Memaparkan catatan dengan label Ucapan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ucapan. Papar semua catatan

Rabu, April 03, 2013

UCAPAN PEMBUBARAN PARLIMEN KE-12


foto BERNAMA

BERIKUT ialah teks ucapan penuh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai pembubaran Parlimen Malaysia ke-12 pada Rabu.

Bismillahirahmanirahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

1. Pertama-tamanya marilah kita memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan rahmatnya saya, Timbalan Perdana Menteri dan anggota jemaah menteri dapat bersama-sama secara langsung dengan Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian pada pagi ini.

2. Saya ingin memaklumkan kepada rakyat Malaysia bahawa pada pagi ini saya telah pun menghadap Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan menyembah warkah kepada Baginda memohon perkenan supaya Parlimen ke-12 dibubarkan pada hari ini Rabu, 3 April 2013. Sehubungan dengan itu selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan baginda telah pun memperkenankan bagi Parlimen Ke-12 dibubarkan berkuat kuasa hari ini.

3. Sehubungan dengan itu saya menasihatkan kepada ketua-ketua kerajaan negeri yang berkenaan untuk menghadap Ketua-ketua Negeri mereka bagi mendapat perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri masing-masing agar pilihan raya umum dapat diselaraskan secara serentak di seluruh negara.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

4. Hari ini, 4 tahun yang lalu, pada tanggal 3 April 2009, saya telah pun mengangkat sumpah untuk memikul amanah serta tanggungjawab sebagai Perdana Menteri negara Malaysia yang tercinta. Dalam tempoh tersebut saya bersama-sama Timbalan Perdana Menteri, anggota Jemaah Menteri dan anggota-anggota pentadbiran yang lain telah dengan segala ikhtiar serta upaya mencetus dan melaksanakan perubahan dan pembaharuan berpaksikan kepada Falsafah 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan serta dipandu oleh Dasar Transformasi Nasional.

5. Dalam tempoh empat tahun yang lepas rakyat Malaysia telah dapat mengalami dan menyaksikan sendiri bagaimana fasa perancangan Prakarsa Transformasi Nasional yang melibatkan Program Transformasi Kerajaan, Ekonomi, Politik dan Sosial telah dilaksanakan seterusnya membuahkan hasil dalam meningkatkan kesejahteraan hidup mereka dan kemakmuran negara.

6. Kerajaan yang ada pada hari ini ialah kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan ini ialah kerajaan yang meletakkan kepentingan tuan-tuan dan puan-puan rakyat Malaysia di atas segala-galanya. Kami merupakan kerajaan yang apabila berjanji menepati janji, kami merupakan kerajaan yang apabila diberi amanah akan menjunjung dan memeliharanya. Bukan sikap kami menanam tebu di bibir. Sesungguhnya bukti komitmen kami mampu dinilai serta diukur daripada prestasi dan “Track record” kami sepanjang empat tahun yang lalu.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

7. Pembubaran ini akan membuka laluan kepada bermulanya proses pilihan raya umum bagi kali yang ketiga belas untuk negara semenjak tahun 1959 iaitu apabila kita mula mengadakan pilihan raya umum pertama pasca merdeka.

8. Malaysia ialah sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan sebagai asas pemerintahan. Kuasa mutlak untuk memilih kerajaan berada di tangan rakyat.

9. Sejarah telah menunjukkan bahawa kebugaran demokrasi Malaysia telah berjaya menyediakan asas yang subur untuk kestabilan dan kemakmuran nasional yang telah dinikmati warganegara ini selama lebih lima dekad.

10. Amalan demokrasi di Malaysia kekal dan berjaya kerana walaupun bersifat sengit dan amat berdaya saing namun pada akhirnya ia berjaya kerana semua pihak menghormati proses dan keputusannya.

11. Saya ingin menyeru agar tradisi ini diteruskan demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan nasional. Semua parti politik yang memilih untuk terlibat di dalam proses pilihan raya kali ini perlulah bertanggungjawab. Janganlah kerana tidak yakin dengan sokongan rakyat terhadap parti masing-masing maka ada pihak yang cuba menyemai racun syak wasangka dan seterusnya merosakkan kepercayaan kepada integriti proses pilihan raya yang bakal diadakan.

12. Insaflah dan ambillah iktibar dari apa yang telah berlaku di negara-negara lain di mana taktik ini telah cuba diguna pakai. Kesan akhirnya proses dan keputusan pilihan raya di negara-negara tersebut tidak lagi diyakini dan mana-mana kerajaan yang dipilih termasuk dari parti yang mengamalkan taktik tersebut telah ditolak rakyat. Negara akhirnya menjadi tidak stabil, pelabur hilang keyakinan, kemakmuran nasional merudum dan akhirnya rakyat menderita.

13. Sejarah selama ini telah membuktikan bahawa di Malaysia semenjak merdeka lagi proses pilihan raya yang diadakan bersifat berwibawa, adil dan telus. Kerajaan yang telah dipilih hasil pilihan raya umum sama ada di peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri ialah kerajaan yang mendapat sokongan serta keyakinan majoriti rakyat sesuai dengan amalan demokrasi sarwajagat.

14. Amalan demokrasi sebagai teras pemerintahan merupakan mekanisme terbaik yang pernah dicipta manusia. Hakikatnya perbezaan pendapat, idea dan pandangan bukannya penyebab malapetaka atau punca perpecahan malah jika ditangani dan diurus secara baik sejarah telah menunjukkan ia mampu mendatangkan rahmat yang akan membahagiakan rakyat dan memajukan negara.

15. Marilah kita sama ada parti kerajaan mahupun parti pembangkang memberikan komitmen untuk memelihara keutuhan proses demokrasi dan menghormati keputusan yang akan dibuat oleh rakyat. Marilah kita sama-sama berdoa agar pilihan raya ini akan berjalan dengan lancar, aman dan selamat.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

16. Saya ingin memberi jaminan bahawa kerajaan yang ada akan meneruskan tugas dan tanggungjawabnya sesuai dengan prinsip keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang sehingga selesai proses pilihan raya. 17. Saya juga ingin menyeru di samping memberi jaminan kepada semua rakyat Malaysia serta parti politik yang terlibat, bahawa jika berlaku sebarang peralihan kuasa sama ada di peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri ia akan dan perlu berlangsung secara aman dan tertib. Inilah iltizam kita dalam menjunjung prinsip demokrasi, inilah tekad kita dalam menggerakkan transformasi politik, inilah komitmen kita dalam menghormati suara dan mendahulukan kepentingan rakyat.

18. Kepada semua rakyat Malaysia terutamanya yang tinggal di Pantai Timur Sabah janganlah bimbang dan takut. Laksana dan tunaikanlah tanggungjawab tuan-tuan dan puan-puan sebagai warganegara Malaysia, pihak keselamatan negara akan menjalankan tugas mereka untuk memastikan persekitaran yang selamat untuk tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

19. Setiap undi tuan-tuan dan puan-puan adalah penting, jangan bazirkan ia, janganlah dipertaruhkan masa depan anak-anak dan negara Malaysia. Fikir dan renungkanlah dengan sebaik-baiknya sebelum membuat keputusan, ini kerana undi saudara dan saudari akan menentukan bukan sahaja hala tuju negara dan negeri tetapi juga untung nasib anak cucu kita semua.

20. Dalam pilihan raya ini tuan-tuan dan puan-puan bukan sahaja bertanggungjawab memilih wakil saudara dan saudari bagi setiap kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tetap juga memilih kerajaan yang akan mendukung aspirasi tuan-tuan dan puan-puan.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

21. Saya berdiri di sini dengan penuh rasa tawaduk dan terhormat kerana diberi kepercayaan untuk mengkhidmati tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Saya dan rakan-rakan amat menghargai dan menjunjung tinggi kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat dan akan memberikan yang terbaik demi untuk Malaysia dan warganya.

22. Di sini saya selaku Ketua Kerajaan Barisan Nasional ingin merakamkan rasa penghargaan dan ucapan kasih kepada rakyat Malaysia kerana telah memberi kepercayaan kepada kami Kerajaan Barisan Nasional untuk menerajui kepimpinan negara semenjak lima tahun yang lepas. Mulai hari ini saya dan rakan-rakan kepimpinan BN akan turun dan bertemu rakyat di seluruh pelosok negara bagi meyakinkan warga Malaysia kenapa kami BN perlu diberi peluang kembali untuk membentuk kerajaan dengan majoriti yang kukuh.

23. Kami akan menggunakan mandat kukuh yang diberi, Insyaallah untuk melipatgandakan lagi usaha bagi melakar masa depan yang lebih baik, yang lebih bermakna, yang lebih sejahtera untuk saudara dan saudari serta anak cucu kita semua. Ayuh teruskan perjalanan kebangsaan untuk mencapai wawasan nasional ke arah Malaysia yang maju dan berpendapatan tinggi. Ingatlah pencapaiannya bukan secara automatik ia memerlukan kita melipatgandakan usaha dan meneruskan kesinambungan kejayaan yang ada.

24. Marilah kita bersama-sama berganding bahu, berpimpin untuk menjadikan impian ini sebuah realiti, Malaysia yang maju, makmur dan selamat, penuh dengan peluang serta sarat harapan bagi semua. Demi Malaysia, usaha bakti kita curah, kepada Tuhan kita berserah.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sekian, terima kasih.

Sumber: MSTAR

 

Rabu, Mac 20, 2013

Teks ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pelancaran Laporan Tahunan NTP 2012

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia
Rakyat Malaysia yang dikasihi,


1. Pada malam ini saya berdiri di hadapan tuan-tuan dan puan-puan bagi pihak diri saya selaku ketua kerajaan dan bagi pihak rakan-rakan dalam Jemaah Menteri bagi membentangkan hasil perkembangan prakarsa Program Transformasi Kerajaan atau GTP dan Program Transformasi Ekonomi atau ETP.

2. Kedua-dua prakarsa bermula masing-masing pada tahun 2010 dan 2011 adalah bersama-sama dengan Program Transformasi Politik atau PTP dan Program Transformasi Sosial atau PTS. Ia membentuk Dasar Transformasi Nasional bagi memacu Malaysia ke arah pencapaian wawasan kebangsaan, menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi, menjelang tahun dua ribu dua puluh.

3. Alhamdulillah, suka saya melaporkan kepada rakyat Malaysia bahawa dengan berkat kerjasama dan usaha gigih semua pihak sama ada rakyat terbanyak, pihak swasta, penjawat awam mahupun anggota pentadbiran, sebahagian besar matlamat yang telah dirancang berjaya dicapai. Kesannya, taraf dan kualiti hidup rakyat semakin baik, ekonomi negara semakin makmur manakala keadaan kewangan kerajaan terus bugar.

4. Perancangan dan pelaksanaan ETP dan GTP bukan sahaja membuktikan iltizam kerajaan terhadap falsafah pemandu negara 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, tetapi ia juga merupakan eksperimen paling berani yang pernah dilaksanakan oleh mana-mana kerajaan di dunia dalam mengamalkan prinsip ketelusan dan kepertanggungjawaban.
Tuan-tuan dan puan-puan,

5. Rakyat terbanyak serta semua pihak yang berkepentingan boleh, melalui proses perundingan dibuat menyumbang melalui makmal-makmal yang diadakan dalam proses pembentukan GTP dan ETP. Mereka juga mampu menilai pencapaian kedua-dua prakarsa ini melalui laporan tahunan dan laporan berkala yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.

6. Mungkin ada yang bertanya, bagaimana rojak kependekan ini mampu menyentuh kehidupan kita? GTP, ETP, NKRA, NKEA, EPP? Apa hubungkaitnya dengan tuan-tuan dan puan-puan sekelian? Jawapannya ialah, semuanya dirangka serta digubal bagi meningkatkan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia secara terancang.

7. Sesungguhnya lagi, semua prakarsa ini, tidak lain dan tidak bukan, ialah langkah kerajaan untuk membolehkan setiap rakyat Malaysia mendapat akses kepada yang terbaik dalam kehidupan. Pekerjaan dengan pendapatan yang setimpal di mana, semakin tinggi kemahiran dan kepakaran yang dimiliki, semakin tinggi pula ganjarannya.

8. Pendidikan yang bermutu bermula dari pra sekolah lagi, untuk mengoptimakan potensi diri, perkhidmatan kesihatan yang terbaik, prasarana awam yang mencukupi dan pemilikan rumah yang selesa serta berkemampuan untuk berlindung dan membesarkan anak-anak.

9. Jelasnya, kerajaan ini ialah kerajaan yang bertanggungjawab. Kerajaan ini ialah kerajaan yang menepati janji. Kerajaan ini ialah kerajaan yang meletakkan maslahah serta kesejahteraan rakyat di atas segala-galanya. Sebab itulah sebelum berjanji kepada rakyat, kita telah mengkaji, pertamanya, adakah janji yang diberikan kepada rakyat itu akan mendatangkan faedah dan tidak memudaratkan, sama ada untuk jangka pendek, sederhana atau panjang. Keduanya, adakah janji yang dibuat tersebut mampu untuk kita tunaikan? Bukannya janji sekadar janji.
Tuan-tuan dan puan-puan,

10. Dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, rakyat teramailah yang menentukan parti mana yang dipercayai untuk membentuk sebuah kerajaan. Realitinya, bukan semua kerajaan sama berkemampuan. Ya, betul, jangkaan oleh rakyat kepada setiap kerajaan sama, namun, prestasi setiap kerajaan adalah berbeza. Pastinya, ada kerajaan yang berkesan dan ada kerajaan yang lemah serta gagal menunaikan amanah yang diberi.

11. Sebab itulah ada negara yang berjaya meningkatkan taraf daripada status mundur, kepada status membangun dan kemudiannya maju. Ada negara pula, tidak berubah statusnya, terus terperangkap sama ada dalam kemunduran atau membangun. Apa yang lebih teruk, ada juga negara bersifat regresif hingga jatuh tarafnya daripada negara membangun menjadi negara mundur.

Tuan-tuan dan puan-puan,

12. Kita amat bersyukur bahawa Malaysia hari ini ialah manifestasi sebuah negara yang berjaya. Hasil perancangan teliti dan rapi serta pelaksanaan dasar-dasar pembangunan berkesan, Malaysia telah berubah daripada status negara pertanian berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi.

13. Ternyata, kita ialah bukti dan contoh sebuah negara yang amat progresif. Semenjak kemerdekaan dan pada dekad-dekad awal, kerajaan telah menjadikan agenda membasmi kemiskinan, reformasi tanah, keadilan sosial, meningkatkan akses kepada setiap tahap pendidikan, perkhidmatan kesihatan untuk semua dan penjanaan kekayaan nasional sebagai agenda negara.

14. Dalam aspek ini, hasil kejayaan negara boleh disaksikan daripada peningkatan Pendapatan Negara Kasar atau PNK per kapita daripada 257 dolar Amerika pada tahun 1957 kepada 9970 dolar Amerika pada tahun 2012. Ini merupakan peningkatan hampir 4000 peratus dalam tempoh lebih lima dekad.

15. Peningkatan taraf hidup ini diperjelaskan lagi melalui angka-angka, hasil daripada Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah. PPIR 2012 menunjukkan bahawa, isi rumah bulanan purata Malaysia meningkat daripada 4,025 ringgit pada tahun 2009 kepada 5,000 ringgit pada tahun 2012. Ini adalah peningkatan lebih daripada 1,200 peratus, sejak Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dimulakan pada tahun 1974.

16. Manakala, kadar kemiskinan pula terus menurun daripada lebih enam puluh peratus pada awal kemerdekaan kepada 1.7 peratus pada tahun 2012. Jurang pendapatan di kalangan rakyat Malaysia juga bertambah baik dengan kadar Pekali Gini menurun kepada 0.431 pada tahun 2012. Kadar inflasi negara juga kekal berada di paras yang rendah iaitu 1.2 peratus pada Disember 2012. Kadar ini adalah antara yang terendah di rantau ini.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

17. Setelah tiga tahun kerajaan memulakan inisiatif GTP, maka pada kesempatan ini saya ingin melaporkan pencapaian-pencapaian yang berjaya dizahirkan di bawah tujuh bidang-bidang keberhasilan utama seperti berikut:

18. Pertama: NKRA Menangani Kos Sara Hidup Rakyat yang diperkenalkan, telah berjaya membawa manfaat kepada kehidupan rakyat yang berpendapatan rendah. Di bawah NKRA ini, Kerajaan telah mengambil beberapa inisiatif antaranya:-

19. Pertama, dalam rangka mempastikan subsidi benar-benar memanfaatkan kumpulan sasar, Kerajaan telah mengambil keputusan untuk melanjutkan program Bantuan Rakyat 1Malaysia dan memperluas lagi skop program ini kepada individu bujang. Ini melibatkan peruntukan sejumlah lebih 2.34 bilion ringgit dan memanfaatkan lebih 6 juta rakyat Malaysia.

20. Pemberian Bantuan Persekolahan 100 ringgit atau Baucer Sekolah 1Malaysia kepada murid-murid sekolah rendah dan menengah. Sejumlah 524 juta ringgit telah diperuntukkan dan usaha ini memberi manfaat kepada lebih 5.24 juta murid.

21. Bagi pelajar-pelajar yang sedang mengikuti pengajian di peringkat tinggi di universiti serta kolej pula pemberian 250 ringgit sebagai Baucer Buku 1Malaysia memanfaatkan seramai lebih 390,000 pelajar dengan peruntukkan lebih 97.5 juta ringgit.

22. Sebagai bukti keprihatinan terhadap permasalahan rakyat dalam menanggung kos kehidupan seharian yang semakin meningkat, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak 37.8 bilion ringgit bagi membiayai pelbagai bentuk pemberian di mana sebanyak

22. 3 bilion ringgit adalah untuk Subsidi, 873.5 juta ringgit untuk insentif dan 14.6 bilion ringgit bagi bantuan.

23. Di samping itu, melalui inisiatif Jenama 1Malaysia, rakyat kini mempunyai alternatif dalam mendapatkan barangan keperluan harian dan perkhidmatan dengan kos yang secara puratanya 20 hingga 40 peratus lebih rendah daripada harga pasaran. Melalui inisiatif ini, Kerajaan telah memperluaskan lagi pembukaan Kedai Rakyat 1Malaysia menjadi 85 buah semuanya. Sejumlah 168 Klinik 1Malaysia pula sedang memberi rawatan kepada lebih enam juta rakyat Malaysia dengan kos hanya satu ringgit.

24. Selain itu, kita juga sedang melaksanakan inisiatif-inisiatif Kedai Buku 1Malaysia, Kedai Kain 1Malaysia, Projek Perumahan 1Malaysia atau PR1MA, Bantuan Tayar 1Malaysia, Kebajikan Rakyat 1Malaysia atau KAR1SMA serta Menu Rakyat 1Malaysia. Saudara dan saudari, sesungguhnya dan sememangnya segala ikhtiar ini dan semua yang dilakukan ini demi kepentingan serta kesejahteraan segenap rakyat Malaysia tercinta.


Tuan-tuan dan puan-puan,

NKRA kedua, Mempertingkatkan Taraf Kehidupan Isi Rumah Berpendapatan Rendah.

25. Sungguhpun Kerajaan telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan kepada 1.7 peratus dan meletakkan kemiskinan tegar dalam lipatan sejarah, namun usaha untuk meningkatkan taraf hidup mereka yang berpendapatan rendah bukan sahaja akan diteruskan, malah, akan ditingkatkan lagi.

26. Untuk itu, melalui program Akhiri Zaman Miskin atau 1AZAM seramai 106,967 telah berjaya didaftarkan di bawah program-program Azam Kerja, Azam Niaga, Azam Khidmat dan Azam Tani. Ribuan rakyat telah menerima pembiayaan mikro melalui Amanah Ikhtiar Malaysia, TEKUN Nasional dan Yayasan Usaha Maju.

27. Di bawah program e-Kasih pula, sebanyak 89 peratus atau lebih 100,000 mereka yang berdaftar telah berjaya dikeluarkan daripada belenggu kemiskinan dalam tempoh hanya 3 tahun.

28. Dalam rangka memastikan isi rumah berpendapatan rendah mendapat akses kepada kediaman pula, pelbagai inisiatif sedang dan telah dilaksanakan oleh beberapa agensi kerajaan antaranya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Syarikat Perumahan Negara Berhad. Bagi usaha ini, kerajaan telah menawarkan, lebih 100,000 unit kediaman mampu milik.

Tuan-tuan dan puan-puan,

NKRA Ketiga, Mempertingkatkan Infrastruktur Asas Luar Bandar

29. Kerajaan akan terus mempastikan rakyat Malaysia yang tinggal di kawasan luar bandar tidak terpisah daripada arus perdana pembangunan. Komitmen kerajaan ini telah dizahirkan melalui program infrastruktur luar bandar. Di bawah inisiatif ini, lebih 3,300 kilometer jalan raya telah dibina, lebih 1.4 juta isi rumah dibekalkan air bersih dan lebih 470 ribu isi rumah mendapat akses elektrik yang terjamin.

30. Di samping itu, Kerajaan juga telah membina dan membaik pulih 53 ribu rumah bagi penduduk miskin luar bandar. Ini melibatkan lebih 266 ribu isi rumah atau hampir sejuta orang. Sesungguhnya, kesemua inisiatif di bawah NKRA ini telah menambah baik kesejahteraan hidup hampir 4 juta rakyat Malaysia yang tinggal di luar bandar.

Rakyat Malaysia dikasihi sekalian.

NKRA Keempat, Mempertingkatkan Pencapaian Pelajar

31. Menyedari bahawa anak-anak adalah pewaris dan masa hadapan negara, Kerajaan beriltizam untuk mempastikan bahawa setiap anak Malaysia akan mendapat permulaan pemelajaran seawalnya dalam hidup mereka. Melalui usaha-usaha yang telah dilaksanakan di bawah NKRA Mempertingkat Pencapaian Pelajar, enrolmen prasekolah telah berjaya ditingkatkan jumlahnya kepada hampir 770 ribu pada 2012 atau 80 peratus kohort umur berkenaan. Ini merupakan satu peningkatan jika dibandingkan dengan angka pada tahun 2009, di mana hanya, 67 peratus kohort umur tersebut berpeluang mendapat pendidikan prasekolah.

32. Pada tahun 2012, kita juga telah berjaya mengeluarkan 164 atau lebih 40 peratus sekolah-sekolah daripada kumpulan berprestasi rendah atau apa yang dikelaskan sebagai jaluran 6 dan 7 kepada jaluran yang lebih baik yakni jaluran 1 hingga 5.

Tuan-tuan dan puan-puan,

NKRA Kelima, Mempertingkatkan Pengangkutan Awam Bandar

33. Kerajaan kini sedang giat untuk menambah baik pengangkutan awam bandar. Rakyat boleh melihat bukti usaha ini melalui kerja-kerja pembinaan yang sedang dilaksanakan khususnya projek penyambungan LRT dan MRT. Kerajaan berharap rakyat dapat bersabar sedikit terhadap kesulitan dan kesesakan lalu lintas yang sedang dialami. Ini adalah fenomena yang sementara. InsyaAllah, apabila semua projek ini siap, rakyat Malaysia kelak akan menikmati pengangkutan awam yang cekap dan antara yang terbaik di rantau ini.

34. Antara inisiatif yang telah pun dilaksanakan ialah penambahan tren enam gerabak bagi perkhidmatan tren Komuter KTM, perkhidmatan bas GoKL yang menawarkan perjalanan percuma serta pelaksanaan Sistem Maklumat Penumpang agar pengguna mempunyai gambaran yang lebih baik tentang masa menunggu sebelum ketibaan bas.

35. Menjejaki masa depan pula, rakyat boleh menjangkakan sistem keretapi laju yang akan menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura dalam masa 90 minit, jajaran MRT fasa kedua, landasan kereta api elektrik berkembar Ipoh - Padang Besar dan pembinaan Lebuhraya Pantai Barat. Pada analisis akhirnya, ini semua akan meningkatkan kualiti pengangkutan awam bandar seterusnya gaya hidup rakyat.

Tuan-tuan dan puan-puan,

NKRA Keenam, merujuk inisiatif Membanteras Rasuah

36. Rasuah mampu menghancurkan negara dan melemahkan integriti institusi nasional serta menjadi penghalang besar kepada wawasan negara. Menyedari hakikat ini, kerajaan tegas memulakan perang terhadap rasuah semenjak tahun 1967 apabila tertubuhnya Badan Pencegah Rasuah dan kini diperkukuhkan lagi dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau SPRM.

37. Hari ini, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang menjadikan usaha membanteras rasuah sebagai Penunjuk Prestasi Utama atau KPI negara.

38. Inisiatif NKRA Membanteras Rasuah telah menunjukkan keberkesanan apabila kedudukan Indeks Persepsi Rasuah oleh Transparency International negara telah bertambah baik enam anak tangga kepada kedudukan 54 pada tahun 2012 dan berada pada kedudukan ketiga dalam kalangan negara ASEAN.

39. Melalui penubuhan 14 Mahkamah Sesyen Khas dalam tempoh tiga tahun yang lalu, lebih 400 kes rasuah telah dibicarakan dan daripada itu hampir 260 kes telah berjaya diselesaikan pada akhir tahun 2012.

40. Selanjutnya, dalam usaha untuk meningkatkan ketelusan dan integriti proses pilihanraya, saya selaku Pengerusi Barisan Nasional telah menandatangani Ikrar Integriti Pilihanraya bagi memastikan PRU-13 bebas dan telus. Untuk itu, saya menyeru kepada semua parti politik supaya “walk the talk” dan mempunyai keberanian moral untuk menandatangani ikrar yang sama.


Tuan-tuan dan puan-puan,

NKRA Ketujuh, ialah Mengurangkan Jenayah

41. Bagi mempastikan rakyat hidup dalam keadaan aman dan sejahtera, Kerajaan telah melaksanakan prakarsa membanteras jenayah. Saya ingin melaporkan bahawa kita telah berjaya mengurangkan kadar jenayah sehingga 27 peratus dalam tempoh tiga tahun. Kerajaan akan mempastikan Polis DiRaja Malaysia akan ditingkat upaya dan distruktur sesuai dengan keperluan memerangi jenayah moden.

42. Pasukan polis akan di transformasi daripada hanya sebuah pasukan keselamatan kepada sebuah perkhidmatan kepolisan yang berorientasikan masyarakat. Jelasnya, perkhidmatan polis tidak akan berjaya tanpa sokongan rakyat.

43. Maka, saya ingin menggesa seluruh rakyat untuk berganding bahu dengan pihak polis dan pihak berkuasa yang berkenaan kerana keselamatan dan keamanan negara merupakan tanggungjawab bersama.


Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

44. Seperti mana yang saya sebutkan pada tahun lepas, hubungkait antara Model Baru Ekonomi, Prakarsa Pembaharuan Strategik, Program Transformasi Ekonomi, 12 NKEA dan 152 EPP bolehlah diumpamakan dalam analogi berikut:

45. Model Baru Ekonomi dan Prakarsa Pembaharuan Strategik bolehlah diibaratkan sebagai lebuhraya. Manakala ETP merupakan kenderaan yang akan menggunakan lebuhraya membawa kita ke destinasi akhir, iaitu sebuah negara maju berpendapatan tinggi. 12 NKEA di bawah ETP ialah bahagian-bahagian enjin kepada kenderaan tersebut.

46. Manakala EPP ialah bahan api atau “fuel” yang akan menggerakkan kenderaan ini. Untuk Malaysia menjadi sebuah negara maju, kesemua komponen termasuk kenderaan, enjin, bahan api dan lebuhraya hendaklah berada dalam keadaan yang terbaik.



Tuan-tuan dan puan-puan,

47. Dari segi pencapaian Program Transformasi Ekonomi pula, saya berbesar hati dan berasa bangga menyaksikan sektor swasta memainkan peranan yang penting, sejajar dengan aspirasi dan harapan kita.

48. Sejak pelancaran ETP pada lewat tahun 2010, kadar pertumbuhan pelaburan swasta telah berkembang lebih tiga kali ganda, mencatat peningkatan sebanyak 22% pada tahun 2012. Selari dengan matlamat ETP di mana sektor swasta memainkan peranan utama sebagai pemacu ekonomi negara, nisbah pertumbuhan pelaburan swasta terus mengalami peningkatan konsisten. Jika pada tahun 2009 jumlah pelaburan swasta hanya merangkumi 52 peratus, angka ini telah meningkat kepada 58 peratus pada tahun 2012.

49. Ini adalah bukti keyakinan sektor swasta yang semakin meningkat terhadap inisiatif transformasi nasional. Angka menunjukkan, pada tahun 2012, pelaburan swasta telah mengatasi sasaran dengan mencapai jumlah 139.5 bilion ringgit, dipacu oleh perbelanjaan modal yang tinggi dalam sektor pengilangan, perkhidmatan dan perlombongan.


50. Pelaburan swasta penting kerana ia mempengaruhi kadar pertumbuhan ekonomi negara. Kerancakkan pelaburan swasta yang lebih besar berkadar langsung dengan kadar pertumbuhan ekonomi negara yang lebih tinggi. Pertumbuhan akan menjana kekayaan nasional. Kekayaan yang terhasil ini akan membolehkan kerajaan menjayakan lebih banyak inisiatif yang memanfaatkan rakyat.

Tuan-tuan dan puan-puan,

51. Di antara pencapaian-pencapaian Bidang Ekonomi Utama Negara atau NKEA adalah:

• Pertama, bagi sektor pelancongan, bagi tahun 2011 dan 2012, jumlah pelancong yang melawat Malaysia ialah hampir 50 juta orang dengan jumlah PNK bernilai hampir 100 bilion ringgit.

• Kedua, dalam pembangunan Greater Kuala Lumpur, setakat 31 Disember 2012, projek My Rapid Transit atau MRT telah menawarkan 48 pakej kontrak berjumlah 19.8 bilion ringgit dan 45 peratus atau 8.9 bilion ringgit daripada jumlah keseluruhan telah diberi kepada kontraktor Bumiputera.

• Ketiga, bagi sektor minyak dan gas, projek RAPID di Pengerang bakal mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada 4,000 orang dan kerja-kerja pembinaan kepada 20,000 orang.

• Keempat, dalam sektor minyak sawit pula, kita telah berjaya menanam semula seluas kira-kira 113,000 hektar kelapa sawit.

• Kelima, bagi sektor kandungan dan infrastruktur komunikasi dan industri kreatif, sebanyak 547 juta ringgit, keluaran kreatif telah dieksport dan 157 ribu jam kandungan kreatif telah terhasil. Di antaranya adalah pembikinan filem bertajuk Life of Pi, telah berjaya meraih 4 kemenangan daripada 11 pencalonan di Academy Awards baru-baru ini yang melibatkan kepakaran kreatif anak tempatan.

• Keenam, untuk tempoh 2011 dan 2012, seramai 1,087 pemilik kedai runcit telah mendapat manfaat daripada menyertai program Transformasi Kedai Runcit atau TUKAR. Kedai-kedai yang menyertai program ini telah menyaksikan dalam tempoh 6 hingga 12 bulan selepas pelaksanaannya, purata jualan meningkat sebanyak 30 peratus.


52. Di atas angka-angka yang meningkat ini adalah keyakinan positif oleh pelabur-pelabur swasta kepada ekonomi negara kita. Ia diterjemahkan di dalam bentuk penciptaan peluang-peluang pekerjaan bernilai tinggi, peluang-peluang perniagaan kepada usahawan serta projek-projek komersial yang mampu memberi limpahan faedah kepada rakyat amnya.

53. Hasilnya, Pendapatan Negara Kasar per kapita negara telah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan. Jika kita imbau, sebelum inisiatif ETP bermula, PNK per kapita pada tahun 2009 ialah 6,700 dolar Amerika. Pada tahun 2012, angka ini telah meningkat sebanyak 49 peratus kepada 9,970 dolar Amerika. Trend ini akan menyaksikan Malaysia mencapai status sebuah negara berpendapatan tinggi mengikut takrifan Bank Dunia lebih awal daripada yang dijangkakan.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

54. Kejayaan meningkatkan taraf hidup ini perlu dilihat dari konteks bahawa pada tahun 1957 apabila negara mencapai kemerdekaan, PNK per kapita negara hanya 257 Dolar Amerika. PNK ialah ukuran utama yang digunakan di peringkat global bagi mengukur kemajuan atau kemunduran taraf hidup rakyat sesebuah negara.

55. Kadar PNK yang tinggi, berkadar langsung dengan taraf hidup yang juga tinggi. Begitu juga dengan PNK yang rendah. Selain daripada PNK, mekanisma lain yang digunakan untuk menilai taraf hidup rakyat sesebuah negara ialah Per Capita Purchasing Power Parity atau Pendapatan Per Kapita Berasaskan Kuasa Beli. Waima, mengikut kaedah ini pun, kuasa beli rakyat Malaysia adalah hampir dua kali ganda pendapatan per kapita yang ada.

56. Kesan langsung daripada peningkatan angka-angka ini boleh dilihat dan dirasai melalui perubahan gaya hidup rakyat. Sebagai contoh, kemampuan rakyat teramai untuk pergi melancong, mengerjakan umrah, memiliki lebih daripada satu kenderaan dan telefon pintar, pelaburan di dalam unit amanah dan hartanah serta pelbagai lagi.

57. Sehubungan ini juga, sehingga 31 Disember 2012, 149 projek telah diumumkan di bawah ETP sejak tahun 2010, dengan jumlah terkumpul sebanyak 211.34 bilion ringgit dalam pelaburan yang telah dimeterai. Hasil pencapaian ini, sumbangan PNK pada tahun 2020 dijangka mencecah 135.64 bilion ringgit dan sejumlah lebih 400 ribu pekerjaan dijangka dapat diwujudkan.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

58. Atas dasar inilah, maka Kerajaan telah mengenalpasti enam Prakarsa Pembaharuan Strategik untuk memangkin daya saing negara. Dalam bidang Modal Insan, Piawaian Antarabangsa dan Liberalisasi, mahupun dalam usaha merapatkan jurang, khususnya dari segi penglibatan Bumiputera dalam ekonomi. Kerajaan menyasarkan agar rakyat Malaysia seluruhnya menjiwai kepentingan daya saing dalam usaha memartabatkan negara.

59. Prakarsa Pembaharuan Strategik berkaitan Persaingan, Standard dan Liberalisasi, bertujuan membangunkan persekitaran perniagaan yang cekap dan berdaya saing di Malaysia. Antara pencapaian penting SRI pada tahun 2012 ialah penguatkuasaan Akta Persaingan 2010 dan kes pertamanya telah pun diselesaikan.

60. Manakala liberalisasi 17 subsektor telah berjaya dilaksanakan dan susulan daripada itu, subsektor ke-18, iaitu subsektor ukur bahan bakal diliberalisasikan pada tahun 2013 dan beberapa syarikat pelaburan berkaitan Kerajaan telah diapung dan dijual pada tahun 2012 bagi mengurangkan peranan Kerajaan dalam perniagaan. Mustahaknya, kesemua inisiatif ini akan membuka peluang dan mempermudahkan urusan perniagaan.
Rakyat yang dikasihi sekalian,

61. Kita berasa syukur kerana Malaysia terus mengukuhkan pelbagai tangga kedudukan di peringkat antarabangsa. Antara pengiktirafan yang telah diterima daripada institusi bertaraf dunia adalah seperti berikut:

62. Pertama, mengikut World Bank Ease of Doing Business Report 2013, secara keseluruhannya Malaysia merupakan negara ke-12 paling mesra perniagaan di dunia. Menurut laporan yang sama juga, Malaysia menduduki tangga pertama dari segi akses kepada kemudahan kredit.

63. Kedua, menurut Institute of Management Development di dalam laporan World Competitiveness Yearbook 2012/2013, Malaysia adalah negara ke-14 paling berdaya saing di dunia. Kedua-dua agensi tersebut juga meletakkan Malaysia di tangga keempat di dunia yang paling melindungi pelabur

64. Perunding pengurusan global AT Kearney mengeluarkan beberapa indeks yang menunjukkan pencapaian Malaysia sebagai negara ke-10 bagi Destinasi Menarik Pelaburan Langsung Asing dalam Indeks Keyakinan Pelaburan Langsung asing 2012. Malaysia turut diiktiraf sebagai negara ketiga di dunia bagi Lokasi Menarik bagi Destinasi Penyumberan Luar 2011 selepas India dan China.

65. Globe Shopper Index oleh Economist Intelligence Unit menunjukkan Kuala Lumpur sebagai pusat bandar membeli-belah kedua terbaik di Asia Pasifik.

66. International Living Magazine melaporkan Malaysia sebagai negara Ketiga terbaik untuk persaraan bagi tahun 2013.

67. Manakala, dalam pasaran modal pula, indeks KLCI Bursa Malaysia mencatat angka tertinggi iaitu 1,688 mata pada 31 Disember 2012. Ia telah menyaksikan kenaikan “market capitalisation” daripada 999 bilion ringgit pada Disember 2009 kepada 1.47 trilion ringgit atau peningkatan sebanyak 47 peratus. Ini bererti, sebanyak 466 bilion ringgit kekayaan telah berjaya dijana sejak semua inisiatif transformasi dimulakan. Sebagai peneraju kewangan Islam di dunia dan sebagai pemacu utama sukuk global pula, Malaysia juga telah menerbitkan sukuk yang bernilai 97.1 bilion dolar Amerika pada tahun 2012.

Tuan-tuan dan puan-puan,

68. Sesungguhnya, pengiktirafan-pengiktirafan global kepada Malaysia ini adalah satu testimoni kejayaan kepada prakarsa-prakarsa GTP dan ETP sejak ia dilaksanakan. Ia juga adalah testimoni bahawa kita berada di landasan yang betul. Sehubungan itu, saya bagi pihak kerajaan ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penjawat awam, pihak swasta dan rakyat Malaysia sekalian yang telah bertungkus-lumus menjayakan agenda besar transformasi untuk semua ini.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

69. Alhamdulillah ceritera Malaysia ialah cerita kejayaan. Ia cerita harapan yang mengatasi nujum kemusnahan. Namun kejayaan ini tidak mungkin tercipta tanpa gebar keselamatan serta kestabilan yang dihasilkan oleh Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan lain-lain agensi keselamatan negara.

70. Insiden keganasan di Lahad Datu menjadi semboyan peringatan bahawa kita sekali-kali tidak mampu mengambil mudah soal keselamatan. Keamanan dan kestabilan yang berpanjangan tidak harus menjadi sebab ketumpulan tahap kita berwaspada.

71. Tragedi ini telahpun mengorbankan nyawa sepuluh orang anggota pasukan keselamatan negara. Lapan orang daripada pasukan Polis DiRaja Malaysia dan mutakhir dua anggota tentera yakni Koperal Ahmad Hurairah Ismail yang berasal dari Pasir Mas dan Koperal Ahmad Farhan Ruslan dari Kota Bharu.

72. Kita menginsafi bahawa hasil pengorbanan pahlawan-pahlawan negara ini seperti mana pada era darurat dan insurgensi telah memungkinkan kemajuan dan kemakmuran kita nikmati hingga hari ini. Pengorbanan mereka bukan sia-sia, pengorbanan mereka bukan kecil, pengorbanan mereka bukan untuk diperlekehkan.

73. Oleh yang demikian, kepada pihak-pihak yang cuba untuk memperkecilkan sumbangan anggota keselamatan ini, saya ingin mengingatkan kepada mereka, belajarlah mengenang budi. Sewajarnya kita semua berterima kasih di atas jasa dan bakti mereka yang telah berjuang demi tanah air tercinta ini. Kenanglah ibu bapa yang meniti hari tua tanpa mereka lagi di sisi, kenangilah isteri-isteri yang menjadi balu serta anak-anak yang kehilangan belai manja bapanya. Kepada mereka kita berjanji bahawa negara ini akan sentiasa memuliakan bakti serta pengorbanan tersebut.

Tuan-tuan dan puan-puan,

74. Di sini juga saya ingin menegaskan bahawa negeri Sabah selama-lamanya merupakan sebahagian dari Persekutuan Malaysia. Rakyat Sabah ialah warganegara Malaysia. Untuk itu kita akan tetap mempertahankan kemerdekaan, kedaulatan serta keutuhan wilayah Malaysia daripada sebarang pencerobohan. Kita tidak akan membenarkan barang seinci pun bumi Malaysia dirampas oleh sesiapa. Inilah komitmen kerajaan yang ada hari ini.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

75. Mencapai status negara maju berpendapatan tinggi adalah matlamat kita. Apa yang mustahak, kita mahu menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi dengan acuan kita sendiri, di mana kebahagiaan individu, keluarga dan masyarakat menjadi asas utama bukan semata-mata angkatunjuk ekonomi. Oleh kerana itulah, Dasar Transformasi Negara digubal dan dilaksana bagi memastikan setiap rakyat Malaysia akan merasai nikmat kemajuan yang diusahakan.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

76. Saya bagi pihak kerajaan telahpun membentangkan laporan tentang perjalanan yang telah dilalui semenjak tiga tahun lalu. Saya yakin bahawa rakyat telahpun bukan sekadar dapat melihat, mendengar dan menilai apa yang telah berlaku, tetapi juga merasai kesannya.

77. Maka, kini, saatnya hampir tiba apabila rakyat akan membuat pilihan tentang halatuju negara untuk tempoh lima tahun akan datang. Pilihan ini ialah tentang kebolehpercayaan, tentang harapan, tentang masa depan, tentang kelangsungan ceritera kejayaan Malaysia dan tentang janji ditepati.

78. Dari itu, rakyat Malaysia perlu memilih antara kerajaan hari ini yang telah membuktikan bahawa ianya sebuah kerajaan yang boleh dipercayai, kerajaan yang mendokong harapan, kerajaan yang berusaha gigih mencipta masa depan yang lebih baik untuk anak-anak Malaysia, kerajaan yang akan meneruskan dasar-dasar yang terbukti berjaya ATAU pihak sebelah sana yang, apabila bercakap ibarat lidah tidak bertulang, apabila diberi amanah pula mereka mengambil mudah.

79. Kita juga bukan seperti mereka, apabila musim pilihan raya menerbitkan manifesto tetapi setelah menjadi kerajaan janji-janji itu dimungkiri. Sudahlah manifesto yang dibuat tidak ditunaikan, diterbitkan pula janji baru dalam bentuk buku jingga yang ternyata tidak dikaji dengan baik kemampuannya dan kesan kepada kewangan negara. Tidak cukup setakat itu, nampaknya, belum pun kering dakwat dokumen buku jingga, dikeluarkan pula manifesto baru.

80. Pucuk pangkalnya, jika janji lama dimungkiri, janji baru yang dibuat hampir mustahil untuk ditunaikan, maka, bolehkah rakyat berpegang kepada janji-janji baru mereka? Adakah sebenarnya mereka boleh dipercayai? Mampukah kita mempertaruhkan harapan masa depan anak cucu kita kepada mereka? Walhal dengan rekod yang buruk, adakah kita yakin mereka mampu mencipta masa depan yang lebih baik?

81. Oleh yang demikian, pilihlah kerajaan yang transformatif. Janganlah pilih kerajaan yang memusnah. Janganlah memilih kerajaan yang akan meruntuhkan masa depan kita dan anak-anak kita. Janganlah sesekali bereksperimen dengan masa depan kerana amat sukar untuk bangkit dan pulih dari kepunahan sekiranya ia melanda akibat pilihan yang salah.

82. Hakikatnya, kerajaan hari ini adalah kerajaan yang menjunjung kesejahteraan rakyat. Salah satu contoh terbaik iltizam ini ialah Bantuan Rakyat 1Malaysia. BR1M 1.0 dan 2.0 yang kerajaan berikan, telah sampai langsung ke tangan rakyat. Ia satu inisiatif yang mendatangkan manfaat yang besar kerana dapat membantu meringankan beban mereka yang berpendapatan rendah.

83. Sehubungan dengan itu, tuan-tuan dan puan-puan, sukacita saya mengumumkan kerajaan akan menjadikan dan meneruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia sebagai inisiatif tahunan.

Tuan-tuan dan puan-puan rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

84. Marilah kita bina masa depan yang gemilang untuk semua, marilah kita bina masa depan yang menjanjikan pulangan adil kepada yang bekerja keras, yang berkreativiti, yang berinovasi dan yang sanggup mengambil risiko. Marilah kita bina sebuah Malaysia yang menjanjikan taman kebahagiaan untuk semua.

Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Sekian, terima kasih.

- BERNAMA


Selasa, Mac 12, 2013

Ucapan Perdana Menteri di Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ketiga Belas (MAPPA XIII) 2013


Najib Tun Razak (kiri) menyampaikan amanat pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ketiga Belas (MAPPA XIII) bertemakan “Transformasi Perkhidmatan Awam, Merealisasikan Wawasan 2020" di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 11 Mac 2013. Seramai kira-kira 7, 000 orang anggota penjawat awam hadir pada majlis tersebut. - BERNAMA


TERLEBIH dahulu, marilah sama-sama mengangkat setinggi-tinggi rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya jua, kita dapat bertemu dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) kali ketiga belas pada pagi ini.

Pertama-tamanya jua, marilah kita yang beragama Islam menghadiahkan Ummul Kitab dan bagi yang bukan beragama Islam untuk bertafakur seketika, demi mengenang para pahlawan negara yang telah pergi mempertahankan kedaulatan, keselamatan dan keutuhan negara tercinta di bumi Sabah baru-baru ini. Al-Fatihah.

Kita sentiasa menginsafi bahawa, tidak mungkin Malaysia berada pada tahap pembangunan dan kemajuan seperti kala dan ketika ini, tanpa perjuangan mulia para patriot dari pasukan, agensi dan perkhidmatan keselamatan negara. Kata orang, berkorban apa sahaja, harta ataupun nyawa. Itulah bakti mulia kerana agama, bangsa dan negara.

Yakinlah... Yakinlah bahawa pengorbanan mereka tidak sia-sia. Mereka pergi dalam rangka menunaikan amanah dan menjalankan tanggungjawab. Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih dan rasa penghargaan yang tidak terhingga kepada setiap keluarga yang terlibat. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.

PENGUMUMAN INSENTIF/FAEDAH KEPADA ANGKATAN TENTERA MALAYSIA DAN POLIS DIRAJA MALAYSIA

Seperti kita maklum, sepanjang empat tahun pentadbiran, pelbagai inisiatif, perubahan dan penambahbaikan telah digembleng dalam usaha merealisasikan Wawasan 2020. Pastinya kerajaan akan terus merencana pelbagai program bagi meningkat produktiviti serta motivasi penjawat awam. Jelasnya, sebagai sebuah kerajaan yang cakna, kita komited kepada keperluan semasa dalam memberi nilai tambah kepada skim-skim perkhidmatan seiring arus perdana.

Maka, dengan mengambil kira Perkhidmatan Awam Am telah ditambah baik di bawah Sistem Saraan Baru iaitu SSB dan Sistem Saraan Malaysia yakni SSM, sukacita saya mengumumkan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2013, kerajaan bersetuju bahawa, pangkat-pangkat dalam perkhidmatan ATM dan PDRM kini disetarakan dengan Perkhidmatan Awam Am selaras perubahan lapisan-lapisan gred jawatan atau gred gaji. Ia mencakupi perubahan skop fungsi tugas, struktur pangkat juga kelayakan bagi skim perkhidmatan ATM dan PDRM. Sebagai contoh:

Pertama: Koperal dalam ATM dan PDRM yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 17, kini disetarakan dengan gred jawatan atau gred gaji 22 Perkhidmatan Awam Am.

Kedua: Sarjan dalam ATM dan PDRM yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 27, kini disetarakan dengan gred jawatan atau gred gaji 29 Perkhidmatan Awam Am.

Ketiga: Kapten ATM dan Penolong Penguasa Polis yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 41, kini disetarakan dengan gred jawatan atau gred gaji 44 Perkhidmatan Awam Am.

Keempat : Mejar ATM dan Timbalan Penguasa Polis yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 41, kini diletakkan dengan gred jawatan atau gred gaji baru iaitu 46A. dan;

Kelima: Kolonel ATM dan Penolong Pesuruhjaya Polis yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 48, kini disetarakan dengan gred jawatan atau gred gaji 52 Perkhidmatan Awam Am.

Sesungguhnya, kesetaraan ini dibuat bagi memastikan kedudukan ketiga-tiga perkhidmatan iaitu ATM, PDRM dan Perkhidmatan Awam Am sentiasa terpelihara di samping mengekalkan keharmonian antara perkhidmatan.

Hari ini negara akan terus belayar digerakkan angin Dasar Transformasi Negara menuju ke arah status sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Dasar Transformasi Negara yang ditunjangi prakarsa Pelan Transformasi Kerajaan, Pelan Transformasi Ekonomi, Pelan Transformasi Politik dan Pelan Transformasi Sosial ini sedang giat diatur gerakkan melalui pelbagai program yang disusun rapi.

Selanjutnya, berpayungkan falsafah pemandu 1Malaysia, Rakyat Didahulukan; Pencapaian Diutamakan, program dan sasaran ETP, GTP, PTP dan PTS ternyata telah memberikan impak yang sangat positif kepada rakyat seluruhnya. Kekuatan usaha kolektif kerajaan, pentadbiran awam, pihak swasta dan rakyat ini telah membolehkan kita secara tali-menali melawan arus kemerosotan ekonomi global dengan pertumbuhan ekonomi yang rancak berkembang secara purata pada kadar lebih 5% sejak tahun 2010. Sehubungan itu, Insya-Allah pada 19 Mac ini saya akan membentangkan sebuah “report card" atau kad laporan kepada rakyat Malaysia.

Sesungguhnya penjawat awam menyumbang secara besar kepada kejayaan penggubalan sebarang dasar oleh anggota pentadbiran. Begitu juga dalam memastikan kejayaan pelaksanaan setiap inisiatif yang dicetuskan.

Pencapaian Perkhidmatan Awam

Di bawah payung falsafah rakyat didahulukan pencapaian diutamakan juga, kerajaan telah memperkenalkan beberapa program baru bagi memaksimumkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Dua contoh terbaik ialah pertamanya, melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan iaitu prakarsa Pusat Transformasi Bandar atau UTC dan Pusat Transformasi Luar Bandar atau RTC yang mengumpulkan pusat perkhidmatan dan ekonomi secara sehenti yang telah menjadi kenyataan dalam tempoh begitu singkat dengan perbelanjaan minimum. Khidmat yang memberi kemudahan kepada rakyat ini dibuka selepas waktu bekerja sehingga malam. Keduanya, pengenalan 1MOCC atau 1Malaysia One Call Centre bagi memudahkan hubungan rakyat dengan pihak penjawat awam tanpa mengira jabatan mahupun kawasan.

Pengenalan inisiatif-inisiatif baru ini menandakan pergerakan dalam pemikiran serta falsafah tentang bentuk perkhidmatan yang disediakan kepada rakyat. Jadinya, kerangka baru pemikiran perkhidmatan awam harus menjurus kepada bentuk perkhidmatan yang meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

Sistem Nilai Baru Perkhidmatan Awam

Kerajaan juga tanpa jemu sentiasa menyeru penjawat awam agar memberikan khidmat terbaik menepati peredaran dan kehendak masa. Sesungguhnya, penjawat awam diukur keberkesanannya bukan sahaja melalui kecanggihan peralatan digunakan bahkan merangkumi budaya, nilai, budi bahasa serta motivasi dalam menjalankan dan menyampaikan tugas.

Tentunya, matlamat utama penjawat awam ialah kesejahteraan rakyat. Semboyan utama Perkhidmatan Awam adalah perkhidmatan untuk rakyat. Rakyat mestilah terus didekati dan disusuri, difahami dan difahamkan, didengar keluh kesahnya serta dirasai setiap denyut nadinya supaya dapatlah bagi kita memberikan perkhidmatan terbaik untuk mereka.

Setiap penjawat awam adalah agen transformasi paling hadapan dalam perantaraan di antara rakyat dan kerajaan. Perkhidmatan Awam yang bertunjangkan dan berpaksikan rakyat diikat hubungan dengan tersemainya kebolehpercayaan dalam memberikan khidmat paling murni tanpa mengira tempat, masa dan rupa.

Cabaran Perkhidmatan awam

Tahun 2020 sudah semakin menghampiri kita. Sebagai warga global yang berdepan dengan realiti ledakan maklumat serta kemajuan komunikasi era terkini kita perlukan kebijakan untuk menanganinya.

Secara sedar ataupun tidak, setiap tindakan dan keputusan penjawat awam hari ini diperhatikan, diperhalusi, diperiksa dan dianalisis serta dikritik bukan sahaja secara dalaman malah di luar negara melalui kanta alam maya. Oleh itu dalam era maklumat terbuka ini tidak ada individu, jabatan, kementerian mahupun institusi yang terlepas daripada pemerhatian mereka.

Namun integriti kita sebagai penjawat awam mestilah dipelihara bagi memastikan ketirisan wang atau ketirisan maklumat yang menjejaskan keutuhan perkhidmatan awam tidak berlaku. Janganlah sampai diibaratkan pepatah lama, membaling batu sembunyi tangan atau menjadi gunting dalam lipatan terhadap negara. Saya ingin mengingatkan, jauhilah tiga penyakit yang boleh menjejaskan wibawa dan keberkesanan sektor awam. Penyakit-penyakit tersebut adalah rasuah, salah guna kuasa dan membocorkan maklumat.

Setiap tahun kerajaan memperuntukkan sejumlah bajet yang besar untuk belanja pembangunan. Jika dibelanjakan dengan betul dan menepati jadual yang telah direncanakan, maka ia akan mendatangkan manfaat yang maksimum kepada rakyat dalam mencerminkan kerajaan telah menunaikan tanggungjawabnya.

Namun, apabila membuat tinjauan-tinjauan mesra, turun padang mendekati rakyat, sering kali sampai kepada saya rungutan orang ramai bahawa permohonan-permohonan mereka kepada agensi-agensi berkaitan telah ditolak atas alasan bajet tidak mencukupi. Walaupun memang benar ada kekangan kemampuan kewangan kerajaan, apa yang menghairankan terdapat peruntukan-peruntukan yang telah diluluskan dipulangkan semula kerana tidak diuruskan mengikut jadual.

Oleh yang demikian, setiap penjawat awam hari ini berdepan dengan cabaran untuk mencari titik keseimbangan antara membangunkan kapasiti, ilmu pengetahuan, kemahiran dan kompetensi yang baru dengan konsep yang lama.

Keberkesanan perkhidmatan awam bukan sahaja terletak kepada keberkesanan pelaksanaan sesuatu dasar semata-mata tetapi juga bergantung pada kejayaan berkomunikasi yang menentukan sejauh mana penerimaan masyarakat kepada sesuatu dasar itu dan kejayaan menangani kesan-kesan dari dasar tersebut.

Dalam era terbuka hari ini, dengan maklumat yang bersifat “real time", kepimpinan sektor awam tidak boleh lagi mengelak daripada berhadapan dengan media atau orang ramai. Seorang pemimpin sektor awam yang baik adalah seorang mampu untuk berkomunikasi dengan berkesan, dan mampu menimbulkan keyakinan umum terhadap dasar-dasar, prakarsa dan tindakan kerajaan.

Penyusunan Semula Prioriti Bandar dan Luar Bandar

Apabila kita mula-mula mencapai kemerdekaan hampir 70 peratus (%) penduduk Malaysia tinggal di luar bandar dan lebih 60% warganegara berada di bawah garis kemiskinan. Hasil usaha berterusan kerajaan, kemiskinan tegar telah berjaya diletakkan dalam lipatan sejarah manakala kemiskinan relatif sentiasa ditangani secara sistematik. Perancangan rapi disertai dengan pelaksanaan yang bijaksana membolehkan pembangunan dinikmati segenap lapisan rakyat di bandar mahupun di desa.

Hari ini hampir 70% warga Malaysia merupakan penduduk bandar. Realiti baru hasil kejayaan kita ini memerlukan penyusunan semula keutamaan kita dalam menangani isu mengkhidmati bandar dan luar bandar. Penyusunan semula keutamaan ini juga memerlukan perubahan yang selari dari segi set minda dan pemikiran penjawat awam. Ini juga menuntut perubahan struktur dalam organisasi.

Selanjutnya, dalam menjaga kebajikan penjawat awam yang bertugas di kawasan bandar, saya telah mengarahkan pihak PR1MA supaya menyediakan skim rumah mampu milik yang akan dibina di atas tanah-tanah kerajaan. Secara amnya, ia ditawarkan pada harga minimum 20% lebih rendah daripada harga pasaran. Diharapkan ini dapat meringankan beban penjawat awam.

Pepatah berbunyi, lidah itu tidak bertulang. Baru-baru ini, ada janji dibuat oleh pihak tertentu dalam manifesto mereka kononnya hendak melihat dan menyusun semula perkhidmatan awam. Hatta, ada ura-ura mahu mengecilkan saiz perkhidmatan awam. Kata lainnya, mereka mahu memberhentikan sebahagian besar penjawat awam. Siapakah yang mereka mahu berhentikan? Mahu berhentikan para guru? anggota polis? Anggota tentera? Pensyarah? Para doktor? Jururawat? Kumpulan pelaksana? Siapa?

Pokoknya, biarlah saya tegaskan di sini, dalam usaha untuk menambahbaik perkhidmatan awam ini, mereka baru setakat nak berjanji sedangkan hakikatnya kerajaan ini telah pun dan sedang berbuat yang terbaik untuk perkhidmatan awam supaya perkhidmatan awam terus bersifat inovatif, kreatif, produktif lagi berprestasi tinggi.

MENGHARGAI PENJAWAT AWAM

Kerajaan senantiasa peka terhadap beban dan tanggungan penjawat awam apabila berdepan dengan cabaran hidup semasa. Dalam tempoh antara 2007 hinggalah 2012 gaji asas penjawat awam gred 1 hingga 40 telah dinaikkan kepada 48%; sementara kumpulan 41 hingga 54 telah merasai peningkatan sebanyak 28% dan di peringkat JUSA 14.5%. Sekali lagi saya nak nyatakan, ini bukan sekadar janji atau seumpama menanam tebu di bibir. Ini bukan sekadar memintal impian-impian kosong. Tetapi inilah janji-janji kita yang telah dikotakan.

Dalam usaha berterusan bagi menyediakan kerangka kukuh yang relevan dan menyeluruh, serta seiring dengan Program Transformasi Perkhidmatan Awam, kerajaan turut bersetuju untuk mengkaji semula skim-skim perkhidmatan dalam sektor awam. Sebagai permulaan, 81 skim perkhidmatan yang telah ditambah baik tetapi tidak dapat dilaksanakan sebelum ini akan dirundingkan semula dengan Ketua Perkhidmatan atau Ketua Jabatan yang terlibat. JPA telah pun mengadakan perbincangan dengan Ketua Perkhidmatan atau Ketua Jabatan yang melibatkan antaranya skim perkhidmatan Bakat, skim perkhidmatan Juruteknik, skim perkhidmatan Pegawai atau Penolong Pegawai dan Pembantu Galian, serta skim perkhidmatan Tukang K1 serta K2.

Seterusnya, kerajaan juga bersetuju untuk menambah baik pelaksanaan urusan kenaikan pangkat Kumpulan Pelaksana dengan memendekkan tempoh kenaikan pangkat berdasarkan tempoh khidmat daripada 15 tahun kepada 13 tahun. Pelaksanaan penambahbaikan ini adalah berasaskan kecemerlangan yang akan memberi manfaat kepada lebih 17,000 penjawat yang layak. Kriteria penilaian kecemerlangan penjawat awam yang menjadi asas untuk pertimbangan kenaikan pangkat berdasarkan tempoh khidmat ini, akan dimuktamadkan bersama dengan semua pihak berkepentingan.

Di samping itu, kerajaan juga secara prinsip bersetuju bagi meluaskan kaedah pelaksanaan kenaikan pangkat iaitu, Kenaikan Pangkat Laluan Pantas, Kenaikan Pangkat Laluan Pakar Bidang dan Kenaikan Pangkat Laluan Kemahiran Tinggi dalam menambah baik laluan kemajuan kerjaya penjawat awam dalam jangka panjang. Kaedah pelaksanaannya termasuk pembangunan kriteria dan struktur panel khas untuk ketiga-tiga laluan baru tersebut akan diperincikan sebelum dilaksanakan.

Dengan mengambil kira terdapat seramai 182,434 penjawat awam yang berada di gaji maksimum pada tahun 2013 dan tidak dapat menikmati kenaikan gaji tahunan, maka kerajaan bersetuju berkuat kuasa 1 Januari 2013 semua struktur gaji maksimum dalam Jadual Gaji Minimum-Maksimum diperuntukkan tambahan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) sebanyak 3 KGT.

Ini bagi membolehkan semua pegawai yang berada di gaji maksimum mendapat faedah Pergerakan Gaji Tahunan mulai tahun 2013, tertakluk kepada peraturan yang berkuat kuasa. Pendekatan ini sebagai menghargai penjawat-penjawat awam yang masih produktif dan berprestasi. Semoga inisiatif ini dimanfaatkan oleh penjawat-penjawat awam bagi meningkatkan motivasi mereka untuk terus memberi sumbangan kepada negara.

Memahami permasalahan struktur dan anomali gaji yang dihadapi dalam SSM, antaranya kadar KGT Gred 1 hingga Gred 11 yang sama, dan gaji gred naik pangkat tidak dapat tampung kenaikan pangkat, secara prinsipnya kerajaan bersetuju penambahbaikan dilaksanakan sebelum akhir tahun 2013 berpandukan kepada prinsip-prinsip saraan sejagat iaitu kadar upah untuk kerja, relativiti dan pariti perkhidmatan serta “pay for performance".

Mengambil kira pula usaha-usaha penambahbaikan tersebut hanya akan dapat diselesaikan sebelum akhir tahun ini, maka kerajaan bersetuju untuk memberi kepada semua penjawat awam faedah pemindahan gaji sebanyak 1 KGT yang diawalkan pada 1 Julai 2013. Maknanya setiap penjawat awam akan mendapat antara RM80 hingga RM320. Langkah ini akan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1.5 bilion. Ini sejajar dengan falsafah dipegang oleh kerajaan yang senantiasa menghargai jasa dan sumbangan penjawat awam dalam memberikan perkhidmatan kepada negara.

Sebagai satu dasar, sekiranya tiada pelarasan gaji atau semakan dibuat, kerajaan dalam memastikan penjawat awam sentiasa berprestasi tinggi dan berproduktiviti, bersetuju Pergerakan Gaji Khas sebanyak 3% diberi kepada pegawai yang mencapai dan berada di gaji maksimum, tertakluk memenuhi syarat pergerakan gaji tahunan termasuk syarat prestasi yang ditetapkan.

Kepada para pegawai kontrak yang berjumlah hampir 50,000 orang, saya mendengar keluh kesah tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Kerajaan ini adalah kerajaan yang prihatin terhadap tuan-tuan dan puan-puan. Untuk itu, sukacita saya mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju, bagi pegawai yang tamat kontraknya pada 31 Disember 2013, kontrak mereka akan disambung selama setahun lagi, sementara kajian secara menyeluruh dilaksanakan.

Semua inisiatif yang saya umumkan tadi adalah sebahagian daripada sistem saraan baru yang sedang dilaksanakan. Berdasarkan kepada perubahan-perubahan yang sedang dilaksanakan, dan input daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, sukacita saya umumkan sistem saraan yang baru ini dinamakan Sistem Saraan Transformatif atau SST

PENUTUP

Tidak lama lagi sebagai rakyat Malaysia yang telah mendaftar, kita akan diminta menunaikan amanah sebagai warganegara bagi memilih kerajaan yang diingini. Para penjawat awam sebagai warganegara Malaysia juga bebas memilih namun saya ingin menyeru kepada para penjawat awam khasnya dan rakyat Malaysia amnya agar menggunakan kuasa ini dengan sebijak mungkin.

Amat sukar untuk menilai keikhlasan, namun kita berupaya untuk mengukur kejujuran dengan melihat prestasi rekod mereka yang berjanji. Kalau sejarah menunjukkan janji yang lama pun tidak mampu ditepati atau ditunaikan, maka berhati-hatilah dengan janji baru.

Lantas, kalau dilihat rekod mereka yang lepas dari segi menepati janji ia amatlah buruk. Bagi mereka manifesto bukannya janji. Dari yang demikian, kalau manifesto bagi mereka bukannya boleh dianggap janji, maka buat apa kita percaya dengan kandungan manifesto mereka itu.

Sebaliknya, jika mahu, Kerajaan Barisan Nasional boleh saja mengambil sikap populis dengan menjanjikan pelbagai perkara seperti kenaikan gaji dan elaun yang tinggi tanpa mengira kemampuan kewangan kerajaan. Ya, tentunya kerajaan ini akan menjadi lebih popular. Ya, semua pihak akan merasa seronok, semua orang akan berasa teruja, tetapi itu hanyalah buat seketika.

Sebenarnya, kita perlu berfikir dengan waras apa akan terjadi kemudian hari nanti akibat daripada tindakan populis itu. Oleh yang demikian, pucuk pangkalnya, kita akan istiqamah menjadi sebuah kerajaan yang adil dan penuh bertanggungjawab, tanpa memperjudikan apa-apa keputusan yang boleh merosakkan kedudukan dan kewangan negara.

Akhir kata saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah di atas segala usaha gigih semua penjawat awam bagi memastikan kejayaan Dasar Transformasi Nasional. Tanpa tuan-tuan dan puan-puan, tidak mungkin kita akan berjaya meneruskan agenda nasional yang mulia ini.

Ketahuilah, bukan semua kerajaan sama. Ada kerajaan yang bertanggungjawab ada yang tidak, ada kerajaan yang berkesan dan cekap dan ada juga kerajaan yang tidak, ada kerajaan yang memanfaatkan rakyat dan ada kerajaan yang mendatangkan kesengsaraan kepada rakyat. Renung-renung dan fikir-fikirkanlah. Buatlah keputusan yang sebetulnya. Mudah-mudahan kita diberi petunjuk-Nya.

Sumber : UTUSAN




Rabu, April 04, 2012

Teks Ucapan Perdana Menteri bentang GTP dan ETP 2011

Berikut adalah teks ucapan penuh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan; Program Transformasi Ekonomi (ETP) 2011 pada 2 April 2012.

Rakyat Malaysia sekalian,

1.           Ceritera kejayaan Malaysia merupakan ceritera yang telah di tinta emas. Ia telah dilakar oleh sumbangan semua rakyat Malaysia dari Negeri Perlis hinggalah ke Sabah. Hakikatnya, ia hasil sumbangan warga tiga belas buah negeri dan tiga Wilayah Persekutuan yang walaupun dipisahkan secara fizikalnya oleh Laut Cina Selatan, namun disatukan roh dan semangatnya oleh kehendak untuk hari ini yang lebih baik daripada hari semalam dan hari esok yang penuh dengan harapan di bawah lembayung kibaran jalur gemilang.

2.           Kejayaan ini hasil sumbangan usahawan kecil, sederhana dan besar yang berani mengambil risiko, ia hasil sumbangan petani, pesawah, pekebun, peladang, penternak dan nelayan yang gigih menggunakan kudrat, ia hasil sumbangan para guru, pensyarah, wartawan, karyawan dan cendekiawan yang mendidik serta memberi kesedaran, ia hasil pengorbanan anggota tentera dan polis yang setia mempertaruhkan jiwa dan raga demi keselamatan negara tercinta, ia hasil sumbangan penjawat awam, pekerja swasta, pekerja kolar putih, biru dan buruh yang merupakan roda yang menggerakkan pembangunan negara, pendek kata kejayaan nasional adalah kejayaan yang dibina semua warga Malaysia.

3.           Tugas kita hari ini sebagai generasi baru Malaysia yang mewarisi watan daripada generasi terdahulu teramat berat, kita dipanggil semboyan pertiwi bagi meneruskan tugas mulia membina negara bangsa Malaysia. Kita berdiri di atas bahu para patriot negara, bahu-bahu gergasi para bapa pengasas Malaysia. Kita berhadapan dengan amanah dan cabaran bagaimana membina di atas kejayaan sedia ada di samping meneruskan proses perubahan dan pembaharuan nasional.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

4.           Tiga tahun lalu, saya berdiri di hadapan tuan-tuan, puan-puan, saudara dan saudari bagi menyampaikan ucapan sulung saya selaku Perdana Menteri Malaysia ke-6.

5.           Di dalam ucapan sulung tersebut, saya telah menggariskan prinsip yang akan memandu hala tuju kerajaan pimpinan saya dalam bergerak ke hadapan, prinsip yang dimaksudkan ialah 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

6.           Falsafah asas yang telah saya dan rakan-rakan pilih menjadi teras kerajaan ini, ialah falsafah yang merai dan menuil kemajmukan Masyarakat Malaysia yang sedia ada. Ia menjunjung harapan mereka untuk membentuk masa hadapan yang lebih baik. Falsafah ini terbentuk hasil daripada proses merasai denyut nadi rakyat, menggarap aspirasi serta mendengar keluh kesah mereka.

7.           Ia dibentuk bagi menangani tiga cabaran utama era globalisasi dan era dunia tanpa sempadan, iaitu pertama, dalam mengukuhkan perpaduan masyarakat majmuk Malaysia. Kedua, bagi membentuk sistem penyampaian kerajaan yang lebih mendakap aspirasi rakyat dan ketiga, mengeluarkan Malaysia dari perangkap gejala negara berpendapatan sederhana yang telah melanda banyak negara-negara lain di dunia, di mana kadar pertumbuhan semakin perlahan dan pembangunan menjadi statik malahan dalam kes yang ekstrem ia mula menjadi regresif.
Rakyat Malaysia yang dihormati

8.           Sebarang perubahan dan pembaharuan yang ingin kita bawa, wajib berasaskan premis bahawa sebagai negara yang majmuk survival kita bergantung kepada keberterusan keutuhan perpaduan nasional yang didasarkan kepada keyakinan bahawa kepelbagaian yang kita miliki merupakan sumber kekuatan bukannya kelemahan.

9.           Kita perlu memanfaatkan bakat yang terbaik dari kolam bakat kebangsaan bagi membangunkan negara serta menambah kekayaan nasional tanpa mengira ras dan kepercayaan penyumbang tersebut. Perkiraan pertama dan terakhir seharusnya adakah mereka warganegara yang mampu menyumbang. Sepanjang lipatan sejarah pembangunan negara Malaysia, dari sebuah negara pertanian berpendapatan rendah kepada negara perindustrian berpendapatan sederhana tinggi, ia telah menyaksikan sumbangan mereka yang datang dari semua kaum dan semua kepercayaan.

10.        Menjadi keyakinan yang telah saya nyatakan secara terbuka bahawa era kerajaan mengetahui segala-galanya, era kerajaan memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan sudah berakhir. Menginsafi hakikat ini, dalam menggubal komponen pertama Dasar Transformasi Nasional, iaitu Program Transformasi Kerajaan atau GTP, kita telah mewujudkan makmal-makmal khusus bagi mendapat maklum balas daripada rakyat, tentang apakah yang sebenarnya menjadi urutan keutamaan mereka.

11.        Hasil daripada merundingi rakyat, sebanyak 7 bidang keberhasilan utama atau NKRA telah dikenal pasti untuk dilaksanakan. Bagi memastikan pencapaian KPI di bawah NKRA ini akan mampu dicapai mengikut jadual atau lebih pantas, maka kerajaan telah mengambil keputusan untuk menggunakan strategi lautan biru kebangsaan atau “national blue ocean strategy” di dalam beberapa NKRA.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

12.        Pada malam ini, genaplah 3 tahun pentadbiran saya. Saya berdiri pada malam ini bagi melaporkan pada tuan-tuan dan puan-puan apa yang telah kita capai setelah perencanaan yang rapi dan pelaksanaan yang berstrategi.

13.        NKRA yang diberi keutamaan, adalah untuk menangani kos sara hidup. Kerajaan prihatin bahawa rakyat terhimpit akibat tekanan kos sara hidup yang semakin hari semakin meningkat. Ia melanda bukan sahaja penduduk bandar, tetapi juga penduduk luar bandar. Hakikatnya, semua segmen warganegara terkesan olehnya. Bagi meringankan bebanan ini, kerajaan telah merangka pelan jangka pendek, sederhana dan panjang bagi menanganinya.

14.        Antara langkah jangka pendek bersifat “one off” yang telah dilaksanakan bagi tahun 2012 ialah Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M, sebanyak RM 500 yang memanfaatkan hampir 4 juta isi rumah negara yang berpendapatan di bawah RM3 000.

15.        Tidak cukup dengan bantuan BR1M, kerajaan juga memberikan bantuan persekolahan RM 100 untuk setiap pelajar sekolah rendah dan menengah. Bantuan ini telah memanfaatkan 5.3 juta orang pelajar sekolah seluruh negara. Bagi pelajar Institut Pengajian Tinggi dan Tingkatan 6 pula, mereka tidak dilupakan. Baucar buku bernilai RM200 telah disediakan yang telah memanfaatkan 1.3 juta orang pelajar. Semua bantuan ini melibatkan peruntukan hampir RM 3 bilion.

16.        Kerajaan juga baru-baru ini telah mengumumkan kenaikan gaji 7 hingga 13 peratus bagi 1.4 juta orang kakitangan sektor awam yang telah memanfaatkan hampir 4 juta orang rakyat Malaysia. Manakala bagi sektor swasta, saya akan mengumumkan pelaksanaan gaji minimum pada akhir bulan ini.

17.        Untuk langkah jangka sederhana, kerajaan telah memperkenalkan beberapa prakarsa bagi mengurangkan tekanan kos hidup antaranya Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia, Menu Rakyat 1Malaysia serta pembekuan kenaikan untuk tempoh 5 tahun harga tol di Lebuh Raya Utara-Selatan dan Lebuh Raya Pantai Timur serta penghapusan tol di beberapa laluan seperti di Lebuh Raya Cheras- Kajang dan Lebuh Raya Connaught.

18.        Untuk tempoh jangka panjang, menyedari bahawa perumahan merupakan komponen terbesar kos sara hidup, maka kerajaan telah memperkenalkan Skim Perumahan 1Malaysia atau PR1MA untuk membina perumahan mampu milik di kawasan Bandar bagi golongan pertengahan, manakala untuk golongan berpendapatan rendah skim seperti Projek Perumahan Rakyat di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan di tingkat giatkan lagi. Bagi perumahan kawasan luar bandar, pembinaan rumah yang mencukupi akan diterajui oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB). Kerajaan juga tidak melupakan perumahan bagi golongan nelayan. Bagi tahun 2012 sebanyak RM300 juta telah diperuntukkan di bawah Tabung Khas Perumahan Nelayan untuk membina dan membaik pulih rumah.

19.        Selain daripada semua inisiatif di atas, Kerajaan juga komited untuk meneruskan dasar subsidi yang terpilih melibatkan makanan seperti beras, gula, minyak masak dan tepung gandum, hasil petroleum termasuk minyak kereta, diesel dan gas memasak. Kerajaan juga memberikan subsidi bil elektrik bagi 1 juta isi rumah yang melibatkan bil bernilai RM20 ke bawah. Segala subsidi ini membabitkan peruntukkan sebanyak lebih RM30 bilion setahun.

20.        Kerajaan yang sedia ada ialah kerajaan yang berkebajikan dan bertanggungjawab. Pengurusan ekonomi serta hasil secara berhemah telah memungkinkan lebih RM 30 bilion diperuntukkan setiap tahun untuk subsidi secara langsung bagi mengurangkan bebanan hidup rakyat serta hampir RM 3 bilion untuk berian terus bagi tahun 2012.

Rakyat Malaysia sekalian,

Keduanya, NKRA yang bermatlamat mengurangkan kadar jenayah.

21.        Kerajaan telah mengambil langkah inovatif dan kreatif melalui strategi lautan biru (national blue ocean strategy) untuk meningkatkan jumlah anggota polis terutamanya di kawasan-kawasan panas. Strategi ini nyata berkesan di mana kadar jenayah jalanan telah berjaya dikurangkan sebanyak 39%, manakala jenayah keseluruhan telah berkurang sebanyak 11% semenjak tahun 2009.

22.        Usaha mengurangkan kadar jenayah jalanan telah menyaksikan era baru kerjasama antara Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Di Raja Malaysia, di mana pusat-pusat latihan tentera sedia ada telah dimanfaatkan untuk melatih juga anggota-anggota polis. Kesannya, dengan kos yang minimum lebih banyak anggota polis boleh dilatih dengan kadar lebih pantas, seterusnya diatur gerak ke kawasan-kawasan yang memerlukannya. Di bawah strategi lautan biru ini juga rondaan bersama anggota polis dan tentera serta anggota RELA dan Jabatan Pertahanan Awam yang dilatih khusus serta dikawal selia oleh pihak PDRM di laksanakan bagi tujuan pencegahan jenayah. Sebagai sebahagian daripada langkah mengurangkan kadar jenayah ini juga, teknologi inovatif dan moden seperti pemasangan CCTV akan di tingkat luaskan.

Ketiga, NKRA yang bermatlamat meningkatkan pencapaian pelajar.

23.        Buat pertama kalinya dalam sejarah Negara, pendidikan peringkat rendah dan menengah adalah percuma. Kerajaan memperuntukkan perbelanjaan yang besar setiap tahun untuk bidang pendidikan. Hasilnya, 77% daripada anak-anak kita telah mendapat peluang mengikuti pembelajaran peringkat pra-sekolah berbanding 67%, 2 tahun yang lalu. Kerajaan menyedari anak-anak ialah permata Negara. Pendidikan seawal mungkin akan menjamin mereka mendapat kelebihan persaingan dalam kehidupan masa depan.

24.        Kerajaan juga menyedari peri pentingnya peranan guru dalam memastikan sistem pendidikan yang berkualiti. Menyedari hakikat itu, saya telah pun mengumumkan laluan karier perguruan yang lebih baik berasaskan sistem kenaikan pangkat “time based” dalam Bajet 2012 dan mengumumkan jaminan penerusan komitmen tersebut dalam ucapan saya kepada anggota perkhidmatan awam baru-baru ini.

Keempat, NKRA yang bermatlamat mempertingkatkan infrastruktur asas luar bandar.

25.        Kerajaan tidak pernah melupakan penduduk luar Bandar. Keprihatinan kerajaan ini terbukti apabila pada Tahun 1959 Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar telah ditubuhkan. Semenjak 3 tahun yang lalu, usaha untuk mempertingkatkan kemudahan asas luar bandar telah diberikan nafas baru dengan penekanan ke Negeri Sabah dan Sarawak.

26.        Setakat ini, hampir 1000 kilometer jalan luar Bandar telah dibina. Dalam sejarah negara, ini merupakan jumlah kilometer jalan terpanjang yang pernah dibina dalam tempoh 2 tahun. Sebagai perbandingan, panjangnya melebihi Lebuh Raya Utara-Selatan sedia ada. Menggunakan strategi lautan biru, Angkatan Tentera Malaysia melalui Projek Jiwa Murni telah membantu dalam pembinaan jalan-jalan luar Bandar ini. Contohnya, Long Lopeng ke Ba’kelalan, Kuala Medalam ke Medamit, Limbang dan Kampung Saeh, Bekenu, Miri.

27.        Semenjak pelaksanaan NKRA ini tiga tahun yang lalu, sebanyak 27 ribu lagi isi rumah luar bandar mendapat nikmat bekalan elektrik dan lebih 70 ribu lagi isi rumah pula mendapat bekalan air yang bersih. Hasil langkah-langkah ini telah meningkatkan akses rakyat Malaysia kepada air bersih. Bagi negeri Sabah peningkatan melibatkan 8% membabitkan lebih 150 ribu penduduk. Bagi negeri Sarawak, peningkatan ialah sebanyak 5.3% yang membabitkan lebih 100 ribu penduduk. Manakala bagi negeri-negeri di Semenanjung, peningkatan ialah sebanyak 3.6% yang membabitkan lebih 250 ribu penduduk. Bagi bekalan elektrik pula, negeri Sabah dan Sarawak menunjukkan peningkatan sebanyak 6.8% dan 6.2%,  yang memanfaatkan lebih daripada 230 ribu penduduk.

28.        Bagi merancakkan lagi pembangunan luar Bandar, Kerajaan telah melancarkan Program Transformasi Luar Bandar sebagai sebahagian daripada Dasar Transformasi Nasional. Di bawah program ini, Pusat- Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) telah dan bakal didirikan. Pusat RTC pertama telah dilancarkan di Gopeng, Perak. Manakala RTC yang berikutnya akan dilancarkan di Kota Bharu dan beberapa buah lokasi yang telah dikenal pasti.

Rakyat Malaysia yang dihormati,

Kelima, NKRA yang bermatlamat mempertingkatkan pengangkutan awam bandar.

29.        Bagi meningkat kualiti kehidupan rakyat terutama di kawasan bandar, kerajaan akan melaksanakan beberapa projek besar pengangkutan awam. Projek paling utama ialah projek MRT yang merupakan projek pengangkutan awam bandar jangka panjang yang paling komprehensif dalam sejarah pengangkutan awam negara. Fasa pertama projek ini dijangka siap dalam tempoh 5 tahun akan datang.

30.        Sementara itu, kerajaan telah pun mengambil tindakan untuk meningkatkan sistem pengangkutan LRT dengan penambahan dari gerabak 2 koc kepada gerabak 4 koc, dan pemanjangan kedua-dua laluan Kelana Jaya dan Ampang Jaya. Pemanjangan kedua-dua laluan ini dijangka akan memanfaatkan lebih 500 ribu pengguna sehari semasa waktu puncak.

31.        Bagi perkhidmatan komuter KTM pula, koc-koc baru telah pun dibeli dan akan diperoleh secara berperingkat. Ini akan meningkatkan mutu dan keselesaan perkhidmatan komuter. Langkah-langkah ini dijangka akan meningkatkan keselesaan kepada hampir 100 ribu pengguna harian. KTM juga kini dalam proses mempersiapkan laluan berkembar dan proses elektrifikasi laluan Ipoh-Padang Besar.

32.        Di bawah NKRA ini juga, Kerajaan telah memperkenalkan Bas Ekspresway Transit (BET) yang telah memanfaatkan 370 ribu orang pengguna setiap hari.

Keenam, NKRA yang bermatlamat mempertingkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah.

33.        Perang terhadap kemiskinan telah dilancarkan secara sistematik dan berterusan semenjak kemerdekaan lagi. Ia dilaksanakan secara lebih saintifik bermula dengan Dasar Ekonomi Baru (1971-1990). Matlamat kedua DEB adalah untuk mengurangkan dan seterusnya membasmi kemiskinan. Alhamdulillah, kita telah berjaya membasmi kemiskinan tegar apabila kita telah mengeluarkan lebih 44 ribu isi rumah daripada kategori tersebut. Namun, kita tetap waspada terhadap kes-kes baru yang mungkin berlaku.

34.        Kerajaan juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif, seumpama akhiri zaman miskin atau 1AZAM yang telah memberi nikmat kepada lebih 47 ribu isi rumah yang melibatkan perbelanjaan lebih RM 500 juta. Manakala di bawah program Kebajikan Rakyat 1 Malaysia atau KAR1SMA pula sebanyak RM 1.4 Bilion diperuntukkan setiap tahun kepada 500 ribu penerima bantuan kebajikan masyarakat seluruh negara.

Ketujuh, NKRA yang bermatlamat membanteras rasuah.

35.        Kerajaan komited bagi membanteras gejala rasuah. Jenayah rasuah adalah ibarat barah kepada kelangsungan dan pembangunan negara. Ia mampu memusnahkan keharmonian rakyat. Kerajaan tidak pernah pilih kasih dalam usaha memerangi rasuah. Tidak timbul soal bahawa tindakan hanya akan diambil terhadap “ikan bilis” manakala “ikan jerung” akan dibiarkan terlepas bebas. Sehingga akhir 2011, sebanyak 900 pesalah rasuah telah disabitkan kesalahan. Kerajaan telah pun menubuhkan mahkamah khas bagi mempercepatkan perbicaraan kes-kes rasuah. Manakala badan penguatkuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah ditingkat upaya dengan secukupnya.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

36.        Selain GTP yang telah diperkenalkan pada Tahun 2009, kerajaan juga pada Tahun 2010 telah memperkenalkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) bersama-sama 12 Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA) serta 131 Projek Permulaan Ekonomi (EPP). Melengkapinya ialah Model Baru Ekonomi (NEM) serta 6 Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI).

37.        Matlamat utama ETP dan NEM adalah untuk mengeluarkan Malaysia dari perangkap negara berpendapatan sederhana dan meletakkan negara di landasan yang betul, bagi mencapai Wawasan 2020 untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

38.        Untuk analogi, NEM dan SRI bolehlah diibaratkan sebagai lebuhraya. Manakala ETP merupakan kenderaan yang akan menggunakan lebuhraya membawa kita ke destinasi akhir, iaitu sebuah negara maju berpendapatan tinggi. 12 NKEA di bawah ETP ialah bahagian-bahagian enjin kepada kenderaan tersebut. Manakala EPP ialah bahan api atau “fuel” yang akan menggerakkan kenderaan ini. Untuk Malaysia menjadi sebuah negara maju, kesemua komponen termasuk kenderaan, enjin, bahan api dan lebuhraya hendaklah berada dalam keadaan yang terbaik.

39.        Perubahan dan pembaharuan yang kita lakukan melalui inisiatif ETP dan NEM sepanjang 2 tahun yang lalu telah menunjukkan hasil yang amat memberangsangkan. Contohnya, laporan World Economic Forum bagi Tahun 2012 telah menyaksikan Malaysia naik 5 anak tangga dalam senarai daya saing ekonomi dunia berbanding tahun sebelumnya. Malaysia hari ini adalah antara 21 buah negara paling kompetitif ekonominya di dunia. Manakala, Bank Dunia di dalam laporannya “Doing Business 2012” pula telah mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang ke-18 paling mudah memulakan atau menjalankan urus niaga. Kita telah memintas negara-negara yang maju seperti Jerman, Jepun, Taiwan dan Perancis. Syarikat perunding A.T Kearney juga telah mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang 10 teratas dalam Indeks Keyakinan Pelaburan Langsung Asing bagi Tahun 2012.

40.        Semasa ETP dilancarkan 2 tahun lalu, pendapatan perkapita negara adalah USD 6 700. Hari ini, ia telah meningkat kepada USD 9 700. Manakala data 2011 menunjukkan pencapaian tertinggi KDNK atau GDP serta PNK atau GNI negara semenjak merdeka. Angka KDNK telah mencecah RM 852. 7 bilion manakala PNK pula RM830.7 bilion. Pencapaian ini telah membolehkan kerajaan mengutip jumlah hasil tertinggi dalam sejarah pasca merdeka iaitu RM 185.54 bilion membolehkan pelbagai inisiatif dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat di samping langkah-langkah di ambil bagi membaiki kedudukan fiskal kerajaan. Terbukti apa yang telah dicapai dalam kerangka waktu ini, menunjukkan kita berada di trajektori yang betul untuk mencapai pendapatan perkapita USD 15 000 pada tahun 2020.

41.        Sejak pelancaran ETP pada 2010, sehingga akhir 2011, pelaburan langsung asing telah meningkat sebanyak 12.3% kepada RM33 bilion. Manakala pelaburan swasta pula telah menunjukkan peningkatan sebanyak 19% kepada RM94 bilion. Sebanyak 313 ribu peluang pekerjaan baru dijangka dapat dicipta daripada keseluruhan RM179 bilion nilai pelaburan yang telah diumumkan di bawah ETP. Sebanyak RM129 bilion pendapatan negara kasar pula dijangka dapat dijana menjelang Tahun 2020.

42.        Bagi menambah kukuh kewibawaan dan keutuhan perancangan hasil pelaksanaan program-program transformasi kerajaan khususnya GTP dan ETP, satu prosedur dijalankan oleh firma antarabangsa Price Waterhouse Coopers, dengan disemak oleh sebuah Panel Antarabangsa yang dianggotai oleh pakar-pakar berwibawa antaranya dari United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, serta Korea Selatan.

Rakyat Malaysia Sekalian,

43.        Segala yang saya telah bentangkan sebentar tadi adalah bukti jelas sikap keterbukaan, ketelusan dan akauntabiliti kerajaan yang ada. Kerajaan ini telah berterus terang dengan rakyat Malaysia tentang apakah masalah dan cabaran yang sedang di hadapi negara, dan kita telah merangka pelan menyeluruh bagi menangani segala cabaran yang dikenalpasti.

44.        Segala prakarsa di bawah payung Dasar Transformasi Nasional telah dirangka dengan bersebab dan bermatlamat. Pucuk pangkalnya, Kerajaan hari ini jelas tentang ke arah mana hala tuju yang ingin di bawa negara, iaitu menuju sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

45.        Kita dambakan sebuah negara yang memiliki prasarana asas yang moden yang dapat dinikmati semua warga Malaysia sama ada di pedalaman, luar bandar, pinggir bandar mahupun di bandar. Kita impikan sebuah negara di mana persekitarannya sejahtera dari jenayah, alam sekitarnya bersih dan sistem pengangkutan awamnya cekap. Kita menginginkan sebuah negara di mana jalan rayanya selamat, bekalan airnya bersih, bekalan elektrik, akses kepada internet jalur lebar, perkhidmatan kesihatan dan pendidikannya adalah yang terbaik. Kita mahukan sebuah negara di mana pekerjanya terutamanya generasi muda mendapat peluang pekerjaan yang upahnya setimpal, di mana gaji minimum akan berada di atas paras kemiskinan, serta semakin tinggi kemahiran yang dimiliki maka semakin tinggi pula ganjarannya.

46.        Kerajaan hari ini tidak takut untuk bersaing dalam gelanggang yang demokratik. Bukankah kerajaan ini yang memansuhkan I.S.A., Akta Kediaman Terhad, Akta Buang Negeri, membatalkan 3 perisytiharan darurat, menggubal Akta Perhimpunan Aman bagi melindungi hak rakyat untuk berhimpun dan bersuara seperti yang dijamin Perlembagaan Persekutuan. Selanjutnya meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti bagi mengiktiraf hak perlembagaan pelajar untuk menganggotai parti politik, serta meminda Akta Pelesenan dan Mesin Cetak bagi menghapuskan keperluan pembaharuan lesen tahunan penerbitan.

47.        Hakikatnya, kerajaan hari ini dipilih secara demokratik di dalam pilihanraya umum yang bebas dan adil. Oleh itu, kita tidak sekali-kali takut mahupun gentar bersaing dalam pasaran idea yang bebas dan kompetitif. Kita mempunyai penuh keyakinan terhadap kebijaksanaan rakyat Malaysia memilih dan meneraca. Mereka tahu menilai yang mana intan yang mana kaca. Kita percaya rakyat akan memilih kerajaan yang mempunyai “track record” yang meletakkan kepentingan rakyat di atas segala-galanya.

48.        Kerajaan yang saya pimpin bukan kerajaan populis semberono yang tidak bertanggungjawab. Kerajaan ini di dalam merangka sebarang dasar, di dalam membelanjakan wang negara tidak akan sekali-kali meranap mahu membangkrapkan negara. Kita telah dan akan sentiasa berterus terang dengan rakyat tentang apa yang kita mampu dan apa yang kita tidak mampu lakukan, sebaliknya amat mudah bagi sesetengah pihak untuk menjanjikan bulan, bintang dan cakerawala tanpa memikirkan kesannya.

49.        Perjalanan nasional ke arah cita-cita kebangsaan sebuah negara maju hanya tinggal 8 tahun lagi untuk dicapai. Seperti yang saya analogikan sebentar tadi, untuk menuju matlamat nasional kita memerlukan kenderaan yang berprestasi tinggi, komponen enjin yang berkualiti, bahan api mencukupi, destinasi yang jelas dan lebuh raya terbaik. Namun, saya ingin mengingatkan, kita juga memerlukan kepada pemandu yang cekap supaya dapat menggabung jalinkan segala faktor yang ada bagi memastikan kenderaan tiba ke destinasinya pada masa yang ditentukan dengan selamat. Oleh itu, janganlah kita bereksperimen untuk menukar pemandu yang telah terbukti kebolehannya, di tengah-tengah jalan, untuk digantikan dengan pemandu yang diragui dan berbahaya.

50.        Oleh yang demikian, jangan sesekali kita salah membuat pilihan. Berhati-hatilah dengan tukang karut yang melipur lara. Mereka ini hanya pandai berjanji tapi tidak pernah mengotainya. Mereka tidak pernah konsisten antara amalan dan retorik yang dilaungkan. Makanya, berwaspadalah dengan alunan muzik oleh peniup seruling yang tampak indah tapi penuh dengan persona dan perdaya.

Rakyat yang dikasihi

51.        Sesungguhnya, masa depan kita dan anak-anak kita bergantung kepada keputusan hari ini. Kesimpulannya, kerajaan hari ini adalah kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan yang beramanah dan paling penting kerajaan ini sentiasa menepati janji.

Sumber : MALAYSIAKINI

Jumaat, September 16, 2011

Perutusan Khas Perdana Menteri Sempena Hari Malaysia 2011

BERIKUT adalah perutusan khas sempena sambutan Hari Malaysia 16 September 2011 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang disiarkan secara langsung oleh stesen-stesen televisyen pada jam 8.45 malam Khamis, 15 September 2011:

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian.

1. Alhamdulillah dengan limpah izin dan kurnia-Nya jua, kita dapat menyambut ulangtahun penubuhan Malaysia bagi kali ke-48 sebagai warga sebuah negara yang merdeka, berdaulat, demokratik, aman dan makmur.

2. Sesungguhnya kisah perjalanan Malaysia penuh warna-warni. Bermula daripada sebuah negara pertanian berpendapatan rendah semasa penubuhannya, hari ini, hasil mahsul perancangan penuh sistematik dan pelaksanaan begitu mapan, kita telah berjaya muncul sebagai negara perindustrian moden yang berpendapatan sederhana tinggi. Bertolak dari situ, sekalipun kejayaan yang telah dicapai bersifat monumental dan amat signifikan, ia bukanlah alasan yang membenarkan kita untuk berhenti berusaha, berasa puas hati, berasa selesa, apatah lagi mengambil sikap bersimpuh sambil berpeluk tubuh.

3. Apa yang sewajarnya dilakukan demi survival serta kesejahteraan rakyat terus meningkat lagi terjamin dalam dunia yang amat kompetitif dewasa ini, marilah melipatgandakan usaha bagi menambahbaik daya saing nasional melalui penggunaaan kreativiti, inovasi dan menjulat usaha penciptaan kekayaan baru berasaskan sifat keusahawanan mandiri. Semua matlamat ini tidak mungkin akan tercapai tanpa wujudnya perpaduan nasional, keamanan, kestabilan dan keharmonian. Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

4. Membelek helaian-helaian tawarikh, apabila negara mencapai kemerdekaan 54 tahun lalu sehingga Malaysia dibentuk enam tahun kemudiannya, bersama-sama Sabah dan Sarawak, banyak pihak ketika itu, sama ada pemerhati asing, mahupun warga tempatan berasa ragu-ragu serta waham (was-was) mempersoalkan tentang, sebuah negara baru yang negeri-negerinya terpisah dek Laut Cina Selatan, sedang diancam pula pemberontakan komunis, dengan separuh penduduknya hidup di bawah paras kemiskinan, ditambah oleh faktor kemajmukan demografik yang luar biasa kompleksitinya, mungkinkah mampu untuk kekal utuh sebagai sebuah negara bangsa apatah lagi untuk berjaya?

5. Ternyata, pencapaian Malaysia selama ini, bertatih dan berjalan jatuh untuk mengecap nikmat kejayaan diiringi sebuah takdir yang penuh cabaran. Jika disisir sejarahnya, semacam satu keajaiban diawal usia setahun jagung meraih kemerdekaan, hakikat yang tersebut tadi ditambah berat pula dengan penerimaan sistem dan falsafah pentadbiran negara berasaskan Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan serta Persekutuan, telah diterima amal secara tuntas oleh kita begitu awal ketika mana proses pembudayaan masih lagi tidak matang.

6. Jelas sekali, sebelum merdeka, warga tiga belas buah negeri yang bersatu membentuk Malaysia tidak pernah berpeluang untuk memilih kerajaan yang akan memerintah sekalipun corak pentadbirannya. Kewujudan mereka hanyalah sebagai rakyat negeri-negeri naungan atau tanah jajahan yang diberi keistimewaan politik terhad mengikut budi bicara kuasa pemerintah. Pastinya, ini, bukanlah hak politik tulen yang terbit daripada kewarganegaraan sebuah negara merdeka serta berdaulat.

7. Menyingkap fakta, sebelum merdeka, pemilihan politik pertama yang berlangsung di mana rakyat telah diberi peluang secara terhad untuk memilih wakil mereka adalah semasa pemilihan beberapa Majlis Perbandaran pada tahun 1952 dan seterusnya pemilihan sebahagian Anggota Majlis Perundangan Persekutuan pada tahun 1955. Sebaliknya, hanya tahun-tahun selepas merdeka bermula 1959, rakyat mula diberi hak dan tanggungjawab sepenuhnya untuk memilih semua ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri sebagai hak budi bicara mutlak dalam menentukan parti manakah bagi membentuk kerajaan.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

8. Sememangnya kita perlu bersyukur kerana dari masa hingga masa, walau apapun rintangan menjelma, sama ada bersifat dalaman mahupun luaran yang telah mengancam demokrasi dan kebebasan individu seperti pemberontakan komunis, konfrontasi menentang penubuhan Malaysia, rusuhan kaum, kemelesetan ekonomi, ekstrimisme agama mahupun cauvinisme perkauman, Alhamdulillah, setiap satunya telah berjaya ditangani dan dihadapi menggunakan kerangka tindakan berhemah, demokratik berasaskan prinsip keluhuran perlembagaan serta kedaulatan undang-undang.

9. Barang harus diingat jua, sepanjang tempoh tersebut tidak pernah terlintas di benak pihak kerajaan walau sedetikpun untuk menukar sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan sedia ada dengan sebarang sistem anti-demokratik, waima betapa getir cabaran yang dihadapi. Seperti terakam pada susur galur negara, disebabkan tragedi 13 Mei, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat YAB Perdana Menteri ketika itu menurut peruntukan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, telah mengisytiharkan darurat.

10. Salah satu kesan pengisytiharan darurat 1969 tersebut adalah proses pilihanraya yang belum selesai di Sabah dan Sarawak telah digantung. Peristiwa selanjutnya yang berlaku adalah pemilihan Dewan Rakyat telah disempurnakan dalam tempoh lebih kurang dua puluh bulan kemudian dan sistem Demokrasi Berparlimen dipulih kembali apabila keamanan negara telah stabil seperti sediakala.

11. Kendatipun begitu, Allahyarham Tun Abdul Razak selaku Timbalan Perdana Menteri pada masa tersebut merangkap Menteri Pertahanan yang telah diamanahkan mengetuai Majlis Gerakan Negara atau MAGERAN, dengan memiliki kuasa mutlak eksekutif dan perundangan, tidak pernah menyimpan hasrat untuk mengekalkan kuasa-kuasa tersebut lebih lama daripada apa yang perlu.

12. Sudah terang lagi bersuluh, Allahyarham Tun bersama rakan-rakan ketika itu amat menyedari bahawa kuasa luar biasa tanpa sempadan yang tergenggam di tangan mereka tersebut tidak boleh sekali-kali dijadikan suatu kelaziman demi masa depan negara tercinta. Sebaliknya, mereka faham kuasa total itu sekadar suatu amanah untuk mengekang dan mengawal tragedi serta kegoncangan yang berlaku.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

13. Sebetulnya lagi, sebagai sebuah negara demokrasi berparlimen, kuasa untuk menentukan parti politik mana yang akan membentuk kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan mahupun di peringkat negeri terletak secara mutlak tanpa kekecualian di tangan rakyat. Setelah lebih lima dekad kemerdekaan negara dan hampir lima dasawarsa pembentukan Malaysia, kita dapati bahawa, pengalaman, kematangan serta kebijaksanaan rakyat negara ini dalam memilih kerajaan demi menentukan halatuju masa depan yang mereka dambakan tidak boleh dinafikan oleh sesiapapun jua.

14. Bahkan, saya sering mengutarakan bahawa era kerajaan mengetahui segala-galanya dan memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan sudah melewati tempohnya. Revolusi dalam bidang teknologi maklumat, kemajuan komunikasi dan kecanggihan pengangkutan telah membuka persaingan serta perbandingan secara meluas lagi dinamik dalam pasaran idea.

15. Kontemporari ini, taraf serta akses rakyat kepada semua peringkat pendidikan semakin meluas seiring dengan korpus pengetahuan yang dimiliki. Disamping itu, pertumbuhan ekonomi yang mapan, pengurangan kadar kemiskinan dan inisiatif kejuruteraan sosial serta keberkesanannya, telah berjaya meningkatkan taraf hidup serta mewujudkan kelas menengah yang besar. Mutakhir pula, keutamaan kehendak dan keperluan rakyat Malaysia telah mengalami perubahan yang besar berbanding empat atau lima dekad yang lalu.

16. Melangkah lebih jauh, mentadbir negara yang terzahir dari saat kemerdekaan dikudratkan oleh kehendak rakyat, kerajaan kini akan terus komited menjunjung sistem Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan, kedaulatan undang-undang, falsafah persekutuan serta prinsip imbang dan periksa di antara ketiga-tiga cabang kerajaan.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

17. Sebagai yang ramai maklum bahawa, kecuali darurat akibat konfrontasi tahun 1964, yang telah dibatalkan secara tersirat, kesemua proklamasi darurat lain yang telah diisytiharkan sebelum ini, masih dianggap berkuatkuasa sehingga hari ini. Justeru, menginsafi bahawa realiti negara Malaysia telah berubah, merasai denyut nadi, resah gelisah dan aspirasi rakyat yang mahukan Malaysia menjadi lebih terbuka lagi dinamik demokrasinya, di mana, pendapat, idea dan kebimbangan massa lebih diberi perhatian, agar dapatlah kita berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan sistem demokrasi lain di dunia yang berasaskan falsafah universal dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat, maka, kerajaan kini, di bawah Fasal 3 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, akan membentangkan kepada kedua-dua Majlis Parlimen dengan usul agar ketiga-tiga proklamasi darurat yang telah diisytihar dulu, supaya ditamatkan kuatkuasanya. Pada hemahnya, sudah tiba waktu rakyat Malaysia menuju masa depan dengan paradigma seterusnya yang berasaskan harapan baru dan bukannya terbelenggu oleh nostalgia kekangan sejarah lampau.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

18. Dalam menyusun atur peradaban bernegara bagi menghadapi keadaan luarbiasa yang mengancam keselamatan tanahair dan kesejahteraan rakyat, tidak dapat tidak, menuntut kepada langkah-langkah khas yang kadangkala, bersifat di luar norma demokratik. Umpamanya, tindakan tahanan pencegahan. Sesungguhnya, kebijaksanaan menangani keganasan memerlukan kita mencegah perlakuan itu, sebelum kehilangan nyawa mereka yang tidak berdosa, harta benda atau menatijahkan apa-apa kecederaan. Ini merupakan satu kebenaran yang bersifat global dan diterima ramai.

19. Dari perspektif undang-undang Islam pula, ia terangkum jelas dalam Maqasid Syariah yang berobjektif melindungi lima perkara utama yakni; pertama: agama, kedua: nyawa, ketiga: akal, keempat: keturunan dan maruah serta kelima: harta benda. Bahkan prinsip Usul Fiqah banyak membicarakan tentang perlunya disekat lebih awal sesuatu kemungkaran itu, sebelum ia berlaku. Manakala satu prinsip menyatakan bahawa, keputusan pemerintah adalah satu amanah yang perlu dibuat bagi pihak yang diperintah atas kepentingan maslahah ramai.

20. Ini bukanlah ehwal yang pelik, tidak lazim atau asing. Terbukti, negara-negara demokrasi yang maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom juga telah menggubal rangka perundangan khas bagi menangani ancaman pengganas pasca tragedi 11 September.

21. Pucuk pangkalnya, perseimbangan serta perimbangan yang harus ada bagi sebuah demokrasi moden adalah, diantara keselamatan nasional dan kebebasan individu. Itulah tugas dan tanggungjawab sebuah kerajaan yang matlamat tertingginya, menjunjung kebajikan serta kesejahteraan rakyat untuk mencari keseimbangan yang betul ini.

22. Misalnya, kebebasan bersuara yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan tidak sesekali bermaksud sebagai kewenangan hak kepada mana-mana pihak untuk membuat fitnah dan menghasut api kebencian. Sebagai contoh mudah yang lain, kerajaan turut bertanggungjawab untuk menghalang jeritan palsu tentang bom dalam sebuah stadium yang penuh sesak. Ini kerana, kebebasan luar kawal sebegitu, akan hanya menimbulkan panik yang boleh membawa kepada kecederaan dan kehilangan nyawa.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

23. Sepertimana yang saya janjikan dalam ucapan sulung saya semasa mula-mula mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 3 April 2009, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yakni ISA) akan dikaji secara komprehensif. Sehubungan dengan itu, suka saya mengumumkan pada malam yang bersejarah ini, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yakni ISA) akan dimansuhkan terus.

24. Untuk mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah bagi memelihara ketenteraman dan keselamatan awam, dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal di bawah semangat serta payung Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan. Pokoknya, akta-akta ini nanti bermatlamat untuk memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

25. Di atas segalanya, Kerajaan akan tetap memastikan hak asasi mereka yang terbabit terpelihara. Apa-apa undang-undang yang diperbuat akan mengambil kira hak dan kebebasan asasi berlandaskan Perlembagaan Persekutuan. Undang-undang baru ini akan memperuntukkan tempoh tahanan oleh polis yang secara substansialnya lebih pendek daripada apa yang ada sekarang dan apa-apa tahanan lanjut hanya boleh dibuat dengan perintah mahkamah kecuali undang-undang berkaitan keganasan, masih dikekalkan bawah kuasa Menteri.

26. Di sudut lain, kerajaan juga memberi komitmen bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik. Umumnya pula, kuasa untuk melanjutkan penahanan akan beralih daripada badan eksekutif kepada badan kehakiman kecualilah undang-undang berkaitan keganasan itu tadi.

27. Dalam konteks ini juga, selain memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, Kerajaan juga akan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa. Sehubungan dengan itu lagi, kita tidak akan teragak-agak untuk meminda atau memansuhkan undang-undang yang tidak lagi relevan.

28. Kajian semula komprehensif ini akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.

Kerajaan juga akan mengkaji semula seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan. Namun, kebenaran berhimpun diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak disamping mengambilkira norma-norma di peringkat antarabangsa.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

29. Sebagai sebuah negara, Malaysia dan seluruh warganya kini berada di persimpangan jalan. Pilihan yang kita putuskan hari ini akan menentukan nasib serta mencorakkan rupabentuk Malaysia pada masa hadapan, tanah air yang akan kita wariskan kepada anak-anak kita dan generasi mendatang. Persoalannya, mampukah kita melampaui dan mencabar wasangka lazim bahawa rakyat Malaysia daripada latarbelakang yang majmuk, status sosioekonomi berbeza dan fahaman politik pelbagai, secara iradat manusiawinya, tiba kepada konsensus untuk tidak tunduk menyerah kepada sekam kebencian dan kecurigaan yang pastinya mengheret kita ke lembah kehinaan. Sebaliknya, ayuhlah kita bersama mendaya sebuah masa depan yang sarat dengan harapan dan kemuliaan.

30. Yakinlah bahawa, ia satu kekuatan bukan satu kelemahan untuk kita meletakkan kepercayaan kepada kebijaksanaan rakyat Malaysia membuat pilihan dalam mencorakkan hala tuju masa depan mereka sendiri. Jika kita menganggap ia satu kesilapan maka, apakah maknanya pencapaian kita hari ini, apakah gunanya kita merancang pembangunan negara degan begitu tersusun semenjak merdeka, apakah gunanya kita membelanjakan sebahagian besar khazanah negara setiap tahun untuk memberikan akses pendidikan berkualiti kepada semua rakyat, membebaskan warga daripada cengkaman kemiskinan, membina infrastruktur fizikal serta teknologi komunikasi maklumat yang berkelas dunia?

31. Jawapannya sangat jelas yakni, langkah-langkah yang saya umumkan sebentar tadi tidak lain tidak bukan adalah inisiatif awal transformasi politik secara tertib lagi berhemah. Ia berdiri sebagai pelengkap amat penting serta perlu kepada inisiatif-inisiatif transformasi bidang ekonomi dan penyampaian awam yang pihak kerajaan telah rangka dan laksanakan semenjak lebih dua tahun kebelakangan dalam usaha menuju sebuah negara moden dan progresif.

32. Pastinya, masa bukan terlalu awal mahupun terlalu lewat, akan tetapi inilah kala paling sesuai serta waktu paling tepat untuk perhitungan-perhitungan besar sedemikian diambil dan dilancarkan. Kita maklum, walaupun bagi pendapat sesetengah pihak ia penuh berisiko, kita akan melakukannya demi survival, setelah lebih lima puluh tahun negara merdeka, dan hampir lima dekad Malaysia terbentuk. Lantaran kita di ambang pedati yang sedang berpacu deras untuk sampai ke destinasi sebagai sebuah negara maju sepenuhnya.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

33. Akhir kalam, saya ingin tegaskan bahawa tanpa syak dan tanpa ragu-ragu lagi, Malaysia yang kita impikan bersama dan sedang kita cipta ini adalah Malaysia yang mengamalkan demokrasi berfungsi dan inklusif di mana keamanan dan ketenteraman awam dipelihara selaras dengan roh ketertinggian Perlembagaan, kedaulatan undang-undang, penghormatan kepada hak asasi manusia dan hak-hak individu.

Demi Malaysia, bertawakallah semua dan kepada Tuhan kita berserah.

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.

- MSTAR

Recent Posts