KDN yakin pilihan raya kecil lancar

Kementerian Dalam Negeri (KDN) yakin proses Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini akan berjalan lancar berdasarkan pengalaman mengendalikan beberapa pilihan raya kecil sebelum ini.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, namun pihaknya tetap akan berhati-hati memandangkan pilihan raya itu berlangsung di bawah negeri yang diperintah oleh pembangkang.

Beliau berkata, berikutan itu, langkah keselamatan akan diperketatkan bagi mengelakkan mana-mana pihak sengaja mencetuskan huru-hara demi mencapai kepentingan politik.

"Kita bersedia menghadapi Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor kerana kita mempunyai banyak pengalaman, bukan sahaja polis tetapi saya sendiri.

"Apa pun, saya mengambil berat tentang pilihan raya ini kerana pertama kali berlangsung di Selangor iaitu negeri diperintah oleh pembangkang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Sesi Menteri Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Ujian Kemahiran Menembak KDN/PDRM 2010 di Briged Tengah, Cheras di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan timbalannya, Tan Sri Ismail Omar.

Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac lalu akibat barah otak.

Menurut Hishammuddin, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Hussin Ismail yang dipertanggungjawabkan memantau keselamatan semasa pilihan raya ini turut yakin dapat melaksanakan tugas tanpa masalah berdasarkan pengalaman mengendalikan pilihan raya lain sebelum ini.

Beliau turut meminta parti-parti yang bertanding agar mematuhi segala undang-undang ditetapkan dan membiarkan pengundi menentukan sendiri calon pilihan.

"Ini kerana selalunya akan ada orang yang sanggup mengambil keputusan di tangan sendiri.

"Perbuatan ini boleh mencetuskan emosi. Apabila diimbangkan antara emosi dan rasional, biasanya emosi mengawal keadaan dan sesetengah orang akan mengambil kesempatan daripada aspek emosi ini untuk kepentingan politik," katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Naib Presiden UMNO yakin siapapun calon Barisan Nasional (BN) dipilih Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk bertanding dalam pilihan raya kecil tersebut, pasti mengambil kira kepentingan pengundinya.

Katanya, BN adalah parti yang konsisten iaitu pemimpin atasan akan membuat keputusan berdasarkan perbincangan, timbang rasa dan kefahaman antara pemimpin dalam parti itu.

- UTUSAN KDN yakin pilihan raya kecil lancar

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.