Memaparkan catatan dengan label bantuan khas. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bantuan khas. Papar semua catatan

Sabtu, Januari 21, 2023

Bantuan khas kewangan penjawat awam dikecualikan cukai

 


Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan khas kewangan kepada semua penjawat awam di semua negeri akan dikecualikan cukai.

Perdana Menteri berkata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, mengusulkan perkara itu kepadanya bagi kakitangan awam negeri berkenaan pada mesyuarat berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Kuching, Sarawak.

"Sekarang ini bonus diberikan kerajaan negeri tertakluk kepada cukai, tetapi atas permintaan Abang Johari dan saya rasa ia munasabah, bonus akan dikecualikan dari cukai dan ini terpakai untuk semua pegawai perkhidmatan awam di semua negeri," katanya.

Pada Disember lalu, kerajaan mengumumkan bantuan khas kewangan sebanyak RM700 kepada penjawat awam pada 2023.

Jabatan Perkhidmatan Awam berkata kumpulan profesional dan pengurusan serta kumpulan sokongan yang gred 56 ke bawah akan menerima bantuan berkenaan.

Selain itu, pemandu peribadi ahli pentadbiran, hakim dan pesuruhjaya kehakiman dan mereka yang bekerja di bawah proggram MyStep akan turut menerimanya.

Sumber : Berita Harian

Isnin, Januari 24, 2022

Bantuan khas RM700 penjawat awam, RM350 pesara

 

Kerajaan akan menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Tahun 2022 bernilai RM700 kepada pegawai perkhidmatan awam Gred 56 ke bawah dan RM350 kepada pesara kerajaan, esok.

Laman Twitter Jabatan Perkhidmatan Awam, ia adalah bantuan yang diluluskan dalam Belanjawan yang dibentangkan tahun lalu.

Bagaimanapun, bantuan itu ditangguhkan kepada pegawai kerajaan yang tidak menerima dos imunisasi COVID-19 lengkap selain atas sebab kesihatan.

Memetik surat edaran yang dilampirkan dalam laman itu, selain pesara kerajaan yang menerima pencen, veteran tidak berpencen juga akan menerima bayaran berkenaan.

"Selaras dengan keputusan itu, kaedah pelaksanaan pembayaran Bantuan Khas Kewangan Tahun 2022 adalah pegawai Perkhidmatan Awam Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana Gred 56 dan ke bawah yang masih berkhidmat pada 25 Januari 2022 sebanyak RM700.

"Pegawai Perkhidmatan Awam Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana yang layak adalah pegawai lantikan tetap, sementara dan Contract of Service (CoS), pegawai yang bercuti bergaji penuh, pegawai yang bercuti separuh gaji, pegawai yang bercuti tanpa gaji dan pegawai yang dipinjamkan termasuk ke agensi yang diasingkan pengurusan saraannya. 

"Ia akan dibayar oleh agensi yang menerima peminjaman pegawai," katanya, hari ini.

Selain itu, pembayaran berkenaan juga akan dipanjangkan kepada pegawai lantikan Malaysia Short-term Employment Programme (MySTEP) yang masih berkhidmat pada 25 Januari ini dengan syarat tempoh kontraknya berkuat kuasa sekurang-kurangnya 30 hari berturut-turut.

"Turut layak ialah guru interim, pemandu yang dilantik sendiri oleh pegawai Gred Jawatan Utama B dan ke atas, serta Gred Khas A dan ke atas yang layak pemandu tetapi tidak disediakan pemandu oleh jabatannya.

"Pemandu yang dilantik sendiri oleh Anggota Pentadbiran dan Hakim serta Pesuruhjaya Kehakiman turut layak menerima bantuan," katanya.

Surat edaran itu menyebut, pesara dan veteran yang dilantik semula secara CoS dan masih berkhidmat pada 25 Januari ini adalah layak dibayar sebanyak RM700 dengan pembayaran RM350 dibuat oleh Jabatan Perkhidmatan Awam/Jabatan Hal Ehwal Veteran, manakala baki RM350 lagi dibayar oleh jabatan tempat pegawai itu berkhidmat.

"Mereka yang tidak layak adalah Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan setaraf termasuk mereka yang memangku, dipinjam/tukar sementara dan penempatan khas ke Gred Jawatan Utama/Gred Khas.

"Pegawai dikenakan hukuman tatatertib dan pegawai yang meletak jawatan dalam tempoh 1 Januari hingga 25 Januari serta mereka yang berpencen yang melepaskan hak pencen kerana menyertai Badan Berkanun Yang Diasingkan Saraan," katanya.

Bagi pegawai kerajaan yang tidak mendapatkan dos imunisasi COVID-19 yang lengkap selain atas sebab kesihatan dan mendapat pengesahan daripada pengamal perubatan mendaftar, pemberian Bantuan Khas Kewangan Tahun 2022 akan ditangguhkan.

"Pegawai hanya layak dibayar sekiranya sudah melengkapkan dos imunisasi COVID-19 selewat-lewatnya pada 31 Mac ini.

"Penangguhan juga kepada mereka yang ditahan, digantung kerja atau surat pertuduhan sudah dikeluarkan Pihak Berkuasa Tatatertib," katanya yang menyebut mereka meninggal dunia pada 25 Januari layak menerima bantuan.

Sumber dari Berita Harian

 

 

Recent Posts