Memaparkan catatan dengan label Utusan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Utusan. Papar semua catatan

Rabu, Ogos 21, 2019

Penerbitan Utusan Malaysia diteruskan, tidak henti operasi



Syarikat akhbar berbahasa Melayu berusia 80 tahun, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad (Kumpulan Utusan) akan terus beroperasi dengan menerbitkan dua akhbar dibawahnya, Utusan Malaysia dan Kosmo!.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir berkata, langkah itu diteruskan sekalipun syarikat akhbar itu berada dalam situasi sukar terutama peralihan dunia pemberitaan dalam bentuk media sosial.

Beliau mengakui Kumpulan Utusan sebelum ini banyak dibantu UMNO, namun selepas kekalahan parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) syarikat penerbitan akhbar itu kembali kepada realiti model perniagaan media.

"Tidak benar kita hendak tutup (henti operasi). Betul kita hadapi masalah. Tetapi kita ada pelan untuk meningkatkan perniagaan," katanya selepas Taklimat Khas oleh Pengerusi Eksekutif di Dewan Besar Kumpulan Utusan di sini hari ini.

Perkembangan itu sekali gus memadamkan spekulasi liar kononnya Kumpulan Utusan akan menghentikan operasinya bermula esok susulan ketidakmampuan menanggung kos operasi.

Abd. Aziz berkata, syarikat turut mengambil keputusan untuk menaikkan harga akhbar Utusan Malaysia daripada RM1.50 senaskhah kepada RM2.00 senaskhah manakala Kosmo! daripada RM1.00 kepada RM1.50 senaskhah mulai Jumaat ini.

Beliau mengharapkan rakyat Malaysia membantu Kumpulan Utusan dengan membeli akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! walaupun dengan kenaikan harga.

- UTUSAN

Ahad, Januari 18, 2009

Masa depan akhbar Melayu


Oleh Zin Mahmud

Ketika waktu puncak Gaza diserang oleh Israel minggu lalu, telefon penulis berbunyi menandakan masuknya satu khidmat pesanan ringkas (sms) dari agensi berita Reuters.

Berita itu menyatakan bahawa Amerika Syarikat menghalang hasrat Israel untuk mengebom pusat nuklear Iran. Laporan ini dianggap penting dan bermakna, oleh sebab itulah Reuters memilihnya untuk dijadikan berita yang dikirim melalui sms.

Kepentingannya terletak pada hasrat Israel untuk menyerang Iran, seperti mana ia pernah mengebom pusat nuklear Iraq di Orissak pada zaman Saddam Hussein dahulu. Tetapi Amerika menghalangnya, sudah tentu bukan kerana menyebelahi Iran, tetapi bagi menghalang tercetusnya perang yang lebih besar di Asia Barat. Cukuplah perang dihadkan di Iraq dan Gaza.

Satu lagi makna daripada berita itu ialah Amerika tidak semestinya mengikut telunjuk Israel. Sebarang kebijakan politiknya berhubung Israel adalah atas pertimbangan kepentingan Amerika termasuk restunya terhadap serangan yang dilancarkan ke atas Gaza.

Reuters yang menyampaikan berita itu berpangkalan di London adalah agensi berita pertama di dunia. Ia seperti banyak agensi perkhidmatan berita yang lain mengenakan bayaran RM5 sebulan untuk menyalurkan berita satu ayat sebanyak tiga kali sehari melalui telefon.

Berita yang disampaikan melalui sms itu merupakan antara teknologi terkini yang berkembang bersama munculnya telefon bimbit. Tetapi Reuters adalah sebuah agensi berita yang pada penubuhannya pernah menggunakan burung merpati untuk menyalurkan beritanya. Berita-beritanya kemudian disiarkan oleh akhbar-akhbar yang melanggan perkhidmatan Reuters itu.

Jadi Reuters telah berkembang daripada pengumpul berita yang menyampaikannya melalui akhbar kepada keadaan zaman ini di mana ia terus memberikan beritanya kepada pengguna, iaitu melalui sms.

Sebelum wujudnya Reuters, berita dikumpulkan oleh wartawan akhbar semata-mata. Umpamanya akhbar The Times of London akan menghantar wartawannya ke medan perang dan kemudian mengirimkan laporannya melalui pos. Akhbar masih menghantar wartawan membuat liputan. Tetapi dengan adanya agensi berita, laporan yang dapat dikumpulkan akan menjadi bertambah pelbagai dengan maklumat yang diperkayakan. Penciptaan telegraf membuatkan pengumpulan berita lebih cepat dan pelbagai.

Apabila melihat ke belakang akan didapati bahawa akhbar merupakan medium paling awal bagi dunia kewartawanan. Namun, walaupun dunia pengumpulan berita telah berkembang dengan adanya agensi berita, radio, televisyen dan kini komputer, internet dan sms, akhbar masih dibaca oleh pengguna, malah ia terus menghantar wartawannya untuk mencari berita eksklusif. Malahan akhbar juga bukan saja diterbitkan dalam bentuk cetakan tetapi juga dalam talian, malah menghantar berita melalui sms. Akhbar sebagai penyalur berita masih teguh dan dipercayai, walaupun kini ada blog dan konsep kewartawanan warganegara sebagai tandingan kepada kewartawanan profesional untuk merujuk pada kegiatan wartawan akhbar, agensi berita, radio dan televisyen. Internet, blog dan kewartawanan warganegara dianggap sebagai pencabar akhbar. Tetapi bukankah akhbar juga kini menggunakan internet, blog dan kewartawanan warganegara juga?

Laporan yang disampaikan oleh Reuters mengenai hasrat Israel untuk menyerang Iran itu bukan datangnya daripada wartawannya sendiri tetapi ia dipetik daripada The New York Times, akhbar yang dianggap sebagai paling unggul di dunia. Reuters menyebut berita eksklusif itu datangnya daripada akhbar tersebut.

Mungkin wartawan Reuters yang memetik laporan itu mengambilnya daripada The New York Times dalam bentuk cetakan. Atau mungkin daripada laman web akhbar itu di Internet. Tetapi hakikatnya kewibawaan The New York Times masih teguh walaupun terdapat banyak berita dalam Internet yang berupa blog.

Maka ketika banyak pihak mengata akhbar dalam pelbagai nada mengejek, antaranya ia dianggap sebagai industri yang sedang tenggelam, seramai 1,800 penerbit, pengarang dan eksekutif kanan akhbar dari 113 negara hadir dalam Kongres Akhbar Dunia ke-61 dan Forum Pengarang Dunia ke-15 di Goteborg, Sweden pada 2 Jun 2008, satu perhimpunan paling besar dalam sejarahnya.

perhimpunan

Dengan perhimpunan yang begitu besar, maka tidaklah boleh dikatakan bahawa akhbar adalah industri yang sedang tenggelam. Sebaliknya walaupun ada Internet dan sms, pembaca masih memerlukan akhbar. dari mana para blogger hendak memberi ulasan mengenai perkembangan baru kalau tidak melalui akhbar, walaupun dalam versi atas talian. Apa yang berlaku akhbar terus hidup walaupun ia masuk ke dalam talian, dengan pada waktu yang sama versi cetak masih diterbitkan.

Lihatlah tinjauan tahunan Persatuan Akhbar Dunia (WAN) bagi tahun 2007 yang dibentangkan dalam kongres itu. Ia memetik kata-kata Timothy Balding, Ketua Eksekutif WAN: '' Edaran akhbar telah meningkat atau stabil dalam tiga suku negara-negara di dunia sejak lima tahun lalu dan hampir 80 peratus negara-negara sepanjang tahun lalu,'' katanya merujuk kepada angka bagti tahun 2007.

Menurut WAN, jualan akhbar seluruh dunia meningkat 2.57 peratus sepanjang tahun 2007 dan meningkat 9.39 peratus sejak lima tahun lalu. Walaupun sejak lima tahun dahulu itu dunia menyaksikan perkembangan Internet dan sms yang pesat. Akhirnya teknologi baru turut membantu peningkatan akhbar, dan bukan mengurangkannya.

Di Malaysia, cemuhan terhadap akhbar lebih besar kerana ia tertakluk di bawah Akta Penerbitan dan Percetakan di samping hakikat bahawa pemilikan akhbar di negara ini dikuasai oleh parti-parti kerajaan. Tentunya cemuhan itu datangnya daripada pihak pembangkang.

Setiap kali pilihan raya, akhbar arus perdana di Malaysia menjadi sasaran kecaman pihak-pihak tertentu. Kemuncaknya berlaku ketika mana suara pembangkang lebih kuat daripada biasa. Ia berlaku pada pilihan raya tahun 1990 ketika Barisan Nasional dicabar kuat oleh barisan pembangkang pimpinan Parti Semangat 46, pada tahun 1999 oleh Parti Keadilan Nasional dan 2008 oleh Parti Keadilan Rakyat.

Tentunya dalam hal ini Utusan Malaysia seringkali menjadi sasaran kebencian pihak pembangkang. Antara nama ejekan ialah Utusan Meloya. Kalau orang Melayu mengatakan Utusan meloya, ia hanyalah menghina institusi yang selama ini memperjuangkan kepentingan bangsa, ditubuhkan pada tahun 1939 dengan memperjuangkan kepentingan Melayu, menuntut kemerdekaan dan berusaha membantu polisi-polisi kerajaan yang dipilih oleh kebanyakan orang Melayu selama ini.

Kalau pada tahun 1990, serangan ini hanya datang daripada akhbar pembangkang tetapi pada tahun 1999 dan 2008, ia bersemarak melalui Internet. Kalau tahun 1999, cabaran kepada laporan akhbar adalah dari laman-laman web tetapi pada tahun 2008, blog dan sms memainkan peranan untuk mempertikaikan laporan akhbar.

Tetapi bilangan hit paling tinggi bagi sumber berita dalam Bahasa Malaysia tetap disandang oleh Utusan Online, yang kesemua berita datangnya daripada Utusan Malaysia. Purata hit yang diperoleh ialah satu juta sehari. Kalau dikatakan orang muda tidak membaca akhbar tetapi dari mana mereka hendak mendapatkan berita atas talian kalau tidak Utusan Online.

Walaupun telah muncul kewartawanan warganegara dalam bentuk blog dan laman web tetapi hanya akhbar yang boleh menyediakan wartawan profesional terlatih serta terbimbing untuk mendapatkan berita dan kemudian menyiarkannya secara bertanggung jawab dengan mengambil kira sensitiviti politik dan masyarakat.

Tradisi sistem pengumpulan berita secara turun-temurun adalah penting. Maka makin tua sesebuah akhbar itu tentunya tradisi kewartawanannya lebih mendalam.

Kes-kes perundangan yang melibatkan berita dalam akhbar hanya menguatkan kedudukan wibawa akhbar. Maknanya akhbar akan lebih berhati-hati dalam kerja kewartawanannya bagi mengelak daripada disaman. Sementara blog dan laman web yang tidak begitu diambil berat untuk disaman oleh pembaca akan kehilangan peluang untuk memperbaiki diri sebagai saluran yang bertanggungjawab dan menurut undang-undang.

Para wartawan termasuk pengarangnya bukanlah manusia yang tidak berhati perut atau tidak memiliki hati budi. Mereka berusaha untuk menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan, sudah tentu dalam lingkungan masyarakat yang ada pantang larangnya, seperti juga lain-lain institusi dalam sebuah negara moden.

Tidak ada sikap defensif atau apologetik dalam kerja kewartawanan. Jika membaca buku Patah Sayap Terbang Jua oleh Allahyarham Samad Ismail dapat dirasakan betapa sukarnya wartawan-wartawan Melayu yang bekerja dengan Berita Malai, akhbar Melayu yang diambil alih oleh Jepun. Dalam segala kekangan, wartawan Melayu terpaksa bekerja sekurang- kurangnya dengan cara tersendiri bagi membela kepentingan Melayu di samping mendokong bahasa Melayu.

Maka sekarang apatah lagi dalam negara yang merdeka dan dipimpin oleh Melayu untuk kesejahteraan semua rakyat Malaysia, peranan akhbar dalam Bahasa Malaysia tetap menjadi denyut nadi negara, rakyat dan bangsa.

- Utusan

Tindakan saman dan boikot tidak jejas Utusan

Kempen memboikot dan tindakan saman yang difailkan pemimpin politik pembangkang terhadap akhbar Utusan Malaysia tidak menjejaskan operasi Kumpulan Utusan.

Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin berkata, perkembangan semasa menunjukkan jualan Utusan Malaysia tidak merosot malah sentimen simpati rakyat terhadap akhbar itu semakin meningkat.

"Kita mendapati saman-saman itu tidak menjejaskan malah sambutan terhadap Utusan Malaysia diterima seperti biasa.

"Bahkan kita rasa sedikit sebanyak orang merasa simpati dengan saman- saman tersebut, dengan itu mungkin mereka akan memberi sokongan kepada Utusan," katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Wajah Baru Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Pada tahun lalu, akhbar Utusan Malaysia disaman oleh beberapa pemimpin politik pembangkang khususnya daripada DAP seperti Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh.

Selain itu, kerajaan Selangor, Pulau Pinang dan Perak yang dikuasai pakatan pembangkang turut melancarkan kempen memboikot Utusan Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Aziz Ishak pada sidang akhbar yang sama menegaskan, pihaknya menerima dengan terbuka tindakan saman terbabit.

Beliau berkata, dalam konsep kebebasan bersuara, mana-mana pihak boleh menyaman media dan media juga bebas membuat kritikan.

"Setakat ini, ia tidak menjejaskan sama sekali apa saja aspek di Utusan Malaysia malah edarannya juga tidak terjejas.

"Semangat dan moral warga Kumpulan Utusan juga tidak terjejas, malah lebih banyak saman, lagi kuat dan bersemangat kita bekerja," tegasnya.

- Utusan

Utusan & Mingguan Malaysia berwajah baru


Kumpulan Utusan akan menerbitkan akhbar berwajah baru yang segar dan kontemporari mulai keluaran Mingguan Malaysia 18 Januari 2009 diikuti dengan Utusan Malaysia pada Isnin, 19 Januari 2009.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin berkata, pembaharuan itu dilakukan atas desakan komersial dan bagi memenuhi cita rasa pembaca yang mahu kelainan daripada segi rupa paras kosmetik, persembahan dan kandungan berita.

"Anggota Kumpulan Utusan akan pastikan isi kandungan akhbar keluarannya mengikut cita rasa pembaca yang berubah-ubah seiring dengan cabaran masa ini daripada segi ekonomi mahupun kehadiran media baru," katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Wajah Baru Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia di Ibu Pejabat Kumpulan Utusan di Jalan Chan Sow Lin di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Utusan, Datuk Ruhanie Ahmad; Pengarah Eksekutif, Mohd. Nasir Ali; Ketua Pengarang Kumpulan, Aziz Ishak dan Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan, Othman Mohamad.

Bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Tan Sri Mazlan Nordin dan Datuk Seri Zainuddin Maidin; bekas Pengarang Utusan Melayu, Said Zahari; bekas Pengarah Urusan, Tan Sri H.M. Shah serta wakil agensi pengiklanan dan persatuan vendor akhbar juga hadir.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohamed Hashim berkata, kedua-dua akhbar tersebut turut memperkenalkan bentuk penulisan baru yang bersifat interpretatif, naratif dan deskriptif.

Beliau berkata, ia bertujuan mengukuhkan reputasi Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia sebagai akhbar paling berpengaruh.

Menurutnya, pemilihan gambar pula akan dibuat berdasarkan nilai kewartawanan foto yang tinggi.

Tambah beliau, daripada segi nilai estetika kosmetik, setiap halaman akhbar diberi breathing space yang mencukupi bagi mewujudkan ketenangan kepada pembaca serta type face baru lebih besar dan jelas daripada jenis Mundo.

"Kemuncaknya, kepala akhbar Utusan dan Mingguan Malaysia diberi sentuhan baru menggunakan type face daripada famili Serif sebagai identiti, hurufnya diletakkan menegak menandakan kemantapan dan keutuhannya sebagai satu jenama," katanya.

Mohamed Hashim berkata, pelbagai ruangan baru termasuk untuk kolumnis yang disegani akan diperkenalkan secara beransur-ansur.

Menurutnya, sisipan Mega di dalam Utusan Malaysia dan Pancaindera dalam Mingguan Malaysia pula tidak terkecuali menerima sentuhan wajah baru yang kontemporari.

Sementara itu, pada sidang akhbar yang sama, Aziz berkata, perubahan ke atas Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia dibuat berdasarkan maklum balas pembaca setiap hari.

Katanya, daripada maklum balas itu pihaknya mendapati susun atur menjadi elemen penting perubahan diikuti kandungan dan kualiti bahan berita.

Katanya, saiz broadsheet dikekalkan kerana Kumpulan Utusan berpendapat format itu mempunyai masa depan walaupun akhbar lain telah menggunakan saiz tabloid.

"Akhbar kalau terlalu lama kekal dengan imej yang sama tidak bagus juga, jadi kita kena berubah lebih-lebih lagi dengan kewujudan media baru seperti blog," katanya.

- Utusan

Isnin, Januari 12, 2009

Israel guna bom kimia


Tentera darat, kereta-kereta kebal Israel mara semakin jauh ke dalam Genting Gaza menuju ke bandar utama, memaksa penduduk awam Palestin yang panik melarikan diri.

Lebih 27 lagi rakyat Palestin terbunuh termasuk terkena bom mengandungi fosforus putih yang diharamkan oleh undang-undang antarabangsa.

Human Rights Watch (HRW) bimbang penggunaan bom kimia itu boleh mengakibatkan kesengsaraan lebih dahsyat kepada orang awam Palestin.

- Utusan

Recent Posts