Memaparkan catatan dengan label JDT. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label JDT. Papar semua catatan

Sabtu, September 10, 2022

JDT Juara Piala FA 2022

 


Johor Darul Ta'zim (JDT) menjulang Piala FA buat kali kedua selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 3-1 pada aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Kemenangan JDT itu turut menyaksikan hasrat TFC untuk menamatkan penantian 11 tahun tidak kesampaian selepas kali terakhir skuad Penyu menjuarai Piala FA pada 2011.

Harimau Selatan yang juga juara 2016 lebih menguasai perlawanan dan bermula garang menerusi percubaan Arif Aiman Hanapi yang menggegar tiang gol pada minit ke-11.

TFC yang sesekali melancarkan serangan balas ke kubu JDT turut memiliki peluang terbaik untuk meledak gol pembukaan pada minit ke-25, namun percubaan Tchetche Kipre dinafikan penjaga gol, Farizal Marlias yang bertindak bijak menutup ruang lebih awal.

Stadium Nasional bergema dengan sorakan penyokong JDT pada minit ke-34 apabila Arif Aiman berjaya meletakkan Harimau Selatan di depan selepas menyudahkan umpanan Leandro Velazquez.

Skuad kendalian Bidoglio yang dilihat lebih efektif dalam membuat hantaran berbahaya berjaya mendapatkan sepakan penalti selepas Bergson Da Silva dijatuhkan penjaga gol, Rahadiazli Rahalim pada minit ke-62 dan peluang itu disempurnakan sendiri olehnya bagi mengukuhkan kedudukan Harimau Selatan.

Selepas berhempas pulas untuk merobohkan benteng kebal JDT yang diketuai Shane Lowry, Kipre menghidupkan harapan untuk TFC selepas meledak gol pertama skuad Penyu pada minit ke-76.

Namun, kedudukan itu hanya bertahan dua minit apabila Bergson terus membuktikan ketajamannya dengan meledak gol ketiga JDT selepas berlaku keadaan kelab kabut di depan pintu gol TFC.

Malah, jaringan itu juga seakan membunuh semangat sebahagian penyokong TFC yang dilihat mula meninggalkan tempat duduk penonton ketika masa sebenar perlawanan berbaki kira-kira 10 minit.

Walaupun cuba bangkit pada penghujung perlawanan, namun usaha keras barisan pemain TFC tidak berhasil dan keputusan 3-1 memihak JDT kekal hingga wisel penamat.

Sumber : Berita Harian

Selasa, November 30, 2021

Final Piala Malaysia 2021 KL juara

 

Kuala Lumpur City (KL City) FC menyempurnakan 'kisah dongeng' mereka apabila mengejutkan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) 2-0 untuk merangkul Piala Malaysia ke-100 tahun pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kemenangan itu membolehkan skuad 'Warga Kota' mengucapkan selamat tinggal kepada penantian 32 tahun untuk memenangi piala keagungan itu yang juga gelaran keempat mereka selepas kali terakhir memenanginya pada 1989.

Lebih manis, bukan setakat mengesahkan kejuaraan tanpa sebarang kekalahan dalam kempen Piala Malaysia malah mereka juga meraih tiket ke Piala AFC musim depan.

Keputusan itu turut menyaksikan JDT meneruskan 'badi' selaku juara bertahan Piala Malaysia apabila Pahang muncul juara bertahan terakhir yang berjaya mengekalkan trofi terbabit pada 2014.

Pada aksi terbabit, Bergson da Silva jelas membuatkan KL City tidak 'senang duduk' kerana sesuatu dirasakan mampu tercetus setiap kali pemain itu memegang bola dan berada dalam kotak penalti.

Hanya dalam 10 minit pertama, pemain dari Brazil itu berpeluang membuka jaringan namun gerakannya ditutup Giancarlo Gallifuoco pada minit ketiga sebelum rembatannya dinafikan palang gol pada minit kelapan.

Ketangkasan Kevin Mendoza pada babak pertama pasti mengecewakan JDT selepas penjaga gol dari Filipina itu cemerlang menafikan beberapa percubaan berbahaya daripada JDT.

Bersambung babak kedua, KL City tidak lagi membenarkan JDT 'menari-nari' dengan bola apabila perlawanan kembali seimbang dan mereka berhasil merencana beberapa gerakan menerusi bahagian sayap.

Ketabahan KL City yang lebih banyak menyerap asakan akhirnya terbalas apabila hantaran lintang J Partiban disudahkan dengan penuh ketenangan oleh Zhafri Yahya pada minit ke-65 untuk gol pembukaan buat KL City.

Impian barisan pemain Harimau Selatan untuk kembali dari permainan ranap apabila Farizal Marlias sekali lagi tertewas pada minit ke-74, kali ini menerusi jaringan voli kapten KL City FC, Paulo Josue.

Mendoza juga memastikan malam KL City terus bergaya apabila beraksi seperti 'super hero' pada babak kedua untuk memastikan JDT pulang tanpa sebarang gol.

Sumber : Berita Harian

 

 

Selasa, November 23, 2021

TFC hanya mampu seri dengan JDT

 

Terengganu FC (TFC) gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila hanya mampu seri 1-1 berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi pertama separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Nerus.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan skuad Harimau Selatan membawa pulang bekalan satu gol berharga untuk menjadi pasukan pilihan mara ke final menjelang pusingan timbal balik, Jumaat ini.

Dalam perlawanan di hadapan kira-kira 20,000 penonton itu, skuad Nafuzi Zain terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Jordan Mintah yang menanduk tepat umpanan Lee Tuck pada minit kelapan.

Kelebihan itu bagaimanapun gagal digunakan TFC yang mula hilang punca sehingga menyaksikan sepakan Bergson Da Silva pada minit ke-11 hanya sipi terkena tiang, sebelum percubaan susulan Gonzalo Cabrera tersasar ke sebelah tepi gawang.

JDT terus mengasak hebat kubu tuan rumah selepas itu, namun penjaga gol TFC, Mohd Suhaimi Husin tetap unggul termasuk berjaya menepis rembatan padu Arif Aiman Hanapi pada minit ke-26.

Peluang terbaik pelawat menjelma pada minit ke-41, namun peluang satu lawan satu gagal disudahkan Bergson untuk mengekalkan kedudukan 1-0 ke bilik persalinan.

Lima minit bersambung babak kedua, skuad Harimau Selatan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan 1-1 melalui Bergson yang bijak menghukum kesilapan tuan rumah apabila mudah menewaskan Mohd Suhaimi.

TFC yang tenggelam dalam pertarungan pertama ini cuba melancarkan serangan balas untuk bangkit, namun tandukan Mintah pada minit ke-63 terlalu lemah untuk membolosi gawang bimbingan Benjamin Mora.

Kedudukan kekal 1-1 sehinggalah wisel penamat dibunyikan pengadil.

Sumber : Berita Harian

 

 

 

Sabtu, Oktober 03, 2020

Safawi sertai Kelab Portugal semusim secara pinjaman

 

Pemain sayap skuad Harimau Malaya, Safawi Rasid mengesahkan dia berhijrah ke kelab Portugal, Portimonense SC secara pinjaman selama semusim.

Bintang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu menjelaskan dia akan berusaha menggunakan tempoh itu sebaik mungkin bagi membuktikan dirinya layak untuk beraksi di benua Eropah.

"Saya sangat gembira kerana peluang ini datang sekali seumur hidup. Pengalaman ini tidak boleh dibeli dengan wang dan ini (perpindahan) akan saya ingat sampai bila-bila," katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Safawi yang akan berlepas ke Portugal jam 11 malam ini beraksi cemerlang dalam skuad Harimau Selatan sejak melakukan penampilan pada 27 Januari 2017.

Pemain berusia 23 tahun itu membuat 101 penampilan bersama JDT, menjaringkan 47 gol dan melakukan 18 bantuan jaringan.

Safawi sudah memenangi empat kejuaraan Liga Super, dua Piala Malaysia dan tiga Piala Sumbangsih bersama Harimau Selatan.

Sumber : Berita Harian

 

 

Jumaat, Oktober 02, 2020

JDT kini juara Liga Super kali ketujuh berturut-turut

 

Johor Darul Ta'zim (JDT) mengesahkan kejuaraan Liga Super musim ketujuh berturut-turut selepas menewaskan Sabah 4-1 pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, di Iskandar Puteri, Johor.

Lebih manis kejayaan itu digapai di stadium baharu skuad Harimau Selatan yang menggantikan Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin sebagai gelanggang rasmi pasukan itu bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) pada musim ini.

Walaupun saingan liga terpaksa dipendekkan dengan hanya aksi satu pusingan akibat pandemik COVID-19 sejak pertengahan Mac lalu yang mengakibatkan jadual perlawanan liga terpaksa ditangguhkan namun senario itu tidak menghalang skuad kendalian Benjamin Mora mengukuhkan cengkaman di persada liga tatkala aksi berbaki satu perlawanan lagi.

Dengan kejayaan itu, maka terpahat di dalam sejarah bola sepak Malaysia apabila JDT adalah satu-satunya pasukan yang menjuarai liga tujuh musim berturut-turut sekali gus agak mustahil buat mana-mana pasukan mampu menyaingi pencapaian pasukan itu.

Kesungguhan skuad Harimau Selatan yang inginkan kemenangan bermula dengan gerakan berbahaya seawal minit kesembilan apabila bola umpanan Diogo Luis Santo menyaksikan Safawi Rasid bingkas merembat bola leret tapi penjaga gol, Rozaimie Rohim bersedia menangkap bola kemas.

Tuan rumah terpaksa menanti pada minit ke-38 untuk merungkai jaringan selepas bola umpanan Afiq Fazail berjaya disambar Diogo dan bola masuk menewaskan Rohaimie yang tidak berada dikedudukan terbaik bagi mengelak gawang dibolosi.

Bersambung babak kedua, skuad Tambadau yang ketinggalan tampak menyusun gerakan memburu gol penyamaan namun benteng tuan rumah yang dikawal Mauricio Santos dan kapten Aidil Zafuan Abd Radzak masih ampuh mengelak gawang dibolosi.

Skuad Harimau Selatan menambah derita pelawat pada minit ke-56 selepas bola rembatan deras Safawi di luar kotak penalti selepas menerima bola umpanan Leandro Velazquez memerangkap Rohamie yang hanya mampu melihat bola menerjah jaring.

Namun JDT tersentap dengan jaringan pelawat pada minit ke-74 selepas Dennis Buschening yang tidak dikawal melakukan sepakan lencong tepat ke penjuru kanan gol menewaskan penjaga gol, Farizal Marlias untuk merapatkan jurang gol.

Gandingan pemain gantian Ramadhan Saifullah Usman bersama Safawi pada minit ke-81 mencetuskan gol ketiga buat tuan rumah selepas bola tolakan Ramadhan yang merencanakan gerakan di dalam kotak penalti membuka ruang untuk Safawi menolak bola ke gawang yang kosong.

Hasil sepakan percuma Leandro Velazquez selang tiga minit kemudian memastikan JDT memenangi perlawanan itu dengan kemenangan 4-1 sekali gus dinobatkan selaku juara liga tujuh musim berturut-turut.

Sumber : Berita Harian

 

Rabu, Ogos 03, 2016

JDT Bakal Miliki Kapal Terbang Sendiri



Pasukan bola sepak Johor Darul Ta'zim melakar sejarah baharu apabila menjadi kelab pertama memiliki kemudahan pengangkutan udara sendiri.

Berita gembira itu hadir apabila Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan mengurniakan sebuah kapal terbang Gulfstream 550 kepada kelab tersebut pada Selasa.

Kapal terbang itu akan digunakan oleh pegawai kelab dan pemain JDT.

Menurut kenyataan dalam laman web rasmi Johor Southern Tigers itu, kapal terbang tersebut akan siap dan diserahkan kepada JDT pada pertengahan tahun 2017.

"Dengan kurniaan tersebut, JDT turut melakar satu lagi sejarah baharu sebagai kelab pertama tanah air yang mempunyai kemudahan pengangkutan udara sendiri. Allah Peliharakan Sultan," demikian menurut kenyataan itu.

- mSTAR

Sabtu, Mei 14, 2016

Juara Piala FA 2016: Johor Cuti 15 Mei



Kerajaan negeri Johor mengumumkan cuti khas peristiwa di seluruh Johor pada Ahad sempena kejayaan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) merangkul Piala FA 2016 di Stadium Shah Alam, Sabtu malam.

JDT mengalahkan PKNS FC 2-1 pada final Piala FA.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ismail Karim berkata kerajaan negeri turut mempertimbangkan memberi insentif kepada pasukan Harimau Selatan itu atas kejayaan itu.

"Untuk pemain-pemain, kita bagi insentif dan untuk penyokong-penyokong pula kita bagi cuti," kata beliau ketika ditemu bual oleh Johor FM secara langsung di sini.

Sebagai rekod, JDT sekadar muncul naib juara Piala FA pada 2013 setelah kalah 1-01 kepada Kelantan pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Skuad Harimau Selatan pernah menjuarai Piala FA pada 1998 yang pada ketika itu skuad itu dikenali sebagai Johor FA (kini dikenali sebagai JDT II).

Ismail, yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), juga berharap kejayaan ini diteruskan secara konsisten dalam kempen Liga Super, yang kini menyaksikan JDT berkongsi mata dengan Felda di persada liga.

Pada kempen Liga Super, JDT kini mengumpul sebanyak 24 mata dengan tujuh kemenangan dan tiga seri, di belakang Felda United yang menang lapan perlawanan dan dua kalah selepas 10 perlawanan.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengucapkan tahniah dan berbangga atas kejayaan pasukan itu merangkul piala tersebut.

"Semoga kejuaraan ini menjadi pembakar semangat kepada pasukan Harimau Selatan untuk terus menempa lebih banyak lagi kemenangan pada masa-masa akan datang,"katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau juga menjunjung kasih dan tahniah kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang tidak mengenal erti penat atau mengalah untuk terus memastikan kecemerlangan pasukan JDT.

Sambutan kemenangan dijangka diadakan di Taman Yayasan Segamat esok, yang juga lokasi terakhir hari kedua Kembara Mahkota Johor 2016.

Selasa, September 01, 2015

JDT lancar Minuman Bertenaga JDT Energy Drink



Juara Liga Super 2015, Johor Darul Ta`zim (JDT) kini mengeluarkan minuman bertenaga sendiri.

Pasukan JDT baru-baru ini dinobatkan sebagai juara Liga Super 2015, mengulangi kejayaan yang mereka kecapi pada musim lalu.

Mengikut laman web rasmi kelab berkenaan, minuman yang menggunakan jenama JDT Energy Drink itu, dijual pada harga RM4.50 setin.

Minuman tin berkenaan berwarna biru dengan logo kelab turut dipaparkan. Setiap tin berisi 300 ml air minuman itu. JDT Energy Drink kini dijual sekitar Johor Bahru dan setakat ini mengikut akaun rasmi Facebook kelab itu, hampir 40 kedai disenaraikan menjualnya.



Recent Posts