Memaparkan catatan dengan label Pentadbiran. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pentadbiran. Papar semua catatan

Isnin, Disember 03, 2012

Lebih ramai anggota PDRM diperlukan 2013

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjangkakan memerlukan lebih ramai anggota menjelang 2013 selaras dengan pertambahan penduduk dan pembangunan negara khususnya di tempat awam dan perumahan yang semakin pesat berkembang.

Pengarah Jabatan Logistik Bukit Aman, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, bilangan keanggotaan yang besar itu diperlukan bagi membuat rondaan di kawasan terlibat seterusnya mengurangkan kadar jenayah yang berlaku.

"Langkah itu juga mampu mengurangkan kebimbangan masyarakat terhadap jenayah dan rasa selamat untuk menjalankan aktiviti seharian," katanya selepas perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Konstabel Lelaki di Pulapal Air Hitam.

Dalam majlis tersebut, seramai 996 pelatih berjaya menamatkan latihan selama enam bulan yang bermula 9 Jun lalu dan akan berakhir 8 Disember ini.

Sementara itu, Konstabel Muhamad Aliff Mohd. Azhar 22, dari Selangor muncul sebagai Peserta Terbaik Keseluruhan Latihan Kursus Asas Konstabel Lelaki.

Muhamad Aliff yang meminati kerjaya sebagai polis sejak kecil lagi berkata, beliau terkejut apabila pihak pengurusan memanggilnya ke pejabat kerana bimbang ada melakukan sebarang kesalahan.

"Namun perasaan itu bertukar gembira apabila mereka memberitahu saya adalah peserta terbaik keseluruhan untuk siri ini," jelasnya yang berasal dari Shah Alam, Selangor.

Sementara itu Peserta Terbaik Akademik milik Konstabel Muhammad Farhan Rosli 22 manakala Peserta Terbaik Latihan Luar ialah Konstabel Ridzwan Abdul Rakman, 21.

- UTUSAN

Rabu, November 28, 2012

KWSP hadkan caruman maksimum sukarela

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mengenakan had maksimum RM60,000 setahun kepada semua caruman sukarela termasuk caruman di bawah Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia, mulai 1 Januari 2013.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) KWSP, Datuk Ibrahim Taib dalam satu kenyataan hari ini berkata, ahli yang mencarum secara sukarela ini boleh mencarum serendah RM50 sebulan.

"Caruman sukarela dalam konteks KWSP merujuk kepada caruman diterima daripada golongan bekerja sendiri, pemilik tunggal perniagaan, rakan kongsi atau mereka yang tiada pendapatan tetap bulanan termasuk suri rumah,” katanya.

Menurut beliau, caruman boleh dibayar secara tunai atau cek menggunakan Borang KWSP 6A(1) untuk caruman sukarela dan Borang KWSP 6A(2) bagi Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia.

"Kedua-dua borang tersebut boleh didapati di cawangan KWSP yang terdekat atau boleh dimuat turun dari laman web myEPF di www.kwsp.gov.my,” katanya.

Maklumat lanjut juga boleh diperoleh dengan menghubungi Pusat Panggilan KWSP di talian 03-8922 6000 atau mengunjungi cawangan KWSP berdekatan.

— BERNAMA

Khamis, November 22, 2012

Naik gred secara automatik diperluas - KSN

Seramai 1.42 juta kakitangan awam berpeluang menikmati kenaikan gred tanpa temu duga berikutan cadangan kerajaan memperluaskan kenaikan gred secara automatik.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa, berkata cadangan menaikkan gred berdasarkan ‘time base’ itu sedang diteliti sebelum dilaksanakan untuk semua sektor awam.
"Cadangan ini sedang dikaji dan kita akan perkenalkan secara menyeluruh selepas semua kekangan terutama dari segi perbelanjaan dikaji sepenuhnya. Kita kena ambil kira hasil dan perbelanjaan negara,” katanya.

Beliau berkata pihaknya perlu menunggu laporan Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam (SKMTPA) yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi.

"Suruhanjaya khas itu sedang mengkaji cadangan berkenaan dan akan menyerahkan laporan mengenai skim kerajaan serta perkhidmatan awam pada 31 Disember nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab pada Majlis Amanat dan Sesi Interaksi bersama Penjawat Awam Daerah Kluang, di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Wilayah Selatan, di Kluang semalam.

Sebelum ini, hanya penjawat awam di sektor pendidikan dan kesihatan menikmati kenaikan gred berdasarkan time base tanpa perlu menghadiri temu duga.

- BERITA HARIAN

Selasa, November 13, 2012

Cuti Umum Deepavali Mencakupi WP Labuan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa mengumumkan cuti umum perayaan Deepavali diperluaskan ke Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau berkata walaupun penduduk beragama Hindu tidak ramai di situ, namun sebagai sebahagian daripada Wilayah Persekutuan, Labuan layak menikmati cuti umum berkenaan.

Keputusan itu dibuat oleh Kabinet, kata Najib ketika berucap pada majlis rumah terbuka Deepavali anjuran MIC di perkarangan kompleks Batu Caves di sini.

- BERNAMA

Sabtu, November 03, 2012

PERMOHONAN BR1M 2.0 UNTUK ISIRUMAH & REMAJA TAHUN 2013 DIBUKA

PERMOHONAN BR1M 2.0 UNTUK ISIRUMAH & REMAJA TAHUN 2013

Pendaftaran pemohonan BR1M 2.0 sudah dibuka. Penerima BR1M sebelum ini sudah tidak perlu mengisi borang baru.

1. Lelaki atau perempuan yang menjadi ketua kepada isi rumah / ahli yang tinggal serumah dengan jumlah pendapatan kasar bulanan isi rumah RM3,000 dan ke bawah.

2. Warga emas sebatang kara (berumur 60 tahun dan ke atas) dengan jumlah pendapatan kasar bulanan RM3,000 dan ke bawah.

3. Bujang yang berumur 21 tahun dan ke atas dengan jumlah pendapatan kasar bulanan RM2,000 dan ke bawah. pelajar yang menerima Baucar Buku 1Malaysia tidak layak memohon.

Pemohon baru boleh mengisi borang secara dalam talian (on-line) di : https://ebr1m.hasil.gov.my/

Pemohon juga boleh mengisi borang secara manual dengan mencetak borang di : https://ebr1m.hasil.gov.my/manualpengguna/borangbr1m2.pdf

Borang permohonan BR1M 2.0 juga boleh didapati secara percuma di Pejabat Cawangan dan Pusat Khidmat Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), Jabatan Pembangunan Persekutuan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Penerangan serta agensi-agensi Kerajaan.

Sebarang persoalan boleh dikemukakan kepada email : br1m2@treasury.gov.my atau menghubungi talian hotline 1-800-222-500 yang beroperasi dari jam 9 hingga 5 petang, Isnin hingga Jumaat. 

Maklumat Lanjut : http://www.hasil.gov.my/


Khamis, November 01, 2012

Kerajaan Kaji Semula Skim Gaji Penjawat Awam Mulai Tahun 2013

Kerajaan akan mengkaji semula skim gaji penjawat awam termasuk kenaikan tahunan sehingga lima peratus bermula tahun depan.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata, kajian itu bagi membantu penjawat awam menangani masalah kos hidup yang semakin meningkat.

"Kita akan mengambil kira mungkin mengikut kategori, kalau lima peratus itu untuk kategori yang teratas terlalu tinggi dan kita akan menyelaraskan semula," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis bersama 500 penjawat awam dan Anugerah Inovasi Sektor Awam di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Melaka, Rabu.

Hadir sama Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Datuk Mohamad Zaidi Zainal dan Setiausaha Kerajaan NegeriMelaka, Datuk Wira Omar Kaseh.

Beliau berkata, kajian berkenaan juga akan meneliti segala aspek bagi memastikan setiap penjawat awam mendapat manfaat daripada pelaksanaan skim gaji berkenaan termasuk isu penjawat awam yang menerima tangga gaji maksimum.

Ali berkata, pihaknya turut mengambil kira kajian yang dibuat Suruhanjaya Khas Tranformasi Perkhidmatan Awam yang akan membentangkan laporan penuh kepadakerajaan pada akhir tahun ini.

"Buat masa ini suruhanjaya berkenaan sedang membuat kajian menyeluruh berhubung sektor awam di negara ini, kita akan ambil isu kenaikan gaji ini jika ia ada termaktub dalam kajian itu, namun jika tidak ada isu (kenaikan gaji) dalam laporan itu, kita akan mulakan kajian mengenainya pada tahun depan," katanya.

Terdahulu pada majlis tersebut, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka memenangi anugerah Inovasi Sektor Awam dalam kategori Teknologi Maklumat dan Teknologi ICT manakala Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajahmenerima Anugerah dalam kategori Pentadbiran Daerah dan Tanah.

Semua pemenang anugerah menerima sebuah Trofi dan juga cek bernilai RM300,000.

- BERNAMA

Selasa, Oktober 16, 2012

Audit 2011: 547 Agensi Kerajaan Persekutuan Ditegur

Pengurusan kewangan agensi kerajaan pada 2011 mencatat prestasi lebih baik berbanding tahun sebelumnya dengan 111 atau 31.4 peratus kementerian, jabatan dan agensi mendapat penarafan 'sangat baik' berbanding 77 atau 21.6 peratus pada 2010 dan 48 atau 12 peratus pada 2009.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang bagaimanapun berkata, Jabatan Audit Negara mengemukakan 547 teguran kepada agensi Kerajaan Persekutuan, 97 (badan berkanun persekutuan) dan 534 (kerajaan negeri) bagi tujuan pembetulan dan penambahbaikan.

"Ketua jabatan yang berkenaan telah dimaklumkan terlebih dahulu tentang perkara yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara untuk tujuan pengesahan.

"Kementerian Kewangan juga telah mengeluarkan laporan maklum balas mengenai Laporan Ketua Audit Negara 2011 yang memberikan ulasan atau tindakan terkini daripada ketua jabatan terhadap isu-isu yang dilaporkan," katanya di sini, Isnin.

Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2011 diedar kepada anggota Parlimen di Dewan Rakyat pada Isnin.

Menurut Ambrin, berdasarkan pengauditan terhadap 456 penyata kewangan kerajaan dan agensinya pada 2011, sebanyak 388 atau 85.1 peratus penyata kewangan diberikan Sijil Audit Tanpa Teguran.

"Manakala sebanyak 25 atau 5.5 peratus penyata kewangan diberikan Sijil Audit Berteguran kerana terdapat beberapa piawaian perakaunan yang tidak dipatuhi sepenuhnya.

"Bakinya iatu sebanyak 43 atau 9.4 peratus penyata kewangan masih dalam proses pengauditan," katanya.

- BERNAMA

Audit 2011: Kerajaan Persekutuan Kutip Hasil RM185 Bilion

Kerajaan Persekutuan mengutip hasil berjumlah RM185.42 bilion pada 2011 iaitu peningkatan sejumlah RM25.77 bilion atau 16.1 peratus berbanding RM159.65 bilion pada 2010.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berkata, kenaikan harga petroleum mentah dunia, perkembangan ekonomi domestik yang kukuh serta aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyumbang kepada peningkatan hasil negara.

Menurutnya, LHDN berjaya mengutip hasil berjumlah RM109.61 bilion pada 2011 iaitu peningkatan 26.7 peratus berbanding 2010.

"Manakala JKDM pula berjaya mengutip RM30.38 bilion pada 2011 iaitu peningkatan 7.9 peratus berbanding 2010.

"Langkah-langkah positif yang diambil oleh LHDN dan JKDM menunjukkan peningkatan hasil yang signifikan pada 2011," katanya menerusi Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2011 di sini, Isnin.

Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2011 diedar kepada anggota Parlimen di Dewan Rakyat pada Isnin.

- BERNAMA

Prestasi Pengurusan Kewangan Kerajaan 2011 Lebih Baik - Ketua Audit Negara

Pengurusan kewangan agensi kerajaan pada tahun 2011 telah mencatat prestasi yang lebih baik berbanding tahun sebelumnya, kata Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, pada Isnin.

Beliau berkata, daripada keseluruhan agensi kerajaan yang telah dinilai pada tahun 2011, 111 buah (31.4 peratus) daripadanya mendapat penarafan 'Sangat Baik' (Empat Bintang), berbanding 77 buah (21.6 peratus) pada tahun 2010 dan 48 (12 peratus) pada tahun 2009.

"Pencapaian ketara ini menunjukkan pelaksanaan Indeks Akauntabiliti (IA) telah memberi dorongan kepada Pegawai Pengawal untuk mengambil tindakan penambahbaikan terhadap pengurusan kewangan," katanya dalam kenyataan di sini.

Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2011 akan diedarkan kepada anggota Parlimen pada persidangan Dewan Rakyat pada Isnin.

Ambrin berkata, Jabatan Audit Negara telah melaksanakan sistem penarafan yang berasaskan kepada IA 2007 yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kategori Wajib dan Kategori Giliran, untuk menilai sejauh mana pengurusan kewangan kerajaan dan agensi dibawahnya telah mematuhi undang-undang dan peraturan kewangan kerajaan.

Ambrin berkata, berdasarkan kepada pengauditan terhadap 456 Penyata Kewangan tahun 2011 terhadap kerajaan dan agensi dibawahnya, sebanyak 388 daripadanya telah diberikan Sijil Audit Tanpa Teguran.

"Manakala 25 penyata kewangan telah diberikan Sijil Audit Berteguran kerana terdapat beberapa piawaian perakaunan yang tidak dipatuhi sepenuhnya dan baki 43 penyata kewangan masih dalam proses pengauditan," katanya.

Berbanding 2010, sebanyak 368 penyata kewangan telah diberikan Sijil Audit Tanpa Teguran dan 33 penyata kewangan diberi Sijil Audit Berteguran.

Pada tahun lepas, Ambrin berkata, kutipan hasil Kerajaan Persekutuan turut menunjukkan peningkatan RM25.77 bilion dengan jumlah keseluruhan kutipan sebanyak RM185.42 bilion berbanding tahun 2010 iaitu sebanyak RM159.65 bilion.

"Kenaikan harga petroleum mentah dunia, perkembangan ekonomi domestik yang kukuh serta aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan berterusan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam menyumbang kepada peningkatan hasil," katanya.

Selain itu, seperti mana tahun-tahun sebelumnya, beliau berkata setiap ketuajabatan yang berkenaan telah dimaklumkan terlebih dahulu tentang perkara yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara untuk tujuan pengesahan.

Tambah beliau, jabatan itu juga telah mengemukakan 547 syor memperbaiki kelemahan kepada Kerajaan Persekutuan, 97 Badan Berkanun Persekutuan dan 534 Kerajaan Negeri bagi tindakan pembetulan dan penambahbaikan diambil.

- BERNAMA

Khamis, September 20, 2012

Bajet 2013: Cuepacs Mahu Kerajaan Pertimbang Permintaan Kakitangan Awam


Cuepacs telah mengeluarkan senarai enam permintaan utama untuk dipertimbangkan kerajaan dalam Bajet 2013 terhadap 1.4 juta penjawat awam, kata Presidennya, Datuk Omar Osman.

"Kami berharap kerajaan, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, akan memberi pertimbangan yang sewajarnya kepada permintaan kami. Kami akan berpuas hati jika sekurang-kurangnya 70 peratus daripada permintaan dipenuhi," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur .

Enam tuntutan skim baru yang diumumkan termasuklah perumahan mampu milik di kawasan bandar, peningkatan elaun sewa, bonus tambahan selain dari bonus setengah bulan yang diperolehi kebelakangan ini dan nasib 45,000 pekerja kontrak yang mana kontrak berakhir 31 Disember ini.

Beliau berkata permintaan ini bukan baru tetapi telah menjadi sebahagian permintaan Cuepacs sejak 2010 dan telah mencapai peringkat kritikal.

"Perumahan mampu milik di bandar bagi penjawat awam adalah isu yang paling terdesak. Kami berharap kerajaan akan memperkenalkan dasar perumahan baru melalui Bajet yang memerlukan pemaju perumahan di bandar mengeluarkan rizab 35 peratus daripada projek-projek mereka untuk membina rumah berharga RM60,000 dan RM150,000," katanya.

Beliau juga menambah bahawa elaun perumahan sewa bulanan semasa sebanyak RM180 perlu ditambah untuk mencerminkan kadar pasaran sekarang.

Beliau berkata Kerajaan mesti menangani nasib beberapa 45,000 kakitangan kontrak yang mana tempoh mereka akan tamat pada 31 Disember.

"Kebanyakan mereka berusia antara 40 dan 50 tahun dan mempunyai tanggungan dengan pinjaman perumahan untuk dibayar.

"Kami berharap Kerajaan akan mempertimbangkan untuk melanjutkan kontrak atau meletakkan mereka pada skim pencen atau skim kumpulan wang simpanan," katanya.

Sebagai tanda komitmen jika tuntutan dipenuhi, beliau berkata cadangan itu akan dibawa ke Kongres Cuepacs bulan depan untuk mendapatkan persetujuan penjawat awam untuk tambahan 30 minit kerja setiap hari.

"Jika bersetuju dengan cadangan itu, kertas cadangan akan dikemukakan kepada Ketua Setiausaha kepada Kerajaan untuk mengeluarkan pekeliling bagi tujuan itu," katanya.

Beliau berkata wakil jawatankuasa Cuepacs 'persekutuan dan negeri telah berusaha berjumpa dengan Perdana Menteri dan timbalannya untuk terus membincangkan perkara ini.

Bajet 2013 dijadualkan akan diumumkan pada 28 September.

- MSTAR

Ahad, September 09, 2012

JPN beri penjelasan isu MyKad

KUALA LUMPUR 8 Sept. - Ciri-ciri keselamatan pada MyKad yang baru dikeluarkan sejak awal tahun ini adalah memenuhi spesifikasi dan piawaian kad pintar antarabangsa.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Jariah Mohd. Said, MyKad baru memiliki ciri-ciri keselamatan terkini yang telah ditambah baik termasuk penggunaan turisan laser.

Kata beliau, MyKad baru tidak memiliki tiga aplikasi induk seperti mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan MEPSCash kerana tidak mendapat sambutan orang ramai.

“Bagi aplikasi PKI pula, ia masih boleh disediakan dan akan dilaksanakan sepenuhnya menjelang Oktober tahun ini.

“Bagaimanapun, aplikasi tersebut bukanlah ciri-ciri keselamatan MyKad," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini mendedahkan sebuah syarikat yang diberi tanggungjawab mengeluarkan MyKad kini disiasat kerana disyaki menggunakan sistem data yang tidak menepati spesifikasi sehingga menyebabkan kerajaan bakal menanggung kerugian RM300 juta dalam tempoh lima tahun.

Syarikat yang diberi tender untuk mengeluarkan MyKad mulai tahun ini dipercayai hanya mampu menyediakan lima daripada lapan aplikasi ciri-ciri keselamatan dalam kad pintar dan pasport rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, Jariah berkata, isu kelewatan pemprosesan MyKad kerana berlakunya peningkatan permohonan MyKad baru sebanyak tiga kali ganda daripada 8,000 sehari kepada 21,000 sehari.

“Bagaimanapun masalah tersebut telah diselesaikan di semua Ibu Pejabat JPN negeri yang berkaitan pada penghujung bulan Julai.

“Manakala cawangan-cawangan kecil lain dijangka akan selesai sepenuhnya pada bulan Oktober depan," katanya.

- UTUSAN

Isnin, Ogos 27, 2012

Kerajaan akan perkenal NBOS 7

Kerajaan akan memperkenalkan Strategi Lautan Biru Kebangsaan 7 (NBOS 7) iaitu inisiatif menghubungkan antara Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) supaya melaluinya produk makanan dan hasil pertanian boleh dibawa ke bandar secara berskala besar.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata matlamat strategi itu adalah untuk melakukan transformasi masyarakat di kedua-dua kawasan selain menjadikan wilayah luar bandar sebagai pusat ekonomi, sekali gus mengelakkan perpindahan komunitinya ke bandar.

"Dengan gabungan ini, produk luar bandar akan pergi ke bandar terutama dalam konteks produk makanan dan hasil pertanian. (Sekarang) kita dapati produk luar bandar yang pergi ke bandar peratusannya tidak tinggi seperti kebanyakan negara lain kerana ada kekangan di situ, akhirnya kita terpaksa import barangan dan hasil pertanian luar negara yang harganya tinggi," katanya kepada pemberita selepas meninjau kerja-kerja pemasangan jambatan bailey Kampung Razak-Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan 3, Gugusan Manjoi di Ipoh.

Beliau berkata inisiatif itu turut berupaya mengelakkan perpindahan masyarakat luar bandar ke bandar yang boleh mewujudkan masalah lain di kawasan bandar apabila tidak mendapat pekerjaan dan berpendapatan rendah.

Strategi itu akan diperkenalkan kerajaan bagi melakukan evolusi dan meningkatkan kapasiti kawasan luar bandar supaya gabungan kekuatan luar bandar serta bandar dapat dipadukan bagi membina negara maju berpendapatan tinggi serta rakyat turut mencapai indeks kebahagiaan tinggi, katanya.

Katanya dalam strategi transformasi negara, kerajaan mempunyai dua inisiatif besar iaitu melalui program transformasi kerajaan (GTP), transformasi politik, program transformasi luar bandar dan program transformasi ekonomi (ETP) serta satu lagi inisiatif di bawah NBOS.

Di bawah rangka NBOS katanya kerajaan telah wujudkan UTC dan RTC yang akan memacu negara bukan hanya semata-mata mahu mencapai matlamat berpendapatan tinggi malah mahu mencapai indeks kebahagiaan tinggi seperti yang dicatat di Switzerland.
"Jadi apa yang kita mahu capai adalah pendapatan tinggi dan indeks kebahagiaan tinggi. Berbezanya kita daripada negara lain (yang telah capai indeks kebahagiaan tinggi) adalah mereka mengenakan cukai yang tinggi kepada rakyat.

Apabila kita mencapai itu nanti kita tidak akan tinggikan cukai seperti negara berkenaan," katanya.

Pada 7 Ogos lalu, Perdana Menteri melancarkan kad '1Malaysia Privilege Card' di bawah inisiatif NBOS 6 untuk 241,000 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia serta Angkatan Tentera Malaysia menikmati diskaun dalam pelbagai perbelanjaan barangan seperti keperluan harian, alat sukan, alat ganti kenderaan, perhotelan dan barangan kesihatan.

Inisiatif di bawah NBOS 6 adalah berkisar kepada kerjasama unik antara pelbagai jabatan serta agensi kerajaan yang diperkenalkan Malaysia, khusus untuk manfaat rakyat dan negara.

- BERNAMA

Rabu, Ogos 15, 2012

SPA Kaji Kaedah Tambah Kakitangan Bukan Bumiputera Di Kaunter

Lebih ramai kaum bukan bumiputera akan dilantik sebagai kakitangan barisan hadapan di kaunter pejabat kerajaan seluruh negara bagi memberi lebih keselesaan kepada semua etnik di Malaysia untuk berurusan di kementerian atau jabatan, kata Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Pengerusinya, Tan Sri Mahmood Adam berkata, rakyat Malaysia yang ingin mendapatkan perkhidmatan atau bantuan di kaunter mungkin mempunyai masalah atau isu-isu tertentu yang hanya lebih difahami oleh pegawai dari bangsa mereka sendiri.

"Selain daripada membantu rakyat, langkah ini juga merupakan sebahagian daripada usaha besar kerajaan untuk menarik lebih ramai masyarakat bukan bumiputera untuk menyertai perkhidmatan awam," kata Mahmood kepada The Star.

Mahmood berkata beliau akan mempengerusikan satu mesyuarat hari ini (Selasa) untuk memuktamadkan butir-butir program tersebut.

Sebagai permulaan, SPA akan melihat cara-cara untuk meningkatkan bilangan kakitangan India dan pegawai kaunter daripada kira-kira 1,000 pada masa ini kepada kira-kira 3,000.

Ia kemudian akan mengkaji kaedah untuk meningkatkan bilangan kakitangan berbangsa Cina di kaunter.

Antara langkah yang mungkin yang akan dipertimbangkan ialah untuk mendapatkan kakitangan bukan bumiputera daripada pelbagai jabatan untuk bergilir-gilir mengendalikan kaunter.

"Jika langkah ini tidak mencukupi atau tidak sesuai, maka langkah-langkah lain seperti merekrut kakitangan sementara atau kekal boleh dipertimbangkan," kata Mahmood.

Pada tahun lalu dilaporkan sebanyak 80 peratus daripada 1.12 juta mengemukakan permohonan bagi jawatan dalam sektor perkhidmatan awam manakala India 3 peratus dan Cina 2 peratus.

Selebihnya adalah dari Sabah dan Sarawak.

Mahmood berkata SPA sebelum ini telah mengambil langkah-langkah untuk meningkatkan bilangan masyarakat bukan bumiputera dalam perkhidmatan awam.

Pemohon juga telah diberi peluang untuk memilih sehingga 15 jawatan.

- MSTAR

Khamis, Ogos 09, 2012

SPR Perjelas Pemilih Berdaftar Di Bawah Kod Pengenalan '71'

Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Yusof pada Rabu menafikan bahawa ramai pekerja asing dimasukkan ke dalam senarai daftar pemilih menggunakan kod pengenalan '71' yang merujuk kepada rakyat Malaysia lahir di luar negara.

Beliau berkata perkara itu tidak harus dipertikaikan kerana setakat ini hanya 171,023 pemilih berdaftar yang direkodkan mempunyai kad pengenalan di bawah kod itu.

Sebelum tahun 2001, kod '71' digunakan pada nombor kad pengenalan individu rakyat Malaysia yang lahir di luar negara dan warganegara asing yang mendapat status pemastautin tetap (PR).

Bagaimanapun selepas 2001, semua warganegara asing yang mendapat PR tidak lagi dirujuk dengan kod '71', sebaliknya menggunakan kod berdasarkan negara kelahiran masing-masing, contohnya Singapura (66) dan Indonesia (61).

Abdul Aziz mengulas perkara itu kepada media kerana ada pihak mempertikai penggunaan kod '71' itu kononnya digunakan untuk mendaftarkan pekerja asing sebagai pengundi setelah beberapa nama yang mempunyai kod '71' di tengah-tengah nombor kad pengenalan mereka dikesan tersenarai dalam daftar pemilih.

Beliau berkata mengikut rekod Daftar Pemilih Induk (DPI) SPR, seramai 8,743 pemilih berdaftar di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan mempunyai kod 71 dan Selangor mencatatkan jumlah tertinggi seramai 32,485 orang.

- BERNAMA

Rabu, Ogos 01, 2012

Kajian Laluan Rel Pantai Timur Siap

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kajian kebolehlaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRR), yang merangkumi Pahang, Terengganu dan Kelantan kini siap dilaksanakan.

Perdana Menteri berkata ECRR itu akan dilaksanakan mengikut fasa, mulai Fasa 1, yang merangkumi landasan rel sejauh 109 km dari Kertih ke Kuantan.

Cadangan laluan sepanjang 600 km itu, dirancang menghubungkan Kuala Lumpur ke Tumpat di Kelantan, melalui Mentakab, Kuantan, Kuala Terengganu dan Kota Bharu.

"Projek ECRR ini akan mempunyai kesan yang signifikan dari segi meningkatkan kesalinghubungan antara ECER dan pantai barat Semenanjung Malaysia dan mempercepatkan lagi pertumbuhan ekonomi kawasan di Wilayah ini," katanya dalam satu kenyataan.

Najib, yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), sebelum itu mempengerusikan mesyuarat majlis kedua ECERDC bagi tahun ini di sini Selasa.

Perdana Menteri berkata Fasa 1 ECRR akan membantu memperbaiki rangkaian hubungan antara pelbagai kawasan perindustrian di Zon Ekonomi Khas ECER (ECER SEZ), seperti Taman Halal Gambang, Taman Pembaikan Bot dan Pangkalan Bekalan Kemaman, Kompleks Petrokimia Bersepadu Gebeng, Taman Automotif Pekan, Kelompok Industri Minyak Sawit, dengan Pelabuhan Kuantan, sekaligus membantu meningkatkan daya saing pelabuhan tersebut.

"Sistem rel yang dicadangkan untuk wilayah Pantai Timur ini juga berupaya merangsang pelaburan di ECER kerana pelabur dapat mengurangkan kos perniagaan melalui penggunaan mod pengangkutan yang lebih efektif dari segi kos dan kecekapan, yang juga bersifat mesra alam sekitar," kata Perdana Menteri.

Beliau juga Menteri Kewangan.

Menurut laporan berita, kajian kebolehlaksanaan ECRR itu bermula pada 2009.

- BERNAMA

Setengah Juta MyKad Tidak Dituntut

Sebanyak 501,941 MyKad belum dituntut di seluruh negara sehingga 30 Jun lepas, kata Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Jariah Mohd Said.

Kesemua MyKad itu merupakan kad pengenalan yang belum dituntut untuk kategori kurang daripada tempoh 18 bulan kad dikeluarkan, katanya kepada Bernama.

Daripada jumlah 501,941 itu, Selangor mencatat jumlah kad pengenalan palingbanyak tidak dituntut iaitu 81,010 kad, diikuti Johor (60,678), Sabah (51,462),Sarawak (50,334), Perak (44,855), Kuala Lumpur (36,602), Kedah (31,102),Kelantan (29,654), Pulau Pinang (26,337), Pahang (23,838), Terengganu (19,639),Negeri Sembilan (18,410), Melaka (15,018), Putrajaya (7,091), Perlis (3,751) danLabuan (2,160), katanya.

Jariah berkata, berdasarkan Peraturan 26 Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2010) Mengenai Pelupusan Kad Pengenalan Yang Tak Dituntut, kad pengenalan siap akan dipegang simpan selama 18 bulan dari tarikh ia dikeluarkan.

"Semua kad akan disimpan oleh mana-mana Pejabat Pendaftaran selama 18 bulan sebelum ia dilupuskan," katanya.

Sementara itu Jariah berkata sehingga 2 Julai lepas sebanyak 1,287 MyKad belum dituntut untuk kategori kad pengenalan tidak dituntut melebihi tempoh 18 bulan dari tarikh kad dikeluarkan.

Katanya, Sarawak mencatat angka tertinggi untuk kategori itu dengan 262, diikuti Pulau Pinang (153), Kelantan (146), Johor (131), Kedah (98), Selangor (97), Kuala Lumpur (86), Sabah (71), Pahang (41), Perak (40), Perlis (22), Negeri Sembilan (20), Labuan dan Putrajaya (sembilan) manakala masing-masing satu di Melaka dan Terengganu.

Menurut Jariah, terdapat pelbagai sebab kad pengenalan lewat atau tidak dituntut antaranya kesibukan pemohon untuk datang ke JPN mengambil MyKad mereka, berpindah ke lokasi lain serta dokumen sedia ada masih elok dan boleh digunakan.

Katanya, untuk kes pemohon berpindah ke tempat lain, mereka dinasihat supaya memaklumkan kepada JPN supaya pihak jabatan dapat menghantar MyKad mereka ke JPNberdekatan.

Jariah berkata, pelbagai usaha dilakukan oleh JPN untuk mengatasi masalah kad pengenalan tidak dituntut termasuk menghantar makluman kutipan kad pengenalan siap atau 'Calling Card' kepada pemohon berdasarkan alamat pada kad dokumen pengenalan diri itu.

"Hebahan menerusi media massa juga dibuat secara berterusan di samping paparan senarai MyKad yang tidak dituntut dalam portal JPN," katanya.

Selain itu, mulai tahun 2010 JPN telah berkerjasama dengan agensi kerajaan lain seperti Polis Diraja Malaysia dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) untuk menghantar MyKad yang tidak dituntut ke rumah pemohon.

- BERNAMA

Selasa, Julai 31, 2012

Malu Dengan Status Perkahwinan Punca Kelahiran Anak Tidak Didaftar - Jabatan Pendaftaran Negara

Malu dan tidak faham undang-undang antara punca ibu bapa lewat atau tidak mendaftarkan kelahiran anak-anak mereka sehingga berlaku kes kanak-kanak tanpa dokumen pengenalan diri.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Datuk Jariah Mohd Said berkata terdapat ibu bapa yang berkahwin dengan warga asing atau mempunyai anak tidak sah taraf tidak tahu bahawa setiap kelahiran wajib didaftarkan.

"Kadang-kadang ada kes ibu tak tahu mana bapa dia, ada juga kes yang melibatkan pasangan belum berkahwin. Jadi mereka nak datang ke JPN malu sebab takut nanti orang tanya itu dan ini kerana ia soal maruah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program 'Street Children' di Chow Kit Bersama Ketua Pengarah Pendaftaran Negara di sini Isnin.

Jariah berkata mengikut Akta Pendaftaran Negara 1959, setiap kelahiran di negara ini sama ada warganegara atau bukan warganegara mesti didaftarkan dan JPN akan mengeluarkan sijil lahir kepada kanak-kanak berkenaan.

Jariah berkata untuk kes membabitkan ibu warganegara Malaysia dan bapa pula tidak dapat dikesan, taraf warganegara kanak-kanak itu secara automatik mengikut warganegara ibu.

"Jadi tarafnya kita lihat pada ibunya. Jika ibunya warganegara, anak jadi warganegara tapi hendaklah disertakan dengan dokumen sokongan seperti sijil lahir ibu, kad pengenalan, saksi untuk menentukan ibu itu lahir di Malaysia," katanya.

Jariah berkata pemberian dokumen pengenalan diri bagi kes sedemikian melibatkan pelbagai prosedur termasuk mengadakan temuduga untuk mengelak penyelewengan.

Mengenai kes di Chow Kit, beliau berkata setakat ini terdapat kira-kira 1,000 kanak-kanak tanpa dokumen pengenalan diri di sekitar kawasan itu dan 600 daripadanya berdaftar dengan Pusat Aktiviti Kanak-kanak, Yayasan Chow Kit.

Pada majlis hari ini Jariah menyerahkan dokumen pengenalan diri kepada 15 kanak-kanak dengan sembilan daripadanya Sijil Lahir Bukan Warganegara, Sijil Lahir Warganegara (tiga), dan masing-masing satu untuk Sijil Lahir Belum Ditentukan Warganegara, Sijil Anak Angkat dan Sijil Warganegara.

- BERNAMA

Isnin, Julai 30, 2012

Tiada logo rasmi Hari Kemerdekaan 2012 kecuali logo 1Malaysia


Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr. Rais Yatim menjelaskan, tiada logo rasmi digunakan bagi sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 tahun ini, melainkan logo 1Malaysia seperti sambutan pada tahun lalu.

Beliau berkata, sambutan Hari Kemerdekaan kali ini menggunakan tema “55 Tahun Merdeka Janji Ditepati".

"Bahan hiasan yang dipaparkan oleh sesetengah pihak setakat ini hanyalah paparan selingan bukan logo rasmi," katanya dalam satu kenyataan.

Rais berkata, akan ada beberapa bahan promosi lain dipaparkan menjelang Hari Merdeka 31 Ogos dan Hari Malaysia 16 September.

- BERNAMA

Ahad, Julai 29, 2012

Tindakan tegas terhadap penjawat awam beli ijazah palsu

Tindakan tegas akan dikenakan terhadap penjawat awam yang didapati membeli ijazah palsu, kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata polis masih menyiasat perkara itu dan akan mengambil tindakan terhadap pihak yang memilih jalan mudah tanpa perlu menghadiri kuliah, mengambil ujian dan menghantar kertas kerja untuk memperolehi ijazah.

"Setakat ini tiada kes melibatkan penjawat awam yang terlibat di dalam pembelian ijazah palsu. Jika hasil siasatan mendapati ada di antara penjawat awam yang terlibat, tindakan tegas akan diambil serta merta," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pada Program Transformasi Pegawai ke Luar Negara di Kuala Lumpur.

Program lima hari itu dihadiri 117 penjawat awam yang bakal melanjutkan pelajaran ke beberapa universiti di luar negara dalam tempoh terdekat bagi peringkat Sarjana dan Sarjana Muda.

Sebelum ini, media melaporkan ijazah itu dikeluarkan atas nama lima universiti luar negara termasuk tiga yang disahkan tidak wujud.

Lima universiti itu ialah University Of Rockhampton (tidak wujud), Harvey International University (tidak wujud), Cannington Brook University (tidak wujud), Glastonbury University (United Kingdom) dan Charles Molnar University (Hungary).

- SINAR HARIAN

Khamis, Julai 26, 2012

Bonus Raya Setengah Bulan Gaji Untuk Kakitangan Kerajaan


Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam.

Perdana menteri yang juga menteri kewangan turut mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju memberi Bayaran Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.

Bayaran itu akan dibuat pada 9 Ogos ini, katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemberian bonus dan bayaran khas itu akan memanfaatkan seramai 1.27 juta penjawat awam persekutuan dan 657,000 pesara kerajaan.

Najib berkata pemberian bonus dan bayaran khas kewangan itu dibuat berdasarkan kedudukan dan kemampuan kewangan kerajaan.

Beliau berkata bayaran itu akan melibatkan anggaran perbelanjaan sebanyak RM2.2 bilion.

Najib berkata pemberian bonus dan bayaran khas itu merupakan penghargaan kerajaan kepada seluruh penjawat awam dan pesara kerajaan.

"Kerajaan sentiasa prihatin dan sangat menitikberatkan kebajikan penjawat awam dan para pesara kerajaan," katanya.

Beliau berharap langkah itu dapat membantu mereka membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Najib berkata pembayaran bonus kepada penjawat awam itu bagi menghargai sumbangan dan dedikasi mereka dalam melaksanakan program pembangunan negara.

- BERNAMA