Memaparkan catatan dengan label bunuh. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bunuh. Papar semua catatan

Khamis, Oktober 27, 2022

Bapa bayar wang jaminan RM10,000 untuk kakak

 


Seorang remaja perempuan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kanak-kanak, di sini, hari ini, atas tuduhan tanpa niat menyebabkan kematian adiknya, minggu lalu.

Tertuduh yang berusia 17 tahun 11 bulan itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Zuhainie Zull Kafli.

Berdasarkan kertas pertuduhan, remaja berkenaan didakwa menyebabkan kematian adik lelakinya, yang berusia 16 tahun, yang mana dia tahu perbuatannya mungkin menyebabkan kematian di rumah mereka di Jalan Mini Stadium, Kampung Ulu Pulai di Johor Bahru, jam 1.50 tengah hari, 19 Oktober 2022.

Anak sulung daripada lima beradik itu didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya, Hayatul Wirdah Mohd Yunos, mencadangkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, barisan pembelaan yang mewakili tertuduh, iaitu peguam, Abd Rahim Ali, Jihad Syahida Nadia Zakaria dan Nur Zafirah Norizan, memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh adalah kanak-kanak.

"Tertuduh adalah seorang kanak-kanak dan tiada sebab dia melarikan diri. Selain itu, kita mengambil kira juga pendapatan keluarga dan latar belakang persekolahan, yang mana pada tahun hadapan, tertuduh akan mengambil Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)," katanya.

Mahkamah kemudian memutuskan tertuduh diikat jamin RM10,000, dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di Balai Polis Gelang Patah setiap bulan sekali.

Difahamkan, bapa tertuduh membayar ikat jamin berkenaan. Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi laporan bedah siasat pada 5 Disember ini.

Pada 19 Oktober lalu, media melaporkan, seorang kakak membaling pisau ke arah adiknya sehingga menyebabkan remaja lelaki itu meninggal dunia.

Dua beradik itu terlebih dahulu dilaporkan bergaduh akibat berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah, sebelum si kakak bertindak membaling pisau ke arah adiknya selepas dipersenda ketika masuk ke dalam rumah.

Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian si adik disebabkan tusukan hujung pisau pemotong sayur, yang terkena pada saluran darah utama (arteri) di bahagian kanan lehernya, sekali gus menyebabkan pendarahan yang banyak.

Sumber : Berita Harian

Isnin, November 07, 2016

Mayat Remaja Dikerat 10 Dijumpai Di Tangkak



Misteri bau busuk yang menghantui penduduk Kampung Kesang Laut di Tangkak, Johor sejak beberapa hari lepas akhirnya terjawab berikutan penemuan beberapa anggota badan remaja lelaki di dalam sebuah longkang di situ, Ahad.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Supt Mohad Idris Samsuri berkata, anggota badan mangsa, yang dipercayai berusia bawah 20-an, ditemui seorang pemilik rumah semasa sedang membersihkan halaman rumahnya.

Beliau berkata, saksi ternampak pergelangan kaki di dalam longkang itu lalu menghubungi polis kira-kira 3.15 petang.

Polis yang tiba untuk melakukan pemeriksaan kemudian menemukan lima bungkusan plastik mengandungi anggota badan yang dikerat kepada beberapa bahagian.

"Kepala mangsa tidak ditemui di dalam bungkusan berkenaan...ia ditanam tidak jauh dari lokasi penemuan anggota badannya," kata beliau kepada pemberita di lokasi kejadian pada Ahad malam.

Mohad Idris berkata, mangsa dipercayai dibunuh lebih daripada tiga hari berdasarkan keadaan mayatnya.

Setakat ini, identiti mangsa masih belum dikenal pasti berikutan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan.

Beliau berkata, seorang suspek lelaki ditahan di kawasan berhampiran kurang sejam selepas penemuan anggota badan remaja itu.

"Suspek tidak mempunyai rekod jenayah," katanya sambil memberitahu kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mayat mangsa pula dihantar ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat. 

- Bernama

Recent Posts