Memaparkan catatan dengan label bonus kerajaan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bonus kerajaan. Papar semua catatan

Isnin, Januari 24, 2022

Bantuan khas RM700 penjawat awam, RM350 pesara

 

Kerajaan akan menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Tahun 2022 bernilai RM700 kepada pegawai perkhidmatan awam Gred 56 ke bawah dan RM350 kepada pesara kerajaan, esok.

Laman Twitter Jabatan Perkhidmatan Awam, ia adalah bantuan yang diluluskan dalam Belanjawan yang dibentangkan tahun lalu.

Bagaimanapun, bantuan itu ditangguhkan kepada pegawai kerajaan yang tidak menerima dos imunisasi COVID-19 lengkap selain atas sebab kesihatan.

Memetik surat edaran yang dilampirkan dalam laman itu, selain pesara kerajaan yang menerima pencen, veteran tidak berpencen juga akan menerima bayaran berkenaan.

"Selaras dengan keputusan itu, kaedah pelaksanaan pembayaran Bantuan Khas Kewangan Tahun 2022 adalah pegawai Perkhidmatan Awam Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana Gred 56 dan ke bawah yang masih berkhidmat pada 25 Januari 2022 sebanyak RM700.

"Pegawai Perkhidmatan Awam Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana yang layak adalah pegawai lantikan tetap, sementara dan Contract of Service (CoS), pegawai yang bercuti bergaji penuh, pegawai yang bercuti separuh gaji, pegawai yang bercuti tanpa gaji dan pegawai yang dipinjamkan termasuk ke agensi yang diasingkan pengurusan saraannya. 

"Ia akan dibayar oleh agensi yang menerima peminjaman pegawai," katanya, hari ini.

Selain itu, pembayaran berkenaan juga akan dipanjangkan kepada pegawai lantikan Malaysia Short-term Employment Programme (MySTEP) yang masih berkhidmat pada 25 Januari ini dengan syarat tempoh kontraknya berkuat kuasa sekurang-kurangnya 30 hari berturut-turut.

"Turut layak ialah guru interim, pemandu yang dilantik sendiri oleh pegawai Gred Jawatan Utama B dan ke atas, serta Gred Khas A dan ke atas yang layak pemandu tetapi tidak disediakan pemandu oleh jabatannya.

"Pemandu yang dilantik sendiri oleh Anggota Pentadbiran dan Hakim serta Pesuruhjaya Kehakiman turut layak menerima bantuan," katanya.

Surat edaran itu menyebut, pesara dan veteran yang dilantik semula secara CoS dan masih berkhidmat pada 25 Januari ini adalah layak dibayar sebanyak RM700 dengan pembayaran RM350 dibuat oleh Jabatan Perkhidmatan Awam/Jabatan Hal Ehwal Veteran, manakala baki RM350 lagi dibayar oleh jabatan tempat pegawai itu berkhidmat.

"Mereka yang tidak layak adalah Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan setaraf termasuk mereka yang memangku, dipinjam/tukar sementara dan penempatan khas ke Gred Jawatan Utama/Gred Khas.

"Pegawai dikenakan hukuman tatatertib dan pegawai yang meletak jawatan dalam tempoh 1 Januari hingga 25 Januari serta mereka yang berpencen yang melepaskan hak pencen kerana menyertai Badan Berkanun Yang Diasingkan Saraan," katanya.

Bagi pegawai kerajaan yang tidak mendapatkan dos imunisasi COVID-19 yang lengkap selain atas sebab kesihatan dan mendapat pengesahan daripada pengamal perubatan mendaftar, pemberian Bantuan Khas Kewangan Tahun 2022 akan ditangguhkan.

"Pegawai hanya layak dibayar sekiranya sudah melengkapkan dos imunisasi COVID-19 selewat-lewatnya pada 31 Mac ini.

"Penangguhan juga kepada mereka yang ditahan, digantung kerja atau surat pertuduhan sudah dikeluarkan Pihak Berkuasa Tatatertib," katanya yang menyebut mereka meninggal dunia pada 25 Januari layak menerima bantuan.

Sumber dari Berita Harian

 

 

Isnin, Oktober 12, 2020

Penjawat awam Pulau Pinang dapat setengah bulan bonus, minimum RM1,000

 

Kerajaan Pulau Pinang hari ini mengumumkan bayaran bantuan khas kewangan (BKK) setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada 4,009 penjawat awam di negeri ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow ketika membentangkan Belanjawan 2021 Negeri Pulau Pinang di Dewan Undangan Negeri berkata bayaran bonus itu melibatkan RM5.5 juta dan akan dibayar pada Disember 2020.

“Kerajaan negeri ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Majlis Keselamatan Negara serta semua pasukan keselamatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta semua anggota perkhidmatan Persekutuan atas pengorbanan mereka sebagai petugas barisan hadapan, khidmat dan sokongan mereka untuk mengekang penularan wabak COVID-19 serta membantu memastikan kestabilan, keamanan dan ketenteraman awam,” katanya.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih dan tahniah atas segala jasa dan pengorbanan barisan penjawat awam selaku tulang belakang kerajaan negeri kepada segala perancangan dan pelaksanaan dasar dan pembangunan negeri.

“Penjawat awam merupakan jentera laksana kerajaan, tanpa mereka pincanglah urus tadbir negeri. Pencapaian gemilang yang telah kita kecapi sehingga kini tidak akan dapat diperoleh tanpa komitmen dan sokongan yang jitu daripada mereka.

“Sebagai tanda penghargaan kepada sokongan padu yang diberikan oleh semua penjawat awam negeri Pulau Pinang bagi tahun 2020, kerajaan negeri bersetuju meluluskan bayaran Bantuan Khas Kewangan (BKK) akhir tahun bersamaan dengan setengah  bulan gaji penjawat awam atau minimum RM1,000. Adalah diharapkan bayaran BKK ini akan meningkatkan semangat untuk memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang lagi di tahun-tahun akan datang,” katanya.

Di samping itu Chow berkata pembayaran sebanyak RM300 juga akan disalurkan kepada 1,587 Penyelia dan Guru KAFA, 343 Guru Sekolah Rendah Agama Rakyat, 263 Guru Sekolah Menengah Agama Rakyat serta 590 Guru dan Staf Sekolah Persendirian Cina serta pemberian RM200 seorang kepada seramai 320 Guru Tahfiz, Guru Pondok dan Guru TADIS Negeri Pulau Pinang pada Disember ini melibatkan tambahan perbelanjaan RM898,900.

Sumber : Bernama

 

Recent Posts