Memaparkan catatan dengan label Undang-Undang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Undang-Undang. Papar semua catatan

Isnin, September 14, 2020

Kadar kesalahan pengguna di lebuh raya menurun

Kadar kesalahan pengguna di lebuh raya menurun sehingga 97 peratus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak Mac lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, jumlah yang direkodkan sehingga Ogos lalu itu menunjukkan perbezaan sebanyak 1,068 kesalahan berbanding tahun lalu dengan 2,164 kesalahan.

Katanya, lima kesalahan utama merekodkan penurunan tertinggi iaitu lebih muatan, muatan berbahaya, memandu di lorong kecemasan, menggunakan telefon bimbit dan tidak pakai tali pinggang keselamatan.

“Kesalahan lebih muatan mencatatkan penurunan tertinggi sebanyak 171 peratus iaitu 987 kesalahan tahun lalu kepada 364 kesalahan tahun ini diikuti memandu di lorong kecemasan dan muatan bahaya masing-masing dengan 339 dan 263 kesalahan.

“Berdasarkan statistik tersebut, terdapat dua faktor menyebabkan penurunan kesalahan pengguna di lebuh raya iaitu pelaksanaan PKP dan keberkesanan pencegahan menerusi rondaan yang dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Kawalan Penguatkuasa Lebuhraya (Unit Penguatkuasa Lebuh Raya-UPLR) di Plaza Tol (Lama) Jelapang, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di Ipoh, Perak.

Sumber : Kosmo!


Khamis, Ogos 27, 2020

Undang-undang baharu benarkan perbicaraan dalam talian



Dewan Rakyat meluluskan tiga Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan kehakiman, mahkamah kehakiman dan rendah.

Tiga RUU itu adalah RUU Mahkamah Kehakiman (Pindaan) 2020, RUU Mahkamah Rendah (Pindaan) 2020 dan RUU Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah (Pindaan) 2020.

Semua RUU yang dibentang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan itu diluluskan tanpa pindaan menerusi undian suara.

Takiyuddin ketika menggulung perbahasan RUU Mahkamah Kehakiman (Pindaan) 2020, berkata ia akan membolehkan perbicaraan dilakukan secara dalam talian, tertakluk kepada pertimbangan hakim.

Pindaan itu akan membenarkan mahkamah menggunakan beberapa perisian berbayar iaitu Skype dan Zoom yang menawarkan jaringan keselamatan bagi mengelak cubaan penggodaman.

"Pindaan Ini bukan usaha tergesa-gesa. Ia digunakan di mahkamah di Sabah dan Sarawak, jadi saya menaruh kepercayaan ia boleh dilaksanakan di Semenanjung.

"Ia adalah satu pilihan dalam mahkamah dan kita akan teliti kes demi kes, bukan semua pendengaran secara dalam talian.

"Ada agensi Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) yang memantau dari semasa ke semasa, bagi mengesan sebarang kegiatan menggodam. Setakat ini tiada berlaku (penggodaman).

"Kita juga ada Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan (NACSA) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang membuat dasar mengenai keselamatan siber, selain Kementerian Komunikasi dan Multimedia, CyberSecurity melaksanakan operasi daripada dasar dibuat NACSA dan MAMPU," katanya.

Pindaan sama turut terpakai bagi RUU Mahkamah Rendah (Pindaan) 2020 dan RUU Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah (Pindaan) 2020.

Sumber : Berita Harian

 

Penjara 5 hingga 10 tahun jika memandu melulu hingga sebabkan kematian



Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 yang antara lain bakal meminda hukuman pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Pindaan membabitkan 15 fasal utama dan menyentuh 13 Seksyen Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang dibentang oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong itu, diluluskan tanpa pindaan menerusi undian suara.

Ka Siong ketika menggulung perbahasan RUU berkenaan berkata, antara pindaan utama adalah ke atas hukuman sedia ada, membabitkan kadar denda, tempoh penjara dan penggantungan lesen memandu.

"Pemindaan ini menumpukan tiga aspek utama iaitu pemanduan di bawah pengaruh dadah, alkohol serta secara melulu dan merbahaya," katanya.

Turut diluluskan ialah pindaan kesalahan bagi memandu dalam keadaan mengantuk hingga menyebabkan kemalangan atau kematian pengguna jalan raya lain yang dikategorikan sebagai pemanduan secara melulu atau berbahaya.

RUU itu turut meminda kadar alkohol yang akan ditetapkan 22 mikrogram alkohol dalam 100 mililiter (ml) nafas; 50 miligram (mg) alkohol dalam 100ml darah atau 67mg alkohol dalam 100ml air kencing.

Ia turut meluluskan takrifan semula kenderaan mikromobiliti, termasuk basikal lajak sebagai kenderaan motor, selain meminda hukuman kepada denda minimum RM1,000 atau maksimum RM5,000 dan penjara tidak melebihi 12 bulan, jika sabit kesalahan.

Melalui kelulusan RUU itu, Seksyen 41 iaitu memandu secara melulu atau membahayakan hingga menyebabkan kematian akan memperuntukkan hukuman penjara antara lima ke 10 tahun, denda RM20,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan lesen sehingga lima tahun bagi sabitan pertama.

Pesalah boleh dipenjara antara 10 hingga 15 tahun, denda RM50,000 ke RM100,000 atau hilang kelayakan lesen selama 10 tahun bagi sabitan berikutnya.

Tempoh hilang kelayakan lesen bagi kesalahan mengikut Seksyen 42 iaitu memandu secara melulu dan membahayakan dinaikkan kepada minimum lima tahun, manakala 10 tahun bagi sabitan seterusnya.

Denda bagi kesalahan Seksyen 43 iaitu memandu dengan tidak cermat dan bertimbang rasa, dinaikkan kepada minimum RM5,000 atau maksimum RM10,000, manakala antara RM10,000 hingga RM15,000, bagi sabitan seterusnya. Pesalah juga boleh dipenjara bagi tempoh maksimum 12 bulan dalam dua-dua keadaan.

Seksyen 44 iaitu memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah hingga menyebabkan kematian akan memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun atau maksimum 15 tahun; denda antara RM50,000 hingga RM100,000 dan hilang kelayakan lesen bagi tempoh minimum 10 tahun, bagi sabitan pertama.

Pesalah berdepan hukuman penjara minimum 15 tahun atau maksimum 20 tahun; denda antara RM100,000 hingga 150,000 dan hilang kelayakan lesen selama 20 tahun, bagi sabitan seterusnya.

Bagi kes menyebabkan kecederaan, pesalah berdepan hukuman penjara minimum tujuh tahun atau maksimum 10 tahun; denda antara RM30,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan lesen minimum tujuh tahun, bagi sabitan pertama.

Pesalah juga boleh dipenjara minimum 10 tahun atau maksimum 15 tahun; denda antara RM50,000 hingga RM100,000 dan hilang kelayakan lesen selama 10 tahun, bagi sabitan seterusnya.

Seksyen 45 iaitu menjaga kenderaan di bawah pengaruh alkohol atau dadah pula akan memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun; denda antara RM1,000 hingga RM5,000 dan hilang kelayakan lesen minimum dua tahun, bagi sabitan pertama.

Pesalah juga berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun; denda antara RM5,000 hingga RM10,000 dan hilang kelayakan lesen minimum lima tahun, bagi sabitan seterusnya.

Seksyen 45A iaitu memandu atau menjaga kenderaan dengan kepekatan alkohol melebihi had ditetapkan akan memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun; denda minimum RM10,000 atau maksimum RM30,000 dan hilang kelayakan lesen minimum dua tahun, bagi sabitan pertama.

Pesalah akan berdepan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun; denda minimum RM20,000 atau maksimum RM50,000 dan hilang kelayakan lesen minimum lima tahun, bagi sabitan seterusnya.

Hukuman bagi kesalahan mengikut Seksyen 45B iaitu Ujian Nafas dan Seksyen 45C berkaitan Pengadaan Spesimen Bagi Analisis, akan dipinda kepada penjara maksimum dua tahun, denda minimum RM10,000 atau maksimum RM30,000 bagi sabitan pertama.

Pesalah akan dihukum penjara maksimum lima tahun dan denda RM20,000 atau maksimum RM50,000, bagi sabitan seterusnya.

Sumber : Berita Harian

 

Khamis, November 27, 2014

Akta Hasutan Kekal



Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada Perhimpunan Agung Umno bahawa Akta Hasutan 1948 akan dikekalkan dan diperkukuhkan.

Perkara itu dinyatakan ketika menyampaikan ucapan dasar presiden pada pagi Khamis.

"Kita akan masuk peruntukan khas untuk melindungi kesucian agama Islam, bahkan agama lain juga tak boleh ditindas.

"Keduanya ialah kita akan masukkan supaya tindakan boleh diambil kepada sesiapa yang menghasut supaya Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia," katanya.

Pengumuman itu disambut sorakan gemuruh dan tepukan perwakilan serta pemerhati yang turut berdiri sebagai tanda sokongan dan bersetuju dengan keputusan kerajaan mengenai akta itu.

Terdahulu, sebelum Najib mengumumkan perkara itu,  ditayangankan klip video berkaitan pelbagai dakyah yang disebarkan melalui media sosial berunsur hasutan termasuk membabitkan aktivis sosial Hishammuddin Rais dan bloger seks, Alvin Tan.

Mengulas lanjut Najib berkata, berdasarkan penelitiannya dua perkara khusus yang akan ditambah itu tidak terkandung dalam Akta Husutan.

Selain itu, Najib yang juga Presiden Umno berkata, beliau percaya keputusan berkenaan akan turut dipersetujui oleh parti-parti komponen Barisan Nasional (BN).

"Kita mesti menguatkuasakan akta ini secara adil supaya kita benar-benar dapat wujudkan negara Malaysia yang lebih aman, stabil harmoni," katanya.

Gesaan supaya Akta Hasutan dikekalkan turut disuarakan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika merasmikan persidangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno pada Selasa malam.

Hasrat berkenaan turut disambut baik oleh Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin ketika menyampaikan ucapan dasar masing-masing pada Rabu.

Sumber : mSTAR

Rabu, November 26, 2014

Mengasingkan peranan dua mahkamah



Oleh Shamrahayu A Aziz
Felo Utama, Pusat Kajian Syriah, Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Kita mengamalkan sistem dualisme undang-undang. Ia adalah sistem yang mengandungi dua sistem yang sama penting - dua undang-undang dan dua mahkamah. Sistem ini tidak berlaku dengan sendiri, tetapi adalah rekaan dan perbuatan British. Dalam tulisan ini, saya cuba membawa pembaca kepada sejarah perundangan negara mengenai sistem dualisme ini.

Negeri di Tanah Melayu mempunyai sistem mahkamahnya yang tersendiri sebelum campur tangan British. Tanah Melayu hanya mempunyai satu sistem mahkamah iaitu Mahkamah Kadi atau Mahkamah Syariah. Undang-undang yang terpakai pada ketika itu adalah undang-undang Islam. Raja-Raja Melayu, dibantu oleh seorang Mufti adalah hakim, di mana Raja sendiri adalah mahkamah rayuan tertinggi.

Pelbagai undang-undang diperkenalkan oleh British dalam pentadbiran mereka untuk menyusun semula sistem mahkamah tempatan. British memperkenalkan Enakmen Mahkamah 1919, yang mewujudkan susunan mahkamah; Mahkamah Agung - yang terdiri daripada Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Hakim (Courts of Judges), Mahkamah Majistret Kelas Pertama, Mahkamah Majistret Kelas Kedua, Mahkamah Kadi/ Mahkamah Penolong Kadi dan akhir sekali, Mahkamah Penghulu.

Enakmen Mahkamah 1919 ini mewujudkan satu sistem mahkamah, di mana Mahkamah Kadi ini telah diletakkan sebagai mahkamah kedua terakhir dalam susunannya.

Pada tahun 1948, British memperkenalkan Ordinan Mahkamah 1948, yang mewujudkan susunan mahkamah yang baharu. Susunan mahkamah yang baharu itu tidak memasukkan Mahkamah Kadi. Ordinan Mahkamah 1948 juga telah memansuhkan semua peruntukan dalam Enakmen Mahkamah itu tahun 1919, kecuali peruntukan mengenai Mahkamah Kadi. Ini bermakna, Ordinan 1948 itu telah memisahkan Mahkamah Kadi daripada senarai mahkamah utama.

Tindakan British ini mewujudkan kerosakan dalam sistem mahkamah tempatan dengan memperkenalkan sistem dua mahkamah yang selari, iaitu Mahkamah Sivil dan Mahkamah Kadi. Perkara ini tidak dilakukan secara nyata, tetapi British mengambil pendekatan senyap. Walaupun semua peruntukan dalam Enakmen 1919 telah dimansuhkan, peruntukan mengenai Mahkamah Kadi dikekalkan.

Kesan daripada Ordinan 1948 ini, perkara yang tidak membabitkan Islam diletakkan di bawah bidang kuasa Mahkamah Sivil, yang mana undang-undang England dan undang-undang berkanun yang diimport dari India digunakan. Perkara yang Islam dibiarkan dengan Mahkamah Kadi dan undang-undang Islam telah digunakan.

Apabila negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Perlembagaan yang digubal oleh Suruhanjaya Reid, rejim undang-undang peribumi telah diteruskan. Penekanan khusus tertumpu kepada kedudukan Islam dan orang Melayu. Wakil rakyat Melayu mencuba yang terbaik untuk memelihara nilai asli dan tempatan dalam Perlembagaan kemerdekaan itu. Akibatnya, kedudukan Islam dikekalkan dan sistem undang-undang dan sistem mahkamahnya juga dikekalkan seperti masa pentadbiran British.

Dari satu sudut, pemeliharaan nilai peribumi ini melambangkan pengekalan nilai sedia ada dalam bumi Tanah Melayu dan ia tidak boleh ditarik keluar daripada sistem tanpa memberi kesan yang besar. Justeru, kita mengamalkan dua sistem mahkamah yang selari. Perkara ini dijelaskan lagi dengan pindaan kepada beberapa peruntukan Perlembagaan dan undang-undang lain, seperti Perkara 121 dan Perkara 5 Perlembagaan serta Seksyen 100 Kanun Tanah Negara.

Mahkamah Sivil mempunyai bidang kuasa umum. Ia mempunyai kuasa dan bidang kuasa untuk mendengar semua jenis kes, kecuali perkara mengenai undang-undang Islam. Mahkamah Sivil juga perlu menghormati keputusan Mahkamah Syariah.

Mahkamah Syariah adalah mahkamah negeri, yang dicipta oleh undang-undang negeri (kecuali dalam hal Wilayah-Wilayah Persekutuan), yang mempunyai bidang kuasa ke atas orang Islam dan membuat keputusan ke atas perkara peribadi dan juga jenayah Islam. Undang-undang yang terpakai di Mahkamah Syariah adalah undang-undang Islam.

Sekiranya kita mahu mengekalkan dualisme dalam sistem perundangan kita, maka pentafsiran Perlembagaan perlulah dibuat dengan mengambil kira pengasingan sistem undang-undang dan mahkamah ini.

Andainya tidak, ia akan mengecewakan salah satu antara keduanya. Sekiranya ini berlaku, lama kelamaan ia akan mendatangkan kesan buruk bukan sahaja ke atas sistem itu, tetapi juga, lebih serius lagi akan menggagalkan pengisian Perlembagaan Persekutuan sebagai punca kepada sistem itu. Sebagai pilihan, kita boleh gabungkan kedua-dua sistem. Mungkin penggabungan ini lebih baik.

Sumber : Berita Harian

Recent Posts