Kos tiga pilihan raya kecil RM1.5j

Kos bagi mengadakan tiga pilihan raya kecil membabitkan kawasan Bukit Gantang di Perak, Bukit Selambau di Kedah serta Batang Ai di Sarawak ialah RM1.5 juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata kos terbabit adalah yang dibelanjakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), tidak termasuk yang dibelanjakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi lain.

"Pecahan mengikut bahagian pilihan raya pula ialah bagi Bukit Gantang sebanyak RM700,000, Bukit Selambau dan dan Batang Air, masing-masing RM400,000.

"Perbezaan perbelanjaan ini disebabkan Bukit Gantang ialah bagi kerusi Parlimen, manakala Bukit Selambau dan Batang Air membabitkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)," katanya di Dewan Negara, semalam.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Abdul Rahman Bakar yang ingin tahu peruntukan yang dibelanjakan kerajaan dalam menghadapi ketiga-tiga pilihan raya terbabit.

Sementara itu, Mohamed Nazri berkata, kerajaan tidak bercadang membuat pendaftaran pemilih secara automatik, iaitu dengan menggunakan kad pengenalan.

"Kita adalah negara demokratik yang mengamalkan demokrasi. Untuk mengadakan pendaftaran secara automatik sebenarnya adalah paksaan kepada pengundi. Pilihan untuk mendaftar dan mengundi adalah hak mutlak setiap warga negara.

"Adalah menjadi pilihan seseorang itu sama ada mahu mendaftar atau tidak. Dalam hal ini tiada paksaan boleh dibuat kerana mungkin bukan saja mereka tidak mahu mendaftar, malah tidak mahu mengundi," katanya.

- BERITA HARIAN

Tiada ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Dikuasakan oleh Blogger.