Jumaat, Julai 24, 2009

64 peratus belia yakin kepemimpinan, prestasi Najib - Kajian

Satu kaji selidik di kalangan generasi muda mendapati 64 peratus daripada belia berusia antara 20 hingga 30 tahun berkeyakinan dengan kepemimpinan, keupayaan dan prestasi Datuk Seri Najib Razak dalam tempoh 100 hari sebagai Perdana Menteri.

Sebanyak 22 peratus lagi berkata Perdana Menteri masih mempunyai masa dan ruang untuk membuktikannya kepada golongan belia, manakala 14 peratus tidak berkeyakinan terhadap kepemimpinan, keupayaan dan prestasi Najib sebagai Perdana Menteri.

Keputusan itu diperoleh hasil kaji selidik Yayasan Kerjasama Malaysia membabitkan responden lepasan institusi pengajian tinggi (IPT) dengan pemilihannya dilakukan secara rawak daripada rangka senarai pencari kerja Jabatan Tenaga Kerja.

Sebanyak 20,000 e-mel dihantar kepada responden mengikut jantina, taraf pendidikan, bangsa dan negeri selama dua hari bermula 14 hingga 16 Julai lalu. Daripada jumlah itu, 1,273 daripadanya mengembalikan soal selidik dalam tempoh yang ditetapkan.

Felo Penyelidik Utama Yayasan Kerjasama Malaysia, Prof Datuk Dr Sulaiman Md Yassin, berkata kaji selidik itu bertujuan mendengar pandangan belia terhadap kepemimpinan Najib sempena 100 hari sebagai Perdana Menteri.

Kaji selidik itu meliputi kepemimpinan, menangani isu nasional, konsep 1Malaysia, petunjuk prestasi utama (KPI), masa depan politik, kepercayaan terhadap Najib dan pandangan mereka serta konsep 1Belia yang diperkenalkan Kementerian Belia dan Sukan.

Beliau berkata, hasil kaji selidik mendapati belia meletakkan 71 peratus kepercayaan dan harapan tinggi kepada kepemimpinan Najib, 13 peratus tidak dan 16 peratus tidak pasti. Sebanyak 60 peratus beranggapan masa depan politik negara stabil, 34 peratus tidak stabil dan enam peratus tidak pasti.

Kajian turut mendapati 64 peratus belia berpendapat dalam tempoh 100 hari Najib sebagai Perdana Menteri berjaya menangani isu nasional, 14 peratus berkata tidak, manakala 22 peratus lagi tidak pasti dan 76 peratus menyokong konsep 1Malaysia, retorik (14 peratus), tidak sesuai (lima peratus) dan tidak pasti 5 peratus.

Kaji selidik itu turut meminta pandangan mereka mengenai penggunaan KPI dengan 67 peratus berkata ya terhadap penggunaan KPI, 11 peratus tidak dan 22 peratus tidak pasti.

- BERITA HARIAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts