proses saringan ke atas PATI yang ditahan.

"Anggota keselamatan akan turut ditambah bagi mengawal sempadan negara dalam usaha mengekang kemasukan PATI terutama di Sabah. Aset akan diatur gerak untuk menghalang cubaan membolosi sempadan negara," katanya.

Mengulas lanjut mengenai tahap kesiapsiagaan menghadapi penularan jangkitan, Muhyiddin berkata, ketika ini sebanyak 40 hospital serta 34 Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah disediakan untuk merawat kes positif COVID-19 dengan kapasiti 5,674 katil.

Beliau berkata kadar penggunaan katil di hospital COVID-19 ketika ini adalah 24 peratus saja, manakala fasiliti kesihatan juga kini mempunyai 437 katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 1,505 alat bantu pernafasan.

"Marilah kita bersama-sama membudayakan norma baharu dan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

Jumaat, Oktober 02, 2020

60 juta penduduk India dikhuatiri dijangkiti Covid-19

 

Lebih 60 juta penduduk di India mungkin sudah dijangkiti novel koronavirus, menurut Majis Penyelidikan Perubatan India (ICMR) semalam.

India mempunyai seramai 1.3 bilion penduduk dan tersenarai sebagai negara kedua tertinggi di dunia dengan 6.1 juta kes jangkitan selepas Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, angka sebenar mungkin lebih tinggi, menurut tinjauan ujian serologi terbaharu.

Ujian itu membabitkan peme­riksaan darah untuk beberapa antibodi tertentu bagi menganggarkan nisbah satu kumpulan penduduk yang berjaya sembuh daripada jangkitan virus.

“Rumusan utama daripada tinjauan ini ialah setiap seorang daripada 15 individu berumur 10 tahun ke atas telah terdedah kepada virus SARS-CoV-2 sejak Ogos lalu,” kata Ketua Pengarah ICMR, Balram Bhargava pada sidang akhbar kementerian kesihatan.

SARS-CoV-2 ialah virus yang menyebabkan jangkitan Co­vid-19.

Bhargava berkata, bukti pen­dedahan menunjukkan jangkitan virus lebih ketara membabitkan penduduk yang diperiksa di se­tinggan dalam kawasan bandar (15.6 peratus) dan bukan setinggan di bandar (8.2 peratus).

Ujian darah yang dikumpul itu membabitkan kira-kira 29,000 orang di 21 negeri atau wilayah antara pertengahan Ogos hingga pertengahan September. 

Sumber : AFP

DG Hisham ingatkan rakyat duduk rumah jika tiada urusan

 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menjelaskan ciapan balas yang dimuat naik di akaun Twitter mengenai saranan duduk di rumah bukan perkara baharu yang disuarakan beliau.

Beliau berkata, tujuan ciapan berkenaan adalah bagi mengingatkan semua rakyat di negara ini supaya tidak keluar rumah sekiranya tiada urusan penting khususnya dalam situasi penularan Covid-19 yang menunjukkan pertambahan kes setiap hari di semua negeri ketika ini.

“Perkara ini bukan perkara baharu. Dari hari pertama lagi saya tweet untuk mengingatkan semua rakyat Malaysia yang tiada urusan penting di luar supaya duduk rumah.

“Kalau nak keluar dari rumah kerana ada urusan penting, patuh kepada prosedur operasi standard. Sebab itulah tujuan utama saya tweet sedemikian, hanya ingatkan duduk rumah kalau tiada urusan penting,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas ciapan di Twitter hari ini dengan menyebut, “How about all stay at Home for awhile again? sebagai mesej balas kepada seorang pengguna Twitter yang mencadangkan supaya kerajaan menyekat perjalanan antara negeri buat sementara waktu.

Ciapan itu kemudian trending di Twitter sehingga mengundang persoalan dalam kalangan orang ramai yang berteka-teki sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilaksanakan semula.

Pada masa sama, perkataan MC0 2.0 dan Lockdown 2.0 yang merujuk kepada PKP turut menjadi trending dengan lebih 15,000 ciapan setakat pukul 8 malam ini.

Sumber : Kosmo!

 

Recent Posts