Memaparkan catatan dengan label bantuan mengajar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bantuan mengajar. Papar semua catatan

Jumaat, Oktober 01, 2021

Guru cipta Ba.Tu Board bantu murid disleksia

 

Simpati dengan kanak-kanak yang berhadapan dengan masalah disleksia, seorang guru Farah Waheeda Abdul Wahid, 41 menghasilkan alat bantuan mengajar, Ba.Tu Board.

Alat bantuan mengajar bagi kaedah fonetik itu dihasilkan bagi memudahkan pelajar disleksia untuk menguasai kemahiran membaca dan menulis. Malah ia juga boleh digunakan oleh mereka yang tidak berhadapan masalah itu.

Farah Waheeda berkata, Ba.Tu Board berjaya membantu pelajar disklesia berusia 10 tahun menguasai kemahiran membaca dalam tempoh tiga bulan, tahun lalu.

"Di sekolah dia kerap diejek rakan dan dimarahi guru kerana tidak tahu membaca malah tidak boleh menulis namanya sendiri walaupun sudah darjah empat.

"Dia kemudiannya menyertai saya di kelas tuisyen, Kelas Membaca Phonicsmart.

"Murid ini mampu membaca dalam tempoh tiga bulan dan tentu saja melegakan ibu bapanya," katanya.

Tegas Farah Waheeda, bagi pelajar disleksia, pembelajaran dengan Ba.Tu Board dirasakan lebih mudah memandangkan hurufnya berbentuk tiga dimensi dan boleh dipegang berbanding kaedah biasa menggunakan kad imbas.

Tegasnya, penghasilan Ba.Tu Board adalah hasil pemerhatiannya selain ilmu yang diperoleh ketika menghadiri persidangan bagi pelajar Pendidikan Khas yang sekali gus membuka matanya untuk melakukan inovasi dalam pembelajaran.

MenurutFarahWaheeda, Ba.Tu Board, dapat 'mengatasi' trauma dan rasa hilang minat pelajar terutamanya melalui pembelajaran dengan hanya menggunakan buku dan pensil.

"Dengan Ba.Tu Board, pelajar berasa seolah-olah sedang bermain dan bukannya berada dalam bilik darjah dan ini melegakan mereka.

"Memang ada alat bantu mengajar mirip Ba.Tu Board sebelum ini lagi tetapi daripada pemerhatian, masih ada pelajar yang keliru termasuk ketika dalam proses untuk membina suku kata justeru inovasi ini dilakukan bagi memudahkan mereka," katanya.

Farah Waheeda berkata, masalah paling besar pelajar untuk menguasai kemahiran membaca dan menulis yang diperhatikannya ialah kekeliruan untuk menggabungkan bunyi.

Untuk bunyi'sa' contohnya, pelajar boleh mengenalpasti huruf s tetapi tidak tahu sama ada ia perlu digabungkan dengan a, e atau u untuk membentuk bunyi itu.

"Jadi kami gunakan pendekatan pelbagai deria (multi sensory) termasuk melalui lagu, cerita serta aktiviti dengan tanah liat jadi selain mengenal bunyi, pelajar juga dapat membangunkan deria mereka.

"Malah kini dengan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), pembelajaran dengan Ba.Tu Board adalah lebih mudah untuk dipantau ibu bapa," katanya.

Menurut Farah Waheeda, selain memudahkan pembelajaran pelajar, inovasi kepada Ba.Tu Board ini disifatkannya sebagai penting sesuai peranan kritikal guru dalam menarik minat pelajar dalam proses pembelajaran.

Sumber : Berita Harian