Memaparkan catatan dengan label Jenayah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Jenayah. Papar semua catatan

Selasa, September 27, 2022

‘Pegawai Mahkamah’ curi duit peniaga


 Wang simpanan seorang peniaga berjumlah RM28,000 lebur selepas diperdaya Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai mahkamah, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid berkata, mangsa yang berusia 27 tahun dihubungi suspek yang mengaku seorang pegawai mahkamah.

Beliau berkata, suspek memperdayakan mangsa dengan mengatakan nombor kad pengenalan mangsa telah digunakan oleh seseorang bagi mendaftarkan syarikat di Melaka dan syarikat tersebut telah disenaraihitamkan.

“Mangsa menafikan ada membenarkan nombor kad pengenalannya digunakan orang lain. Suspek kemudian menawarkan diri untuk menyelesaikan masalah mangsa dengan bayaran RM20,000.

“Suspek menjelaskan wang itu akan dimasukkan semula ke dalam akaun mangsa selepas urusan tersebut selesai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rupiah berkata, mangsa kemudian memuat naik aplikasi Bank Negara Malaysia seperti diminta suspek bagi tujuan tersebut.

Katanya, suspek turut bertanyakan jumlah akaun bank yang dimiliki mangsa serta jumlah wang yang ada dalam akaun berkenaan.

“Mangsa telah memberitahu semua maklumat mengenai akaunnya dan mengisi aplikasi tersebut. Mangsa turut memasukan maklumat dan nombor pin serta 16 digit nombor kad akaun Public Bank.

“Akibat kejadian tersebut wang dalam akaun mangsa telah berkurangan sebanyak RM28,000,” katanya.

Beliau meminta orang ramai membuat semakan nombor telefon dan akaun yang diragaui menerusi laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat aplikasi check scammers ccid bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. 

Sumber : Kosmo!

Sabtu, September 03, 2022

Rosmah kena penjara 10 tahun, denda RM970 juta

 


Mahkamah Tinggi memerintahkan Datin Seri Rosmah Mansor dipenjara 10 tahun bagi setiap tuduhan yang berjalan secara serentak dan didenda RM970 juta.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan membenarkan pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan hingga Rosmah mengemukakan rayuan.

Jika beliau gagal membayar denda berkenaan, Rosmah perlu menjalani hukuman penjara tambahan 30 tahun.

Ini adalah denda tertinggi pernah dikenakan terhadap mana-mana pesalah mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan hukuman denda ditangguhkan hingga Rosmah kemukakan rayuan.

Mahkamah turut mengekalkan jumlah jaminan sebanyak RM2 juta yang dikenakan terhadap Rosmah dalam kes itu hingga rayuannya diputuskan Mahkamah Rayuan.

Terdahulu, Mohamed Zaini dalam penghakiman ringkas menjelaskan pembelaan tidak berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap semua tiga tuduhan.

Dengan itu, Rosmah didapati bersalah meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima suapan RM6.5 juta membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rosmah didakwa meminta dan menerima suapan daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holding iaitu Saidi Abang Samsudin.

Rasuah itu diterima melalui bekas pegawai khas suaminya Datuk Seri Najib Razak, iaitu Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Sumber : Berita Harian

Selasa, Ogos 16, 2022

Menghendap secara maya berulang kali satu jenayah dalam pindaan Akta 574

 


Bukan sahaja menghendap secara fizikal, malah perbuatan menghendap secara maya berulang kali juga adalah satu jenayah menurut Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022, Akta Kanun Keseksaan (Akta 574).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata walaupun perbuatan menghendap secara maya tidak membabitkan sentuhan atau mendatangkan kecederaan, tetapi ia boleh mengganggu mental dan emosi mangsa.

"Sebagai contoh, berlaku insiden A telah berpisah dengan B, namun B sering mengganggu A dengan pelbagai mesej dan sebagainya.

"Apabila A tukar nombor telefon, B masih lagi menghubungi A di media sosial dengan mengubah pelbagai nama samaran sehingga ada sampai 10 ke 20 akaun (media sosial) hanya untuk memastikan hidup A tidak tenteram.

"Apabila (mangsa) pergi ke balai polis untuk membuat laporan, polis tidak boleh ambil tindakan… sebab tidak mendatangkan kecederaan kepada mangsa. Sebab itu (ada) mangsa yang sampai berhenti kerja dan sanggup keluar negara kerana khuatir diekori lagi," katanya.

Justeru Mas Ermieyati berkata adalah penting dan tepat pada masanya untuk meluluskan rang undang-undang 'anti menghendap' itu untuk melindungi mangsa secara menyeluruh dan bukan hanya daripada yang mendatangkan kecederaan semata-mata.

"… kalau tidak ada satu undang-undang yang benar-benar melindungi mangsa, saya khuatir akan (berlaku) lebih banyak (kes menghendap) sehingga mendatangkan kecederaan (pada masa akan datang)," katanya.

Sementara itu Mas Ermieyati berkata beliau juga optimis rang undang-undang yang dijangka akan dibacakan kali kedua dan ketiga pada Mesyuarat Ketiga mulai Oktober depan itu, akan diluluskan di Parlimen pada hujung tahun ini.

Pada 4 Ogos lalu, pindaan Akta 574 bagi memasukkan perbuatan menghendap sebagai satu jenayah telah dibentang di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama.

Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022 itu bertujuan memasukkan seksyen baharu 507a ke dalam Akta 574 untuk mengadakan peruntukan bagi kesalahan menghendap.

Menurut rang undang-undang itu, sesiapa yang berulang kali dengan apa-apa tindakan gangguan, berniat untuk menyebabkan, atau mengetahui atau sepatutnya mengetahui bahawa perbuatan itu berkemungkinan menyebabkan, merisaukan, menakutkan atau mencemaskan akan keselamatan orang itu, melakukan kesalahan menghendap.

Rang undang-undang itu juga menyatakan sesiapa yang melakukan kesalahan menghendap hendaklah dihukum penjara sehingga tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya. 

Sumber : BERNAMA

Berhati-hati dengan tawaran kerja di luar negara

 


Jabatan Imigresen akan berkerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain bagi mendidik orang ramai supaya tidak terpedaya dengan tawaran penipuan pekerjaan di luar negara yang menawarkan gaji lumayan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, berkata orang ramai perlu berhati-hati apabila ditawarkan pekerjaan melalui media sosial dengan gaji lumayan terutama di luar negara.

Katanya, mereka boleh merujuk perkara itu dengan pihak berkuasa untuk mengesahkan kesahihan tawaran bagi mengelak ditipu sindiket.

Katanya, Jabatan Imigresen tidak boleh menghalang mana-mana individu ke luar negara kecuali yang disenarai hitam.

Sekatan ke luar negara hanya boleh dibuat terhadap individu yang disenarai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM), polis (PDRM) dan Kastam atau mempunyai sebab-sebab tertentu yang pernah dihalang keluar negara" katanya pada sidang media Prapelancaran Larian Imigresen 2022 di Putrajaya.

April lalu, media melaporkan 16 warga tempatan terpedaya dengan sindiket penipuan yang menawarkan gaji tinggi di Kemboja.

Kumpulan itu dilapor didera, tidak menerima gaji dan diugut dengan senjata api jika enggan berkerja.

Khairul Dzaimee berkata, pihaknya tidak boleh bertindak dalam kes rakyat Malaysia menjadi sindiket 'scammer' di luar negara kerana berada di luar bidang kuasa jabatan.

Sementara itu, katanya, Larian Imigresen 2022 akan berlangsung pada 4 September sempena sambutan Hari Imigresen 2022 dan Bulan Kemerdekaan.

Program kali ketiga dianjurkan sejak 2019 ini membabitkan tiga kategori iaitu terbuka lima kilometer 'Fun Run' (km), 10 km dan 15 km terbuka dan veteran.

Sumber : Berita Harian

Ahad, Januari 16, 2022

Anak penggal kepala ibu hingga maut

 

Seorang wanita berusia 56 tahun maut dipercayai dipenggal kepala oleh anaknya dalam kejadian di Kampung Baru Pasir Penambang, di Kuala Selangor, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa, berkata polis menerima maklumat jam 5.45 petang berhubung kejadian seorang wanita dicederakan oleh anaknya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 28 tahun dipercayai membunuh mangsa ketika berada di ruang tamu berikutan terdapat kesan darah di sekitarnya.

Katanya, suspek yang juga penganggur tinggal bersama mangsa dan suaminya, manakala anak mangsa yang lain pula menyewa di kawasan berhampiran.

"Kejadian disedari seorang daripada anak mangsa yang gagal menghubunginya, sebelum pergi ke rumah. Sebaik tiba, anak mangsa melihat keadaan rumah berlumuran darah dan suspek yang terkejut terus melarikan diri ke belukar di belakang rumah.

"Polis dengan bantuan penduduk berjaya menahan suspek yang bersembunyi dalam belukar itu dan siasatan lanjut sudah dijalankan oleh pasukan forensik," katanya.

Ramli berkata, polis turut merampas parang disyaki digunakan suspek untuk memenggal kepala ibunya yang ditemui dalam tandas rumah berkenaan.

"Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

"Permohonan reman dibuat di Mahkamah Majistret Kuala Selangor dan suspek direman selama tujuh hari sehingga 22 Januari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Sumber dari Berita Harian


 

Recent Posts