Selasa, Mac 17, 2009

Mafrel pantau PRK Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai

Malaysian For Free and Fair Election (Mafrel) akan memantau pilihan raya kecil Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai yang telah diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk diadakan serentak pada 7 April ini.

Ketiga tiga pilihan raya kecil itu dilihat kritikal dan unik oleh Mafrel yang boleh membawa kesan kepada senario politik negara ini, kerana itu sudah tentulah parti-parti yang bertanding bekerja bersungguh sungguh bagi mempastikan kemenangan.

"Pilihan raya kecil Bukit Gantang disebut-sebut sebagai pilihan raya yang bakal menyaksikan sentimnen pemilih Perak terhadap krisis Perlembagaan dan kemelut politik di negeri itu ditafsirkan dalam bentuk undi."

Demikian dinyatakan oleh Penyelaras Mafrel Negeri Perak, Megat Shariffudin Ibrahim dalam sidang medianya di sini semalam.

"Dalam pemantau Mafrel baru-baru ini di kawasan Bukit Gantang 'demam' pilihan raya sudah dirasai walaupun tempoh rasmi berkempen belum bermula, ini dapat dilihat dengan kibaran bendera dan logo parti di merata tempat," jelasnya.

Pilihan raya kecil Bukit Selambau di Kedah pula dianggap sebagai ujian terhadap populariti BN, khususnya MIC serta rekod mereka berkaitan hubungan etnik terutama di kalangan kaum India, manakala di Batang Ai pula walaupun di kawasan pendalaman tetapi ia tetap penting kerana ia bakal mencorakkan perubahan politik di negeri itu, katanya.

Sehubungan itu Mafrel akan melaksanakan pemerhatian terhadap keseluruhan proses pilihan raya bermula hari penamaan calon, hari mengundi dan pasca pilihan raya dengan memberi tumpuan kepada senarai pendaftar pemilih, usaha-usaha atau menawarkan rasuah kepada pengundi, penyalahgunaan kemudahan dan jentera kerajaan serta sumnber awam, perbuatan atau tindakan ganas dan merbahaya semasa proses pemilihan, tahap serta jentera keselamatan, khususnya pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan liputan media, katanya.

"Mafrel merakamkan penghargaan kepada SPR kerana telah mengiktiral Mafrel menjadi pemerhati rasmi dalam pusat-pusat mengundi di ketiga-tiga pilihan raya kecil tersebut," katanya.

Di samping itu Mafrel berharap kerjasama penuh akan dapat diberikan dalam memproses Pas Pemerhati termasuk memberikan kebenaran untuk memerhati proses pengundian dan pengiraan dalam tempat atau saluran mengundi.

Pengiktirafan tersebut katanya, bagi membolehkan pemerhatian di kawasan-kawasan terhad sebagaimana ditetapkan oleh Peraturan Pilihan raya.

Memandangkan ketiga tiga pilihan raya kecil tersebut disifatkan berprofil tinggi, Mafrel sekali lagi menegaskan pendiriannya menggesa SPR untuk kembali kepada persetujuan asal menggunakan dakwat kekal di hari mengundi.

"Mafrel menegaskan hanya menggunakan dakwat kekal sahaja dapat SPR membendung dan menghapuskan penipuan dan pengundi hantu," jelasnya.

Menurutnya, Mafrel menggagaskan pilihan raya yang berwubawa, aman, bebas dan adil, adalah berdasarkan prinsip-prinsip hak asasi dan demokrasi sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, perjanjian dan protokol antarabangsa.

Atas dasar ini Mafrel menggesa parti-parti lawan dan penyokong memainkan peranan melindungi hak-hak pemilih dengan membenarkan mereka merumus dan memutuskan undi mereka secara bebas tanpa melanggar mana-mana undang-undang dan peraturan pilihan raya kerana itu kebebasan kemahuan dan pilihan pemilih mesti dihormati, tegas beliau.

Mafrel turut menggesa SPR dan polis supaya mengamalkan keadilan dan keseimbangan dalam melaksanakan tanggungjawab sepanjang proses pilihan raya dengan mengambil kira kepentingan pemilih.

- HARAKAH
www.harakahdaily.net

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.