Tindakan saman dan boikot tidak jejas Utusan

Kempen memboikot dan tindakan saman yang difailkan pemimpin politik pembangkang terhadap akhbar Utusan Malaysia tidak menjejaskan operasi Kumpulan Utusan.

Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin berkata, perkembangan semasa menunjukkan jualan Utusan Malaysia tidak merosot malah sentimen simpati rakyat terhadap akhbar itu semakin meningkat.

"Kita mendapati saman-saman itu tidak menjejaskan malah sambutan terhadap Utusan Malaysia diterima seperti biasa.

"Bahkan kita rasa sedikit sebanyak orang merasa simpati dengan saman- saman tersebut, dengan itu mungkin mereka akan memberi sokongan kepada Utusan," katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Wajah Baru Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Pada tahun lalu, akhbar Utusan Malaysia disaman oleh beberapa pemimpin politik pembangkang khususnya daripada DAP seperti Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh.

Selain itu, kerajaan Selangor, Pulau Pinang dan Perak yang dikuasai pakatan pembangkang turut melancarkan kempen memboikot Utusan Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Aziz Ishak pada sidang akhbar yang sama menegaskan, pihaknya menerima dengan terbuka tindakan saman terbabit.

Beliau berkata, dalam konsep kebebasan bersuara, mana-mana pihak boleh menyaman media dan media juga bebas membuat kritikan.

"Setakat ini, ia tidak menjejaskan sama sekali apa saja aspek di Utusan Malaysia malah edarannya juga tidak terjejas.

"Semangat dan moral warga Kumpulan Utusan juga tidak terjejas, malah lebih banyak saman, lagi kuat dan bersemangat kita bekerja," tegasnya.

- Utusan Tindakan saman dan boikot tidak jejas Utusan

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.