Memaparkan catatan dengan label Kajiselidik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kajiselidik. Papar semua catatan

Khamis, Februari 24, 2011

Pemanduan berbahaya antara tujuh 'dosa besar' ketika berulang-alik

Masyarakat di negara ini meletakkan pemanduan secara berbahaya sebagai 'dosa' terbesar yang mengakibatkan tekanan perasaan kepada mereka ketika dalam perjalanan ke sesuatu tempat.

Berasaskan kajian Regus, perkara itu adalah antara tujuh 'dosa besar' yang dikenal pasti masyarakat Malaysia sebagai penyebab tekanan perasaan.

"Turut tersenarai ialah bercakap dengan kuat semasa menggunakan telefon bimbit dan bau badan," kata Regus dalam kajian itu.

'Dosa' lain ialah gangguan perkhidmatan, pencemaran, kepanasan melampau dan kegagalan penyedia perkhidmatan memberi maklumat.

Kajian turut mendapati secara purata seorang pengguna mengambil masa 29 minit untuk perjalanan sehala, namun perkara itu tidak menjadi masalah berbanding pengalaman ketika dalam perjalanan.

Regus adalah penyedia perkhidmatan dan produk di tempat kerja terbesar di dunia.

- BERNAMA

Jumaat, Disember 24, 2010

Kajiselidik: 2/3 rakyat bantah menara 100 tingkat - Merdeka Centre

Kajiselidik yang dijalankan Merdeka Centre menunjukkan hampir dua pertiga rakyat Malaysia membantah rancangan kerajaan pusat untuk membina Menara Warisan Merdeka setinggi 100 tingkat.

Kajiselidik yang membabitkan 1,005 responden di Semenanjung
Malaysia itu, menunjukkan 65 peratus tidak bersetuju dengan rancangan tersebut, dan hanya 25 peratus yang menyokongnya.

Responden dari kalangan kaum Cina merupakan yang teramai - 75 peratus - yang membantah pembinaan menara itu.

Ini diikuti oleh responden Melayu (60 peratus) dan India (58 peratus).

Pembinaan menara 100 tingkat itu, yang akan mengatasi ketinggian Menara Berkembar Petronas, diumumkan dalam bajet Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak Oktober lalu.

Projek tersebut, yang dilaporkan membabitkan kos RM5 bilion, terus mendapat bantahan umum dan pembangkang. Mereka menganggapnya sebagai salah keutamaan.

Mereka sebaliknya menyarankan agar wang tersebut lebih baik digunakan untuk menambahbaik kemudahan pengangkutan awam, kebajikan atau infrastruktur.

- MALAYSIAKINI

Kajiselidik : Tahap Kepuasan Hati Terhadap Najib Kekal Positif - Merdeka Centre

Tahap kepuasan hati rakyat terhadap prestasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kekal positif dengan kaum India mencatat peratusan tertinggi, diikuti Melayu dan Cina, demikian menurut kaji selidik firma tinjauan pendapat Merdeka Centre.

Tinjauan yang dijalankan mulai 30 November hingga 11 Disember lepas, menunjukkan tahap kepuasan hati di kalangan kaum India ialah 85 peratus, Melayu (74 peratus) dan Cina (54 peratus).

Bagaimanapun, tahap kepuasan hati terhadap Najib merosot sedikit kepada 69 peratus berbanding 72 yang dicatat Mei lepas, dengan 22 peratus "sangat berpuas hati" manakala 47 lagi "agak berpuas hati" dengan prestasi beliau.

Kenyataan Merdeka Centre hari ini menyebut ia mungkin disebabkan reaksi rakyat terhadap pengurangan subsidi kerajaan bagi barangan seperti minyak petrol dan gula, yang berlaku ketika tinjauan dijalankan.

Seramai 1,005 rakyat Malaysia yang merupakan pengundi berdaftar berusia 21 ke atas, disoal melalui telefon di seluruh semenanjung untuk kaji selidik itu.

Ia juga mendapati 54 peratus responden bersetuju negara kini berada di landasan yang betul, menyaksikan sedikit peningkatan berbanding 52 peratus pada Mei, dengan disokong anggapan bahawa ekonomi Malaysia terus menunjukkan prestasi memberangsangkan, pemimpin negara lebih dinamik selain terdapat peningkatan ketara dalam inisiatif pembangunan.

Selain itu, perkara yang terus menjadi kebimbangan utama ialah ekonomi dengan 24 peratus, diikuti masalah sosial (16 peratus).

"Kebimbangan mengenai isu berkaitan kaum menduduki tempat ketiga dengan 11 peratus dan perkara lain, termasuk ketidakstabilan politik serta jenayah (masing-masing lapan peratus), diikuti rasuah pada kadar tujuh peratus," kata Merdeka Centre.

Sementara itu, 53 peratus responden berpendapat keadaan ekonomi ketika ini adalah memuaskan, dan ia merupakan satu peningkatan berbanding 47 peratus pada Mei.

Tiga daripada empat petunjuk pula didapati memperlihatkan peningkatan ketara iaitu kepuasan terhadap tahap pendapatan peribadi meningkat sebanyak enam peratus kepada 52; kepuasan terhadap peluang pekerjaan (meningkat lapan peratuskepada 48); dan kepuasan terhadap peluang perniagaan (meningkat enam peratus kepada 50).

Kaji selidik itu juga menunjukkan bahawa terdapat kesedaran sederhana di kalangan rakyat berhubung Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) yang diperkenalkan kerajaan September lepas, dengan 16 peratus dilapor memiliki beberapa tahap pengetahuan dan pemahaman mengenai pelan tersebut serta matlamatnya.

Tahap kepuasan hati terhadap langkah memerangi rasuah pula ialah 35 peratus berbanding 36 pada Mei, penurunan kadar jenayah (47 peratus berbanding 41), memperbaiki taraf kehidupan di kawasan luar bandar (55 peratus berbanding 52), memperbaiki sistem pengangkutan awam (55 peratus berbanding 56 ), penyediaan bantuan (58 peratus daripada 54) dan memperbaiki kualiti pendidikan (62 peratus berbanding 63).

- BERNAMA

Sabtu, Oktober 09, 2010

Undi populariti BN naik 55 peratus

Kajian Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mendapati undi popular Barisan Nasional (BN) tahun ini meningkat empat peratus kepada 55 peratus berbanding hanya 51 peratus ketika Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) yang lalu.

Kajian Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mendapati undi popular Barisan Nasional (BN) tahun ini meningkat empat peratus kepada 55 peratus berbanding hanya 51 peratus ketika Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) yang lalu.
Kajian yang dilakukan Jabatan Komunikasi, Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan itu juga mendapati, jumlah rakyat Malaysia yang memilih mengundi pembangkang pada pilihan raya umum akan datang menurun 12 peratus kepada hanya 37 peratus berbanding 49 peratus diterima pada 2008.
Bagaimanapun, lapan peratus daripada responden masih tidak pasti parti mana yang mereka akan pilih jika diberikan peluang mengundi pada pilihan raya akan datang.

Kajian dilakukan antara 1 hingga 18 Ogos lalu membabitkan 1,367 responden Melayu, Cina, India dan kaum lain berusia 21 tahun ke atas seluruh negara.

Sebelum ini, satu kajian sama bagi melihat pendapat umum dilakukan pada Ogos 2009 membabitkan 1,458 responden.

Kajian diketuai Azrul Hisyam Wakichan dari Jabatan Komunikasi dan diselia oleh Prof Datuk Seri Dr Syed Arabi Idid, yang juga pensyarah kanan jabatan berkenaan.
Selain itu, sokongan orang Melayu terhadap BN didapati meningkat sebanyak tiga peratus kepada 61 peratus tahun ini, berbanding hanya 58 peratus tahun lalu.

Bagaimanapun, sokongan kaum Cina kepada BN dilihat masih rendah, tetapi meningkat dua peratus daripada 40 peratus tahun lalu kepada 42 peratus tahun ini.

Begitu juga sokongan kaum India didapati menurun daripada 63 peratus tahun lalu kepada hanya kepada 59 peratus tahun ini dengan 14 peratus daripada mereka memilih untuk tidak memihak mana-mana parti politik.

Laporan itu menyebut, peningkatan populariti BN didorong oleh beberapa faktor antaranya keberkesanan pelaksanaan pembangunan oleh kerajaan dan keyakinan rakyat BN sudah mulai pulih daripada kemelut masalah dalaman dihadapi parti komponen BN selain faktor kepemimpinan Najib sebagai Perdana Menteri.

Penurunan populariti pembangkang pula disebabkan faktor pergeseran sesama ahli dan antara parti serta dan kegagalan mereka menunaikan janji dibuat ketika pilihan raya umum lalu.

- BERITA HARIAN

Rabu, Ogos 25, 2010

Malaysia ke-37 senarai Negara Terbaik Dunia - Newsweek

Majalah antarabangsa Newsweek meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-37 dalam senarai Negara Terbaik Dunia dan ketiga di rantau Asia sebagai negara pilihan yang mampu menyediakan tempat untuk hidup lebih selesa dan sihat, selamat, sejahtera serta maju.

Majalah keluaran 23 hingga 30 Ogos itu turut menyenaraikan Malaysia pada kedudukan kelapan daripada 10 negara pendapatan sederhana tinggi dalam bidang pendidikan.

Dalam keluaran khas yang pertama kali menilai negara terbaik dunia membabitkan 100 negara, Malaysia berada di bawah Jepun (kesembilan) dan Singapura (20), tetapi di atas Thailand (58), Filipina (63) dan Indonesia (73).

Negara rantau Asia lain yang turut tersenarai adalah China (59), Sri Lanka (66), India (78), Vietnam (81), Bangladesh (88) dan Pakistan (89), manakala tiga negara teratas yang menjadi pilihan ramai adalah Finland, Switzerland dan Sweden.

Penilaian dibuat menerusi soal selidik mudah tetapi kompleks yang bertanya: Jika anda lahir hari ini, negara manakah yang menyediakan peluang terbaik kepada anda untuk meneruskan kehidupan dalam keadaan sihat, selamat, sejahtera dan maju?.

Newsweek memilih pencapaian itu berdasarkan lima kategori kesejahteraan negara iaitu pendidikan, kesihatan, kualiti kehidupan, daya saing ekonomi dan persekitaran politik.

Mengikut majalah itu, usaha menilai tahap negara terbaik dilakukan selama beberapa bulan dan mendapat bantuan lembaga penasihat termasuk pemenang anugerah Nobel, Prof Joseph E Stiglits dari Universiti Columbia.

Senarai itu menggambarkan keadaan negara terbabit pada 2008 dan 2009 dan bukan saja berkisar kepada latar belakang sejarah atau jangkaan masa depan sesebuah negara.

- BERITA HARIAN

Data Banci 2010 Dikeluarkan Sekitar Mac Atau April 2011

Data keseluruhan Banci Penduduk dan Perumahan 2010 akan dikeluarkan sekitar bulan Mac atau April tahun depan, kata Pesuruhjaya Banci Datuk Wan Ramlah Wan Abdul Raof.

Wan Ramlah yang juga Ketua Perangkawan Malaysia berkata data awalan berkaitan populasi di setiap negeri dan jantina, akan dikeluarkan seawal November ini.

"Kita akan mengambil sedikit masa kerana banyak laporan dan analisis yang akan dikeluarkan," katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop pada hari Selasa.

Beliau berkata Jabatan Perangkaan akan melakukan semakan terlebih dahulu sehingga bulan September ini.

Banci Penduduk dan Perumahan 2010 telah dijalankan dalam tiga Fasa bermula 6 Julai dan berakhir 22 Ogos lalu.

"Semakan itu merupakan prosedur biasa kerana kita mengikut standard antarabangsa. Ini untuk memeriksa kualiti data yang dikumpul semasa bancian dilakukan," katanya.

Ditanya sama ada jidar selisih kekal pada tahap lima peratus ekoran cabaran yang ditempuhi sepanjang pembancian, Wan Ramlah berkata ia tidak boleh melebihi angka tersebut bagi mengekalkan kebolehpercayaan dan ketepatan data.

"Itulah sebabnya kita melakukan semakan terlebih dahulu untuk memastikan data yang dikumpul boleh dipercayai," katanya

Sementara itu, Nor Mohamed berkata data bancian itu penting untuk kerajaan menggubal dasar yang relevan dalam menjadikan Malaysia sebuah negara maju pada 2020.

"Tanpa mengetahui data secara mendalam tentang aspek penduduk dan perumahan, kita tidak dapat menggubal dasar yang relevan. Kita perlukan data yang boleh dipercayai," katanya.

"Pertumbuhan ekonomi 9.5 peratus pada separuh pertama tahun ini memperlihatkan kejayaan kita keluar dari perangkap kegawatan kewangan dan ekonomi global.

"Kita yakin dengan langkah-langkah dan strategi kerajaan yang relevan sekarang, ekonomi akan terus berkembang," katanya.

Beliau berkata selain kerajaan, ramai penyelidik, pakar ekonomi, ahli demografi, komuniti perniagaan, ahli akademik dan pengguna lain sedang menunggu data penanda aras penduduk yang baru itu.

Seramai 26,000 pembanci dengan 3,000 penyelia terlibat dalam pembancian 2010 yang membabitkan sembilan juta kediaman dan 29 juta penduduk dengan kos mencecah RM200 juta.

Banci penduduk dan perumahan dijalankan setiap sepuluh tahun dan ini merupakan yang kelima selepas penubuhan Malaysia pada 1963.

- BERNAMA

Khamis, Julai 22, 2010

Melayu paling ramai tengok porno?


Satu kajian terbaru membuktikan remaja Melayu paling ramai melayari laman web lucah sekali gus mendorong mereka terjebak dengan gejala seks bebas berbanding kaum Cina dan India.

Kajian oleh sekumpulan penyelidik Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia itu mendapati 22 peratus remaja Melayu gemar melayari laman web lucah sama ada di rumah mahupun di kafe siber.

Dapatan kajian turut menunjukkan bahawa 15 peratus remaja Melayu suka melepak, menghisap rokok (13.7 peratus) manakala ponteng sekolah dan memaki hamun orang masing-masing 11.5 peratus.

Pengarah IPSAS, Profesor Dr. Md. Salleh Hassan yang mengetuai kajian itu berkata, bahan pornografi yang terlalu mudah dibeli dan diakses menerusi Internet menjadi punca utama remaja Melayu terjebak dengan gejala tersebut.

Beliau berkata, lebih mendukacitakan, ibu bapa yang ditemu bual tidak mengaku kesilapan anak masing-masing sedangkan si anak mengakui kesalahan salah laku yang dilakukan mereka ketika disoal selidik.

"Dulu, ponteng sekolah yang mendominasi salah laku pelajar tapi kini, mereka yang ditemu bual oleh kumpulan penyelidik kami mengaku lebih suka tengok pornografi dengan ke kafe siber,'' kata Md. Salleh ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.

- KOSMO!

Banci guna tiga kaedah

Buat pertama kalinya, program Banci Penduduk dan Perumahan tahun ini menggunakan tiga kaedah iaitu temu ramah secara bersemuka, hantar dan kutip atau dropoff and pick-up (DOPU) serta secara dalam talian melalui e-Census di laman web www.statistics.gov.my.

Penggunaan kaedah itu untuk memudahkan orang ramai memberi maklumat mereka.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia yang juga Pesuruh Jaya Banci, Datuk Wan Ramlah Wan Abd. Raof, tahun ini kaedah DOPU dan secara dalam talian e-Census disediakan bagi memudahkan orang ramai terutama yang bekerja.

''Jika dilihat tahun-tahun sebelum ini, kaedah secara bersemuka digunakan yang mana pegawai banci akan mengunjungi rumah ke rumah untuk menemuramah penduduk.

"Bagi mereka yang bekerja dan tiada di rumah, pegawai banci akan mengunjungi semula pada keesokan hari atau hari yang berikutnya.

''Tetapi dengan adanya DOPU dan e-Census, ia memudahkan pegawai banci dan penduduk itu sendiri," katanya.

Menurut beliau, jika mereka memilih DOPU, responden hanya perlu mengisi segala maklumat yang diperlukan dengan menggunakan pen yang disediakan dalam Kit Banci kemudian menghubungi pegawai banci untuk mengutipnya.

Sementara jika e-Census menjadi pilihan, mereka boleh terus mengisi maklumat-maklumat yang berkaitan melalui Internet.

''Bagi mereka yang memilih e-Census, masih perlu menghubungi pegawai banci untuk mendapatkan kata laluan sebelum boleh menggunakan sistem tersebut.

"Tetapi kedua-dua kaedah ini menjadikan kerja-kerja bancian dilakukan dengan lebih mudah,'' ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah beliau, ketika proses bancian berlangsung, responden perlu menjawab 51 soal selidik mengenai kediaman, butiran isi rumah, ciri demografi dan sosial (umur, jantina, kumpulan etnik dan agama), migrasi, taraf pendidikan dan ekonomi.

Jelasnya, untuk tahun ini juga, pihaknya telah menyediakan lima soalan baru berbanding pada tahun 2000.

Ia membabitkan pendapatan kasar bulanan isi rumah, pembabitan mereka dalam bidang pertanian dan asas tani, tempat tinggal biasa mereka dalam tempoh setahun lalu, jenis pengangkutan ke tempat kerja dan umur pada perkahwinan pertama (cuma di Sabah dan Sarawak).

Banci kali ini, menurut Wan Ramlah, pihaknya menganggarkan kira-kira 7.4 juta unit kediaman akan dilawati di seluruh negara.

Ini termasuk institusi perubatan, asrama institusi pengajian tinggi (IPT), kem tentera, polis, penjara, pusat pemulihan, kawasan penempatan Orang Asli, orang yang tiada tempat tinggal dan penempatan pendatang tanpa izin.

Proses bancian ini turut melibatkan bayi yang baru lahir pada atau sebelum tempoh banci serta mereka yang meninggal dunia dalam tempoh bancian dibuat.

Menurut Wan Ramlah, untuk tahun ini, pihaknya menggunakan khidmatl 29,000 pegawai dan penyelia banci secara sambilan untuk membantu kerja-kerja soal selidik.

Pada masa yang sama, pihaknya turut mendapat kerjasama daripada Jabatan dan agensi kerajaan antaranya polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

''Kesemua pegawai serta penyelia banci diwajibkan memakai kad pengenalan diri yang berwarna jingga dan biru ketika bertugas.

''Dalam hal ini, responden boleh meminta kebenaran untuk melihat kad pengenalan pegawai atau penyelia banci yang mengandungi maklumat peribadi untuk mengesahkan mereka pegawai serta penyelia banci yang sah dilantik.

''Jika timbul sebarang keraguan, orang ramai boleh menelefon talian kami 1-8000-88-7828 bagi pengesahan,'' katanya.

Isnin, Julai 12, 2010

Pendidikan rendah, wanita Melayu Singapura pilih pasangan asing

SINGAPURA: Adakah lelaki Melayu tidak boleh diharap dan gagal memenuhi cita rasa wanita Melayu berpelajaran tinggi sehingga mereka terpaksa mencari pasangan berbangsa asing?

Apakah kurangnya mereka berbanding jejaka Cina atau 'mat salih' yang bagaikan besi berani menarik perhatian wanita Melayu?

Persoalan yang menjadi perhatian ini dikaji secara ilmiah oleh Lulu Marlya Abdul Rahim, 23 tahun.

Tesis beliau yang menyelongkar isi hati 12 siswazah Melayu berusia antara 23 hingga 55 tahun, yang berumah tangga dengan lelaki bukan Melayu bertajuk 'Masuk Melayu', membantu beliau meraih ijazah Sarjana Muda Sains Sosial Kepujian Kelas Dua (Atas), dari Universiti Nasional Singapura (NUS).

Hasil kajian itu, beliau menemui beberapa kelemahan yang terserlah di kalangan lelaki Melayu yang menyebabkan ramai siswazah wanita 'mencari cinta' daripada lelaki kaum lain.

Antaranya ialah kurangnya lelaki Melayu yang berpendidikan tinggi, ego yang tinggi seolah-olah darjat mereka lebih tinggi daripada wanita dan kecenderungan membuat keputusan sendiri tanpa menghormati perasaan wanita.

“Saya dapati rata-rata, kelulusan tinggi si wanita, di samping pergaulan mereka, menjadi sebab utama mengapa pilihan hati mereka bukan lelaki Melayu. “Semua yang diwawancara mengaku sukar mencari pasangan Melayu yang setaraf tahap pendidikannya. Kalau pun ada siswazah lelaki Melayu, mereka awal-awal lagi sudah diambil orang!

“Jadi, si wanita perlu 'merantau' mencari lelaki bangsa asing,” kata anak ketiga dalam keluarga empat beradik itu.

Menurut Lulu, lebih separuh daripada wanita yang diwawancara dalam kajian itu bersuamikan lelaki Amerika, Inggeris dan beberapa negara Eropah lain. Bakinya memilih lelaki Cina sebagai pasangan.

– Agensi

Rabu, Jun 09, 2010

Tahap Puas Hati Rakyat Terhadap Najib Meningkat 72 Peratus - Merdeka Centre

Tahap kepuasan hati rakyat terhadap prestasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meningkat 72 peratus bulan lepas berbanding 69 peratus pada April lalu, menurut kaji selidik yang dijalankan oleh Merdeka Centre yang dikeluarkan semalam.

Bancian yang dijalankan dari 6 hingga 16 Mei itu menyaksikan tahap kepuasan hati paling tinggi dicatatkan oleh kaum India iaitu 80 peratus berbanding Melayu (77 peratus) dan 58 peratus oleh kaum Cina.

Peningkatan tahap kepuasan hati itu adalah yang tertinggi sejak Merdeka Centre menjalankan kaji selidik untuk meninjau populariti Najib sejak Mac tahun lalu, iaitu hanya 44 peratus ketika beliau mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada masa itu.

Menurut Merdeka Centre, sejumlah 1,028 rakyat Malaysia dibanci melalui telefon dan hampir separuh atau 47 peratus daripada responden terdiri daripada golongan tidak bekerja.

Ketika kajian itu dijalankan, beberapa peristiwa dalam negara turut mempengaruhi keputusan antaranya pilihan raya kecil Sibu, kes Aminulrasyid Amzah yang ditembak mati oleh polis, pembatalan perhimpunan 13 Mei yang dianjurkan oleh Gertak serta pengumuman lesen perjudian bola sepak.

Kajian juga menunjukkan sebanyak 50 peratus responden yakin bahawa Najib dapat mencapai sasarannya dalam tempoh dua tahun terhadap inisiatif yang dilakukan beliau iaitu gagasan 1Malaysia, Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Model Baru Ekonomi (MBE).

Sekali lagi kaum India merupakan responden tertinggi yang menyatakan keyakinan tersebut dengan 65 peratus, diikuti Melayu (60 peratus) manakala kaum Cina hanya 30 peratus sahaja yang yakin dengan sasaran Najib itu.

Untuk soalan sama ada rakyat Malaysia bersetuju atau tidak bahawa program-program yang diperkenalkan Najib akan menghadapi masalah "bagus didalam perancangan tetapi lemah dalam pelaksanaan", hanya 58 peratus yang bersetuju.

Kajian juga mendapati sebanyak 52 peratus responden bersetuju bahawa negara kini sedang menuju ke arah yang betul kerana 21 peratus memberi sebab bahawa ekonomi negara kian pulih dan kualiti kehidupan rakyat semakin meningkat.

Bagaimanapun, sebanyak 22 peratus responden berpendapat bahawa kerajaan perlu menyelesaikan isu ekonomi seperti kenaikan kos hidup dan harga barangan, pengangguran, dan kekurangan bekalan gula.

Kajian itu mendapati majoriti rakyat Malaysia masih tidak berpuas hati dengan usaha kerajaan memerangi rasuah dan jenayah, iaitu 61 peratus daripada responden tidak berpuas hati dengan usaha memerangi rasuah dan 57 peratus tidak berpuas hati dengan usaha memerangi jenayah.

Bagaimanapun, sebanyak 63 peratus responden berpuas hati dengan kualiti pendidikan di negara ini manakala 56 peratus pula berpuas hati terhadap usaha kerajaan meningkatkan tahap kecekapan pengangkutan awam di bandar seperti di Kuala Lumpur.

Turut ditanya oleh kajian itu ialah persepsi masyarakat terhadap kes Aminulrasyid di mana hampir seluruh rakyat Malaysia iaitu 91 peratus pekaterhadap kes itu.

Bagaimanapun, hanya 25 peratus responden sahaja yang berpuas hati terhadap tindakan polis mengendalikan kes berkenaan.

- BERNAMA

Sabtu, Januari 30, 2010

Lebih 33 % Aduan Kepada BPA Mengenai Kelewatan & Tiada Tindakan Atas Janji Yang Dibuat

Lebih 33 peratus aduan yang diterima oleh Biro Pengaduan Awam (BPA) sepanjang tahun lalu adalah mengenai isu kelewatan dan tiada tindakan yang diambil oleh agensi yang berkaitan mengenai janji yang dibuat.

Ketua Pengarah BPA, Datuk Tam Weng Wah berkata, ini menunjukkan masyarakat sedar akan hak mereka dan mengikuti perkembangan setiap agensi atau jabatan dari dekat.

Bagi BPA katanya, ini adalah satu perkembangan yang sihat kerana masyarakat sedar akan kewujudan dan peranan BPA dan mahu ke hadapan untuk membuat aduan bagi menambah baik perkhidmatan kepada rakyat.

Sehubungan dengan itu, BPA pada tahun ini berazam untuk menyelesaikan aduan masyarakat dalam masa 15 hari daripada tarikh aduan dibuat yang mana sebelum ini mengambil masa 41 hari untuk diselesaikan.

"Kita juga akan memberi perhatian lebih kepada masalah-masalah yang dilaporkan dan tidak mengambil ringan terhadap laporan yang dibuat," katanya dalam temuramah eksklusif dengan mStar Online di pejabatnya di sini.

Menurut statistik yang dikumpulkan oleh BPA, 10 agensi yang paling banyak menerima aduan daripada orang-ramai sepanjang tahun lalu ialah (1). Polis Diraja Malaysia (783 aduan); (2). Jabatan Kerja Raya (496 aduan); (3). DBKL (437 aduan); (4).Bank Negara Malaysia (380 aduan); (5). Jabatan Pelajaran Negeri (311 aduan); (6). JPN (309 aduan); (7). Jabatan Imigresen (274 aduan); (8). Jabatan Kebajikan Masyarakat (269 aduan); (9). Hospital (255 aduan) dan (10). Tenaga Nasional (219 aduan).

Menurut Tam, aduan mengenai kelewatan bertindak atau kegagalan agensi-agensi tertentu mengambil tindakan ke atas aduan yang dibuat meningkat sebanyak 3.4 peratus berbanding tahun 2008 yang hanya 30.3 peratus.

Bagaimanapun menurut Tam, daripada keseluruhan 12,688 kes aduan yang diterima oleh BPA sepanjang tahun lalu, 12,125 kes atau 95.6 peratus telah berjaya diselesaikan oleh BPA.

"Jumlah itu amat besar dan pihak kami amat gembira apabila hampir semua masalah dapat diselesaikan," kata.

Beliau juga memberi contoh dalam kes aduan yang dibuat mengenai PDRM iaitu 783 aduan sepanjang tahun lalu, 753 aduan atau 96.2% berjaya diselesaikan dan begitu juga dengan sembilan lagi agensi yang mendapat aduan tertinggi semuanya berjaya menyelesaikan lebih 90% daripada aduan yang disampaikan.

Malah katanya, dalam kes aduan yang dibuat mengenai JPN, 99% daripada aduan itu berjaya diambil tindakan dan diselesaikan.

Menurutnya lagi, kejayaan itu hasil daripada kegigihan dan kesungguhan kakitangan BPA menjalankan tugas mereka secara sistematik dan teratur selain kerjasama erat BPA dengan agensi-agensi yang telibat.

Menurut Tam, kes yang sering dilaporkan oleh orang awam mengenai agensi kerajaan adalah berkaitan dengan kualiti perkhidmatan, kegagalan penguatkuasaan, salah laku anggota awam selain kelewatan mengambil tindakan dan tiada tindakan langsung selepas aduan dibuat.

"Kakitangan perlu peka dengan setiap permasalahan yang diadu oleh pihak pengadu dan polisi kita di sini adalah mesti bertindak cepat tanpa perlu menunggu arahan daripada pihak atasan.

"Selain itu, kerjasama erat antara agensi amat penting bagi mencari punca sebenar masalah yang timbul," katanya.

Tambah beliau, BPA tidak boleh bersikap berat sebelah kepada agensi yang diadu tanpa mengkaji terlebih dahulu masalah yang berlaku.

Ditanya mengenai badan itu yang agak low-profile daripada sebarang publisiti tetapi menunjukkan prestasi yang amat memberangsangkan, Tam berkata, itu bukan satu isu yang besar kerana menurutnya, apa yang lebih penting adalah untuk melaksanakan tanggungjawab dan saling tolong menolong dalam menyelesaikan masalah yang diajukan oleh rakyat.

"Itu adalah tanggungjawab kami di sini untuk menyelesaikan masalah," ujarnya.

- MSTAR

Isnin, Januari 18, 2010

Iklan akhbar Melayu lebih berkesan

Pengiklanan dalam suratkhabar di Malaysia masih berkesan seperti enam tahun yang lalu meskipun pelbagai rangkaian media telah bertambah, demikian menurut kaji selidik Omnicom Media Group.

Pengarah Urusannya, Andreas Vogiatzakis berkata, jumlah pendedahan mesej pemasaran kepada pengguna merentasi pelbagai rangkaian media yang baru tidak menjejaskan pengiklanan dalam suratkhabar.

Menurutnya, pembaca suratkhabar yang memberi perhatian terhadap iklan kekal sebanyak 57 peratus pada tahun lalu.

"Bilangan suratkhabar utama juga telah meningkat kepada 35 buah tahun lalu daripada 32 pada tahun 2003 dengan pengedaran di Malaysia berjumlah 4.8 juta.

"Di semenanjung sahaja, pembaca suratkhabar bertambah sebanyak 22 peratus kepada 8.2 juta," katanya selepas majlis pelancaran Optimim Impression 2009, pengukur berasaskan kajian, di sini.

Hasil kaji selidik telah dikemas kini pada 2003 dan penyelidikan terbaru itu dijalankan pada Ogos tahun lalu.

Sebanyak 2,452 iklan dari 15 suratkhabar utama terhadap seramai 1,023 pembaca suratkhabar berumur antara 15 hingga 54 tahun dijalankan untuk dua minggu di sekitar kawasan Lembah Klang, Pulau Pinang, Ipoh dan Johor Bahru.

Pengarah Komunikasi Dalaman, Asia Pasifiknya, Guy Hearn berkata, kepelbagaian masih wujud merentasi pelbagai segmen demografik dan tajuk akhbar.

"Namun, majoriti iklan yang diberi perhatian menunjukkan kepentingan dan relevannya suratkhabar kepada pengiklan," ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Penyelidikannya, Yong Shel Vei memberitahu, perhatian yang diberi terhadap iklan di kalangan pembaca kaum Melayu adalah tinggi hampir 68 peratus berikutan kekurangan iklan yang berselerak dalam akhbar berbahasa Melayu.

Katanya, secara purata, pembaca akhbar Melayu kurang terdedah dengan iklan iaitu 15 peratus lebih rendah berbanding pembaca daripada akhbar Cina.

"Ini sekali gus menjadikan keberkesanan pengiklanan dalam suratkhabar Cina dan Inggeris telah berkurangan berbanding akhbar Melayu," jelasnya.

Akhbar teman rapat suri rumah

Wanita yang menjadi suri rumah hanya merangkumi 25 peratus daripada jumlah penduduk di negara ini namun mereka lebih rajin membaca surat khabar berbanding kumpulan profesional, eksekutif, pengurus dan ahli perniagaan (PMEB).

Kajian Optimum Impression 2009 - Research Based Measurement oleh kumpulan agensi pengiklanan antarabangsa, Omnicom Media Group (OMG) mendapati, kumpulan itu mendahului golongan PMEB sebanyak 400,000 orang pembaca. Jumlah edaran surat khabar di Malaysia pada tahun lalu mencecah 4.8 juta naskhah sehari.

Pengurus Kajian, Yong Shei Vei (gambar) dalam satu pembentangan hasil kajian itu di sini baru-baru ini berkata, sebanyak 66 peratus suri rumah membaca surat khabar setiap hari berbanding hanya 61 peratus oleh golongan PMEB.

"Malah mereka (suri rumah) juga mempunyai kadar peratusan tumpuan pada iklan dalam akhbar yang sama dengan PMEB," katanya.

- UTUSAN

Sabtu, Januari 16, 2010

Ramai faham 1Malaysia

Satu tinjauan pendapat yang dikendalikan kerajaan tahun lalu menunjukkan kira-kira 60 peratus daripada tujuh juta khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterimanya setakat ini, memahami maksud gagasan 1Malaysia.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang mengumumkan hasil kajian itu di sini, semalam, berkata 40 peratus lagi meminta kerajaan memberi lebih penerangan mengenai pengisian gagasan berkenaan.

"Kementerian bekerjasama dengan beberapa syarikat telekomunikasi dan menghantar tinjauan pendapat kepada rakyat Malaysia secara rawak. Soalan yang ditanya adakah rakyat faham konsep 1Malaysia.

"Hasilnya, kita menerima 14 juta maklum balas.

Daripada jumlah itu, 7 juta sudah diproses dengan 60 peratus darinya memahami gagasan 1Malaysia, manakala 40 peratus lagi meminta penjelasan lanjut," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis Sepetang Bersama Pegawai Kanan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dari seluruh negara di Angkasapuri.

Rais berkata, kementeriannya juga mengadakan menemuduga terus rakyat mengenai pemahaman masyarakat mengenai gagasan 1Malaysia.

"Sejumlah 12,212 responden ditemuduga dan kira-kira 62 peratus mengatakan mereka faham dan maklum mengenai maklumat dan matlamat murni gagasan 1Malaysia.

"Jadi kedua-dua kumpulan data ini akan kita buat satu pangkalan dan kemudian kita buat satu cerakinnya supaya lebih mudah bagi kita menentukan aspek mana 1Malaysia ini yang harus kita beri penumpuan lebih daripada sekarang," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan menjadualkan segmen kedua maklum balas SMS itu bagi membolehkan responden memberikan huraian kepada jawapan mereka.

"Bagi segmen pertama, soalannya mudah, misalnya 'Fahamkah anda tentang Gagasan 1Malaysia?... tidak ada huraian. Bagi segmen kedua, kita akan mengisi pertanyaan dalam bentuk jawapan yang lebih menjurus kepada fahaman yang lebih mendalam," katanya.

Mengulas lanjut, Rais yakin peratusan rakyat yang memahami gagasan 1Malaysia akan meningkat apabila jumlah keseluruhan SMS yang diterima kementeriannya diproses.

"Bagaimanapun, kita tidak berpuas hati di sini saja. Saya sudah arahkan pegawai saya di setiap daerah untuk bergerak lebih aktif dengan masuk ke kampung dan estet bagi memberi penerangan mengenai gagasan 1Malaysia.

"Kita akan menyusun lebih banyak program pemahaman seperti bersemuka secara langsung di kampung, kampung baru, sekolah dan menerusi siaran televisyen yang mengandungi program pemahaman.

"Pengisian program-program tersebut akan meliputi penerangan dari segi perpaduan, kandungan Perlembagaan, pendekatan Rukun Negara, hak-hak asasi beragama, susunan kontrak sosial yang wujud, pembelajaran dan pelajaran yang ada," katanya.

- BERITA HARIAN

Jumaat, Julai 24, 2009

64 peratus belia yakin kepemimpinan, prestasi Najib - Kajian

Satu kaji selidik di kalangan generasi muda mendapati 64 peratus daripada belia berusia antara 20 hingga 30 tahun berkeyakinan dengan kepemimpinan, keupayaan dan prestasi Datuk Seri Najib Razak dalam tempoh 100 hari sebagai Perdana Menteri.

Sebanyak 22 peratus lagi berkata Perdana Menteri masih mempunyai masa dan ruang untuk membuktikannya kepada golongan belia, manakala 14 peratus tidak berkeyakinan terhadap kepemimpinan, keupayaan dan prestasi Najib sebagai Perdana Menteri.

Keputusan itu diperoleh hasil kaji selidik Yayasan Kerjasama Malaysia membabitkan responden lepasan institusi pengajian tinggi (IPT) dengan pemilihannya dilakukan secara rawak daripada rangka senarai pencari kerja Jabatan Tenaga Kerja.

Sebanyak 20,000 e-mel dihantar kepada responden mengikut jantina, taraf pendidikan, bangsa dan negeri selama dua hari bermula 14 hingga 16 Julai lalu. Daripada jumlah itu, 1,273 daripadanya mengembalikan soal selidik dalam tempoh yang ditetapkan.

Felo Penyelidik Utama Yayasan Kerjasama Malaysia, Prof Datuk Dr Sulaiman Md Yassin, berkata kaji selidik itu bertujuan mendengar pandangan belia terhadap kepemimpinan Najib sempena 100 hari sebagai Perdana Menteri.

Kaji selidik itu meliputi kepemimpinan, menangani isu nasional, konsep 1Malaysia, petunjuk prestasi utama (KPI), masa depan politik, kepercayaan terhadap Najib dan pandangan mereka serta konsep 1Belia yang diperkenalkan Kementerian Belia dan Sukan.

Beliau berkata, hasil kaji selidik mendapati belia meletakkan 71 peratus kepercayaan dan harapan tinggi kepada kepemimpinan Najib, 13 peratus tidak dan 16 peratus tidak pasti. Sebanyak 60 peratus beranggapan masa depan politik negara stabil, 34 peratus tidak stabil dan enam peratus tidak pasti.

Kajian turut mendapati 64 peratus belia berpendapat dalam tempoh 100 hari Najib sebagai Perdana Menteri berjaya menangani isu nasional, 14 peratus berkata tidak, manakala 22 peratus lagi tidak pasti dan 76 peratus menyokong konsep 1Malaysia, retorik (14 peratus), tidak sesuai (lima peratus) dan tidak pasti 5 peratus.

Kaji selidik itu turut meminta pandangan mereka mengenai penggunaan KPI dengan 67 peratus berkata ya terhadap penggunaan KPI, 11 peratus tidak dan 22 peratus tidak pasti.

- BERITA HARIAN

Rabu, Julai 08, 2009

Kajiselidik - Penduduk Malaysia utamakan imbangan pekerjaan, kehidupan

Imbangan yang baik antara pekerjaan dan kehidupan peribadi masih menjadi keutamaan kepada lebih 68 peratus responden Malaysia, menurut kaji selidik Kelly Services.

Kelly Global Workforce Index juga mendapati teknologi komunikasi mudah alih, seperti telefon bimbit dan komputer riba, telah meningkatkan produktiviti peribadi mereka dan membawa transformasi ke atas imbangan antara kerja dan kehidupan daripada kira-kira 90 peratus responden yang disoal selidik.

Di samping itu, 80 peratus responden berkata, sanggup bekerja di luar pejabat dengan keadaan berkomunikasi yang baik sungguhpun waktu kerja lebih panjang bagi hampir separuh daripada responden.

Kaji selidik tersebut telah dilaksanakan oleh Kelly Services Inc. melibatkan 100,000 orang dari 34 buah negara, termasuk 2,000 orang di Malaysia yang terdiri daripada Generasi Y (berusia 18 hingga 29 tahun) dan Generasi X (30 hingga 47 tahun)

Naib Presiden dan Pengurus Besar Kelly Services (M) Sdn. Bhd., Melissa Norman berkata, ledakan alat komunikasi mudah alih dan digital membantu mewujudkan tenaga kerja yang lebih fleksibel dan lebih produktif.

Katanya, dengan adanya teknologi tanpa wayar, majikan boleh memberi kelonggaran kepada pekerja, dengan membenarkan waktu kerja yang fleksibel dan membolehkan kakitangan bekerja dari rumah.

"Ramai pekerja sekarang mempunyai keupayaan untuk bekerja dari rumah atau jauh dari pejabat, pada bila-bila masa, sepanjang hari, dan ini terbukti positif.

"Walaupun waktu kerja bagi sebahagian responden lebih panjang, mereka tidak keberatan kerana mendapat lebih kebebasan dan fleksibiliti," katanya.

Fenomena ini dikuasai oleh golongan berusia 18 hingga 29 tahun manakala responden berumur antara 30 hingga 47 tahun lebih mengutamakan imbangan antara pekerjaan dan kehidupan berbanding golongan berumur antara 48 hingga 65 tahun.

Sebanyak 72 peratus berpendapat produktiviti adalah 'jauh lebih baik', 22 peratus respondeen berkata 'lebih baik sedikit', manakala satu peratus responden memberi jawapan produktiviti merosot, dan lima peratus berpendapat teknologi baru tidak membawa sebarang perbezaan.

Norman berkata, beberapa perkembangan lain memberi kesan lebih besar ke atas penglibatan dan produktiviti peribadi pekerja.

Menurutnya, majikan yang menggunakan teknologi untuk meningkatkan aturan kerja juga boleh mendapat manfaat produktiviti dan akan dianggap sebagai majikan pilihan.

- UTUSAN

Kepemimpinan Najib semakin diterimam - Kajian

Menjelang genap 100 hari memikul tanggungjawab sebagai Perdana Menteri pada Ahad depan, Datuk Seri Najib Razak menunjukkan pencapaian membanggakan apabila kaji selidik menunjukkan 65 peratus daripada responden menerima keputusan dan langkah pentadbirannya memperbaiki ekonomi negara.

Kaji selidik Merdeka Centre, sebuah pusat penyelidikan tempatan itu mendapati kadar penerimaan terhadap kepemimpinan Najib meningkat daripada 42 peratus sebelum mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kepada 46 peratus pada pertengahan Mei dan melonjak kepada 65 peratus baru-baru ini.

Hanya 22 peratus daripada 1,060 tinjauan pendapat yang dilakukan antara 19 Jun hingga 1 Julai kurang berpuas hati dengan pencapaian Najib, manakala 13 peratus lagi tidak membuat keputusan.

Pengarah Merdeka Centre, Ibrahim Suffian, berkata perangkaan itu membuktikan mereka menerima inisiatif dasar yang dilaksanakan Perdana Menteri, termasuk pelbagai mesej yang beliau sampaikan.

"Malah, ada yang semakin mempercayai kepemimpinan beliau dan ia diterjemahkan dengan kadar peratusan yang tinggi itu," katanya.

Antara soalan yang dikemukakan dalam tinjauan pendapat di kalangan rakyat Malaysia itu ialah hasil pencapaian Perdana Menteri, sentimen berkaitan negara, ekonomi dan langkah ke arah liberalisasi ekonomi.

Sejak mengisi kerusi Perdana Menteri, Najib memperkenalkan pelbagai langkah menerusi model ekonomi baru negara dengan liberalisasi sektor perkhidmatan kewangan, termasuk membenarkan warga asing memiliki pelaburan bank dan syarikat insurans.

Minggu lalu beliau menurunkan 30 peratus pemilikan Bumiputera untuk syarikat tempatan yang akan disenaraikan dan mengurangkan peranan serta kuasa Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) serta mengumumkan kategori baru biasiswa berasaskan merit mulai tahun depan.

Ibrahim berkata, kaji selidik juga mendapati masyarakat Melayu memberi sokongan paling padu terhadap Najib.

"Sebanyak 74 peratus masing-masing di kalangan responden Melayu dan India berpuas hati dengan pencapaian Najib sebagai Perdana Menteri, manakala tahap sokongan masyarakat Cina pula 48 peratus," katanya.

Kaji selidik juga menunjukkan majoriti responden menerima keputusan Najib untuk meliberalisasikan ekonomi negara.

Sebanyak 62 peratus responden percaya liberalisasi dapat membantu negara untuk jangka masa panjang, manakala 21 peratus tidak yakin ia dapat membantu negara dan 17 peratus tidak memberi maklum balas kepada soalan itu.

"Sebagai tambahan, 60 peratus percaya liberalisasi dapat membantu masyarakat Melayu untuk jangka masa panjang.

"Kaji selidik juga menunjukkan di sebalik berhadapan situasi meruncing dalam usaha membentuk semula ekonomi negara sejak krisis kewangan Asia, responden optimis terhadap situasi ekonomi dan keupayaan Najib mentadbir negara menyusuri landasan yang betul," katanya.

- BERITA HARIAN

Selasa, Jun 16, 2009

Kaji selidik tolak kepulangan Chin Peng

Lapan puluh peratus daripada 10,000 responden kaji selidik berkumpulan Jabatan Penerangan Malaysia tidak mahu Chin Peng dibenarkan pulang mahupun diberi kerakyatan.

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Datuk Abdullah Morad berkata, kaji selidik itu dilakukan di kalangan pelbagai kaum di seluruh negara setelah timbul cadangan pihak tertentu yang bersetuju membenarkan Chin Peng pulang atas aspek kemanusiaan.

"Kajian mendapati rakyat semua kaum tidak dapat menerima Chin Peng kerana kekejaman yang pernah dilakukannya sewaktu zaman darurat dan selepas negara mencapai kemerdekaan," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Program Sepakat Bestari peringkat Daerah Yan di Kampung Singkir Laut di sini hari ini.

Katanya, kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan Chin Peng dibenar pulang atas alasan kerajaan pernah membenarkan beberapa anggota komunis pulang ke tanah air hanya akan menimbulkan kekeliruan.

"Negara boleh menjadi porak-peranda dan rakyat akan terkeliru jika isu Chin Peng terus dimainkan oleh pemimpin politik pembangkang sebagai modal meraih simpati.

"Walaupun rakyat menolak hasrat kepulangan Chin Peng, tetapi masih ada pihak tertentu terutama pemimpin politik menjadikan ia sebagai isu," kata Abdullah.

- BERNAMA

Isnin, Mac 30, 2009

Kajiselidik - Apa kriteria jejaka 'cool'?

Apakah yang menjadikan lelaki kini 'cool'? Paras rupanya, gajetnya atau adakah pakej secara keseluruhan?

Brylcreem, jenama nombor satu produk penjagaan lelaki menyelami topik ini menerusi kaji selidik unik bersama Harian Metro.


Jejaka 'cool' masa kini. Apa kata anda?

Ini adalah tinjauan kajian secara on-line menerusi salah satu laman web utama di negara ini, www.hmetro.com.my/bcreemsurvey.

Kajian yang dibuka kepada semua rakyat Malaysia ini mempelawa peserta menjawab satu siri soalan mudah mengenai pendapat dan pandangan mereka mengenai faktor yang menjadikan jejaka kini 'cool'.

Pengarah Pemasaran Sara Lee Malaysia, Low Chooi Hoon, berkata sebagai peneraju jenama produk penjagaan lelaki, pihaknya sentiasa mahu memahami jejaka di negara ini dengan lebih terperinci, khususnya faktor yang menjadikan mereka lebih 'cool'.

"Dalam kaji selidik ini, kami inginkan pandangan anda, baik pembaca lelaki atau wanita apa yang 'cool' masa kini amat dinamik dan boleh diselami dari pelbagai perspektif," katanya.

Kajian unik Brylcreem dan Harian Metro ini kini boleh didapati secara online.

Seramai 100 peserta bertuah yang memberi jawapan secara terus terang akan berpeluang memenangi produk daripada Brylcreem.

Sementara itu, selain Brylcreem, Sara Lee, syarikat global yang terbabit dalam pemasaran pelbagai produk bermutu tinggi dengan operasi di 55 negara dan memasarkan produk jenama di hampir 200 negara turut memasarkan jenama Ridsect, Ambi Pur, Kiwi Shoe, Kiwi Kleen dan Radox.

Rabu, Mac 25, 2009

Cantik, bodoh atasi wanita bijak

Kajian baru mengesahkan lelaki lebih rela keluar bersama dengan wanita cantik yang bodoh daripada wanita bijak tetapi kurang menarik.

Tinjauan menunjukkan 73 peratus lelaki lebih berkemungkinan memilih gadis seperti pemenang siri Celebrity Big Brother's, Chantelle Houghton berbanding bintang Cabaran Universiti, Gail Trimble.

Lebih separuh lelaki berkata otak yang bijak tidak penting selagi wanita itu cantik kerana ia penting untuk mengagumkan rakan mereka. Lapan daripada 10 lelaki berkata, mereka tergugat dengan gadis bijak.

Bagaimanapun, hampir tiga perempat wanita berkata mereka mencari lelaki bijak berbanding wajah kerana lelaki kacak terlalu sombong sebaliknya lelaki bijak boleh menyediakan kesenangan kepada mereka.

Cuma seorang dalam 10 wanita memilih lelaki kacak berbanding yang bijak kerana 'seks pastinya lebih baik'.

- AGENSI

Jumaat, Mac 13, 2009

Bill Gates terkaya di dunia - 6 rakyat Malaysia bilionair dunia


Dunia kini hanya mempunyai 793 bilionair berbanding 1,125 orang pada tahun lalu berikutan krisis kewangan, lapor Forbes kelmarin.

Enam daripada 793 bilionair itu adalah dari Malaysia yang diketuai oleh taikun Ananda Krishnan dan Robert Kuok masing-masing menduduki tempat ke-62.

Kedua-dua bilionair itu berkongsi nilai kekayaan yang dianggarkan berjumlah AS$7 bilion (RM25.85 bilion).

Tempat pertama masih dipegang oleh pengasas syarikat perisian komputer Microsoft iaitu, Bill Gates dengan kekayaannya AS$40 bilion (RM147.71 bilion).

Pelabur legenda dari Amerika Syarikat (AS), Warren Buffett menduduki tempat kedua dengan kekayaan berjumlah AS$37 bilion (RM136.63 bilion).

Hartawan dari Mexico, Carlos Slim berada di tempat ketiga dengan kekayaan AS$35 bilion (RM129.24 bilion).

Dua taikun kelahiran India, Mukesh Ambai berada di tangga ketujuh dengan kekayaan AS$19.5 bilion (RM72 bilion).

Seorang lagi taikun India, Lakshmi Mittal menduduki tempat kelapan dengan kekayaan AS$19.3 bilion (RM71.26 bilion).

Hartawan George Soros berada di tangga ke-29 dengan kekayaan AS$11 bilion (RM40.61 bilion). Empat lagi rakyat Malaysia yang menduduki senarai Forbes itu adalah Lee Shin Cheng yang berada di tangga ke-234 dengan kekayaan AS$2.7 bilion (RM9.96 bilion).

Rakyat Malaysia yang turut disenaraikan adalah Teh Hong Piow yang menduduki tempat ke-261 dengan kekayaan berjumlah AS$2.5 bilion (RM9.2 bilion).

Usahawan Malaysia, Quek Leng Chan menduduki tangga ke-376 dengan kekayaan AS$1.9 bilion (RM7.01 bilion).

Seorang lagi rakyat Malaysia, Yeoh Tiong Lay dan keluarga yang menduduki tempat ke-397 dengan kekayaan AS$1.8 bilion (RM6.64 bilion).

Pemilik kelab bola sepak Chelsea, Roman Abramovich menduduki tempat ke-51 dengan kekayaan adalah AS$8.5 bilion (RM31.39 bilion) ketika berumur 42 tahun.

Anggota kerabat diraja Arab Saudi, Putera Alwaleed Bin Talal Al-Saud berada di tempat ke-22 dengan kekayaan berjumlah AS$13.3 bilion (RM49.11 bilion).

Pemilik kelab Manchester City, Sheik Mansour bin Zayed Al Nahyan dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menduduki tangga ke-104 dengan kekayaan AS$4.9 bilion (RM18 bilion).

- AGENSI

Recent Posts