Ramai faham 1Malaysia

Satu tinjauan pendapat yang dikendalikan kerajaan tahun lalu menunjukkan kira-kira 60 peratus daripada tujuh juta khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterimanya setakat ini, memahami maksud gagasan 1Malaysia.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang mengumumkan hasil kajian itu di sini, semalam, berkata 40 peratus lagi meminta kerajaan memberi lebih penerangan mengenai pengisian gagasan berkenaan.

"Kementerian bekerjasama dengan beberapa syarikat telekomunikasi dan menghantar tinjauan pendapat kepada rakyat Malaysia secara rawak. Soalan yang ditanya adakah rakyat faham konsep 1Malaysia.

"Hasilnya, kita menerima 14 juta maklum balas.

Daripada jumlah itu, 7 juta sudah diproses dengan 60 peratus darinya memahami gagasan 1Malaysia, manakala 40 peratus lagi meminta penjelasan lanjut," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis Sepetang Bersama Pegawai Kanan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dari seluruh negara di Angkasapuri.

Rais berkata, kementeriannya juga mengadakan menemuduga terus rakyat mengenai pemahaman masyarakat mengenai gagasan 1Malaysia.

"Sejumlah 12,212 responden ditemuduga dan kira-kira 62 peratus mengatakan mereka faham dan maklum mengenai maklumat dan matlamat murni gagasan 1Malaysia.

"Jadi kedua-dua kumpulan data ini akan kita buat satu pangkalan dan kemudian kita buat satu cerakinnya supaya lebih mudah bagi kita menentukan aspek mana 1Malaysia ini yang harus kita beri penumpuan lebih daripada sekarang," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan menjadualkan segmen kedua maklum balas SMS itu bagi membolehkan responden memberikan huraian kepada jawapan mereka.

"Bagi segmen pertama, soalannya mudah, misalnya 'Fahamkah anda tentang Gagasan 1Malaysia?... tidak ada huraian. Bagi segmen kedua, kita akan mengisi pertanyaan dalam bentuk jawapan yang lebih menjurus kepada fahaman yang lebih mendalam," katanya.

Mengulas lanjut, Rais yakin peratusan rakyat yang memahami gagasan 1Malaysia akan meningkat apabila jumlah keseluruhan SMS yang diterima kementeriannya diproses.

"Bagaimanapun, kita tidak berpuas hati di sini saja. Saya sudah arahkan pegawai saya di setiap daerah untuk bergerak lebih aktif dengan masuk ke kampung dan estet bagi memberi penerangan mengenai gagasan 1Malaysia.

"Kita akan menyusun lebih banyak program pemahaman seperti bersemuka secara langsung di kampung, kampung baru, sekolah dan menerusi siaran televisyen yang mengandungi program pemahaman.

"Pengisian program-program tersebut akan meliputi penerangan dari segi perpaduan, kandungan Perlembagaan, pendekatan Rukun Negara, hak-hak asasi beragama, susunan kontrak sosial yang wujud, pembelajaran dan pelajaran yang ada," katanya.

- BERITA HARIAN Ramai faham 1Malaysia

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.