Memaparkan catatan dengan label kemalangan maut. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kemalangan maut. Papar semua catatan

Isnin, Oktober 12, 2020

Pemandu MyVi sebabkan kemalangan maut positif dadah

 

 

 Kereta yang terbalik selepas dilanggar MyVi dalam kejadian berhampiran dengan lampu isyarat di Kilometer 4 Jalan Johor Bahru - Kota Tinggi, semalam. - Foto ihsan Bomba

Polis menahan pemandu Perodua Myvi wanita yang terbabit kemalangan dengan dua kenderaan di Kilometer 4 Jalan Johor Bahru - Kota Tinggi, di sini semalam, hingga menyebabkan seorang lelaki meninggal dunia.

Difahamkan, pemandu berusia 23 tahun itu dipercayai tidak mempunyai lesen memandu kenderaan, selain cukai jalan dipercayai sudah tamat tempoh.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain, berkata saringan awal air kencing mendapati pemandu berkenaan positif dadah.

Mohd Padzli berkata, kemalangan kira-kira jam 9 pagi itu, membabitkan kenderaan pemandu berkenaan dengan kereta jenis Honda Accord dan Proton Iswara.

"Pemandu Myvi sudah ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Saringan awal air kencing mendapati positif dadah. Turut siasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya ringkas dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, tular video menerusi rakaman kamera perakam video berdurasi 37 saat memaparkan berlaku insiden kereta berwarna putih terbalik selepas dilanggar kenderaan lain dalam kejadian berhampiran dengan lampu isyarat.

Mohd Padzli berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku berpunca pemandu kereta Myvi dipercayai hilang kawalan.

Katanya, pemandu itu kemudiannya terbabas melanggar tembok batu pembahagi jalan dan seterusnya melanggar dua kenderaan lain yang berada di persimpangan lampu isyarat menghala ke Plaza Pelangi Johor Bahru.

"Akibat kemalangan terbabit, pemandu kenderaan jenis Honda Accord mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan," katanya.

Semalam, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, Mohd Rizal Buseri, 31, maut di tempat kejadian manakala Nur Fatin Nazrah, 23, dan Chang Ah May, 78, mengalami kecederaan ringan.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan II Nordatul Badrol Abd Rahman, berkata pihaknya menggerakkan sebuah jentera dengan kekuatan sembilan anggota ke lokasi kejadian.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian, pasukan keluaran operasi mendapati kereta jenis Honda Accord dipandu seorang mangsa dalam keadaan terbalik dan mangsa tersepit di bahagian pemandu.

"Mangsa tersepit dikeluarkan menggunakan peralatan khas sebelum diserahkan kepada pihak polis, manakala mangsa cedera diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan selanjutnya," katanya.


 

 

Khamis, Ogos 27, 2020

Penjara 5 hingga 10 tahun jika memandu melulu hingga sebabkan kematian



Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 yang antara lain bakal meminda hukuman pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Pindaan membabitkan 15 fasal utama dan menyentuh 13 Seksyen Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang dibentang oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong itu, diluluskan tanpa pindaan menerusi undian suara.

Ka Siong ketika menggulung perbahasan RUU berkenaan berkata, antara pindaan utama adalah ke atas hukuman sedia ada, membabitkan kadar denda, tempoh penjara dan penggantungan lesen memandu.

"Pemindaan ini menumpukan tiga aspek utama iaitu pemanduan di bawah pengaruh dadah, alkohol serta secara melulu dan merbahaya," katanya.

Turut diluluskan ialah pindaan kesalahan bagi memandu dalam keadaan mengantuk hingga menyebabkan kemalangan atau kematian pengguna jalan raya lain yang dikategorikan sebagai pemanduan secara melulu atau berbahaya.

RUU itu turut meminda kadar alkohol yang akan ditetapkan 22 mikrogram alkohol dalam 100 mililiter (ml) nafas; 50 miligram (mg) alkohol dalam 100ml darah atau 67mg alkohol dalam 100ml air kencing.

Ia turut meluluskan takrifan semula kenderaan mikromobiliti, termasuk basikal lajak sebagai kenderaan motor, selain meminda hukuman kepada denda minimum RM1,000 atau maksimum RM5,000 dan penjara tidak melebihi 12 bulan, jika sabit kesalahan.

Melalui kelulusan RUU itu, Seksyen 41 iaitu memandu secara melulu atau membahayakan hingga menyebabkan kematian akan memperuntukkan hukuman penjara antara lima ke 10 tahun, denda RM20,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan lesen sehingga lima tahun bagi sabitan pertama.

Pesalah boleh dipenjara antara 10 hingga 15 tahun, denda RM50,000 ke RM100,000 atau hilang kelayakan lesen selama 10 tahun bagi sabitan berikutnya.

Tempoh hilang kelayakan lesen bagi kesalahan mengikut Seksyen 42 iaitu memandu secara melulu dan membahayakan dinaikkan kepada minimum lima tahun, manakala 10 tahun bagi sabitan seterusnya.

Denda bagi kesalahan Seksyen 43 iaitu memandu dengan tidak cermat dan bertimbang rasa, dinaikkan kepada minimum RM5,000 atau maksimum RM10,000, manakala antara RM10,000 hingga RM15,000, bagi sabitan seterusnya. Pesalah juga boleh dipenjara bagi tempoh maksimum 12 bulan dalam dua-dua keadaan.

Seksyen 44 iaitu memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah hingga menyebabkan kematian akan memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun atau maksimum 15 tahun; denda antara RM50,000 hingga RM100,000 dan hilang kelayakan lesen bagi tempoh minimum 10 tahun, bagi sabitan pertama.

Pesalah berdepan hukuman penjara minimum 15 tahun atau maksimum 20 tahun; denda antara RM100,000 hingga 150,000 dan hilang kelayakan lesen selama 20 tahun, bagi sabitan seterusnya.

Bagi kes menyebabkan kecederaan, pesalah berdepan hukuman penjara minimum tujuh tahun atau maksimum 10 tahun; denda antara RM30,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan lesen minimum tujuh tahun, bagi sabitan pertama.

Pesalah juga boleh dipenjara minimum 10 tahun atau maksimum 15 tahun; denda antara RM50,000 hingga RM100,000 dan hilang kelayakan lesen selama 10 tahun, bagi sabitan seterusnya.

Seksyen 45 iaitu menjaga kenderaan di bawah pengaruh alkohol atau dadah pula akan memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun; denda antara RM1,000 hingga RM5,000 dan hilang kelayakan lesen minimum dua tahun, bagi sabitan pertama.

Pesalah juga berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun; denda antara RM5,000 hingga RM10,000 dan hilang kelayakan lesen minimum lima tahun, bagi sabitan seterusnya.

Seksyen 45A iaitu memandu atau menjaga kenderaan dengan kepekatan alkohol melebihi had ditetapkan akan memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun; denda minimum RM10,000 atau maksimum RM30,000 dan hilang kelayakan lesen minimum dua tahun, bagi sabitan pertama.

Pesalah akan berdepan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun; denda minimum RM20,000 atau maksimum RM50,000 dan hilang kelayakan lesen minimum lima tahun, bagi sabitan seterusnya.

Hukuman bagi kesalahan mengikut Seksyen 45B iaitu Ujian Nafas dan Seksyen 45C berkaitan Pengadaan Spesimen Bagi Analisis, akan dipinda kepada penjara maksimum dua tahun, denda minimum RM10,000 atau maksimum RM30,000 bagi sabitan pertama.

Pesalah akan dihukum penjara maksimum lima tahun dan denda RM20,000 atau maksimum RM50,000, bagi sabitan seterusnya.

Sumber : Berita Harian

 

Recent Posts