Utusan & Mingguan Malaysia berwajah baru


Kumpulan Utusan akan menerbitkan akhbar berwajah baru yang segar dan kontemporari mulai keluaran Mingguan Malaysia 18 Januari 2009 diikuti dengan Utusan Malaysia pada Isnin, 19 Januari 2009.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin berkata, pembaharuan itu dilakukan atas desakan komersial dan bagi memenuhi cita rasa pembaca yang mahu kelainan daripada segi rupa paras kosmetik, persembahan dan kandungan berita.

"Anggota Kumpulan Utusan akan pastikan isi kandungan akhbar keluarannya mengikut cita rasa pembaca yang berubah-ubah seiring dengan cabaran masa ini daripada segi ekonomi mahupun kehadiran media baru," katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Wajah Baru Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia di Ibu Pejabat Kumpulan Utusan di Jalan Chan Sow Lin di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Utusan, Datuk Ruhanie Ahmad; Pengarah Eksekutif, Mohd. Nasir Ali; Ketua Pengarang Kumpulan, Aziz Ishak dan Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan, Othman Mohamad.

Bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Tan Sri Mazlan Nordin dan Datuk Seri Zainuddin Maidin; bekas Pengarang Utusan Melayu, Said Zahari; bekas Pengarah Urusan, Tan Sri H.M. Shah serta wakil agensi pengiklanan dan persatuan vendor akhbar juga hadir.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohamed Hashim berkata, kedua-dua akhbar tersebut turut memperkenalkan bentuk penulisan baru yang bersifat interpretatif, naratif dan deskriptif.

Beliau berkata, ia bertujuan mengukuhkan reputasi Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia sebagai akhbar paling berpengaruh.

Menurutnya, pemilihan gambar pula akan dibuat berdasarkan nilai kewartawanan foto yang tinggi.

Tambah beliau, daripada segi nilai estetika kosmetik, setiap halaman akhbar diberi breathing space yang mencukupi bagi mewujudkan ketenangan kepada pembaca serta type face baru lebih besar dan jelas daripada jenis Mundo.

"Kemuncaknya, kepala akhbar Utusan dan Mingguan Malaysia diberi sentuhan baru menggunakan type face daripada famili Serif sebagai identiti, hurufnya diletakkan menegak menandakan kemantapan dan keutuhannya sebagai satu jenama," katanya.

Mohamed Hashim berkata, pelbagai ruangan baru termasuk untuk kolumnis yang disegani akan diperkenalkan secara beransur-ansur.

Menurutnya, sisipan Mega di dalam Utusan Malaysia dan Pancaindera dalam Mingguan Malaysia pula tidak terkecuali menerima sentuhan wajah baru yang kontemporari.

Sementara itu, pada sidang akhbar yang sama, Aziz berkata, perubahan ke atas Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia dibuat berdasarkan maklum balas pembaca setiap hari.

Katanya, daripada maklum balas itu pihaknya mendapati susun atur menjadi elemen penting perubahan diikuti kandungan dan kualiti bahan berita.

Katanya, saiz broadsheet dikekalkan kerana Kumpulan Utusan berpendapat format itu mempunyai masa depan walaupun akhbar lain telah menggunakan saiz tabloid.

"Akhbar kalau terlalu lama kekal dengan imej yang sama tidak bagus juga, jadi kita kena berubah lebih-lebih lagi dengan kewujudan media baru seperti blog," katanya.

- Utusan

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.