Memaparkan catatan dengan label Jenayah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Jenayah. Papar semua catatan

Rabu, Jun 23, 2021

Suami isteri kaki temberang emas murah ditangkap

 

Sepasang suami isteri yang menjalankan urusan jual beli barang kemas dan memperdaya kira-kira enam mangsa di sekitar negara ini berjaya ditangkap polis di sebuah stesen minyak di Sungai Petani, 17 Jun lalu.

Kosmo! difahamkan pasangan suami isteri berkenaan telah melakukan penipuan jual beli barang kemas secara dalam talian dan bersemuka membabitkan jumlah kerugian melebihi RM200,000 dan kemudiannya menghilangkan diri.

Menurut sumber, si isteri berusia lingkungan 40an merupakan warganegara Indonesia dan menggunakan akaun suaminya yang menetap di Felda Palong 5, Gemas bagi urusan jual beli tersebut.

Susulan melakukan enam siri penipuan antaranya di Merlimau (Melaka), Salak Selatan (Kuala Lumpur) dan Segamat (Johor) sejak awal tahun ini, kedua-dua suspek yang menjadi buruan polis melarikan diri ke utara tanah air namun kecundang apabila berjaya ditangkap polis hasil kerjasama semua pihak yang terlibat dalam siasatan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan penangkapan berkenaan telah berjaya menyelesaikan dua kes di negeri ini membabitkan kes jual beli barang kemas.

Menurutnya, kes penipuan oleh pasangan suami isteri berkenaan telah dilaporkan berlaku di Gemas pada 16 Februari lalu membabitkan kerugian sebanyak RM 25,812. 05.

“Mangsa berusia 35 tahun mengenali suspek melalui rakannya. Mangsa tertarik dengan tawaran emas murah berkenaan dan segera menghubungi talian 016-6475350.

“Semasa dalam proses urusniaga, mangsa telah melakukan 22 transaksi ke akaun yang diberikan dan suspek juga berjanji untuk memberikan barangan kemas berkenaan.

Bagaimanapun, setelah menunggu dalam tempoh yang diberikan, barangan kemas atau pulangan yang dijanjikan tidak diberikan.

“Beberapa kenalan mangsa telah pergi ke alamat rumah suami suspek, namun rumah berkenaan tidak lama berpenghuni. Mangsa segera membuat laporan polis selepas menyedari tertipu.

Manakala, Aibee berkata, kes kedua pula direkodkan di Rompin, Jempol pada 30 Mei lalu.

“Mangsa berusia 34 tahun berminat untuk membeli seutas gelang tangan emas seberat 9.38 gram dengan harga RM2,210 dan menghubungi talian 016-6475350 untuk pembelian barangan kemas berkenaan.

“Mangsa telah melakukan transaksi ke akaun yang diberikan dan selepas itu dimaklumkan barangan yang dibeli mempunyai masalah serta sedang dalam proses.

Menurutnya, mangsa yang berasa tertipu telah membuat laporan polis.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Kita nasihatkan orang ramai untuk tidak mudah tertarik untuk melakukan pembelian yang menawarkan harga murah.

Menurutnya, orang ramai boleh membuat semakan terlebih dahulu di laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat turun aplikasi ‘Semak Mule CCID’ sebelum membuat sebarang transaksi bagi mengelak ditipu. 

Sumber : Kosmo!

 

 

Khamis, Mac 25, 2021

Rekod 2 juta individu terkait jenayah sudah dikemas kini - KPN

 

Rekod lebih dua juta individu yang dikaitkan dengan pelbagai jenayah sudah dikemas kini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Abdul Hamid berkata, sebelum ini, rekod individu berkenaan tidak dapat dikemas kini dalam sistem data agensi itu disebabkan beberapa kekangan termasuk masalah sistem pengisian maklumat dan teknikal.

"Ia ditambah lagi dengan pegawai atau anggota bertanggungjawab mengisi maklumat itu ada yang sudah tamat berkhidmat ataupun bertukar jawatan ke tempat lain," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Abdul Hamid berkata, dengan siapnya pengemaskinian rekod itu 100 peratus, ia akan memudahkan urusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat semakan rekod jenayah individu sama ada untuk kegunaan PDRM atau agensi kerajaan lain.

"Hikmahnya apabila diminta membuat semakan ke atas mana-mana individu yang ingin memohon pekerjaan, rekod itu boleh diberikan PDRM kerana semuanya sudah terpapar di dalam komputer," katanya.

Beliau memberi contoh, jika pihak Wisma Putra meminta PDRM membuat semakan ke atas 1,000 nama individu, kesemuanya dapat dilaksana dengan mengaplikasikan proses 'data crunching'.

"Sekiranya perlu, untuk tahu individu itu ditangkap atas kes apa semuanya boleh disemak menerusi fail yang dikemas kini. Kami juga boleh bertanya kepada pegawai penyiasat apa yang terjadi berhubung kes dikendalikannya secara lebih lanjut," katanya.

Abdul Hamid berkata, mana-mana individu yang mempunyai kesalahan jenayah tidak akan terlepas daripada namanya disenaraikan dalam rekod.

"Cuba bayangkan jika ada individu itu diambil berkerja sedangkan dia rupa-rupanya seorang tokan dadah jadi perkara itu perlu dielakkan," katanya.

Sumber : Berita Harian

Ahad, Januari 31, 2021

Saya terkilan kerana tidak mampu mempertahankan arwah - Ibu angkat mangsa dera

 

"Saya menyesal menyerahkan semula anak angkat kepada ibunya, tetapi apakan daya, saya memahami hak seorang ibu yang mahu anak kembali ke pangkuannya.

"Tetapi saya tidak sangka dia diperlakukan sebegitu hanya selepas empat bulan kami berpisah, sedangkan dia anak yang baik dan tidak pernah membantah kata selama menjaganya sejak bayi lagi," kata Norlida Abu Hassan, 50, ibu angkat kepada kanak-kanak berusia tujuh tahun yang meninggal dunia dipercayai didera.

Kisah perpisahan Norlida dan anak angkatnya pernah tular di Facebook pada Oktober tahun lalu dan mendapat perhatian ramai yang turut bersedih berikutan kanak-kanak terbabit terpaksa diserahkan semula kepada ibu kandungnya.

Norlida yang tinggal di Rawang, Selangor berkata, beliau terkilan kerana tidak mampu mempertahankan arwah ketika didera sehingga menyebabkan kanak-kanak itu meninggal dunia.

"Saya menjaganya seperti 'menatang minyak yang penuh' dan menganggapnya sebagai anak bongsu. Sejak menjaganya, dia tidak pernah menyusahkan saya, malah arwah memang tidak pernah mendesak jika mahukan sesuatu termasuk barangan permainan.

"Arwah juga berjaya menghafal surah Al-Mulk selepas belajar dengan kakak angkatnya.

"Saya memang terkejut dengan keadaan ini. Kenapa dia diperlakukan seperti itu, saya memang tak sangka," katanya ketika ditemui di rumah kenalannya di Batu Berendam di sini, hari ini.

Susulan kejadian itu, pasangan suami isteri yang disyaki mendera dan membunuh kanak-kanak berkenaan, semalam direman tujuh hari sehingga 5 Februari depan bagi membantu siasatan kes itu.

Perintah reman terhadap suspek dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Ayer Keroh, Mohd Anuar Ostadi hari ini, selepas dipohon polis mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bagi membolehkan polis menjalankan siasatan kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Norlida berkata, dia sekeluarga amat terkejut selepas dihubungi jiran kepada ibu kandung mangsa dari Krubong kira-kira jam 8 malam tadi yang memaklumkan berita sedih itu selepas mengetahui video tular perpisahan mereka sebelum ini.

Katanya, beliau sekeluarga tidak menyangka kematian tragis mengakhiri hidup anak angkatnya itu, sebelum bergegas ke Melaka malam tadi.

"Sebagai ibu, saya faham apabila ibu kandung mangsa selalu mengatakan kerinduannya kepada anak, jadi saya reda melepaskannya kerana ketika ibu kandungnya meminta saya menjaga anaknya, tiada perjanjian hitam putih dibuat antara kami.

"Malah, ketika menyerahkan semula kanak-kanak itu, saya terpaksa akur kerana tidak mahu bergaduh dengan ibunya," katanya.

Norlida berkata, sepanjang menjaga kanak-kanak berkenaan sejak berusia dua bulan hingga Oktober tahun lalu, ibu kandungnya jarang berjumpa, malah langsung tidak mengambil tahu mengenai mangsa.

Katanya, selepas mereka berpisah empat bulan lalu, ibu kandung kanak-kanak itu menghalang mereka daripada terus berhubung.

"Kami mahu bercakap di telefon pun dihalang, malah mesej dihantar melalui aplikasi WhatsApp dan panggilan video juga tidak dibenarkan.

"Bapa tiri mangsa terpaksa membawanya berjumpa saya secara senyap-senyap kerana ibu kandungnya bimbang saya akan mengambilnya semula," katanya.

Berkongsi detik terakhir bertemu mangsa pada awal November tahun lalu, Norlida berkata, bapa tiri arwah yang bekerja sebagai pemandu lori membawa kanak-kanak itu berjumpanya di kedai makan di Rawang tanpa pengetahuan ibunya.

"Hampir satu jam kami menghabiskan masa, malah sempat bergambar bersama dan saya sempat bertanya arwah hendak duduk dengan siapa, namun dia mendiamkan diri.

"Dia tak bercakap tetapi saya bertanya, 'Adik rindu Umi tak?' dan dia menjawab 'Adik rindu Umi, abah, kakak dan abang, tetapi adik tak boleh sebab terpaksa ikut mama (panggilan kepada ibu kandungnya)," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

Khamis, Januari 28, 2021

Pembantu tadbir rugi RM125,498 diperdaya ‘pegawai LHDN’, ‘polis’

 

Seorang pembantu tadbir amanah mengalami kerugian RM125,498.25 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis pada 6 Januari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintenden Elias Omar berkata, mangsa yang merupakan wanita berusia 46 tahun menerima panggilan telefon daripada ‘Noraini Daud’ yang menyamar sebagai pegawai LHDN.

“Suspek mendakwa mangsa mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM38,600.90 dan memaklumkan kesemua akaun bank mangsa akan dibekukan selain akan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya tidak membuat pembayaran.

“Mangsa menafikan perkara tersebut sebelum suspek menyambungkan kepada pihak lain kononnya polis bagi laporan penafian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Elias berkata, mangsa seterusnya dimaklumkan oleh individu menyamar polis itu bahawa akaun mangsa terlibat dalam aktiviti penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram sebanyak RM2.28 juta.

“Wanita terbabit turut menerima beberapa panggilan berkaitan perkara sama sehingga dia berasa takut dan membuat pinjaman bank sebanyak RM120,000,” jelasnya.

Katanya, mangsa bertindak menghubungi suspek bagi bertanyakan tentang siasatan kes tersebut pada Selasa lalu, namun dia tidak berpuas hati sebelum membuat semakan di sebuah bank di Jitra dekat sini.

“Setelah membuat semakan, mangsa mendapati wang dalam akaun miliknya sebanyak RM125,498.25 telah hilang melibatkan 13 transaksi ke akaun pihak ketiga,” katanya.

Tambahnya, kerugian bagi kes berkenaan adalah yang tertinggi direkodkan di Kedah pada bulan ini dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sumber : Utusan

Selasa, November 24, 2020

Anggota PGA maut ditembak di Padang Besar

 

Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) maut dipercayai akibat ditembak manakala seorang lagi parah ketika bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand dekat sini kira-kira pukul 3 pagi tadi.

Anggota yang maut ialah Koperal Baharuddin Ramli, 54, manakala Koperal Norihan Tari, 39, mengalami kecederaan parah.

Kejadian berlaku ketika kedua-dua anggota itu sedang bertugas dengan membuat kawalan di Pos TS9.

Sumber PGA ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador akan melawat mangsa.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Koperal Baharuddin Ramli daripada Batalion 3 (Senoi Praaq) Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA), yang terkorban ketika sedang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand awal pagi tadi.

Beliau menyifatkan pemergian mendiang Koperal Baharuddin merupakan satu kehilangan besar kepada negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya bagi pihak kerajaan Malaysia mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Koperal Baharuddin yang terkorban ketika bertugas di sempadan Malaysia-Thailand awal pagi tadi.

“Saya berasa dukacita apabila mendapat tahu mendiang meninggal akibat terkena tembakan semasa penugasan dalam Op Benteng,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Pada masa sama, Muhyiddin turut menzahirkan rasa sedih terhadap seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan a/l Tari yang cedera terkena tembakan di bahagian perut.

“Mendiang dan Norihan adalah petugas barisan hadapan yang bertugas mengawal sempadan negara daripada dicerobohi khususnya ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kerajaan amat menghargai jasa dan pengorbanan mendiang dan Norihan serta semua petugas barisan hadapan negara yang berkhidmat dengan penuh semangat dan dedikasi.

Sumber : Kosmo!

 

Isnin, November 02, 2020

Kes bunuh: Surya korban cita-cita demi ibu

 

Remaja perempuan yang mati dibunuh rakan sendiri, Siti Nur Surya Ismail sanggup mengorbankan impian dan cita-cita demi menjaga ibunya yang terlantar sakit akibat kanser otak.

Bapa arwah, Ismail Muda, 58, berkata, anaknya berusia 19 tahun itu bercita-cita mahu menjadi pelukis pelan dan sepatutnya sepatutnya menyambung pengajian dalam bidang lukisan pelan seni bina di Akademi Binaan Negara (ABN) Hulu Terengganu. 

"Demi kasih arwah terhadap ibunya, dia sanggup mengorbankan pelajarannya apabila mengambil keputusan tidak menyambung pengajian selepas tamat Tingkatan Lima.

"Dia bercita-cita menjadi seorang pelukis pelan dan menyambung pengajian dalam bidang lukisan pelan senibina di Akademi Binaan Negara (ABN) Hulu Terengganu Januari lalu," katanya ketika ditemui selepas upacara pengkebumian jenazah Siti Nur Surya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Beladau Selat, malam ini.

Bagaimanapun, Ismail berkata, arwah memikirkan ibunya yang terlantar sakit, lalu melupakan impian bergelar pelukis pelan hanya kerana mahu menumpukan perhatian menjaga ibu.

Siti Nur Surya ditemui mati dipercayai dibunuh di Kampung Lubok Batu, Telemong, selepas adiknya, Siti Nurliyana Syuhada, 15, yang menemui mangsa tertiarap di ruang tamu keadaan berlumuran darah dan putus pergelangan tangan ketika pulang dari sekolah, kira-kira jam 2.30 petang.

Mangsa turut mengalami kecederaan pada badan muka dipercayai bergelut sebelum dibunuh dengan senjata tajam.

Sementara itu, Siti Nurliyana berkata, pemergian kakaknya secara tiba-tiba meninggalkan kesan mendalam kepada dirinya.

Dia menyifatkan arwah sebagai kakak dan anak yang baik dan bertanggungjawab terhadap keluarga dan kedua orang tua.

"Arwah sangat baik. Saya akan merinduinya selepas ini apatah lagi kakak yang selalu menghantar dan menjemput saya pergi dan balik sekolah," katanya yang masih dalam keadaan sugul tidak percaya arwah kakaknya pergi dalam keadaan menyayat hati.

"Saya tidak menyangka tragedi berdarah ini berlaku kepada kakak. Ketika melihat mayatnya dengan pergelangan tangan kiri putus, saya takut dan terus keluar rumah untuk menelefon bapa," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

Mangsa berusia 19 tahun mati dibunuh

 

Disangka terkena renjatan elektrik tetapi sebenarnya mati dibunuh selain pergelangan tangan kiri mangsa putus akibat kesan tetakan senjata tajam.

Mangsa, Siti Surya Ismail, 19, dipercayai dibunuh dalam kejadian samun di rumahnya di Kampung Lubok Batu, Telemong.

Mayat mangsa ditemui adiknya, Siti Nur Syuhada, 15, dalam keadaan tertiarap dan berdarah di ruang tamu rumahnya ketika pulang dari sekolah kira-kira jam 2.30 petang.

Siti Nur Syuhada berkata, dia mengesyaki berlaku sesuatu kepada kakaknya apabila tidak menjemputnya pulang dari sekolah selain tidak menjawab telefon apabila dihubungi.

"Rutin kakak menjemput saya pulang dari sekolah setiap hari, tetapi selepas mendapati kakak tidak datang, saya hairan dan menghubunginya beberapa kali.

"Saya mengesyaki sesuatu berlaku selepas kakak tidak menjawab panggilan telefon dan segera berlari pulang ke rumah.

"Sebaik tiba di perkarangan rumah saya lihat pintu terbuka dan apabila masuk melihat kakak tertiarap di depan televisyen di ruang tamu dengan pergelangan tangan kiri putus.

"Saya kemudian menghubungi bapa, Ismail Muda, memberitahu kakak mungkin terkena renjatan elektrik kerana pergelangan tangan kiri putus," katanya ketika ditemui pemberita.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, siasatan awal mendapati kejadian mungkin berlaku pada jam 9 pagi.

Katanya, mangsa dipercayai dirompak berikutan sejumlah wang bernilai ratusan ringgit, dua beg tangan dan dua telefon bimbit mangsa lesap.

"Melihat kecederaan pada bahagian badan mangsa, dipercayai mangsa ditetak menggunakan senjata tajam, bagaimanapun pihak polis tidak menemui sebarang senjata yang digunakan," katanya.

Mohd Marzhuki berkata, jenayah itu mungkin dilakukan individu dikenali mangsa namun motif serta punca kejadian masih dalam siasatan.

"Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh," katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Ismail berkata, beliau sudah menjangkakan anaknya dibunuh selepas dimaklumkan Siti Nur Syuhada yang pergelangan tangan kiri anaknya putus.

"Ketika anak telefon, saya bekerja di Kampung Banggol Katong, Bukit Payung, kira-kira lima kilometer dari rumah. Saya sudah menjangkakan ada orang masuk rumah dan bunuh anak saya," katanya.

Katanya, beliau menjangkakan kejadian berlaku sebelum jam 10 pagi, kerana bubur nasi yang dibeli anak lelakinya untuk isterinya tidak terusik dan lampin isterinya belum ditukar.

Beliau berkata, anak lelakinya Mohd Zaid Azroi, 28, akan ke rumah menghantar bubur nasi untuk ibunya pada jam 8 pagi dan keluar semula ke tempat kerja selepas selesai sarapan pagi.

"Saya menjangkakan kejadian ini berlaku selepas anak lelaki keluar rumah untuk kembali ke tempat kerja kira-kira jam 8.30 pagi," katanya.

Beliau percaya, kejadian itu disaksikan isterinya yang terlantar di katil akibat menghidapi kanser otak.

Katanya, wang perbelanjaan harian sebanyak RM400 dan wang milik arwah anaknya dianggarkan sebanyak RM2,000 serta dua telefon bimbit miliknya hilang dalam kejadian itu.

"Saya menjangkakan wang arwah sebanyak itu kerana sejak menjaga ibunya, saya beri saguhati kepadanya RM100 setiap bulan," katanya.

Katanya, dia tidak mengesyaki sesiapa yang melakukan kejadian menyayat hati itu dan menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan.

Sumber :  Berita Harian

 

Selasa, November 22, 2016

Bayi ditemui berhampiran masjid bersama sekeping nota


Seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan ditemui dalam sebuah kotak berhampiran Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati.

Difahamkan, jemaah yang mengunjungi masjid berkenaan untuk menunaikan solat Maghrib menemui bayi itu kira-kira pukul 7 malam.

Sekeping nota bertulisan tangan turut ditemui bersama bayi malang yang hanya dibalut dengan kain batik bersama patung mainan.

Dipercayai nota itu ditulis oleh ibu bayi berkenaan dan turut menyatakan bayi tersebut dilahirkan kelmarin.

“Assalamualaikum. Jika anda membaca nota ini, bayi ini dilahirkan pada 21 November 2016. Tindakan saya terhadap bayi ini adalah bukan saya tidak mahu tetapi saya tidak mampu.

“Jadi saya ingin memberi rezeki saya kepada mereka yang lebih layak dan mampu. InsyaAllah jika punya jodoh kita akan berjumpa. I love you,” menurut nota yang ditemui bersama bayi tersebut.

Penemuan bayi comel itu mendapat perhatian selepas beberapa keping gambar bayi bersama nota berkenaan dikongsi oleh pengguna laman sosial.

- Kosmo!

Khamis, November 17, 2016

Kempunan anak sampai curi bayi di Hospital Tanah Merah



Sepasang suami isteri yang disyaki terdesak untuk memiliki cahaya mata membuat tindakan nekad mencuri seorang bayi perempuan berusia lima hari dari Wad Kanak-kanak Hospital Tanah Merah, Kelantan kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 6.30 petang, suspek lelaki, seorang mekanik berusia 26 tahun, berpura-pura menjadi bapa kepada bayi itu dan mengikuti semua prosedur membawa keluar anak dari hospital berjaya me­larikan bayi berkenaan.

Isteri mekanik terbabit yang berusia 23 tahun itu dikatakan kerap berlegar-legar di kawasan wad kanak-kanak itu sejak beberapa hari lalu dan berlagak seperti seorang wanita baru bersalin dengan memakai baju berlengan panjang dan bersto­king panjang.

Setiap kali ditegur pengawal di hospital itu, wanita terbabit memberi alasan katil di wad tidak cukup dan dia datang me­lawat bayi yang didakwa dilahirkan pada 8 November lalu.

Tindakan suami isteri yang mencuri bayi yang bakal diberi nama Nur Amyra Sofea Mohd. Ihtisyamuddin oleh keluarganya mencetuskan suasana kecoh di hospital itu.

Nur Amyra berjaya dicuri mekanik itu dan isterinya selepas membayar bil hospital sebanyak RM20.50.

Ketua Polis Daerah Tanah Me­rah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, kehilangan bayi itu disedari bapa mangsa, Mohd. Ihtisyamuddin Mohd. Ashri, 29, yang mahu melawat anaknya pada pukul 9 malam.

Namun, peniaga makanan itu terkejut kerana anaknya tiada di wad manakala isterinya, Siti Norbaiti Bahanaharing, 26, pula sedang menangis setelah anak bongsu daripada dua beradik itu hilang.

- Kosmo!

Isnin, November 07, 2016

Mayat Remaja Dikerat 10 Dijumpai Di Tangkak



Misteri bau busuk yang menghantui penduduk Kampung Kesang Laut di Tangkak, Johor sejak beberapa hari lepas akhirnya terjawab berikutan penemuan beberapa anggota badan remaja lelaki di dalam sebuah longkang di situ, Ahad.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Supt Mohad Idris Samsuri berkata, anggota badan mangsa, yang dipercayai berusia bawah 20-an, ditemui seorang pemilik rumah semasa sedang membersihkan halaman rumahnya.

Beliau berkata, saksi ternampak pergelangan kaki di dalam longkang itu lalu menghubungi polis kira-kira 3.15 petang.

Polis yang tiba untuk melakukan pemeriksaan kemudian menemukan lima bungkusan plastik mengandungi anggota badan yang dikerat kepada beberapa bahagian.

"Kepala mangsa tidak ditemui di dalam bungkusan berkenaan...ia ditanam tidak jauh dari lokasi penemuan anggota badannya," kata beliau kepada pemberita di lokasi kejadian pada Ahad malam.

Mohad Idris berkata, mangsa dipercayai dibunuh lebih daripada tiga hari berdasarkan keadaan mayatnya.

Setakat ini, identiti mangsa masih belum dikenal pasti berikutan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan.

Beliau berkata, seorang suspek lelaki ditahan di kawasan berhampiran kurang sejam selepas penemuan anggota badan remaja itu.

"Suspek tidak mempunyai rekod jenayah," katanya sambil memberitahu kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mayat mangsa pula dihantar ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat. 

- Bernama

Isnin, Oktober 17, 2016

Maut ditikam bakal adik ipar depan Pejabat Agama Terengganu



Hanya kerana tem­belang status perkahwinannya terbongkar, seorang tukang rumah berusia 29 tahun sanggup menikam bakal abang iparnya hingga mati di pekarangan Kompleks Seri Iman di Kuala Terengganu.

Dalam kejadian pada pukul 11.30 pagi itu, suspek bertindak kejam menikam pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dari Pengkalan Kubor, Kelantan, Muhamad Shukri Husin, 34, sebanyak enam kali di bahagian dada dan leher dengan sebilah pisau berukuran kira-kira 15.24 sentimeter.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd. Aziz Wan Hamzah berkata, sebelum kejadian, Muhamad Shukri bersama tujuh ahli keluarganya dari Kampung Sungai Renyut, Jeli, Kelantan berkunjung ke Pejabat Agama Islam di Kuala Terengganu yang terletak di dalam Kompleks Seri Iman untuk memeriksa status perkahwinan suspek.

“Pemeriksaan itu mendapati bakal adik ipar mang­sa masih dalam status perkahwinan namun suspek mendakwa dia telah bercerai sehingga tercetus perbalahan di tempat letak kereta kompleks berkenaan.

“Suspek secara tiba-tiba telah mengeluarkan sebilah pisau yang disimpan di dalam kereta Honda Civic yang dinaikinya sebelum menikam mangsa bertubi-tubi,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

- Kosmo!

Rabu, Julai 27, 2016

17 Pengganas Sulu dipenjara seumur hidup



Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menjatuhi hukuman penjara seumur hidup ke atas sembilan warga Filipina yang menceroboh Lahad Datu sehingga menyebabkan 10 anggota pasukan keselamatan dan lebih 100 pengganas itu terkorban pada tahun 2013.

Hakim Stephen Chung menjatuhkan hukuman itu ke atas semua tertuduh yang digelar pengganas Sulu selepas mereka didapati bersalah mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Kesemua tertuduh ialah Datu Amir Bahar Hushin Kiram, 53, Atik Hussin Abu Bakar, 45, Basad H. Manuel, 41, Ismail Yasin, 76, Virgilio Nemar Patulada @ Mohammad Alam Patulada, 52, Salib Akhmad Emali, 63, Al Wazir Osman, 61, Tani Lahaddahi, 63, dan Julham Rashid, 69.

Datu Amir, Salib, Tani, Julham dan Al Wazir turut dijatuhi hukuman penjara 18 tahun di bawah Seksyen 130KA Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan pengganas manakala Atik, Basad, Ismail dan Virgilio dipenjara 13 tahun di bawah seksyen yang sama.

Stephen kemudian mengarahkan ke­dua-dua hukuman ke atas semua tertuduh berkenaan berjalan serentak. Datu Amir merupakan anak lelaki kepada Sultan Sulu iaitu Esmail Kiram. Esmail dikatakan sudah meninggal dunia pada 2015.

- Kosmo!

Khamis, Oktober 08, 2015

Suami Isteri Maut Motosikal Meletup di Gua Musang


Pasangan suami isteri warga emas maut selepas motosikal yang dinaiki mereka meletup di Kilometer 10 Jalan Gua Musang-Kampung Pulai di Gua Musang, Kelantan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.00 pagi itu, kedua-dua mangsa dikenali sebagai Cha Mok Liong dan isterinya, Fong Ah Fong, masing-masing berusia 72 tahun dari Kampung Batu Papan Dua.


Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Saiful Bahri Abdullah berkata kejadian itu berlaku ketika pasangan itu yang menaiki motosikal jenis Demak dalam perjalanan ke Kampung Pulai untuk menikmati sarapan pagi selepas selesai menoreh getah.


Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa tidak menyedari motosikal yang dinaiki mereka telah dipasang dengan bahan letupan yang dipercayai buatan sendiri. Berikutan kejadian itu, kita turut menahan seorang pemuda berusia 20-an yang mempunyai kaitan dengan mangsa untuk membantu siasatan dan motif kejadian masih dalam siasatan.


Dia yang telah lama memeluk Islam berkata kedua-dua bapa dan ibu saudaranya itu berasal dari keluarga yang baik dan memelihara seorang anak angkat. Saya sempat melihat mayat kedua-dua mangsa hancur berada di atas jalan.Mereka sering ke Kampung Pulai untuk menikmati sarapan selepas menoreh getah, katanya.



Beliau berkata mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga mereka.
Sementara itu, seorang anak saudara mangsa, Ab Rahman Abdullah, 53, berkata  beliau mengetahui kejadian itu pada pukul 9.30 pagi dan bergegas ke tempat kejadian.

Sumber

Selasa, Ogos 20, 2013

Jual Senjata Api Menerusi Facebook

Bukan sahaja murah tetapi juga senang diperoleh, itu tanggapan yang dapat diungkap terhadap dua akaun Facebook yang mendakwa menjual senjata api dalam talian, di negara ini.

Satu daripada akaun itu mendakwa menawarkan pelbagai senjata api termasuk pistol, revolver dan 'assault rifle' dalam lingkungan harga antara RM500 dan RM15,000.

Menurut akaun Facebook itu, raifal AK-47 dijual dengan harga RM12,000 manakala pistol Smith & Wesson RM500 dan revolver termasuk dua kotak peluru dijual pada harga RM15,000.

Satu lagi akaun Facebook mendakwa menawarkan kira-kira 10 jenis senjata api antaranya E&C M16A4, airsoft gun Tercel M1911 serta S&T Mosin Nagant Gas Rifle (Real Wood) dengan harga antara RM600 dan RM1,250.

Berdasarkan gambar yang dipapar, senjata terbabit menyerupai senjata sebenar. Akaun Facebook itu diwujudkan Februari lalu dan mendapat 688 'likes' di samping menjadi topik perbualan 141 pengguna yang melayari akaun berkenaan.

Pengendali akaun juga dapat dihubungi menerusi nombor telefon mudah alih yang dipapar pada akaun itu serta memberi respons kepada khidmat pesanan ringkas yang dihantar oleh wartawan Bernama ini.

Kewujudan dua akaun Facebook itu menimbulkan persoalan mengenai penguatkuasaan undang-undang di negara ini apabila orang ramai dilihat dapat memperoleh senjata api dengan mudah tatkala kejadian tembak meningkat kebelakangan ini. Sepanjang Julai lepas beberapa kes tembak dilaporkan termasuk yang berprofil tinggi membabitkan pengasas Ambank Hussain Ahmad Najadi yang maut ditembak ketika keluar dari sebuah tokong di Lorong Ceylon dekat sini.

Sehari sebelum itu pada 28 Julai, aktivis pemantau jenayah R. Sri Sanjeevan parah ditembak dua lelaki dalam kejadian di Bahau, Negeri Sembilan.

Pada 5 Julai seorang guru di Kelantan cedera parah selepas ditembak di leher.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah ketika diminta mengulas mengenai kewujudan akaun terbabit, berkata pihaknya akan menyiasat mengikut Seksyen 11 Akta Senjata 1960 jika benar mereka menawar dan menjual senjata api di negara ini.

"Jual senjata api tanpa lesen yang sah adalah kesalahan serius," katanya yang dihubungi Bernama.

Sementara itu, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata tindakan mereka yang menjual senjata api secara terbuka menunjukkan mereka tidak gentar dengan undang-undang sedia ada.

"Hukuman berat perlu dikenakan supaya mereka tidak sesuka hati menjual senjata api. "Malahan, sebagai negara yang mempunyai undang-undang ketat, pihak berkuasa dan kerajaan juga harus menjalankan siasatan terperinci agar mereka dapat ditahan dan menjadi pengajaran kepada penjenayah lain," katanya.

- BERNAMA

Khamis, Ogos 15, 2013

Suami pukul isteri dalam lif diburu


GEORGETOWN - Rakaman video seorang isteri dibelasah suaminya yang tersebar di laman Youtube sejak semalam kini sedang disiasat pihak polis.

Rakaman berdurasi 2 minit 20 saat itu bukan sahaja memaparkan aksi seorang isteri dipukul bertubi-tubi oleh suaminya malah turut diterajang lelaki terbabit di hadapan dua anak mereka di dalam lif.

Sinar Harian difahamkan, kejadian berlaku di lif sebuah hospital di Bandar Perda, Bukit Mertajam, kira-kira jam 4 petang, 12 Julai lalu.

Kejadian dikatakan berpunca akibat salah seorang anak mangsa enggan mengikut bapanya pulang.   

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, polis sudah menerima laporan daripada mangsa berusia 36 tahun pada hari kejadian dan sedang memburu lelaki berkenaan.

Mazlan berkata, lelaki berusia 36 tahun itu adalah seorang penjawat awam dan bertugas di Jerantut, Pahang.

"Polis ke pejabatnya di Pahang pagi tadi, namun lelaki itu dimaklumkan tidak hadir bekerja.

"Tindakan suami itu keterlaluan kerana memukul isteri di hadapan anak yang baru berusia empat dan lima tahun," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, akibat kejadian itu, mangsa mengalami lebam di pipi, bengkak kepala dan sakit di bahagian pergelangan tangan.

Mazlan berkata, polis sudah mendapatkan perintah perlindungan sementara (IPO) untuk menghentikan perbuatan suaminya dan memberi perlindungan kepada mangsa.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali suspek agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

- SINAR HARIAN
 

Rabu, Julai 31, 2013

Polis Siar Gambar Suspek Bunuh Pengasas AmBank


Polis telah mengenal pasti suspek utama di sebalik pembunuhan kejam pengasas bank, Hussain Ahmad Najadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata, lelaki itu, yang dikenali sebagai Sei Ngan Chai, dipercayai masih berada di ibu negara.

Ku berkata polis telah mengeluarkan satu gambar CCTV suspek.

Polis turut menahan seorang pemandu teksi berusia 44 tahun, yang memandu kenderaan tersebut untuk suspek.

Pada Selasa, polis berjaya mendapatkan gambar suspek dari rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran Lorong Ceylon dan Tokong Kuan Yin.

Pada petang Isnin, Hussain Najadi sedang berjalan ke arah kereta dengan isterinya di Jalan Ceylon, Kuala Lumpur selepas berunding mengenai urusan perjanjian tanah di tokong berkenaan.

Seorang lelaki kemudiannya datang dari arah belakangnya dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa.

Mangsa rebah dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya, rakyat Malaysia, Cheong Mei Kuen, 49, cedera di bahagian lengan.

Lelaki itu kemudiannya melarikan diri menaiki teksi yang sedang sedia menunggunya.

- mSTAR
 

Selasa, Julai 30, 2013

Pengasas AmBank mati ditembak


Pengasas Arab-Malaysian Bank (sekarang AmBank Group), Hussain Ahmad Najadi, seorang warga Iran mati, manakala isterinya cedera ditembak di kawasan parkir kereta di Lorong Ceylon, berhampiran Tokong Kuan Yin, di Kuala Lumpur pada Isnin.

Sebelum kejadian jam 2 petang itu, mangsa yang berusia 75 tahun dan isteri, Cheong Mei Kuan, 49, mengunjungi tokong berkenaan, dipercayai untuk berbincang dengan seorang rakan niaga bergelar Datuk mengenai pembelian saham.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, berkata sebaik selesai perbincangan kira-kira 20 minit itu, pasangan berkenaan keluar meninggalkan tokong berkenaan.

Penjenayah tunggu luar tokong Ketika berjalan ke keretanya, mangsa ditembak seorang lelaki yang dipercayai bersedia menunggunya di luar tokong.
“Hussain disahkan mati di tempat kejadian selepas terkena dua das tembakan di dada dan rusuk kiri, manakala isterinya cedera pergelangan tangan kiri dan paha kanan,” katanya semalam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai didalangi tiga lelaki berusia 30-an hingga 40-an yang menunggu di luar rumah ibadat itu sebelum menembak pasangan terbabit sejurus mereka keluar.

“Suspek dipercayai melarikan diri menaiki teksi. Siasatan terperinci sedang dilakukan bagi mengenal pasti motif kejadian,” katanya.


Urusan perniagaan

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat, manakala isterinya dirawat di Hospital Tung Shin.

Difahamkan, siasatan awal polis mendapati kejadian ada kaitan dengan urusan perniagaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan 307 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Pengerusi AmBank Group, Tan Sri Azman Hashim merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Hussain. Beliau terkejut dengan kejadian kerana pernah bekerjasama bagi mengambil alih syarikat perbankan berkenaan pada 1982.

Beberapa individu dalam industri perbankan Malaysia menyatakan kejutan dan kesedihan mereka atas kematian bekas Pengarah Urusan Kumpulan Perbankan Arab-Malaysian (kini Kumpulan AmBank), Hussain Ahmad Najadi.

Pengerusi AmBank Group, Tan Sri Azman Hashim berkata, beliau amat sedih dengan kejadian malang itu dan menyatakan ucapan takziah kepada keluarga Najadi.

Seorang veteran dalam industri perbankan yang enggan dikenali berkata, beliau mengenali Najadi sebagai seorang ahli perniagaan yang agresif dan bercita-cita tinggi.

Seorang lagi pemerhati industri berkata, Najadi dikenali di kalangan kenalan dalam industri kewangan sebagai seseorang yang "bertenaga" kerana masih terlibat secara aktif dalam perniagaan walaupun dalam sudah berusia.

Profesor Universiti Malaya dan bekas pengurus bank, Datuk Dr R. Thillainathan berkata, kali terakhir beliau bercakap dengan Najadi adalah pada pukul 11 pagi Isnin.

"Kami bercakap tentang buku yang mahu ditulis oleh Najadi. Ia adalah mengenai kemerosotan Barat," katanya kepada The Star pada Isnin.

Beliau juga berkata, Najadi merupakan seorang tokoh yang dihormati dalam industri perbankan, khususnya dalam perbankan pelaburan, katanya.

Dr Thillainathan juga memetik dalam artikel oleh StarBizWeek pada 8 Oktober 2003, sebagai berkata bahawa Najadi merupakan seorang pengurus bank pelaburan yang baik, seorang perintis dan seorang yang membawa pembaharuan.

Merupakan anak kelahiran Bahrain, Najadi yang berusia 75 tahun pernah memegang jawatan pengerusi dan ketua pegawai eksekutif Arab Investments for Asia Kuwait Ltd (AIAK), which yang diasaskan oleh AMBG pada 1975.

Najadi keluar daripada senario perbankan tempatan pada tahun 1982 selepas menjual kepentingannya dalam AMBG kepada Azman, yang kemudiannya menerajui kumpulan dan dinamakan semula sebagai AmBank.

Najadi yang begitu pakar dalam kewangan kembali ke Malaysia kira-kira 10 tahun lalu lalu selepas berada di luar negara selama 20 tahun.

Beliau kekal sebagai tokoh yang terkenal dalam industri kewangan sebagai ketua AIAK, yang dikatakan menjadi penghubung kewangan antara negara-negara pengeluar minyak di Timur Tengah, Malaysia dan rantau Asean.

- BERITA HARIAN

 

Selasa, Jun 11, 2013

Blogger BeautifulNara rugi RM350,000 kereta BMW dilarikan


SUNGAI BULOH - Seorang blogger portal hiburan BeautifulNara atau nama sebenar Nazuwan Ahmad kerugian kira-kira RM350,000 apabila kereta BMW miliknya dilarikan tiga penjenayah di kawasan Aman Puteri, di sini petang semalam.

Nazuwan berkata, ketika kejadian kira-kira jam 2.10 petang, dia bersama isteri, Fadzlin Zulkiflee dan seorang anak mereka sedang melihat kerja ubahsuai rumah yang baru dibeli di kawasan berkenaan.

Katanya, tiba-tiba datang kereta jenis Perodua MyVi hitam, meluru ke arah mereka sekeluarga dan tiga lelaki bertopeng mengeluarkan parang.

"Penjenayah mengugut saya dengan parang, mengambil duit RM30 di dalam beg duit dan melarikan kereta BMW 3 Siri berwarna putih berplat WWM 7040.

"Saya sangat gementar dan bimbang dicederakan oleh lelaki itu. Saya tergamam dan terus memberikan apa sahaja yang diminta oleh mereka. Saya rasa, mereka memang dah jadikan kereta itu sebagai sasaran,” katanya.

Beliau berkata, mereka sekeluarga selamat dan telah membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Pelong, Kuang.

Katanya, sesiapa yang terlihat atau mempunyai maklumat berhubung keretanya, boleh menghubungi beliau di talian 017-2678341.

- SINAR HARIAN


http://www.sinarharian.com.my/semasa/blogger-rugi-rm350-000-kereta-bmw-dilarikan-1.169625

 

Khamis, Jun 06, 2013

Universiti jual 400 ijazah PhD palsu

Polis India menyiasat sebuah universiti di India kerana disyaki mengeluarkan lebih 400 ijazah doktor falsafah (PhD) palsu dalam tempoh setahun, kata pihak berkuasa.

Polis menahan empat pegawai kanan dari Universiti CMJ di negeri timur laut Meghalaya kerana disyaki memalsukan dan menipu manakala polis kini memburu canselor yang disyaki melarikan diri.

“Kami tidak tahu di mana beliau, kerana beliau sering kali menukar lokasi,” kata pegawai kanan polis negeri, Sunil Kumar Jain kepada AFP.

Universiti persendirian yang ditubuhkan pada 2009 di Shillong itu mengeluarkan 434 ijazah PhD sepanjang tahun pengajian 2012 dan 2013 walaupun ia adalah fakulti kecil.

Keadaan menimbulkan kecurigaan di kalangan pihak berkuasa tempatan yang kemudiannya membuat aduan polis.

Satu ijazah PhD di Universiti CMJ mengambil masa dua hingga lima tahun dan bernilai sehingga 127,000 rupee (RM6,908) kata laman webnya.

“Dengan niat baik, universiti terbabit dibenarkan untuk beroperasi tetapi disebabkan hal ini ia benar-benar memalukan,” kata Ketua Menteri Meghalaya, Mukul Sangma.

Masalah serius di India

Pemalsuan pengiktirafan adalah satu masalah serius di India, disebabkan permintaan tinggi bagi kelayakan, rasuah dan peraturan yang lemah selain perkembangan sektor pendidikan yang drastik.

Pada 2011, satu siri pemalsuan lesen juruterbang didedahkan manakala pada 2010 polis menahan ketua badan kebangsaan bertanggungjawab mengeluarkan sijil perubatan kerana disyaki menerima rasuah.

The Times of India melaporkan kelmarin bahawa ijazah PhD dari CMJ dijual antara $4,000 (RM217) hingga $10,000 (RM543) dengan jumlah bayaran menentukan betapa cepat kelayakan itu akan dikeluarkan.

- AGENSI


Jumaat, Mei 17, 2013

Malaysia negara ke-6 di dunia terdedah ancaman jenayah siber

Malaysia merupakan negara ke-6 di dunia yang berisiko tinggi terdedah kepada ancaman jenayah siber berbentuk serangan malware, iaitu penipuan melalui sesuatu program sama ada komputer atau telefon pintar.
  
Naib Presiden Penyelidikan CyberSecurity Malaysia, Lt. Kol. (B) Sazali Sukardi berkata menurut laporan Laporan Ancaman Keselamatan Sophos 2013 dalam tempoh tiga bulan tahun ini, selain Malaysia terdapat sembilan lagi negara lain yang berisiko iaitu Hong Kong, Taiwan, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Mexico, India, Filipina, Thailand, China dan Indonesia.
    "
Penjenayah siber mencuri melalui kaedah ini mencecah RM331.7 bilion dari seluruh dunia dengan kos purata sebanyak RM593 bagi setiap mangsa berdasarkan Laporan Jenayah Siber Norton 2012," katanya.
  
Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja bertajuk "Collaboration and Cooperation In The Fight Against Cyber Crime" pada persidangan dua hari e-Crime, di sini, hari ini.
  
Bagaimanapun, katanya, jenayah siber di negara ini mencatatkan penurunan iaitu daripada 15,218 kes pada 2011 kepada 9,986 kes pada 2012.
   
Sazali berkata penurunan itu adalah disebabkan penguatkuasaan efektif yang dilakukan agensi penguatkuasaan kerajaan termasuk CyberSecurity.
  
Beliau berkata penipuan adalah paling tinggi dilaporkan dalam jenayah siber diikuti cubaan menceroboh, spam, penafian perkhidmatan, pembulian siber, penipuan, kandungan yang berkaitan, kod berniat jahat dan laporan kelemahan seperti fitnah melalui siber.
  
"Kita juga sedang menghadapi ancaman keselamatan yang lebih banyak oleh organisasi jenayah antarabangsa yang menyalahguna internet untuk pelbagai aktiviti haram iaitu dadah, penyeludupan manusia, penipuan kewangan dan pengubahan wang haram, yang kesemuanya merentasi sempadan," katanya.
  
Sazali berkata, jenayah siber akan terus berkembang selagi penjenayah boleh mendapat keuntungan kewangan daripada sistem komputer dan keadaan ini akan bertambah buruk disebabkan kecuaian pengguna internet.
  
Sehubungan itu, katanya, CyberSecurity akan terus menangani jenayah siber bersama agensi penguatkuasaan lain termasuk Digital Malaysia, Dasar Keselamatan Siber Negara (DKSN), Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS), Pensijilan dan Penilaian Kriteria Seragam (MyCC), dan Penyelarasan Pengurusan Krisis Siber Negara.
  
Justeru beliau meminta orang ramai menghubungi CyberSecurity di Pusat Bantuan Cyber999 di talian 03-89926969 untuk menyalurkan maklumat dan membuat laporan awam.

- BERNAMA

Recent Posts