Memaparkan catatan dengan label Pentadbiran. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pentadbiran. Papar semua catatan

Selasa, Mac 19, 2013

Bagaimana Proses Pilihanraya Dilaksanakan



1) Pembubaran Dewan

Apabila Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri dibubarkan, SPR akan menerima pemakluman rasmi yang dihantar oleh Yang DiPertua Dewan atau Speaker kepada SPR. Mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan, SPR mempunyai tempoh selama 60 hari untuk mengadakan pilihan raya.

2)Persiapan

Bagi tujuan menetapkan tarikh penamaan calon, pengeluaran undi pos, pengundian awal dan tarikh pengundian, SPR akan mengadakan mesyuarat yang dihadiri oleh semua anggota SPR. Sebelum itu, SPR akan mengundang semua wakil kementerian/jabatan/agensi kerajaan dan swasta di peringkat pusat untuk mendapatkan kerjasama mereka dalam membantu SPR mengadakan pilihan raya. Mereka turut dipelawa memberikan pandangan bagi memudahkan SPR menetapkan tarikh-tarikh pilihan raya.

Apabila tarikh tersebut telah ditentukan, SPR akan mengumumkan tarikh-tarikh tersebut dalam media massa. Seterusnya, writ atau surat kuasa akan diserahkan kepada semua Pegawai Pengurus yang akan membantu SPR menguruskan pilihan raya di bahagian-bahagian pilihan raya di mana mereka dilantik. Kebiasaannya, mereka yang dilantik adalah dalam kalangan Pegawai-Pegawai Daerah atau Yang DiPertua Majlis-Majlis Daerah. Pemilihan mereka disebabkan keupayaan mereka mengawal jentera-jentera kementerian/jabatan/agensi kerajaan di peringkat daerah atau kawasan pentadbiran mereka.

Setelah itu, SPR akan mengeluarkan notis memaklumkan tarikh, masa dan tempat penamaan calon selain mempelawa mereka yang berminat untuk hadir menyerahkan pencalonan mereka pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan. Sementara menunggu hari penamaan calon, Pegawai-Pegawai Pengurus akan mengadakan mesyuarat penyelarasan di peringkat bahagian pilihan raya dengan semua wakil kementerian/jabatan/agensi kerajaan dan swasta bagi mendapatkan bantuan dan kerjasama mereka dalam pengendalian urusan pilihan raya yang bakal diadakan. Pegawai-Pegawai Pengurus turut melantik dan melatih petugas-petugas yang akan melaksanakan urusan pilihan raya di Pusat-Pusat Mengundi.

3) Penamaan Calon

Apabila tiba hari penamaan calon, Pegawai-Pegawai Pengurus akan membuka kaunter penerimaan kertas penamaan calon. Kebiasaannya, tempoh penyerahan kertas penamaan calon adalah dari jam 9.00 pagi hingga jam 10.00 pagi. Dalam pilihan raya kali ini, urusan pameran dan bantahan ke atas kertas penamaan calon tidak lagi diadakan. Selain itu, tiada lagi peluang untuk menarik diri dibuka untuk calon selepas muktamadnya penyerahan kertas penamaan pada jam 10.00 pagi. Ini bermaksud, Pegawai Pengurus akan memeriksa kelayakan calon dan kesempurnaan kertas penamaan calon dan memuktadkannya selepas jam 10.00 pagi. Selepas itu, Pegawai Pengurus akan mengumumkan sama ada terdapat pertandingan di bahagian pilihan raya tersebut. Sekiranya terdapat pertandingan, Pegawai Pengurus akan mengumumkan nama calon-calon yang akan bertanding serta tarikh-tarikh pengundian.

4) Tempoh Berkempen

Kempen adalah medium untuk memperkenalkan calon, ideologi politiknya serta pelan perancangan beliau atau partinya untuk membangunkan bahagian pilihan raya di mana beliau bertanding. Tempoh berkempen bermula dari pengumuman terdapatnya pertandingan oleh Pegawai Pengurus pada hari penamaan calon dan berakhir jam 12.00 malam sebelum hari pengundian. Bagi tujuan memastikan kempen dilaksanakan secara aman dan teratur, SPR telah menubuhkan Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang turut dianggotai oleh ejen-ejen calon yang bertanding. Kempen boleh dilaksanakan dengan pelbagai cara bagi menjelaskan kepada masyarakat pengundi tentang kelebihan calon agar beliau dipilih mewakili masyarakat setempat dalam pilihan raya tersebut. Tugas PP-KPR adalah bagi memastikan semua jenis medium kempen sama ada secara bersemuka atau melalui bahan kempen tidak menyentuh sensitiviti perkauman atau menjejaskan perpaduan dan permuafakatan masyarakat. Keputusan PP-KPR untuk mengenakan tindakan terhadap sesuatu ceramah atau bahan kempen dilakukan secara bersama oleh semua ahli PP-KPR termasuk oleh ejen-ejen calon yang menganggotai pasukan tersebut.

5) Hari Pengundian

Kebiasaannya, bangunan sekolah akan dijadikan sebagai Pusat Mengundi dan bilik-bilik darjah akan dijadikan sebagai Tempat Mengundi. Kawasan sekitar 50 meter daripada pagar sekolah adalah zon larangan kecuali bagi pengundi dan para petugas. Zon larangan ini disediakan bagi memberikan keselesaan kepada para pengundi. Selain pihak polis yang menguatkuasakan undang-undang dan menjaga keselamatan pengundi, petugas-petugas yang dibenarkan berada dalam Pusat Mengundi adalah Penyelia Pusat Mengundi, Pemandu Arah Pusat Mengundi, dan Kerani-Kerani Penyemak Daftar Pemilih. Mereka ini bertugas di luar bilik darjah dengan cara membantu pengundi-pengundi menyemak lokasi Tempat Mengundi mereka, dan menunjukkan lokasi tersebut selain membantu mereka yang uzur dan kurang upaya. Di dalam Tempat Mengundi (bilik darjah) pula, Ketua Tempat Mengundi dan kerani-kerani pengundian ditugaskan melaksanakan proses pengundian. Semasa hari pengundian, semua petugas dikehendaki datang awal bagi mempersiapkan Tempat Mengundi. Ejen-ejen yang dilantik oleh calon juga dibenarkan masuk awal ke Tempat Mengundi. Peranan ejen adalah bagi memerhati perjalanan pengundian. Sebelum Tempat Mengundi dibuka, Ketua Tempat Mengundi akan menutup dan memeteraikan peti undi di hadapan ejen-ejen yang hadir. Pada jam 7.50 pagi, Pusat Mengundi akan dibuka dan para pengundi bolehlah menyemak lokasi Tempat Mengundi mereka di barung SPR. Selepas itu, mereka bolehlah terus ke Tempat Mengundi masing-masing dan beratur di luar Tempat Mengundi tersebut. Sebelum pengundian berlangsung, Ketua Tempat Mengundi akan mengisi butiran buku kertas undi ke dalam Borang 13. Butiran yang diisikan adalah butiran tempat dan Pusat Mengundi selain bilangan serta nombor siri kertas undi yang akan digunakan. Ia merupakan satu prosedur standard bertujuan memastikan kesahihan bilangan kertas undi yang akan diguna pakai dengan kertas undi yang rosak atau tidak dikembalikan. Ejen-ejen calon juga dibenarkan untuk memeriksa kandungan Borang 13 ini. Sejurus sebelum pengundian dimulakan, Ketua Tempat Mengundi akan memberikan taklimat ringkas kepada kerani-kerani pengundian dan ejen calon tentang perjalanan pengundian dan perkara-perkara yang dibolehkan dan tidak boleh dilakukan sepanjang proses tersebut.

6) Proses Pengundian

Sebaik jam 8.00 pagi Tempat Mengundi akan dibuka dan pengundi akan dibenarkan masuk. Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh pengundi adalah menyerahkan kad pengenalan dan slip semakan kepada Kerani Pengundian Pertama. Kerani akan menyemak nama pengundi dalam daftar pemilih dan meminta pengundi bergerak ke hadapan Kerani Pengundian Kedua. Kerani Pengundian Kedua akan meminta pengundi meletakkan jari di atas pad yang disediakan untuk proses calitan dakwat kekal. Dakwat kekal dicalitkan di atas permukaan jari telunjuk tangan kiri pengundi. Sekiranya pengundi tiada jari telunjuk, dakwat kekal akan dicalit di mana-mana jari tangan kiri sebelum beralih ke jari tangan kanan sekiranya tangan kiri pengundi tidak mengandungi sebarang jari . Sesudah jari dicalit, Kerani Pengundian Pertama akan meneriakkan nama pengundi untuk disemak oleh ejen-ejen tempat mengundi yang hadir. Ejen-ejen tempat mengundi akan hadir memerhatikan perjalanan proses pengundian daripada bermulanya proses tersebut sehinggalah tamat proses pengiraan undi. Ejen-ejen tempat mengundi turut menggunakan buku daftar pemilih yang sama dengan Ketua Tempat Mengundi, Kerani Pengundian dan Kerani Penyemak Daftar Pemilih. Selepas nama diteriakkan, pengundi akan diberikan kertas undi oleh Kerani Pengundian Ketiga. Kertas undi ini dicapkan dengan tanda pengenalan Tempat Mengundi. Setelah menerima kertas undi, pengundi bolehlah beredar ke petak undi untuk menandakan kertas undinya. Pengundi perlu menandakan 'X' pada petak disebelah nama calon pilihannya. Seterusnya, kertas undi tersebut perlu dimasukkan ke dalam peti undi. Pengundi perlu segera beredar keluar daripada Tempat Mengundi sebaik sahaja memasukkan kertas undinya ke dalam peti undi. Proses ini akan terus berlangsung sehingga jam 5.00 petang iaitu masa Tempat Mengundi ditutup.

7) Proses Mengira Undi

Sebaik sahaja Tempat Mengundi ditutup, Ketua Tempat Mengundi akan menutup bukaan/mulut peti undi dan memeteraiakannya dengan cara meletakkan perekat keselamatan. Penutupan peti undi ini dilakukan di hadapan ejen-ejen tempat mengundi/ mengira undi yang hadir. Petugas-petugas pula akan bertindak menyusun semula Tempat Mengundi mengikut susunan proses pengiraan undi. Sebelum kiraan dimulakan, Ketua Tempat Mengundi akan memberikan taklimat ringkas berhubung proses pengiraan undi. Proses pengiraan undi bermula dengan memotong ikatan penutup peti undi dan mengeluarkan kertas undi untuk dimasukkan ke dalam dulang 'Undi Belum Dikira'. Kertas-kertas undi kemudiannya dikira dalam bilangan sepuluh dan diikat dalam bilangan seratus. Proses ini bertujuan mendapatkan bilangan sebenar kertas undi yang berada dalam peti undi untuk direkodkan ke dalam Borang 13. Sekiranya bilangan kertas undi adalah sama atau kurang, proses pemaparan kertas undi boleh dimulakan. Sekiranya berlebihan daripada yang dinyatakan dalam Borang 13, Ketua Tempat Mengundi terpaksa mengambil tindakan seperti yang berikut:

1) memeriksa nombor siri kertas undi bagi memastikan hanya kertas undi dalam turutan nombor siri yang dinyatakan dalam Borang 13 sahaja berada dalam peti undi tersebut. Sekiranya, Ketua Tempat Mengundi menjumpai kertas yang berlainan nombor sirinya, kertas undi tersebut perlulah diketepikan.

2) selain memeriksa nombor siri, Ketua Tempat Mengundi juga boleh memeriksa tanda cap pada kertas undi. Ini kerana cap yang digunakan bagi setiap Tempat Mengundi adalah unik.

Setelah selesai, Ketua Tempat Mengundi akan memohon ejen-ejen tempat mengundi/ mengira undi untuk menandatangani Borang tersebut sebagai tanda memahami tatacara yangdilaksanakan dan berpuas hati dengan pengendalian tatacara tersebut.Kemudian, barulah proses pemaparan kertas undi boleh dimulakan. Proses ini dilakukan oleh kerani-kerani mengira undi dan dilakukan di hadapan ejen-ejen tempat mengundi/ mengira undi yang hadir. Proses pemaparan kertas undi adalah proses membuka dan memperlihatkan kertas undi kepada ejen-ejen tempat mengundi/ mengira undi yang hadir sebelum dimasukkan ke dalam dulang-dulang bersimbol calon mengikut tanda di atas kertas undi. Apabila selesai proses pemaparan ini, barulah kertas-kertas undi ini dikira mengikut dulang masing-masing. Bilangan kertas undi dalam setiap dulang akan dimaklumkan kepada Ketua Tempat Mengundi. Sekiranya terdapat kertas undi ragu, Ketua Tempat Mengundi akan memutuskannya mengikut Buku Panduan Memutuskan Undi Ragu dan keputusan Ketua Tempat Mengundi adalah muktamad. Maklumat berkaitan bilangan undi yang diperoleh oleh setiap calon akan diisikan ke dalam Borang 14 (Borang Keputusan Undi Bagi Setiap Tempat Mengundi). Salinan Borang 14 yang telah lengkap diisi akan diberikan kepada ejen-ejen tempat mengundi/ mengira undi selepas mereka menandatangani borang tersebut. Ini bermaksud semua pihak mempunyai salinan keputusan yang sama dan tidak boleh diubah lagi.Selepas itu, semua kertas undi akan dimasukkan ke dalam sampul-sampul, dimeterai dan dimasukkan ke dalam peti undi. Peti undi yang telah dimeterai akan di bawa ke Pusat Penjumlahan Rasmi Undi untuk simpanan selamat. Borang 14 pula akan diserahkan kepada Pegawai Pengurus untuk dijumlahkan dengan semua Tempat Mengundi lain dalam bahagian pilihan raya tersebut.

Borang 10 digunakan sebagai akuan identiti orang yang dipercayai oleh pengundi uzur atau OKU yang membantu pengundi tersebut mengundi dalam tempat mengundi

Borang 11 digunakan sebagai akuan kepada pengundi yang maklumat identiti dalam dokumen pengenalan dirinya berbeza sedikit dengan maklumat dalam daftar pemilih.

Borang 13 digunakan oleh KTM mengisi maklumat bilangan kertas undi yang diterima dan digunakan sebagai penyata sebelum proses pengiraan bermula.

Borang 14 digunakan oleh KTM mengisi maklumat bilangan undi yang diterima oleh setiap calon selepas proses pengiraan undi. Salinan borang akan diberikan kepada ejen pengiraan undi (dilantik oleh calon) yang hadir semasa proses pengundian.


8) Penjumlahan Rasmi Undi & Pengumuman Keputusan

Setelah semua Borang 14 dijumlahkan, Pegawai Pengurus akan mengisikan keputusan yang diperoleh setiap calon ke dalam Borang 16 (Borang Keputusan Pertandingan). Akhirnya, Pegawai Pengurus akan mengumumkan keputusan jumlah undi yang diperoleh setiap calon dan pemenang bagi pertandingan tersebut yang seterusnya dipilih menjadi wakil rakyat bagi bahagian pilihan raya tersebut. Selepas keputusan diumumkan, maka selesailah urusan asas pilihan raya.

Sumber : http://www.pru13.gov.my


Khamis, Mac 14, 2013

Parlimen Malaysia automatik bubar 30 April 2013

Parlimen bubar secara automatik pada 30 April dan bukan 28 April seperti diuar-uarkan sebelum ini bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dilangsungkan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan, tarikh cukup tempoh satu penggal atau lima tahun PRU, dikira berdasarkan tarikh sidang pertama Dewan Rakyat selepas pilihan raya berlangsung, bukan tarikh pilihan raya umum diadakan dan pengiraan berkenaan sudah disahkan penasihat undang-undang suruhanjaya berkenaan.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (gambar), berkata Negeri Sembilan akan menjadi negeri pertama yang Dewan Undangan Negeri (DUN) terbubar secara automatik iaitu 27 Mac ini jika Parlimen tidak dibubarkan sebelum itu.

Ramai termasuk pemimpin politik tidak sedar perkara ini hingga buat andaian Parlimen sepatutnya terbubar sendiri 9 Mac lalu. Sidang pertama Dewan Rakyat selepas PRU-12 ialah 28 April 2008, tetapi disebabkan 28 April 2013 jatuh pada Ahad, ia dibawa kepada 29 April dan Parlimen bubar secara automatik 30 April, katanya.

Aziz berkata, sehingga 30 April itu, Perdana Menteri masih berhak bersuara dan segala keputusan kerajaan adalah sah, malah apabila Parlimen dibubarkan, kerajaan sedia ada bertindak selaku kerajaan sementara dan Perdana Menteri boleh membuat keputusan atau menasihati Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria menolak dakwaan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim jumlah pengundi di daerah mengundi (DM) Bestari Jaya, Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok melebihi penduduk.

Tindakan beliau menyebarkan perkara itu melalui akhbar partinya dilihat tidak ikhlas dan cuba mengelirukan orang ramai, sedangkan SPR memberi ruang kepada mana-mana pihak yang mencurigai daftar pemilih untuk membantah ketika Rang Daftar Pemilih Tambahan suku tahun dipamerkan, katanya dalam satu kenyataan.

Kamaruddin, berkata, DM Bestari Jaya Utara lebih luas dan tidak terhad dalam kawasan pekan Bestari Jaya, sebaliknya bermula dari sempadan Ladang St Andrew dan berakhir di sempadan Kampung Sungai Darah dengan dipisahkan jalan utama Batang Berjuntai-Kuala Selangor.

DM Bestari Jaya Utara mengandungi 18 lokaliti iaitu taman perumahan, kampung tradisi, kuarters kerajaan dan penempatan utama. Kenyataan Menteri Besar Selangor itu dipercayai hanya merujuk Bestari Jaya Utara yang didakwa mempunyai hanya 1,788 penduduk dan ia adalah tidak benar.

Berdasarkan daftar pemilih sehingga Disember 2012, pemilih di DM Bestari Jaya ialah 3,558 orang, peningkatan 1,317 orang berbanding 2006 disebabkan pertambahan sembilan lokaliti baru iaitu taman perumahan, katanya.

Beliau berkata, hasil semakan bagi 2006 ketika Pilihan Raya Kecil DUN Ijok 2007, pemilih di sana 2,241 orang, tetapi perkara itu tidak pernah dibangkitkan atau dibantah ketika Khalid bertanding seterusnya menang kerusi itu.

Sumber : BERITA HARIAN


Selasa, Mac 12, 2013

Ucapan Perdana Menteri di Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ketiga Belas (MAPPA XIII) 2013


Najib Tun Razak (kiri) menyampaikan amanat pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ketiga Belas (MAPPA XIII) bertemakan “Transformasi Perkhidmatan Awam, Merealisasikan Wawasan 2020" di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 11 Mac 2013. Seramai kira-kira 7, 000 orang anggota penjawat awam hadir pada majlis tersebut. - BERNAMA


TERLEBIH dahulu, marilah sama-sama mengangkat setinggi-tinggi rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya jua, kita dapat bertemu dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) kali ketiga belas pada pagi ini.

Pertama-tamanya jua, marilah kita yang beragama Islam menghadiahkan Ummul Kitab dan bagi yang bukan beragama Islam untuk bertafakur seketika, demi mengenang para pahlawan negara yang telah pergi mempertahankan kedaulatan, keselamatan dan keutuhan negara tercinta di bumi Sabah baru-baru ini. Al-Fatihah.

Kita sentiasa menginsafi bahawa, tidak mungkin Malaysia berada pada tahap pembangunan dan kemajuan seperti kala dan ketika ini, tanpa perjuangan mulia para patriot dari pasukan, agensi dan perkhidmatan keselamatan negara. Kata orang, berkorban apa sahaja, harta ataupun nyawa. Itulah bakti mulia kerana agama, bangsa dan negara.

Yakinlah... Yakinlah bahawa pengorbanan mereka tidak sia-sia. Mereka pergi dalam rangka menunaikan amanah dan menjalankan tanggungjawab. Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih dan rasa penghargaan yang tidak terhingga kepada setiap keluarga yang terlibat. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.

PENGUMUMAN INSENTIF/FAEDAH KEPADA ANGKATAN TENTERA MALAYSIA DAN POLIS DIRAJA MALAYSIA

Seperti kita maklum, sepanjang empat tahun pentadbiran, pelbagai inisiatif, perubahan dan penambahbaikan telah digembleng dalam usaha merealisasikan Wawasan 2020. Pastinya kerajaan akan terus merencana pelbagai program bagi meningkat produktiviti serta motivasi penjawat awam. Jelasnya, sebagai sebuah kerajaan yang cakna, kita komited kepada keperluan semasa dalam memberi nilai tambah kepada skim-skim perkhidmatan seiring arus perdana.

Maka, dengan mengambil kira Perkhidmatan Awam Am telah ditambah baik di bawah Sistem Saraan Baru iaitu SSB dan Sistem Saraan Malaysia yakni SSM, sukacita saya mengumumkan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2013, kerajaan bersetuju bahawa, pangkat-pangkat dalam perkhidmatan ATM dan PDRM kini disetarakan dengan Perkhidmatan Awam Am selaras perubahan lapisan-lapisan gred jawatan atau gred gaji. Ia mencakupi perubahan skop fungsi tugas, struktur pangkat juga kelayakan bagi skim perkhidmatan ATM dan PDRM. Sebagai contoh:

Pertama: Koperal dalam ATM dan PDRM yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 17, kini disetarakan dengan gred jawatan atau gred gaji 22 Perkhidmatan Awam Am.

Kedua: Sarjan dalam ATM dan PDRM yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 27, kini disetarakan dengan gred jawatan atau gred gaji 29 Perkhidmatan Awam Am.

Ketiga: Kapten ATM dan Penolong Penguasa Polis yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 41, kini disetarakan dengan gred jawatan atau gred gaji 44 Perkhidmatan Awam Am.

Keempat : Mejar ATM dan Timbalan Penguasa Polis yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 41, kini diletakkan dengan gred jawatan atau gred gaji baru iaitu 46A. dan;

Kelima: Kolonel ATM dan Penolong Pesuruhjaya Polis yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 48, kini disetarakan dengan gred jawatan atau gred gaji 52 Perkhidmatan Awam Am.

Sesungguhnya, kesetaraan ini dibuat bagi memastikan kedudukan ketiga-tiga perkhidmatan iaitu ATM, PDRM dan Perkhidmatan Awam Am sentiasa terpelihara di samping mengekalkan keharmonian antara perkhidmatan.

Hari ini negara akan terus belayar digerakkan angin Dasar Transformasi Negara menuju ke arah status sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Dasar Transformasi Negara yang ditunjangi prakarsa Pelan Transformasi Kerajaan, Pelan Transformasi Ekonomi, Pelan Transformasi Politik dan Pelan Transformasi Sosial ini sedang giat diatur gerakkan melalui pelbagai program yang disusun rapi.

Selanjutnya, berpayungkan falsafah pemandu 1Malaysia, Rakyat Didahulukan; Pencapaian Diutamakan, program dan sasaran ETP, GTP, PTP dan PTS ternyata telah memberikan impak yang sangat positif kepada rakyat seluruhnya. Kekuatan usaha kolektif kerajaan, pentadbiran awam, pihak swasta dan rakyat ini telah membolehkan kita secara tali-menali melawan arus kemerosotan ekonomi global dengan pertumbuhan ekonomi yang rancak berkembang secara purata pada kadar lebih 5% sejak tahun 2010. Sehubungan itu, Insya-Allah pada 19 Mac ini saya akan membentangkan sebuah “report card" atau kad laporan kepada rakyat Malaysia.

Sesungguhnya penjawat awam menyumbang secara besar kepada kejayaan penggubalan sebarang dasar oleh anggota pentadbiran. Begitu juga dalam memastikan kejayaan pelaksanaan setiap inisiatif yang dicetuskan.

Pencapaian Perkhidmatan Awam

Di bawah payung falsafah rakyat didahulukan pencapaian diutamakan juga, kerajaan telah memperkenalkan beberapa program baru bagi memaksimumkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Dua contoh terbaik ialah pertamanya, melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan iaitu prakarsa Pusat Transformasi Bandar atau UTC dan Pusat Transformasi Luar Bandar atau RTC yang mengumpulkan pusat perkhidmatan dan ekonomi secara sehenti yang telah menjadi kenyataan dalam tempoh begitu singkat dengan perbelanjaan minimum. Khidmat yang memberi kemudahan kepada rakyat ini dibuka selepas waktu bekerja sehingga malam. Keduanya, pengenalan 1MOCC atau 1Malaysia One Call Centre bagi memudahkan hubungan rakyat dengan pihak penjawat awam tanpa mengira jabatan mahupun kawasan.

Pengenalan inisiatif-inisiatif baru ini menandakan pergerakan dalam pemikiran serta falsafah tentang bentuk perkhidmatan yang disediakan kepada rakyat. Jadinya, kerangka baru pemikiran perkhidmatan awam harus menjurus kepada bentuk perkhidmatan yang meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

Sistem Nilai Baru Perkhidmatan Awam

Kerajaan juga tanpa jemu sentiasa menyeru penjawat awam agar memberikan khidmat terbaik menepati peredaran dan kehendak masa. Sesungguhnya, penjawat awam diukur keberkesanannya bukan sahaja melalui kecanggihan peralatan digunakan bahkan merangkumi budaya, nilai, budi bahasa serta motivasi dalam menjalankan dan menyampaikan tugas.

Tentunya, matlamat utama penjawat awam ialah kesejahteraan rakyat. Semboyan utama Perkhidmatan Awam adalah perkhidmatan untuk rakyat. Rakyat mestilah terus didekati dan disusuri, difahami dan difahamkan, didengar keluh kesahnya serta dirasai setiap denyut nadinya supaya dapatlah bagi kita memberikan perkhidmatan terbaik untuk mereka.

Setiap penjawat awam adalah agen transformasi paling hadapan dalam perantaraan di antara rakyat dan kerajaan. Perkhidmatan Awam yang bertunjangkan dan berpaksikan rakyat diikat hubungan dengan tersemainya kebolehpercayaan dalam memberikan khidmat paling murni tanpa mengira tempat, masa dan rupa.

Cabaran Perkhidmatan awam

Tahun 2020 sudah semakin menghampiri kita. Sebagai warga global yang berdepan dengan realiti ledakan maklumat serta kemajuan komunikasi era terkini kita perlukan kebijakan untuk menanganinya.

Secara sedar ataupun tidak, setiap tindakan dan keputusan penjawat awam hari ini diperhatikan, diperhalusi, diperiksa dan dianalisis serta dikritik bukan sahaja secara dalaman malah di luar negara melalui kanta alam maya. Oleh itu dalam era maklumat terbuka ini tidak ada individu, jabatan, kementerian mahupun institusi yang terlepas daripada pemerhatian mereka.

Namun integriti kita sebagai penjawat awam mestilah dipelihara bagi memastikan ketirisan wang atau ketirisan maklumat yang menjejaskan keutuhan perkhidmatan awam tidak berlaku. Janganlah sampai diibaratkan pepatah lama, membaling batu sembunyi tangan atau menjadi gunting dalam lipatan terhadap negara. Saya ingin mengingatkan, jauhilah tiga penyakit yang boleh menjejaskan wibawa dan keberkesanan sektor awam. Penyakit-penyakit tersebut adalah rasuah, salah guna kuasa dan membocorkan maklumat.

Setiap tahun kerajaan memperuntukkan sejumlah bajet yang besar untuk belanja pembangunan. Jika dibelanjakan dengan betul dan menepati jadual yang telah direncanakan, maka ia akan mendatangkan manfaat yang maksimum kepada rakyat dalam mencerminkan kerajaan telah menunaikan tanggungjawabnya.

Namun, apabila membuat tinjauan-tinjauan mesra, turun padang mendekati rakyat, sering kali sampai kepada saya rungutan orang ramai bahawa permohonan-permohonan mereka kepada agensi-agensi berkaitan telah ditolak atas alasan bajet tidak mencukupi. Walaupun memang benar ada kekangan kemampuan kewangan kerajaan, apa yang menghairankan terdapat peruntukan-peruntukan yang telah diluluskan dipulangkan semula kerana tidak diuruskan mengikut jadual.

Oleh yang demikian, setiap penjawat awam hari ini berdepan dengan cabaran untuk mencari titik keseimbangan antara membangunkan kapasiti, ilmu pengetahuan, kemahiran dan kompetensi yang baru dengan konsep yang lama.

Keberkesanan perkhidmatan awam bukan sahaja terletak kepada keberkesanan pelaksanaan sesuatu dasar semata-mata tetapi juga bergantung pada kejayaan berkomunikasi yang menentukan sejauh mana penerimaan masyarakat kepada sesuatu dasar itu dan kejayaan menangani kesan-kesan dari dasar tersebut.

Dalam era terbuka hari ini, dengan maklumat yang bersifat “real time", kepimpinan sektor awam tidak boleh lagi mengelak daripada berhadapan dengan media atau orang ramai. Seorang pemimpin sektor awam yang baik adalah seorang mampu untuk berkomunikasi dengan berkesan, dan mampu menimbulkan keyakinan umum terhadap dasar-dasar, prakarsa dan tindakan kerajaan.

Penyusunan Semula Prioriti Bandar dan Luar Bandar

Apabila kita mula-mula mencapai kemerdekaan hampir 70 peratus (%) penduduk Malaysia tinggal di luar bandar dan lebih 60% warganegara berada di bawah garis kemiskinan. Hasil usaha berterusan kerajaan, kemiskinan tegar telah berjaya diletakkan dalam lipatan sejarah manakala kemiskinan relatif sentiasa ditangani secara sistematik. Perancangan rapi disertai dengan pelaksanaan yang bijaksana membolehkan pembangunan dinikmati segenap lapisan rakyat di bandar mahupun di desa.

Hari ini hampir 70% warga Malaysia merupakan penduduk bandar. Realiti baru hasil kejayaan kita ini memerlukan penyusunan semula keutamaan kita dalam menangani isu mengkhidmati bandar dan luar bandar. Penyusunan semula keutamaan ini juga memerlukan perubahan yang selari dari segi set minda dan pemikiran penjawat awam. Ini juga menuntut perubahan struktur dalam organisasi.

Selanjutnya, dalam menjaga kebajikan penjawat awam yang bertugas di kawasan bandar, saya telah mengarahkan pihak PR1MA supaya menyediakan skim rumah mampu milik yang akan dibina di atas tanah-tanah kerajaan. Secara amnya, ia ditawarkan pada harga minimum 20% lebih rendah daripada harga pasaran. Diharapkan ini dapat meringankan beban penjawat awam.

Pepatah berbunyi, lidah itu tidak bertulang. Baru-baru ini, ada janji dibuat oleh pihak tertentu dalam manifesto mereka kononnya hendak melihat dan menyusun semula perkhidmatan awam. Hatta, ada ura-ura mahu mengecilkan saiz perkhidmatan awam. Kata lainnya, mereka mahu memberhentikan sebahagian besar penjawat awam. Siapakah yang mereka mahu berhentikan? Mahu berhentikan para guru? anggota polis? Anggota tentera? Pensyarah? Para doktor? Jururawat? Kumpulan pelaksana? Siapa?

Pokoknya, biarlah saya tegaskan di sini, dalam usaha untuk menambahbaik perkhidmatan awam ini, mereka baru setakat nak berjanji sedangkan hakikatnya kerajaan ini telah pun dan sedang berbuat yang terbaik untuk perkhidmatan awam supaya perkhidmatan awam terus bersifat inovatif, kreatif, produktif lagi berprestasi tinggi.

MENGHARGAI PENJAWAT AWAM

Kerajaan senantiasa peka terhadap beban dan tanggungan penjawat awam apabila berdepan dengan cabaran hidup semasa. Dalam tempoh antara 2007 hinggalah 2012 gaji asas penjawat awam gred 1 hingga 40 telah dinaikkan kepada 48%; sementara kumpulan 41 hingga 54 telah merasai peningkatan sebanyak 28% dan di peringkat JUSA 14.5%. Sekali lagi saya nak nyatakan, ini bukan sekadar janji atau seumpama menanam tebu di bibir. Ini bukan sekadar memintal impian-impian kosong. Tetapi inilah janji-janji kita yang telah dikotakan.

Dalam usaha berterusan bagi menyediakan kerangka kukuh yang relevan dan menyeluruh, serta seiring dengan Program Transformasi Perkhidmatan Awam, kerajaan turut bersetuju untuk mengkaji semula skim-skim perkhidmatan dalam sektor awam. Sebagai permulaan, 81 skim perkhidmatan yang telah ditambah baik tetapi tidak dapat dilaksanakan sebelum ini akan dirundingkan semula dengan Ketua Perkhidmatan atau Ketua Jabatan yang terlibat. JPA telah pun mengadakan perbincangan dengan Ketua Perkhidmatan atau Ketua Jabatan yang melibatkan antaranya skim perkhidmatan Bakat, skim perkhidmatan Juruteknik, skim perkhidmatan Pegawai atau Penolong Pegawai dan Pembantu Galian, serta skim perkhidmatan Tukang K1 serta K2.

Seterusnya, kerajaan juga bersetuju untuk menambah baik pelaksanaan urusan kenaikan pangkat Kumpulan Pelaksana dengan memendekkan tempoh kenaikan pangkat berdasarkan tempoh khidmat daripada 15 tahun kepada 13 tahun. Pelaksanaan penambahbaikan ini adalah berasaskan kecemerlangan yang akan memberi manfaat kepada lebih 17,000 penjawat yang layak. Kriteria penilaian kecemerlangan penjawat awam yang menjadi asas untuk pertimbangan kenaikan pangkat berdasarkan tempoh khidmat ini, akan dimuktamadkan bersama dengan semua pihak berkepentingan.

Di samping itu, kerajaan juga secara prinsip bersetuju bagi meluaskan kaedah pelaksanaan kenaikan pangkat iaitu, Kenaikan Pangkat Laluan Pantas, Kenaikan Pangkat Laluan Pakar Bidang dan Kenaikan Pangkat Laluan Kemahiran Tinggi dalam menambah baik laluan kemajuan kerjaya penjawat awam dalam jangka panjang. Kaedah pelaksanaannya termasuk pembangunan kriteria dan struktur panel khas untuk ketiga-tiga laluan baru tersebut akan diperincikan sebelum dilaksanakan.

Dengan mengambil kira terdapat seramai 182,434 penjawat awam yang berada di gaji maksimum pada tahun 2013 dan tidak dapat menikmati kenaikan gaji tahunan, maka kerajaan bersetuju berkuat kuasa 1 Januari 2013 semua struktur gaji maksimum dalam Jadual Gaji Minimum-Maksimum diperuntukkan tambahan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) sebanyak 3 KGT.

Ini bagi membolehkan semua pegawai yang berada di gaji maksimum mendapat faedah Pergerakan Gaji Tahunan mulai tahun 2013, tertakluk kepada peraturan yang berkuat kuasa. Pendekatan ini sebagai menghargai penjawat-penjawat awam yang masih produktif dan berprestasi. Semoga inisiatif ini dimanfaatkan oleh penjawat-penjawat awam bagi meningkatkan motivasi mereka untuk terus memberi sumbangan kepada negara.

Memahami permasalahan struktur dan anomali gaji yang dihadapi dalam SSM, antaranya kadar KGT Gred 1 hingga Gred 11 yang sama, dan gaji gred naik pangkat tidak dapat tampung kenaikan pangkat, secara prinsipnya kerajaan bersetuju penambahbaikan dilaksanakan sebelum akhir tahun 2013 berpandukan kepada prinsip-prinsip saraan sejagat iaitu kadar upah untuk kerja, relativiti dan pariti perkhidmatan serta “pay for performance".

Mengambil kira pula usaha-usaha penambahbaikan tersebut hanya akan dapat diselesaikan sebelum akhir tahun ini, maka kerajaan bersetuju untuk memberi kepada semua penjawat awam faedah pemindahan gaji sebanyak 1 KGT yang diawalkan pada 1 Julai 2013. Maknanya setiap penjawat awam akan mendapat antara RM80 hingga RM320. Langkah ini akan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1.5 bilion. Ini sejajar dengan falsafah dipegang oleh kerajaan yang senantiasa menghargai jasa dan sumbangan penjawat awam dalam memberikan perkhidmatan kepada negara.

Sebagai satu dasar, sekiranya tiada pelarasan gaji atau semakan dibuat, kerajaan dalam memastikan penjawat awam sentiasa berprestasi tinggi dan berproduktiviti, bersetuju Pergerakan Gaji Khas sebanyak 3% diberi kepada pegawai yang mencapai dan berada di gaji maksimum, tertakluk memenuhi syarat pergerakan gaji tahunan termasuk syarat prestasi yang ditetapkan.

Kepada para pegawai kontrak yang berjumlah hampir 50,000 orang, saya mendengar keluh kesah tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Kerajaan ini adalah kerajaan yang prihatin terhadap tuan-tuan dan puan-puan. Untuk itu, sukacita saya mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju, bagi pegawai yang tamat kontraknya pada 31 Disember 2013, kontrak mereka akan disambung selama setahun lagi, sementara kajian secara menyeluruh dilaksanakan.

Semua inisiatif yang saya umumkan tadi adalah sebahagian daripada sistem saraan baru yang sedang dilaksanakan. Berdasarkan kepada perubahan-perubahan yang sedang dilaksanakan, dan input daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, sukacita saya umumkan sistem saraan yang baru ini dinamakan Sistem Saraan Transformatif atau SST

PENUTUP

Tidak lama lagi sebagai rakyat Malaysia yang telah mendaftar, kita akan diminta menunaikan amanah sebagai warganegara bagi memilih kerajaan yang diingini. Para penjawat awam sebagai warganegara Malaysia juga bebas memilih namun saya ingin menyeru kepada para penjawat awam khasnya dan rakyat Malaysia amnya agar menggunakan kuasa ini dengan sebijak mungkin.

Amat sukar untuk menilai keikhlasan, namun kita berupaya untuk mengukur kejujuran dengan melihat prestasi rekod mereka yang berjanji. Kalau sejarah menunjukkan janji yang lama pun tidak mampu ditepati atau ditunaikan, maka berhati-hatilah dengan janji baru.

Lantas, kalau dilihat rekod mereka yang lepas dari segi menepati janji ia amatlah buruk. Bagi mereka manifesto bukannya janji. Dari yang demikian, kalau manifesto bagi mereka bukannya boleh dianggap janji, maka buat apa kita percaya dengan kandungan manifesto mereka itu.

Sebaliknya, jika mahu, Kerajaan Barisan Nasional boleh saja mengambil sikap populis dengan menjanjikan pelbagai perkara seperti kenaikan gaji dan elaun yang tinggi tanpa mengira kemampuan kewangan kerajaan. Ya, tentunya kerajaan ini akan menjadi lebih popular. Ya, semua pihak akan merasa seronok, semua orang akan berasa teruja, tetapi itu hanyalah buat seketika.

Sebenarnya, kita perlu berfikir dengan waras apa akan terjadi kemudian hari nanti akibat daripada tindakan populis itu. Oleh yang demikian, pucuk pangkalnya, kita akan istiqamah menjadi sebuah kerajaan yang adil dan penuh bertanggungjawab, tanpa memperjudikan apa-apa keputusan yang boleh merosakkan kedudukan dan kewangan negara.

Akhir kata saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah di atas segala usaha gigih semua penjawat awam bagi memastikan kejayaan Dasar Transformasi Nasional. Tanpa tuan-tuan dan puan-puan, tidak mungkin kita akan berjaya meneruskan agenda nasional yang mulia ini.

Ketahuilah, bukan semua kerajaan sama. Ada kerajaan yang bertanggungjawab ada yang tidak, ada kerajaan yang berkesan dan cekap dan ada juga kerajaan yang tidak, ada kerajaan yang memanfaatkan rakyat dan ada kerajaan yang mendatangkan kesengsaraan kepada rakyat. Renung-renung dan fikir-fikirkanlah. Buatlah keputusan yang sebetulnya. Mudah-mudahan kita diberi petunjuk-Nya.

Sumber : UTUSAN




Sistem Saraan Transformatif (SST) - sistem saraan baru perkhidmatan awam diumum


PUTRAJAYA 11 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan sistem saraan baru perkhidmatan awam yang dikenali sebagai Sistem Saraan Transformatif (SST).

Pelaksanaan SST, kata beliau, adalah berdasarkan kepada perubahan-perubahan yang sedang dilaksanakan dan input daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Antara perubahan di bawah SST, kata Perdana Menteri ialah persetujuan kerajaan semua struktur gaji maksimum dalam Jadual Gaji Minimum-Maksimum diperuntukkan tambahan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) sebanyak tiga kali berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Perdana Menteri berkata, hal yang demikian diputuskan kerana sebanyak 182,434 penjawat awam berada di paras gaji maksimum pada 2013 dan tidak dapat menikmati kenaikan gaji tahunan.

Kerajaan juga, kata Perdana Menteri, bersetuju memberi semua penjawat awam faedah pemindahan gaji sebanyak satu KGT diawalkan pada 1 Julai ini.

"Ini bermakna setiap penjawat awam mendapat antara RM80 dan RM320 yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1.5 bilion," katanya ketika berucap sempena Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-13 (MPPA XIII) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa; Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Farida Mohd. Ali; dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman serta menteri-menteri Kabinet.

MPPA XIII yang bertemakan 'Transformasi Perkhidmatan Awam, Merealisasikan Wawasan 2020' dihadiri hampir 8,700 penjawat awam dari pelbagai sektor dan agensi.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan juga bersetuju menyambung kontrak 50,000 pegawai kontrak yang akan tamat perkhidmatan pada 31 Disember ini setahun lagi, sementara kajian menyeluruh dilaksanakan.

Selain itu, beliau turut mengumumkan seramai 166,541 kakitangan dalam gred gaji 1 hingga 10 akan dinaik taraf ke gred setaraf kelayakan masuk Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Menurut beliau, perubahan itu akan memberi manfaat dari segi laluan kerjaya dan peningkatan sewajarnya dalam gred gaji kumpulan berkenaan.

Perdana Menteri berkata, kenaikan pangkat kumpulan pelaksana pula akan dipendekkan berdasarkan tempoh perkhidmatan daripada 15 tahun kepada 13 tahun yang akan memberi manfaat kepada 17,000 penjawat yang layak.

"Kerajaan juga secara prinsip bersetuju meluaskan kaedah pelaksanaan kenaikan pangkat iaitu Kenaikan Pangkat Laluan Pantas, Kenaikan Pangkat Laluan Pakar Bidang dan Kenaikan Pangkat Laluan Kemahiran Tinggi.

"Kesemuanya ini dalam menambah baik laluan kemajuan kerjaya penjawat awam dalam jangka masa panjang," katanya.

Menurut Najib, sebanyak 81 skim perkhidmatan yang telah ditambah baik tetapi tidak dapat dilaksanakan sebelum ini akan dirunding semula iaitu bagi skim perkhidmatan bakat, juruteknik, pegawai atau penolong pegawai dan pembantu galian serta skim perkhidmatan Tukang K1 serta K2.

Dalam ucapannya itu, Perdana Menteri mahu penjawat awam menguasai teknologi agar mereka kekal relevan dengan peredaran semasa kerana kemahiran komunikasi baru perlu menjadi teras kepada tugas berhadapan dengan rakyat secara langsung.

"Kehidupan hari ini dipacu oleh kepantasan, ketepatan, ketelusan dan keluasan maklumat yang diterima.

"Justeru penjawat awam perlu bersifat proaktif melakukan penyebaran maklumat bersandarkan ketetapan tanpa melanggar peraturan agar sistem pentadbiran tidak dikompromi keabsahannya," katanya.

Perdana Menteri turut mengingatkan penjawat awam supaya memelihara integriti bagi memastikan ketirisan wang atau maklumat yang menjejaskan keutuhan perkhidmatan awam tidak berlaku.

Katanya, setiap tindakan dan keputusan penjawat awam hari ini diperhatikan, diperhalusi, diperiksa dan dianalisis serta dikritik.

- UTUSAN
 

Semua pangkat ATM dan PDRM disetarakan dengan perkhidmatan am

PUTRAJAYA 11 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan semua pangkat dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) disetarakan dengan perkhidmatan awam am selaras dengan perubahan lapisan serta gred jawatan atau gred gaji.

Pengumuman Perdana Menteri itu mencakupi perubahan skop, fungsi, tugas, struktur pangkat juga kelayakan bagi skim perkhidmatan ATM dan PDRM.

Contohnya kata Najib, pangkat koperal dalam ATM dan PDRM yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 17 kini disetarakan dengan gred 22 perkhidmatan awam am.

Pangkat sarjan yang dulunya gred 27 kini disetarakan dengan gred gaji 29 perkhidmatan awam am.

Manakala bagi pangkat kapten dalam ATM dan Penolong Penguasa Polis dalam PDRM yang sebelum ini gred gaji 41 kini disetarakan kepada gred gaji 44.

Bagi pangkat mejar dalam ATM dan Timbalan Penguasa Polis pula akan disetarakan dari gred gaji 41 kepada 46A.

Pangkat kolonel dalam ATM dan Penolong Pesuruhjaya Polis (PDRM) disetarakan dari gred gaji 48 kepada gred 52.

Sumber : BERNAMA



Isnin, Mac 11, 2013

9 'Berita Baik' untuk Kakitangan Awam

 PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan 'berita baik' sembilan perkara yang dinantikan oleh 1.4 juta kakitangan awam termasuk kenaikan gaji tahunan yang diawalkan dan akan berkuat kuasa mulai 1 Julai ini.

Mengumumkan perkara itu di sini hari ini, Najib berkata, kesemua inisiatif yang diumumkan hari ini adalah sebahagian daripada sistem saraan baru iaitu Sistem Saraan Transformatif (SST) - yang menggantikan Sistem Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang dibatalkan tahun lalu.

Antaranya:

- Mulai 1 Januari 2013, pangkat dalam ATM dan PDRM disetarakan dengan perkhidmatan awam iaitu Koperal ATM & PDRM dari gred gaji 17 kepada gred 22; Sarjan ATM dan PDRM dari Gred 27 kepada Gred 29; Kapten ATM dan Penolong Penguasa Polis dari Gred 41 kepada 44; Mejar ATM dan Timbalan Penguasa Polis dari Gred 41 kepada 46A; Kolonel ATM dan Penolong Pesuruhjaya Polis dari Gred 48 kepada 52;

- 50,000 pegawai kontrak yang tamat kontrak pada 31 Disember 2013 akan disambung lagi setahun. Kajian menyeluruh akan dilaksanakan kemudian;

- Skim perkhidmatan dari Gred 1 hingga 10, dinaik taraf kepada gred gaji kelayakan masuk PMR. Seramai 166,541 penyandang terima manfaat ini;

- Kerajaan setuju laksana urusan kenaikan pangkat Kumpulan Pelaksana dengan memendekkan tempoh kenaikan pangkat dari tempoh 15 tahun kepada 13 tahun. Ia libatkan seramai 17,000 penjawat awam yang layak;

- Kerajaan setuju luaskan kaedah pelaksanaan kenaikan pangkat iaitu Kenaikan Pangkat Laluan Pantas, Kenaikan Pangkat Laluan Pakar Bidang dan Kenaikan Pangkat Laluan Kemahiran Tinggi;

-  Seramai 182,434 penjawat awam punyai gaji maksimum pada 2013 dan tidak dapat kenaikan gaji tahunan, semua struktur gaji maksimum dalam Jadual Gaji Minimum-Maksimum ditambah Kenaikan Gaji Tahunan sebanyak tiga kenaikan gaji tahunan (KGT) berkuat kuasa 1 Januari 2013;

- Sekiranya tiada pelarasan gaji atau semakan dibuat, kerajaan setuju beri Pergerakan Gaji Khas sebanyak tiga peratus kepada pegawai yang capai dan punyai gaji maksimum;

- Dalam Skim Saraan Malaysia (SSM), bagi KGT Gred 1 hingga 11 dan gaji gred naik pangkat tidak dapat tampung kenaikan pangkat, kerajaan setuju buat tambah baik sebelum akhir 2013 berpandukan prinsip saraan sejagat iaitu kadar upah untuk kerja relativiti dan pariti perkhidmatan serta "pay for performanca";

- Kerajaan setuju beri semua penjawat awam faedah pemindahan gaji sebanyak satu KGT diawalkan pada 1 Julai 2013. Setiap penjawat awam terima antara RM80 hingga RM320. Ia membabitkan perbelanjaan sebanyak RM1.5 bilion;

Sumber : SINAR HARIAN



Rabu, Mac 06, 2013

Pengundi pos boleh kemuka borang 1A bermula hari pembubaran parlimen

Pemilih berdaftar termasuk petugas media yang layak memohon untuk mengundi melalui pos boleh mengemukakan permohonan mereka bermula pada tarikh pembubaran Dewan Rakyat sehingga hari kedua selepas hari penamaan calon.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata petugas media yang bertugas di luar kawasan bahagian pilihan raya pada hari mengundi sudah boleh memuat turun dan mengisi Borang 1A untuk memohon mengundi melalui pos.

"Mereka yang sudah mengetahui akan bertugas di luar kawasan sudah boleh isi Borang 1A. Selepas ditandatangani dan disahkan majikan, kemukakan permohonan melalui faks, e-mel atau serahkan sendiri kepada pegawai pengurus (RO) pilihan raya di kawasan dia mendaftar sebagai pengundi untuk diproses," katanya dalam temu bual dengan Bernama.

Beliau berkata, RO akan memberi jawapan permohonan mengundi secara pos menerusi faks atau e-mel pemohon dan setelah disemak dan diluluskan, nama pemohon akan dikeluarkan daripada senarai daftar pemilih biasa.

Katanya, Sampul Keutamaan yang mengandungi kertas undi pos dan sampul berkaitan akan dihantar kepada petugas media mengikut alamat surat-menyurat yang dikemukakan pada borang permohonan.

Wan Ahmad berkata, Sampul Keutamaan itu juga boleh diambil sendiri oleh petugas media.

"Jika guna alamat majikan, Sampul Keutamaan akan dihantar kepada majikan dan petugas perlu berurusan dengan majikan atau pegawai bertanggungjawab untuk dapatkan Sampul Keutamaan itu dan mengundi," katanya.

Beliau menjelaskan Sampul Keutamaan mengandungi dua sampul kertas undi iaitu satu sampul kerusi parlimen dan satu sampul kerusi dewan undangan negeri (DUN) berserta Borang 2 iaitu borang saksi yang memperakukan bahawa pemilih telah menerima kertas undi.

Menyatakan bahawa petugas boleh menghantar sendiri atau menggunakan khidmat Pos Malaysia atau syarikat kurier, Wan Ahmad berkata petugas media mesti memastikan sampul kertas undi dikembalikan berserta Borang 2 yang ditandatangani saksi.

"Kalau hanya sampul kertas undi sahaja tanpa Borang 2, ia tidak dikira dan dianggap undi rosak. Borang 2 sangat penting kerana pegawai pengurus akan melihat Borang 2 ini ada atau tidak sebelum meletakkan sampul kertas undi ke dalam peti undi," katanya.

Beliau berkata, petugas media hendaklah mengembalikan sampul berkenaan sebelum jam 5 petang hari mengundi dan boleh menghubungi pegawai pengurus untuk pastikan kertas undi sudah diterima atau tidak.

Buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya umum Malaysia, semua petugas media termasuk wartawan, jurugambar, jurukamera dan juruteknik yang bertugas di luar kawasan berdaftar mereka, layak memohon untuk mengundi pos.

Pemilih berdaftar lain yang layak memohon undi pos ialah anggota SPR, seseorang yang diakui sebagai pegawai atau petugas SPR, anggota polis atau tentera yang bertugas pada hari mengundi awal.

- BERNAMA 


Selasa, Februari 26, 2013

Graduan Kelas Pertama diberi Keutamaan berkhidmat dalam Sektor Awam - SPA

 Graduan yang memperoleh ijazah kelas pertama dari pusat pengajian tinggi luar negara diberi keutamaan untuk berkhidmat dalam sektor awam di negara ini, kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya khidmatan Awam (SPA) Datuk R. Segarajah.

Beliau berkata lulusan cemerlang tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Majlis Amanah Rakyat (MARA) atau kerajaan negeri juga diberi keutamaan untuk bekerja dalam sektor awam.

"Mereka (lulusan) akan melalui temuduga untuk membolehkan mereka membuat pilihan atau dilantik terus ke dalam perkhidmatan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sesi Interaksi SPA bersama ketua jabatan persekutuan, badan-badan berkanun dan badan bukan kerajaan (NGO) daerah Hilir Perak di Bagan Datoh, Selasa.

Sekiranya tidak mahu berkhidmat dalam sektor awam, mereka dibenarkan bekerja di sektor swasta melalui pengurusan Talent Corporation Malaysia Berhad, katanya.

Katanya, setakat ini seramai 100 lulusan cemerlang dari pusat pengajian tinggi luar negara ditawarkan untuk berkhidmat dalam sektor awam.

Beliau berkata perkhidmatan sektor awam di negara ini tidak banyak kekosongan kerana umur pesaraan telah dilanjutkan dari 58 tahun kepada 60 tahun dan ini sekali gus mengurangkan jumlah mereka yang bersara.

"Berikutan itu, mereka yang ingin bekerja di sektor awam hanya untuk jawatan baharu yang ditawarkan sahaja bukannya untuk mengisi kekosongan penjawat awam yang telah bersara," katanya.

Sumber : BERNAMA


Jumaat, Februari 22, 2013

Dr. Noor Hisham dilantik Ketua Pengarah Kesihatan



Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilantik sebagai Ketua Pengarah Kesihatan mulai 1 Mac ini.

Pelantikan Dr Noor Hisham, 50, bagi menggantikan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman itu diumumkan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa dalam kenyataan pada Khamis.

Ali berkata pelantikan Dr Noor Hisham, yang telah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, dibuat berdasarkan pengalaman dan pengetahuannya dalam bidang perubatan.

Beliau memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) sejak 1 Februari 2008, merupakan Ketua Jabatan Pembedahan Payudara Endokrin dan Pembedahan Am Hospital Putrajaya dan Pakar Perunding Bedah Kanan Hospital Putrajaya pada 2007, Pegawai Perubatan Pakar Bedah Umum Hospital Putrajaya pada 2004 dan Pakar Bedah Umum pada 1994.

Dr Noor Hisham, berkelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang Surgeri dan Ijazah Doktor Perubatan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), mula menyertai perkhidmatan awam sebagai Pegawai Perubatan pada Ogos 1988.

"Saya percaya pengalaman, pengetahuan dan kepakaran serta kredibilitinya mampu memastikan matlamat dan agenda kesihatan negara dilaksanakan secara menyeluruh dan rakyat mendapat perkhidmatan kesihatan yang terbaik," kata Ali.

- BERNAMA

 

Khamis, Februari 21, 2013

Kakitangan baru kerajaan perlu ambil surat pelantikan SPA

Kakitangan awam yang baru dilantik perlu hadir sendiri mengambil surat pelantikan di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mulai tahun 2013 berbanding dihantar melalui pos sebelum ini.

Pengerusi SPA, Tan Sri Mahmood Adam, berkata majlis pertama penyerahan surat pelantikan itu akan diadakan di ibu pejabat SPA di Putrajaya, Khamis ini (21 Februari), membabitkan kira-kira 200 jawatan.

“Dulu kita pakai pos saja, sekarang kita panggil pegawai serah sendiri dan beri ceramah sikit mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan dalam perkhidmatan awam.

Bersemuka, mudah urusan

“Ini membolehkan kakitangan awam yang baru bersemuka dengan pegawai di SPA bagi memudahkan sebarang urusan pada masa depan kerana sudah saling mengenali,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Terdahulu, Mahmood mengadakan pertemuan hampir dua jam dengan lebih 200 wakil kakitangan kontrak di Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK).

Dalam pada itu, beliau berkata, SPA yakin dapat selesaikan masalah membabitkan lebih 50,000 kakitangan kontrak dalam sektor awam di seluruh negara dalam tempoh terdekat.

Sumber : BERITA HARIAN

Selasa, Februari 19, 2013

Malaysia & Singapura Setuju Bina Kereta Api Laju


Pemimpin Malaysia dan Singapura bersetuju dengan cadangan pembinaan kereta api laju yang menghubungkan republik itu dengan dan Kuala Lumpur.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, yang sedang dalam lawatan rasmi di sini, dan rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong menyifatkan projek berkenaan sebagai 'pembangunan strategik'.

Pembinaan rel tersebut akan menjadikan masa perjalanan antara kedua-dua bandar hanya kira-kira 90 minit. Tanpa menyatakan angaran kos, Najib berkata, projek itu akan menjadi titik perubahan dalam hubungan dua hala dan cara dunia melihat Malaysia dan Singapura. Pembinaan sistem kereta api laju itu dijangka siap menjelang 2020.

Dalam satu kenyataan bersama pada Selasa, kedua-dua pemimpin turut membayangkan kemungkinan satu lagi jalan alternatif ketiga yang menghubungkan kedua-dua negara dibina. Mereka turut menjangkakan operasi terminal feri baru di Tanjung Puteriakan memulakan operasinya tahun ini.

Pada Isnin, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata kedua-dua pihak telah bersetuju untuk meneruskan Hubungan Sistem Aliran Pantas (RTS) yang menghubungkan Johor Baru dan republik Singapura.

Beliau berkata Malaysia dan Singapura mempunyai masa sehingga 12 bulan untuk memutuskan pilihan keutamaan bagi RTS dan di bawah fasa pertama adalah mengenal pasti pilihan skim penjajaran. Difahamkan antara pilihan yang dipertimbangkan adalah jambatan atau terowong bawah tanah.

Sumber : MSTAR

 

Isnin, Januari 28, 2013

Warga kastam dapat elaun setengah bulan gaji


 12,500 warga Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di seluruh negara bakal menerima durian runtuh selepas kerajaan bersetuju memberi elaun khas sebanyak setengah bulan gaji pada tahun 2013 ini.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah ketika mengumumkan perkara itu berkata, pemberian insentif khas itu dibuat berdasarkan prestasi cemerlang yang ditunjukkan pasukan tersebut selepas berjaya mengutip hasil sebanyak RM32.318 bilion pada tahun lalu.

Katanya, pungutan hasil tersebut merupakan peningkatan sebanyak RM1.93 bilion atau 6.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Insentif setengah bulan gaji ini kerajaan berikan bagi menghargai kerja-kerja yang dilakukan Kastam pada tahun lalu.

“Kerajaan sekarang memberi insentif berasaskan prestasi dan kastam telah mencapai prestasi tertinggi dalam sejarah mereka. Tahun 2011 mereka berjaya capai lebih dari tahun sebelumnya tetapi kita tidak beri sebarang insentif, sebab itu tahun ini kita beri setengah bulan gaji," katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-31 bertemakan Inovasi untuk Kemajuan Kastam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Hadir sama, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai dan Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Khazali Ahmad.

Menurut Ahmad Husni, pemberian insentif itu diputuskan kerajaan bersama pihak kastam pada minggu ini menerusi satu mesyuarat.

Bagaimanapun, katanya, tarikh pemberian itu belum diputuskan dan kerajaan akan berbuat demikian secepat mungkin.

Dalam pada itu, beliau berkata, kejayaan itu adalah berdasarkan inisiatif pembaharuan strategik yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk meningkatkan prestasi kastam di samping Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Katanya, ini kerana kedua-dua agensi tersebut merupakan badan terbesar dalam konteks mengutip hasil kerajaan.

“Di bawah inisiatif ini, pelbagai pendekatan dilakukan termasuk inovasi yang diperkenalkan. Sebenarnya kastam sudah berjaya bukan sahaja dari segi mengutip hasil bahkan mengurangkan penyeludupan yang menjadi isu besar kepada negara terutama di Labuan yang sekarang sudah berjaya dikurangkan," katanya.

Sementara itu, Khazali berkata, pihaknya menyasarkan pungutan hasil sebanyak RM34 bilion pada tahun ini.

Sehubungan itu, katanya, beberapa strategi telah dirangka untuk mencapai sasaran tersebut antaranya memberi fokus kepada verifikasi harga barangan pengilangan tempatan dan melaksanakan operasi melesenkan pengilang-pengilang serta syarikat yang tertakluk pada cukai jualan dan perkhidmatan.

“Selain itu, kita juga akan meningkatkan pematuhan perundangan secara sukarela, pemberitahuan dan penguatkuasaan serta terakhir meningkatkan aktiviti penguatkuasaan bagi mencegah penyeludupan barangan dan perdagangan tidak sah," katanya.

Mengulas pemberian insentif setengah bulan gaji itu, Khazali berkata, pihaknya gembira serta berterima kasih dengan keprihatinan kerajaan dan berjanji untuk bekerja keras bagi mencatat pungutan yang lebih tinggi pada tahun berikutnya.

- UTUSAN

Rabu, Januari 23, 2013

Gaji kakitangan awam naik sehingga 5 peratus (2013)

Putrajaya: Penjawat awam yang mencapai tangga gaji maksimum mungkin menerima kadar kenaikan gaji antara dua hingga lima peratus yang dijangka diumumkan pada bulan depan (Februari 2013).

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa, berkata kajian mengenainya sudah selesai dilaksanakan tetapi kadarnya akan bergantung kepada prestasi dan implikasi kewangan kerajaan.

Saya tidak mahu lihat penjawat awam melakukan tugas dengan baik tetapi menerima gaji yang statik...ini yang ingin saya ketengahkan," Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Negara

Markah 80 dan ke atas

Bagaimanapun, katanya, kenaikan gaji itu hanya membabitkan kakitangan awam yang mempunyai prestasi perkhidmatan cemerlang serta mencatat markah 80 dan ke atas dalam Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT).

CUEPACS sebelum ini menganggarkan kira-kira 20 peratus atau sekitar 280,000 daripada 1.4 juta kakitangan awam berdepan tangga gaji yang sudah mencapai tahap maksimum tahun lalu.

“Saya sudah minta Jabatan Perkhidmatan Awam (kaji perkara itu). Mereka yang sudah sampai ke tahap gaji maksimum dan jika prestasi orang itu 80 peratus, akan menerima kenaikan.

“Saya tidak mahu lihat penjawat awam melakukan tugas dengan baik tetapi menerima gaji yang statik...ini yang ingin saya ketengahkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Amanat KSN bersama Penjawat Awam 2013 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini semalam.

Lebih kreatif, inovatif

Justeru, katanya, kakitangan awam perlu meningkatkan produktiviti kerja supaya lebih kreatif dan inovatif dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.

“Jika mereka lebih kreatif dan inovatif, hasil kerja akan menjadi lebih produktif. Untuk itu, kerajaan tidak teragak-agak memberi emolumen dan sebagainya bagi mengiktiraf usaha mereka,” katanya.

Ali berkata pelaksanaannya perlu mendapat kelulusan kerajaan terlebih dulu tetapi setakat ini, kerajaan positif dengan perkara terbabit kerana faham gaji yang statik bukan penyelesaian terhadap prestasi kerja kakitangan awam khususnya yang cemerlang.

- BERITA HARIAN

Pengundi luar negara perlu isi borang di laman web SPR

Rakyat Malaysia di luar negara yang telah mendaftar sebagai pemilih dan ingin mengundi melalui pos boleh memuat turun borang permohonan menerusi lawan web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di http://www.spr.gov.my.

Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata, Borang 1B atau Borang Permohonan Kertas Undi Pos (Pengundi Pos Luar Negara) dan garis panduan mengisi borang telah dimuat naik SPR pada laman web tersebut.

Jelasnya, pemilih berdaftar di luar negara yang ingin memohon kemudahan mengundi melalui pos mesti pernah berada di Malaysia atau kembali ke Malaysia tidak kurang daripada 30 hari dalam tempoh lima tahun sebelum pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri yang sedang berkuat kuasa.

"Bagaimanapun, mereka yang tinggal di Selatan Thailand (wilayah Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Satun), Singapura, Brunei dan Kalimantan, Indonesia tidak layak diberikan kemudahan mengundi melalui pos dan perlu balik mengundi pada hari pengundian dijalankan.

"SPR telah menetapkan syarat-syarat berkenaan bagi menunjukkan terdapat hubungan yang jelas di antara warganegara Malaysia dengan tanah airnya," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, borang permohonan yang lengkap diisi hendaklah dihantar melalui pos kepada Ibu Pejabat SPR di Putrajaya atau e-mel kepada upup@spr.gov.my atau faksimili ke +603-88811201/ 1202/1187/1192.

Kamaruddin memberitahu, permohonan mengundi melalui pos dari luar negara akan ditutup pada hari pembubaran Parlimen dan permohonan yang diterima selepas pukul 12 tengah malam pada hari tersebut tidak akan diproses.

"Setiap permohonan yang diterima akan diproses oleh SPR dan pemohon akan dimaklumkan sama ada status permohonan itu diluluskan atau sebaliknya. Pemohon dinasihatkan sentiasa menyemak status permohonan menerusi laman web SPR," ujarnya.

SPR juga menasihatkan semua warganegara Malaysia yang mendaftar sebagai pengundi tidak hadir (PTH) di luar negara agar mengemas kini maklumat masing-masing melalui laman web SPR bagi memudahkan penghantaran Sampul Keutamaan yang mengandungi kertas undi kepada mereka.

- BERNAMA

Sabtu, Januari 05, 2013

Lebih 10 juta rakyat akan terima Kad Diskaun 1Malaysia - KDR1M

Lebih 10 juta rakyat akan menerima Kad Diskaun Rakyat 1Malaysia (KDR1M) yang akan menawarkan diskaun dari 10 hingga 50 peratus di kedai-kedai dan perkhidmatan terpilih di seluruh negara.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Dennis D'Cruz berkata, sehingga kini lebih 4,500 peniaga bersetuju menawarkan diskaun itu untuk kegunaan semua lapisan masyarakat dan menjangka angka itu terus meningkat.

KDR1M merangkumi perkhidmatan perubatan klinik; restoran makanan & minuman; hotel penginapan; arena sukan & kecergasan; pemborong & runcit; taman tema tertutup & luar; pembinaan & hiasan dalaman; resort peranginan; pakaian & aksesori kenderaan; perlindungan insurans am dan sebagainya.

"Pada masa ini telah diwujudkan kad diskaun untuk polis, tentera dan siswa. Selepas ini kita akan keluarkan KDR1M, di mana lebih ramai rakyat Malaysia boleh menikmati diskaun apabila membeli barang keperluan mereka," katanya ketika merasmikan ibu pejabat baru Informasi Malaysia di No 30B, Jalan Diplomatik 3/1 Presint 15, hari ini.

Maglin berkata, KDR1M akan diurus oleh Informasi Malaysia iaitu sebuah agensi yang ditubuhkan pada 22 Oktober 2009 untuk menjalankan program dan aktiviti dalam usaha menerangkan objektif dan fungsi gagasan 1Malaysia melalui penerbitan Buletin Informasi Malaysia.

"Melalui transformasi nasional, kejayaan demi kejayaan telah dinikmati oleh semua golongan rakyat di negara ini." katanya.

Sementara itu, Pengerusi Informasi Malaysia, Datuk Abd. Rahman Manan berkata, KDR1M akan dilancarkan oleh Perdana Menteri dalam masa terdekat selepas memperincikan pelaksanaan dan kriteria pemberian kad itu.

"Kami sudah mereka kad diskaun itu dan akan kemukakan kepada Perdana Menteri untuk mendapatkan persetujuan," katanya.

- BERNAMA

Khamis, Disember 27, 2012

45,000 Kakitangan Kerajaan Disambung Kontrak

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini mengumumkan kontrak 45,000 kakitangan awam yang berstatus perkhidmatan kontrak akan disambung enam bulan lagi.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata kontrak mereka akan diperbaharui mulai1 Januari sehingga hujung bulan Jun nanti.

"Kita ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas kebenaran ini, kesemua mereka akan mendapat surat penyambungan tidak lama lagi," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Kongres di sini, Khamis.

Beliau mendapat keputusan itu dalam minggu ini dan pengumuman itu akan memberi harapan baru kepada 45,000 kakitangan kerajaan yang bimbang dengan masa depan mereka ekoran kontrak bakal ditamatkan pada hujung tahun ini.

Omar juga meminta jasa baik kerajaan untuk membenarkan kakitangan kerajaan yang mempunyai rekod baik mengambil cuti tanpa rekod selama 10 hari.

Katanya selain itu cuti tanpa rekod juga perlu diberi kepada ibu-ibu yang terpaksa menjaga anak yang sakit.

"Setahun ada 25 hari, kalau anak kena kuarantin 10 hari, kaum ibu kena ambilcuti 10 hari dan tinggal 15 hari sahaja, kalau tidak cukup cuti, kena ambilcuti tanpa gaji," katanya.

Beliau juga meminta penjawat awam yang mahu menunaikan umrah dibenar mengeluarkan caruman daripada simpanan gratuiti perkhidmatan antara RM5,000 dan RM10,000.

Wang tersebut boleh diganti semula selepas mereka bersara nanti menggunakan duit pencen mereka, katanya.

"Cara ini lebih sesuai kerana kakitangan kerajaan tidak mempunyai KWSP tetapi mempunyai simpanan gratuiti perkhidmatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang membenarkan orang ramai mengeluarkan wang daripada akaun kedua mereka untuk menunaikan umrah.

Cuepacs juga hari ini sebulat suara mengusulkan kepada kerajaan menangguhkanpelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

"Kajian terperinci perlu dibuat kerana ada kamera yang dipasang di kawasan yang tidak mempunyai data kemalangan, kawasan yang kerap kemalangan pula tidak dipasang," katanya.

Omar turut melahirkan rasa simpati terhadap pemandu jabatan kerajaan yang dipaksa membayar sendiri saman sedangkan mereka disaman kerana mematuhi arahan ketua yang menaiki kenderaan berkenaan.

Beliau memohon supaya saman had laju termasuk daripada AES dalam kes-kesseumpama itu dibayar oleh jabatan masing-masing.

"Mulai sekarang, biarlah yang membayar saman ini terdiri daripada pihak jabatan. Pemandu dengan upah RM800 ke RM1,500 sebulan, mana nak mampu bayar saman 2-3 kali sebulan sedangkan mereka dipaksa (memandu) laju kerana mengikut arahan," katanya.

- BERNAMA

Gaji Minimum Di Stesen Minyak Akan Dilaksana Mulai 1 Januari 2013

Kira-kira 3,600 stesen minyak di seluruh negara akan menetapkan gaji minimum untuk pekerja mereka, mulai 1 Januari 2013.

Gaji di stesen minyak di Semenanjung akan dinaikkan sehingga RM900, manakala Sabah dan Sarawak pula sehingga RM800.

Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Hashim Othman berkata, langkah itu dijangka meningkatkan kos operasi sebanyak 30%.

"Kos operasi akan naik, bukan gaji sahaja, tetapi juga KWSP, Perkeso, kadar lebih masa lebih tinggi... keseluruhan struktur, segala-galanya akan meningkat," katanya pada sidang media di sini Khamis.

Beliau berkata, hasilnya, premis akan perlu mengurangkan kos, termasuk menaik taraf semua stesen dengan kemudahan layan diri dan mengurangkan tenaga kerja.

Hashim berkata, beliau menjangkakan separuh daripada semua pekerja asing yang bekerja di premis itu tidak akan diperbaharui kontrak mereka.

Dianggarkan 70% daripada pekerja 50,000 stesen minyak Malaysia adalah warga asing.

- MSTAR

Selasa, Disember 11, 2012

Tidak Wajib Tukar Kepada MyKad Baru

Rakyat tidak diwajibkan menukar kepada MyKad struktur baharu yang dilaksana sejak 3 Januari lepas, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Lee Chee Leong.

Beliau berkata pelaksanaannya juga adalah secara berterusan dan setakat ini menerima sambutan menggalakkan. "Respons bagus kerana sesetengah orang berpendapat kad baharu ini yang menampilkan kriteria baharu lebih baik dari segi keselamatan dan daya tahan. Namun tidak wajib menukar MyKad kerana versi lama masih diterima pakai," katanya kepada pemberita selepas melawat Jabatan Pendaftaran Negara Sarawak (JPNS), di Kuching.

Bagaimanapun katanya, bagi yang ingin menukar kepada versi baharu boleh memohon di Jabatan Pendaftaran Negara.

Pada lawatan itu Lee turut memuji JPNS yang mengambil beberapa langkah bagi memperbaiki mutu perkhidmatan seperti memperkenalkan MyKid Ekspress yang memendekkan tempoh permohonan daripada 45 hari kepada sejam.

Pada masa ini cetakan MyKid Ekspress hanya di ibu pejabat di Kuching, namun akan diperluas ke kawasan lain secara berperingkat, katanya.

"Selain itu, JPNS Kuching,turut memperkenalkan kaunter khas untuk mengurus pengambilan MyKadSiap yang dikenali Kaunter 3C (Call, Come and Collect Counter).

Pelanggan yang menggunakan khidmat kaunter berkenaan tidak perlu mengambil nombor giliran dan akan dilayan pada waktu temujanji ditetapkan," katanya.

- BERNAMA

Mualaf Tidak Wajib Tukar Kad Pengenalan, Digalak Daftar Dengan JPN

Tiada sebarang peruntukan undang-undang mewajibkan mualaf untuk menukar nama kepada nama Islam dan menukar kad pengenalan dengan maklumat baharu, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Beliau bagaimanapun berkata individu yang memeluk Islam akan diberi kad akuan masuk Islam sebagai dokumen pengesahan status agamanya.

"Mereka hanya dinasihat menukar status agama dan nama di Jabatan Pendaftaran Negara," katanya menjawab soalan Senator Datuk Syed Ibrahim Kader pada persidangan Dewan Negara pada Isnin.

Syed Ibrahim ingin tahu tindakan kerajaan untuk menggalakkan penukaran kad pengenalan golongan mualaf supaya tidak timbul masalah di kemudian hari.

Mashitah berkata terdapat segelintir mualaf yang mahu berbuat demikian tetapi terhalang oleh beberapa sebab tertentu seperti soal keselamatan atau tidak mahu diketahui keluarga.

Beliau bagaimanapun meminta golongan itu memaklumkan status agama mereka kepada saudara terdekat agar tidak berlaku pertikaian seperti perkahwinan atau perebutan jenazah apabila mereka meninggal dunia.

Terdahulu, menjawab soalan Senator Rohani Abdullah mengenai langkah kerajaan menangani isu lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT), Mashitah berkata usaha itu dilakukan melalui dua cara iaitu pencegahan dan penguatkuasaan undang-undang.

Tegasnya, pelaku LGBT beragama Islam boleh didakwa mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

Katanya, kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bekerjasama dengan jabatan-jabatan agama Islam negeri selain beberapa kementerian berkaitan bagi mencegah penularan kegiatan LGBT ke akar umbi.

Dalam perkembangan sama, Mashitah berkata jumlah sebenar individu yang terlibat dalam kegiatan LGBT tidak dapat dipastikan memandangkan tidak mudah untuk membuktikan berlakunya perbuatan songsang meskipun terdapat pertanda yang menjurus ke arah itu.

- BERNAMA

Jumaat, Disember 07, 2012

Posmen kerja 5 hari seminggu mulai 1 Janurai 2013

Seramai 8,500 posmen di seluruh negara bakal menikmati waktu bekerja lima hari seminggu mulai 1 Januari depan berbanding enam hari sekarang.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata mereka sebahagian daripada 16,500 kakitangan Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) yang layak untuk menikmati waktu bekerja baru itu selain pekerja sektor perkeranian.
Rais berkata, bagi kakitangan di Sabah dan Sarawak, penyelarasan waktu bekerja baru itu hanya berkuat kuasa pada 1 Februari depan kerana Pos Malaysia memerlukan lebih masa bagi membuat penyelarasan termasuk dari segi pentadbiran.

“Kedua-dua negeri ini (Sabah dan Sarawak), Pos Malaysia perlu tempoh empat minggu lebih daripada di Semenanjung untuk membuat penyusunan operasi dan pentadbiran dengan mengambil kira keadaan geografi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra bersama wakil Kesatuan-Kesatuan Sekerja Pos Malaysia di sini, semalam.

Rais berkata, bagi kakitangan yang perlu bekerja pada hujung minggu layak menikmati bayaran atau imbuhan lebih masa yang munasabah.

Katanya, penyelarasan waktu bekerja baru daripada enam hari kepada lima hari seminggu adalah satu daripada bukti pelbagai transformasi dilakukan kerajaan adalah bersifat kasih sayang.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Penolong Eksekutif Pos Malaysa Berhad, Jamaluddin Kassim, warga Pos Malaysia terutama posmen kini mempunyai lebih masa untuk bersama keluarga.

- BERNAMA

Recent Posts