Memaparkan catatan dengan label Isu Semasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Isu Semasa. Papar semua catatan

Sabtu, September 15, 2012

Naratif ideal Hari Malaysia

Oleh Khairuddin Mohd. Zain

Hari Malaysia - sememangnya wajar disambut dengan semangat yang positif dan baik. Memang mungkin ada, di kalangan kita, mereka yang gemar memberikan irama politik kepada semua perkara, untuk mendendangkan rentak Hari Malaysia mengikut suasana dan iklim politik yang ada.

Ironinya, mereka gemar menarik dan menggunakan nama 'rakyat' dalam mengemukakan naratif pesimis lagi merosakkan mengenai Hari Malaysia. Kepada mereka, Hari Malaysia adalah hari untuk menjurang perbezaan sejarah, mendahulukan parameter kuasa, menggunakan sentimen dan faham jumud untuk menggambarkan mereka sebagai 'hero baru' yang bercakap mengenai kuasa mutlak dan peluang meletakkan diri sendiri di puncak kuasa. Sentimen ini sememangnya menghangat apabila suasana pilihan raya semakin hampir.

Bersesuaian dengan niat politik yang ada, mereka perlu membugar semangat anti-Persekutuan. Meletakkan hijab politik di antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak. Semangat anti-Persekutuan dan meletakkan hijab politik kepada hubungan baik Sabah, Sarawak dan Malaysia secara keseluruhannya dirasakan mereka mampu memberikan pulangan politik yang setimpal.

Kepedulian mereka terhadap semangat Rukunegara berada di tahap yang sangat rendah. Malahan ini boleh kita sama-sama rasai dengan kesungguhan mereka menampilkan banyak insiden anti-negara dan kepimpinan yang dilaksanakan kebelakangan ini.

Apa yang penulis khuatir, semangat mendapat pulangan dan dividen politik sudah menyebabkan mereka kalangan yang sangat Machiavellian di dalam pendekatan politik. Segalanya dibolehkan, asalkan niat mereka mendapat kuasa dapat direalisasikan secepat mungkin.

Mereka tidak sangsi untuk menggunakan apa sahaja bahan untuk mengemukakan pelbagai hujah kononnya apa yang kita nikmati ketika ini bukanlah satu bentuk ikatan politik yang 'ideal' pada hemat dan pandangan mereka.

Bukanlah lagi satu rahsia, keinginan mereka membuka dokumen sejarah mempunyai niat yang sangat mencurigan. Kumpulan yang kecil ini gemar menggunakan dokumen sejarah sebagai alat membina sentimen kebencian kepada orang lain.

Niat, semangat, iltizam, kesungguhan - generasi terdahulu dalam mencari 'titik persamaan' dan meletakkan 'semangat Malaysia' mendahului perkara-perkara yang lain, tidak mereka hayati dan hargai. Yang lebih mereka cari, adalah sebarang kelemahan yang boleh memberikan ruang mereka berpolitik dan menabur janji.

Inilah naratif politik yang mahu mereka budayakan. Naratif politik berdasarkan kebencian dan semangat kenegerian sempit. Naratif politik yang menjurus kepada usaha merosak dan meruntuh.

Generasi muda Malaysia secara keseluruhannya memerlukan naratif yang lebih ideal tentang Hari Malaysia. Naratif yang lebih ideal ini akan memberikan gambaran yang lebih tepat mengenai hubungan kita di bawah naungan Perlembagaan. Dalam mencari naratif ideal ini, seharusnya kita tidak lagi terlalu memberatkan elemen dendam dan kecam. Sebaliknya membina pandangan bahawa semua daripada kita adalah anak Malaysia. Pandang kenegerian yang kadang kala terlalu ekstrem akan mengehadkan interaksi yang lebih positif dan bermakna.

Mendahulukan Semangat Malaysia

Secara keseluruhannya, tidak ada usaha mana-mana pihak sekalipun untuk menidakkan sebarang kuasa dan keistimewaan yang selama ini dinikmati oleh Sarawak dan Sabah. Yang nyata, kerjasama, rasa saling percaya, gerak rasa sejarah - kesemuanya menjurus kepada pengisian 'makna' kepada apa yang telah dipersetujui oleh generasi peneroka kepada ikatan kekeluargaan Malaysia yang terbina dahulu.

Penulis yakin, apa sahaja yang terjelma di dalam mana sahaja dokumen perjanjian - pada hakikatnya telah didahului dengan semangat Malaysia yang sebenar.

Sebarang perbezaan, kalaupun ada, mestilah dijernihkan dalam semangat kekeluargaan 1Malaysia yang sebenar. Bukannya semangat kebencian, dendam lama dan sebarang interpretasi politik yang kurang matang.

Rakyat Malaysia secara keseluruhannya perlu melihat 'sikap politik' ekstrem sesetengah pihak untuk mengintai dan meninjau peluang untuk mendapatkan dividen politik daripada sebarang permainan janji yang ada. Kepada mereka, sebarang perjanjian sebelum ini hanyalah satu penzahiran kerjasama yang hanya wujud di atas kertas dan bukan dalam bentuk semangat kekeluargaan yang sebenar.

16 September 1963 wajarlah diraikan bukan sahaja sebagai legasi sejarah yang pasif - namun sebagai hubungan dinamik Sabah dan Sarawak, di dalam 'keluarga' Perlembagaan Malaysia.

Kesediaan generasi pimpinan dan rakyat Sabah dan Sarawak terdahulu untuk berkongsi 14 jalur sama lebar yang ada di atas Jalur Gemilang adalah satu langkah politik yang luar biasa hebat dan berpandangan jauh. Sememangnyalah, generasi terdahulu mempunyai 'hikmah politik' yang luar biasa hebat. Hikmah politik inilah yang kita sama-sama nikmati sehingga ke hari ini.

Sentimen yang terlalu dibaluti dengan irama politik kadangkala kedengaran sangat ekstrem dan membawa elemen yang menjauhkan hubungan dalam keluarga Malaysia yang ada. Apakah mereka ini mahu membawa janji baru sebagai taruhan mendapat keuntungan politik semata-mata?

Di mana letaknya keikhlasan sekiranya apa yang sering kali diungkapkan adalah soal parameter kuasa? Kadang kala ia membuatkan kita tertanya-tanya, apakah ini sebagai kaedah mereka untuk membulatkan kuasa di tangan mereka?

Generasi muda Malaysia, baik di Semenanjung, Sabah mahupun Sarawak - perlu membuka naratif politik yang lebih berpandangan jauh. Sewajarnyalah, kita perlu mengetepikan sedikit sebarang isu dan sentimen kenegerian yang ekstrem dan mula membuka wadah politik Malaysia yang lebih murni.

Lebih baik lagi, sekiranya kita tidak terlalu terbawa- bawa dan terikut-ikut dengan sentimen yang cuba dimainkan oleh pihak tertentu. Kita perlu melihat, cubaan demi cubaan untuk meluas jurang sesama kita sebagai model politik yang tidak bertanggungjawab.

Wajar agaknya, generasi muda Sabah dan Sarawak memberikan mesej yang jelas, bahawa zaman politik adu domba dan meruntuh negara, sudah tidak lagi berada dalam zamannya. Kumpulan yang gemar memporak-perandakan kestabilan politik ini perlu diajar dengan tamparan politik yang lebih besar.

Mengisi Makna 1Malaysia

Tidak mustahil, daripada sudut 'semangat dan gerak rasa', mungkin sahaja idea 1Malaysia sudah difikirkan lama antara tempoh 1957-1963. Mungkin sahaja, jurang masa enam tahun itulah juga memberikan ilham dan menjelmakan keyakinan, bahawa Sabah dan Sarawak - lebih molek ditampilkan dalam keluarga Malaysia yang lebih besar. Hubungan akrab inilah yang akhirnya memberikan kita kesempatan meraikan Hari Malaysia dalam erti kata yang sebenar.

Kita perlu merancang untuk membawa Malaysia ke tahapnya yang lebih baik dan berjaya. Segala perancangan ini mungkin sahaja gagal, sekiranya rakyat terus ditaburi dengan janji politik yang kasar dan meruntuh hubungan. Percayalah, kerjasama politik yang ibarat 'enau dalam belukar - gemar melepaskan pucuk masing-masing', tidak akan membawa kita jauh ke hadapan.

Rakyat perlu memperbandingkan secara ikhlas dan jujur, naratif politik Hari Malaysia mana yang lebih merealisasikan harapan dan berpandangan jauh. Sikap politik yang mengibaratkan Sabah dan Sarawak sebagai 'taruhan dan komoditi politik' semata-mata adalah hubungan yang tidak jujur.

Yang nyata, semangat 1Malaysia sudah hampir sahaja menipiskan perbezaan antara kita. Sabah dan Sarawak tidak pernah tertinggal dalam parameter kepentingan nasional. Malahan, ada ketikanya, Sabah dan Sarawak menjadi bata-bata penting untuk kita sama-sama melonjak dengan lebih jauh.

Secara idealnya, Hari Malaysia patut menjadi tarikh keramat untuk kita membuang rasa sangsi, kurang percaya, benih kebencian sesama kita. Slogan-slogan yang gemar mengungkap semangat kenegerian dan sebagainya perlu dimurnikan dengan pandangan yang lebih besar mengenai masa hadapan Malaysia.

Hikmah politik 1963 ini perlu diperjelaskan lagi kepada anak muda Malaysia seluruhnya. Apa sebenarnya semangat dan rasionalnya? Apa cita-cita jangka panjangnya? Hikmah politik yang turut dikongsi oleh 80 % penduduk Sabah dan Sarawak di dalam Laporan Suruhanjaya Cobbold ini pastinya bukanlah keputusan semberono dan sesuka hati. Hikmah politik inilah yang hendak dipijak-pijak oleh kumpulan politik yang tidak bertanggungjawab.

Moga-moga Hari Malaysia Ke-49 ini memberikan kita naratif yang lebih ideal tentang hubungan kita sebagai sebuah negara. Mungkin masanya sudah tiba untuk kita memberikan komitmen jelas bahawa kita sudah semakin matang dan tidak mudah terbuai dengan sentimen kenegerian yang terlalu ekstrem.

- UTUSAN

Isnin, September 03, 2012

Pijak Gambar Pemimpin Tindakan Memalukan - Nik Aziz



KOTA BAHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada Ahad menyifatkan tindakan segelintir pihak memijak gambar pemimpin negara pada malam sambutan ambang merdeka di Kuala Lumpur Khamis lepas sebagai amat memalu dan mendukacitakan.

Beliau berkata tindakan itu langsung tidak mencermin serta melambangkan sikap orang Melayu dan Islam yang mengamalkan tata susila yang tinggi sejak sekian lama. "Kerja ini bukan kerja orang Melayu dan orang Islam. Orang Islam pun tidak, orang Melayu pun tidak.

"Ini sangat mendukacitakan dan memalukan, gambar yang saya tengok itu bukan Melayu (yang melakukannya).

"Kita orang Islam diajar jangan buat kepada orang lain. Kalau orang lain buat kepada kita, (maka) kita akan marah," kata Menteri Besar Kelantan itu kepada pemberita pada jamuan Aidilfitri Sinar Harian di Pengkalan Chepa, di sini.

Beliau mengulas tindakan biadab sebilangan peserta Perhimpunan Janji Bersih yang memijak gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor pada malam sambutan itu di Dataran Merdeka.

Nik Aziz juga tidak bersetuju dengan tindakan peserta perhimpunan itu yang dikatakan menukar bendera Jalur Gemilang dengan bendera baru berwarna merah putih seakan-akan bendera Singapura.

Menurut laporan, parti pembangkang akan menggantikan Jalur Gemilang jika mereka berkuasa.

Nik Aziz berkata bukan perkara mudah untuk menukar bendera sesebuah negara kerana melibatkan pelbagai prosedur sebelum boleh ditukar.

"Nak ganti bukan senang, kena bincang bertahun, apa tujuan kita tukar bendera...bendera kita sudah diterima masyarakat dunia, tidak ada cacatnya," kata beliau.

- BERNAMA

Isnin, Ogos 06, 2012

Kaji bayaran hasil petroleum negeri Pantai Timur


Kerajaan bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Khas yang akan mengkaji secara adil dan telus berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Jawatankuasa Khas itu akan dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad.

Ia akan turut dianggotai pakar undang-undang dari dalam dan luar negara, wakil dari kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan Sultan negeri masing-masing.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata Jawatankuasa Khas itu akan membuat satu kajian menyeluruh dalam tempoh masa enam bulan dari tarikh penubuhannya.

“Ia mengambil kira semua aspek tuntutan dan akan membuat syor yang sesuai kepada kerajaan persekutuan,” kata Najib dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Kaji negeri layak

Beliau berkata, Jawatankuasa Khas itu akan membuat kajian berhubung negeri yang layak menerima bayaran tunai daripada hasil petroleum di Pantai Timur Semenanjung.
“Jawatankuasa Khas juga akan menentukan kaedah serta jumlah pembayaran bayaran tunai itu kepada negeri-negeri berkenaan,” katanya menambah semenjak enam bulan lalu, beberapa perbincangan dalaman diadakan berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum dan sehubungan itu kerajaan bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas berkenaan.

Selesai secara adil

Najib berkata, dengan penubuhan Jawatankuasa Khas itu, kerajaan persekutuan berharap isu yang dibangkitkan oleh kerajaan negeri di Pantai Timur akan dapat diselesaikan secara adil, telus dan saksama.

Katanya, berdasarkan perjanjian di antara kerajaan negeri Kelantan dengan Petronas mengenai pembayaran mengikut Seksyen 4 Akta Kemajuan Petroliam 1974 yang dibuat pada 9 Mei 1975, Petronas hendaklah membayar wang tunai kepada kerajaan negeri secara tahunan sebanyak yang setara dengan lima peratus daripada nilai petroleum yang didapati dan diperoleh di Kelantan.

“Kerajaan Persekutuan mengambil pendirian bahawa dari segi perundangan, Kelantan hanya mempunyai hak untuk menuntut bayaran tunai daripada hasil petroleum yang dihasilkan dalam perairan negeri itu, iaitu kawasan yang terletak tidak melebihi tiga batu nautika dari pesisir pantai negeri.

Tiada pengeluaran petroleum

“Pada masa ini, tiada pengeluaran petroleum dilakukan dalam kawasan perairan negeri Kelantan. Oleh itu, dari segi perundangan, kerajaan negeri Kelantan tidak layak untuk menuntut bayaran tunai daripada hasil petroleum,” katanya.

Najib berkata, kerajaan Persekutuan sentiasa meletakkan keutamaan kepada kehendak rakyat dengan membuka pintu rundingan tetapi pada waktu yang sama tidak boleh membelakangkan perundangan.

Bayaran tunai pada 2009

Katanya, walaupun peruntukan perundangan itu adalah jelas, namun pada November 2009, beliau mengumumkan di Dewan Rakyat mengenai pemberian bayaran tunai kepada Kelantan meskipun pengeluaran petroleum buat masa ini terletak di luar perairan negeri berkenaan.

“Keputusan ini berdasarkan keperluan untuk terus membangunkan negeri Kelantan dan meningkatkan kesejahteraan rakyatnya.

“Peruntukan itu telah disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan,” katanya.

- BERITA HARIAN

Khamis, Julai 19, 2012

Wujud ruang kerjaya luas untuk belia

Oleh Mohamed Maliki Mohamed Rapiee
Presiden Majlis Belia Malaysia

Dasar baru Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang membenarkan calon yang memiliki ijazah Sarjana Muda memohon jawatan pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini menimbulkan pelbagai reaksi banyak pihak. Pada satu sudut, ia mampu meningkatkan keupayaan guna tenaga sektor awam kerana diharapkan tahap akademik yang lebih tinggi ini akan mampu melonjakkan mutu perkhidmatan serta profesionalisme penjawat awam. Pada sudut lain, ia adalah jalan penyelesaian singkat terhadap isu lambakan graduan yang masih tidak mendapat pekerjaan.

”Anak muda ini harus dimasukkan ke pasaran kerja seberapa awal yang mungkin supaya potensi dimiliki boleh dimanfaat sebaiknya. Kesukaran graduan dapatkan pekerjaan kini dirumitkan lagi dengan suasana ekonomi yang sederhana”

Khabarnya, dasar baru SPA ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada graduan yang sememangnya berharap dapat menamatkan kemarau kerjaya sejak berkonvokesyen. Namun, beberapa persoalan penting harus kita fikirkan secara mendalam berikutan hal ini.

Bercakap soal belia, tumpuan kita seharusnya meluas kepada kelompok berusia 15 hingga 40 tahun keseluruhannya. Semua pihak harus mengakui bahawa peluang kerja buat belia kita semakin mengecil dan kompetitif.

Dalam sektor awam, keputusan kerajaan melanjutkan tempoh persaraan wajib secara langsung mengecilkan jumlah pemegang ijazah sarjana muda untuk memegang jawatan dan mengembangkan kerjayanya. Hal ini amat jelas terjadi dalam bidang pendidikan apabila ada ramai bakal guru tersadai tidak dipanggil untuk penempatan. Antara puncanya ialah kerana tempat yang sepatutnya kosong masih diduduki kerana guru senior tidak jadi bersara.

Penulis sejak awal lagi bertegas bahawa melanjutkan tempoh persaraan kakitangan awam bukanlah langkah yang tepat dalam perancangan sumber manusia negara. Sekiranya alasan prestasi dan kemahiran menjadi ukuran, ia seolah-olah satu prejudis terhadap kemahiran dan keupayaan anak muda ini, sekali gus ia seolah-olah memperkecilkan keseluruhan institusi pengajian tinggi serta badan latihan profesional yang kita sendiri kawal dan wujudkan.
Anak muda ini harus dimasukkan ke pasaran kerja seberapa awal yang mungkin supaya potensi dimiliki boleh dimanfaatkan sebaiknya. Kesukaran graduan kita mendapatkan pekerjaan kini dirumitkan lagi dengan suasana ekonomi yang sederhana dengan kebanyakan majikan mengehadkan pengambilan pekerja baru. Kini, apabila peluang pekerjaan peringkat lepasan SPM dibukakan kepada graduan, dengan sendirinya masalah pengangguran ini beralih kepada belia lepasan SPM yang tidak berkemampuan memegang skrol ijazah.

Sebenarnya, usaha melayan dan menangani kerenah kumpulan lebih rumit dan menyukarkan. Kumpulan belia lepasan SPM yang tidak berjaya masuk ke mana-mana institusi pengajian tinggi atau kolej pada kebiasaannya disebut sebagai belia tercicir dan jauh daripada arus perdana kehidupan.

Memandangkan sistem pendidikan di negara kita berdasarkan merit pencapaian akademik dan kokurikulum, maka sudah pasti kumpulan ini berada pada ‘kelas hujung-hujung’, iaitu sejak awal persekolahan mempunyai tahap pencapaian akademik yang agak rendah.

Dilihat dari sudut psikologi dan kognitif, berkemungkinan besar mereka memiliki ‘esteem’ diri yang rendah serta mudah terjebak kepada suasana hidup yang negatif. Data daripada Unit Pusat Universiti (UPU), Kementerian Pengajian Tinggi menunjukkan ada 468,808 orang calon lepasan SPM pada 2011. Daripada jumlah itu hanya 171,590 orang yang berjaya memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA), manakala kira-kira 80,000 orang memasuki institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan Institut Latihan Kemahiran Swasta (ILKS).

Ini bermakna ada kira-kira 217,278 belia lepasan SPM pada 2011 yang kini sama ada berada pada pasaran kerja atau menganggur, berkahwin atau berada dalam pusat serenti atau juga penjara. Sudah pasti peluang pekerjaan untuk sektor awam hampir tertutup rapat kerana kumpulan ini terpaksa bersaing dengan rakan yang lebih berketerampilan dan bergelar graduan.

Adalah amat membimbangkan sekiranya kita membiarkan kelompok ini tanpa perhatian yang mendalam. Dalam konteks pergerakan belia, semua pertubuhan belia sedaya upaya mendekati kumpulan belia tercicir dengan memberikan mereka info berkaitan kerjaya serta latihan kemahiran khususnya yang berkonsepkan latihan kemahiran peluang kedua.

Namun, jawapan akhir kepada persoalan belia kita ialah dengan menyediakan mereka peluang kerja yang bersesuaian dengan keupayaan serta mampu menyediakan masa depan. Bernstein (2004) menyatakan ada empat faktor yang menyumbang kepada kegembiraan dan kesejahteraan hidup kebanyakan orang iaitu kesihatan, status ekonomi, pekerjaan dan hubungan kekeluargaan. Justeru, aspek sosioekonomi generasi muda ini perlu kita cari penyelesaian segera untuk mengelakkan mereka terus tertekan dan terjebak kepada sisi negatif kehidupan.

- BERITA HARIAN

Ahad, Jun 10, 2012

Bashar al Assad runtuhkan Syria

Oleh Ku Seman Ku Hussain

PEMBUNUHAN beramai-ramai orang awam seolah-olah tidak akan berakhir. Selepas Hitler membunuh lebih enam juta Yahudi semasa Perang Dunia Kedua, diktator Pol Pot membunuh tidak kurang dua juta orang awam, tentera Amerika Syarikat (AS) membunuh 300 orang awam di My Lai Vietnam tahun 1969, pembersihan etnik yang mengorbankan lebih dua juta umat Islam di Bosnia tahun 1992 serta tentera marin AS membunuh 24 orang awam di Haditha, Iraq tahun 2006, banyak penganalisis sosial menganggap tidak berlaku lagi perbuatan kejam itu kerana manusia semakin bertamadun.

Tetapi tragedi pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam yang tidak berdosa berulang lagi. Kini perbuatan yang tidak bertamadun itu berlaku lagi dan yang malangnya ia berlaku di sebuah negara Islam.

Di Syria, tentera yang setia kepada diktator Presiden Bashar al Assad sudah membunuh hampir 200 orang awam. Pada minggu lalu tentera kerajaan menyerang sebuah kampung dan membunuh lebih 100 orang awam, sementara Rabu lalu pula 78 orang menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai.

Dalam tragedi My Lai yang berlaku pada 16 Mac 1968 itu tidak didedahkan hasil siasatannya kepada umum. Kes ini ditutup oleh AS sehinggalah dibongkar oleh wartawan penyiasatan akhbar Independent, Seymour Hersh pada 12 November 1969. Dunia wajar berterima kasih kepada wartawan.

Selepas pendedahan eksklusif dalam Independent, pada 20 November tahun yang sama majalah Time, Life dan Newsweek membuat laporan khas sementara stesen televisyen CBS juga membuat temu bual-temu bual eksklusif yang akhirnya menggoncang kedudukan Presiden Richard Nixon, Penasihat Keselamatan Henry Kissinger serta Setiausaha Pertahanan Melvin Laird.

Tetapi di Syria, pembunuhan beramai-ramai dilakukan secara terbuka dan tidak disorok daripada pengetahuan media. Bagaimanapun Bashar tetap berdolak-dalik dan menuduh ia dilakukan oleh puak pelampau dan bukannya tentera yang setia kepadanya. Beberapa saksi mengatakan pembunuhan itu dilakukan oleh tentera kerajaan. Malah banyak gambar mangsa disiarkan di media termasuklah kanak-kanak yang pecah tempurung kepala mereka dibedil tentera yang setia kepada diktator Bashar.

Kalau Nixon takut dengan tragedi My Lai yang boleh menumbangkannya, Bashar pula seolah-olah tidak gentar dengan tindakannya membunuh orang awam termasuk kanak-kanak. Dia cuma menafikan terlibat dalam pembunuhan itu, tidak lebih daripada itu. Bashar masih yakin dia begitu kuat untuk menghapuskan pihak pembangkang dengan melancarkan perang ke atas mereka.

Campur tangan

Pembunuhan beramai-ramai ini adalah bermulanya detik kejatuhan Bashar. Ini kerana perbuatan ini mengundang campur tangan asing yang berlindung di sebalik badan dunia seperti Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Walaupun sebelum ini rakyat bangkit menuntut reformasi politik di Syria tetapi kuasa luar tidak ada alasan lebih kukuh untuk mencampuri hal ehwal dalaman Syria. Tetapi isu yang kontroversi seperti pembunuhan beramai-ramai ini, kuasa luar ada alasan untuk mempercepat keruntuhan negara Islam ini.

Krisis di Syria bermula selepas beberapa negara Arab seperti Tunisia, Mesir dan Libya hancur akibat kebangkitan rakyat menumbangkan diktator. Ini sebenarnya bukanlah kebangkitan rakyat semata-mata tetapi campur tangan pihak luar yang mahu meruntuhkan negara-negara berkenaan. Pihak luar memainkan peranan di sebalik tuntutan keadilan sosial dan demokrasi dalam politik yang akhirnya mengundang campur tangan secara rasmi daripada NATO dan PBB menerusi Majlis Keselamatan.

Kebangkitan yang dikatakan dicetuskan oleh rakyat yang dahagakan reformasi politik ini merebak ke Syria tahun lalu selepas mendapat semangat daripada kejayaan rakyat menumbangkan diktator Hosni Mubarak di Mesir dan Muammar Gaddafi di Libya. Amerika Syarikat (AS) mengistilahkan kebangkitan ini sebagai Arab Spring. Hakikatnya bukanlah musim bunga tetapi gelora politik yang tiada berhujung bertapak di negara-negara berkenaan. Kini Syria menjadi salah satu daripadanya.

Bashar yang menggantikan ayahnya Hafez al Assad pada 2000 sebagai Presiden Syria. Dia meneruskan pemerintahan diktator di negara yang menjadi butang penting kepada dunia Arab terutama Turki, Lebanon dan Israel. Pada masa yang sama Syria mempunyai hubungan rapat dengan Rusia yang menjadi kebimbangan AS untuk menstrukturkan politik di Asia Barat.

Pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan Bashar terhadap rakyatnya yang mahukan reformasi politik telah mengundang campur tangan kuasa asing dalam negaranya. Tindakan ini tidak menguntungkan sesiapa waima Bashar sendiri kerana kuasa asing akan menggunakan alasan ini untuk mencampuri hal ehwal dalam negara Syria. Kedegilan dan sikap diktator pemimpinlah yang memberi bala kepada rakyat apabila kuasa asing menyelinap untuk membantu menumbangkannya.

Bashar memang diktator. Dia patut ditumbangkan dan diganti dengan pemimpin yang berjiwa rakyat. Tetapi penentangan puak haluan kiri sebenarnya bukanlah seperti perusuh mahu menumbangkan Mubarak atau Gaddafi. Puak haluan kiri terutama Majlis Kebangsaan Syria (SNC) memilih pendekatan budi bicara untuk menurunkan diktator Bashar. SNC yang dipimpin oleh pembangkang Burhan Ghalioun berpangkalan di Istanbul Turki tidak bertindak ganas.

Perjuangan puak berhaluan kiri adalah mahu memecahkan kongkongan parti Baath yang memerintah Syria tanpa demokrasi lebih lima dekad lalu. Bashar pula bertindak menekan dan menindas pembangkang yang muncul sebagai suara pembaharuan Syria.

Tindakan Bashar untuk terus berkuasa membuatkan rakyat marah dam memprotes. Tindakan rakyat mendapat sokongan Liga Arab dan PBB menerusi Majlis Keselamatan dan mengenakan sekatan ekonomi ke atas Syria. Ini adalah permulaan zaman gelap Syria dan yang menanggung kesan daripada pergolakan politik ini adalah rakyat yang dinafikan suara mereka untuk memilih pemimpin. Mereka ini bukan sahaja ditindas malah menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai hanya kerana menyuarakan hasrat mendesak diktator Bashar mengundurkan diri.

Pada akhir Januari lalu, Liga Arab mengarahkan Bashar membuat reformasi politik dan menyerahkan kuasa kepada timbalannya kemudian mengadakan rundingan dengan pembangkang. Pada masa yang sama Liga Arab mengarahkan pilihan raya pelbagai parti diadakan dan dipantau oleh pemerhati antarabangsa. Tetapi hasilnya ialah tindakan ganas tentera kerajaan terhadap penunjuk perasaan yang memaksa pilihan raya ditangguhkan.

Sejak Jun tahun lalu Syria telah menjangka akan berlaku krisis ekonomi yang teruk apabila kadar pengangguran, kemiskinan dan kenaikan harga barang yang tidak terkawal. Kini sektor perdagangan dan perladangan mengalami kesan yang teruk apabila Liga Arab, Kesatuan Eropah (EU), AS dan negara jirannya, Turki mengenakan sekatan ekonomi.

Akhirnya Syria bukan sahaja berdepan dengan krisis politik akibat kebangkitan rakyat menentang pemimpin diktator malah ekonomi yang merosot dengan pantasnya. Akibatnya mata wang pound Syria menjunam apabila diniagakan di pasaran gelap. Ketika ini nilai mata wang pound Syria jatuh lebih 60 peratus berbanding dolar Amerika.

Kalau Syria hancur selepas ini, ia dihancurkan oleh pemimpin diktator yang mengundang campur tangan asing. Sekiranya Bashar bertindak demokratik dan menerima kewujudan parti pembangkang, Syria tidak berada dalam keadaan yang tenat seperti sekarang.

- MINGGUAN MALAYSIA

Jumaat, Jun 01, 2012

Antara Ratu dan Rakyat


Oleh Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Bekas Mufti Perlis dan kini felo Pusat Pengajian Islam Oxford

SAMBUTAN Jubli Intan sempena 60 tahun pemerintahan Queen Elizabeth II yang menaiki tahta sejak 1952 akan berlangsung UK beberapa hari lagi. Dikatakan beberapa negara yang masih mendaulatkan Monarki British itu seperti Australia, Canada, New Zealand dan lain-lain akan turut menyambutnya. Di UK, sambutan kelihatan agak besar. Masih nampak perasaan sayang rakyat pada Ratu.

Bangga

Saya sendiri merasakan, jika saya rakyat British yang asal, tentu saya juga akan berbangga dengan sumbangan yang pernah diberikan oleh keluarga diraja British itu. Di samping pelbagai sudut yang dikritik, British pernah menjadi empayar yang begitu hebat dan luas sehingga disebut ‘The Sun never sets on The British Empire’. Sebahagian kekayaan dan kemakmuran yang dirasai oleh rakyat British hari ini adalah hasil usaha ‘penjajahan’ yang dilakukan oleh keluarga diraja British.

Sama ada secara langsung ataupun tidak. Di sudut itu, keluarga diraja British memang menyumbang untuk negaranya. Ia bukan keluarga diraja yang hanya menghisap hasil rakyat dan meminta mereka disanjung tanpa satu catatan sejarah yang boleh dibanggakan. Mereka menjajah, ya! itu suatu yang negatfve bagi kita yang dijajah. Namun, untuk negaranya mereka telah membawa kekayaan pulang hasil ‘perahan’ negara lain. Maka, Keluarga Diraja British ada keluarga yang berjasa dan mencatatkan sejarah.

Sekalipun sebagai penjajah. Mereka bukan keluarga diraja yang menjemput penjajah sehingga sanggup menyerah tanah dan rakyat untuk kepentingan diri, tetapi mereka menakluki negara lain dan membawa hasilnya ke Britain kembali.

Kritikan

Pun begitu sambutan Jubli Intan yang akan berlangsung itu tidak sunyi dari kritikan. Akhbar dan orang ramai ada yang memprotes sambutan tersebut sebagai membazir wang negara dalam keadaan ekonomi Eropah yang tidak stabil sekarang. Ada yang membuat undian pendapat apakah sambutan itu membazir ataupun tidak. Ada pula yang mengira kos kerugian cuti disebabkan sambutan tersebut.

Hasrat Ratu untuk mendapat hadiah sebuah Yacht (kapal persiaran) daripada kerajaan sempena Jubli ini pun telah ditolak apabila survey menunjukkan 64 peratus rakyat tidak bersetuju.

Demikian ramai juga yang mengkritik sambutan Jubli ini disebabkan antara jemputan Queen ialah raja-raja yang dianggap tidak demokratik dan zalim dari pelbagai negara. Kritikan ditujukan kepada Queen sebagai tidak sensitive dengan isu kemanusiaan.

Apapun, kami di sini akan dapat cuti. Segala kritikan dan sokongan kepada Queen adalah asam garam kehidupan mereka di sini yang menghormati hak rakyat dalam bersuara. Setuju ataupun tidak satu hal.

Namun memberikan ruang rakyat bersuara adalah tanda pemerintah yang demokratik dan menghormati rakyat. Rakyat tidak dianggap derhaka hanya dengan memberikan pendapat yang berbeza.

Hanya kelompok ‘jakun’ yang cuba hidup dalam dalam kalangan manusia berakal sahaja yang menganggap memberi pendapat itu satu jenayah, sekalipun ia tidak diikuti dengan aktiviti yang mengancam dan merosakkan keselamatan rakyat. Ya, sudah pasti ada peraturan dan adabnya dalam setiap perkara.

Namun hak bersuara tidak boleh dinafikan. Kita patut ‘tabik’ kepada Monarki British di ‘sudut itu’. Mungkin perkembangan politik British juga tidak memberikan mereka pilihan melainkan demikian. Saya rasa itulah salah satu sebab Monarki British itu masih disayangi dan rakyat merasakan mereka patut terus berada di situ.

Isu Malaysia

Saya terlambat ikuti perkembangan isu di Malaysia. Saya dimaklumkan bahawa ada isu tentang istana tertentu membida number kereta sehingga lebih RM 500,000. Saya juga dimaklumkan bahawa ada yang telah kritik isu ini. Saya tidak tahu pendetilan isu tersebut. Saya tidak tahu siapa yang patut dipersoalkan.

Cuma, apabila ada yang bertanya dalam Twitter, saya jawab secara umum bahawa ‘JIKA’ golongan istana tidak boleh dipertikaikan bererti rakyat telah mempertuhankan mereka. Ini kerana hanya Tuhan sahaja yang tidak boleh dipertikaikan oleh manusia. Saya 'twit' hal itu secara umum tanpa ditujukan khusus kepada sesiapa. Ada yang cuba menjadikan 'twit' itu khusus kepada isu berkenaan.

Sebenarnya tidak. Ada pula yang menyunting rakaman ucapan saya dalam isu lain yang dah lama semasa saya masih di Malaysia, lalu dikaitkan dengan isu berkenaan. Itu pun tidak betul. Saya tidak tujukan kepada peribadi, tetapi kaedah yang umum.

Saya juga setuju, menegur pemerintah ataupun raja dalam isu peribadi memerlukan bahasa yang sesuai dan berkesan. Kritikan hendak membina. Namun hak menegur tetap ada.

Saya mungkin tidak bersetuju dengan isi sesuatu kritikan. Bahkan saya mungkin menentang pengkritik itu sendiri dalam isu-isu yang lain. Namun, saya berpegang bahawa seseorang rakyat itu selagi dia menggunakan bahasa yang wajar dan hujah yang betul, tidak wajar untuk dia dihukum kerana mengkritik. Mana-mana pihak yang menghalang orang mengkritik golongan bangsawan sekalipun dengan bahasa yang betul, adalah golongan feudal yang tidak wajar menguasai politik masa kini.

Adakah sesiapa dalam kalangan pemerintah kita yang lebih mulia, hebat dan gagah dari Saidina ‘Umar bin al-Khattab?! Beliau pernah ditegur, namun beliau tidak menghukum pengkritiknya. Khalifah Umar bin al-Khattab suatu hari pernah membahagi-bahagikan kepada rakyatnya pakaian lalu beliau naik ke atas mimbar dan berkata: “Wahai manusia dengarlah!” Tiba-tiba bangun Salman al-Farisi berkata: “Kami tidak mahu dengar”. Lantas Umar bertanya: Kenapa wahai Salman?” Jawabnya: Engkau berikan kamI semua seorang sehelai, sedangkan engkau memakai dua helai”. Kata ‘Umar: “Jangan tergesa-gesa wahai Salman”. Lalu Umar memanggil anaknya Abd Allah. Kata Umar: Aku menyerumu dengan nama ALLAH, bukankah pakaian yang aku pakai ini adalah peruntukanmu yang engkau berikan padaku”. Jawabnya: Ya!. Maka kata Salman: “Sekarang kami akan dengar”. (Ibn Qutaibah, ‘Uyun al-Akhbar, 1/55).

Tiada hukuman pun sedangkan itu ‘Umar bin al-Khattab. Apakah kita merasakan bahawa ada pihak yang lebih mulia dari Nabi s.a.w dan para al-khulafa ar-Rasyidin. Nabi s.a.w sendiri pernah dipersoalkan beberapa tindakan baginda seperti tentang isi perjanjian Hudaibiyyah yang baginda meterai. Baginda tidak menghukum pengkritik. Sedangkan baginda seorang nabi. Siapakah yang merasakan lebih mulia dari baginda?!

Ulama

Ulama mestilah bersikap seperti tokoh ilmuwan agung mazhab al-Shafi’i iaitu al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H). Saya telah petik kisah beliau dalam artikel saya semasa saya masih menjadi Mufti Perlis. Saya ketika itu mengkritik kenaikan harga barang. Artikel itu disiarkan oleh akhbar Utusan (Mingguan Malaysia). Saya petik kisah al-Imam al-Nawawi r.h (631-676H) yang diminta oleh Raja pada zamannya al-Malik al-Zahir untuk memberikan fatwa bagi mengharuskan Raja mengambil harta rakyat untuk digunakan memerangi musuh yang mengancam negara iaitu tentera Tatar.

Tujuan itu pada zahirnya baik kerana mempertahankan negara dari ancaman musuh. Harta itu pun hendak digunakan untuk keperluan jihad. Namun ramai ulama yang telah dibunuh ketika itu kerana enggan mengeluarkan fatwa berkenaan. Al-Nawawi juga enggan menulis surat sokongan terhadap tindakan Raja Zahir itu sekalipun beliau tahu pengambilan harta itu untuk kepentingan negara juga.

Apabila Raja bertanya kepada beliau mengapa beliau enggan menyokong? Beliau menjawab: Setahu saya engkau dahulunya seorang hamba, tidak mempunyai harta. Kemudian ALLAH memberikan kurniaan kepadamu lalu diangkat engkau menjadi seorang raja. Aku dengar engkau memiliki seribu hamba lelaki yang setiap mereka memiliki tali pinggang daripada emas.

Engkau juga ada memiliki dua ratus hamba perempuan, dan setiap mereka memiliki sebekas perhiasan. Jika engkau belanjakan itu semua, sehingga hamba-hamba lelakimu hanya memakai tali pinggang kain, dan hamba-hamha perempuanmu hanya memakai baju tanpa perhiasan, juga baitul mal sudah tiada simpanan wang, harta dan tanah lagi, maka aku akan fatwakan untukmu keharusan mengambil harta rakyat itu.

Sesungguhnya yang menolong jihad dan selainnya ialah penyerahan diri kepada Allah dan mengikut jalan nabiNya s.a.w. (lihat: ‘Abd al-Ghani al-Daqar, al-Imam al-Nawawi, 144-145, Damsyik: Dar al-Qalam).

Inilah tokoh Mazhab al-Shafi’i yang sangat hebat dari segi ilmu dan akhlak. Di Malaysia, ada yang fanatik mazhab. Pantang dengar orang tidak berpegang dengan mazhab Shafi’i yang ‘dia faham’, terus hendak diadukan kepada sultan dan raja. Malang sekali, sikap dan budi tokoh-tokoh mazhab itu tidak diteladani.

Kita tidak meminta pemerintah supaya jadi seperti ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz. Kita minta jangan buat sesuatu yang menimbul persoalan dan kegelisahan rakyat. Kita ingin sayangkan pemerintah kita dengan ikhlas. Pihak istana akan lebih dihormati dan disayangi jika mereka mengikut perkembangan dan perasaan rakyat.

Hari ini dunia terbuka. Memaksa orang suka hanya membakar rasa kebencian. Namun, akhlak yang baik, teladan yang bagus dan kehidupan yang jujur akan menjadikan sesebuah institusi itu bertambah dekat di hati dan jiwa rakyat.

- SINAR HARIAN

Rabu, Mei 23, 2012

Mansuh Caj Satu Peratus: PTPTN Serah Kepada PM Dan Kementerian

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyerahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Kementerian Pengajian Tinggi, untuk membuat keputusan mengenai saranan pemansuhan caj perkhidmatan satu peratus.

Pengerusinya Datuk Ismail Mohamed Said berkata caj tersebut dikenakan ke atas peminjam bagi menampung kos pengurusan dan pentadbiran PTPTN.

"Ia juga untuk menampung pembukaan cawangan PTPTN di negeri, di mana kita sudah buka cawangan di Sabah, Sarawak dan Pahang, manakala di Melaka akan dibuka dalam masa terdekat.

"Kita nak mudahkan ibu bapa dan pelajar hubungi kita, sebab itu kita turun padang dan buka cawangan di setiap negeri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) PTPTN di Universiti Teknologi Mara, di sini, Rabu.

Beliau diminta mengulas saranan yang dibuat Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pada debat bersama Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat Mohd Rafizi Ramli mengenai PTPTN, yang dianjur akhbar Sinar Harian

Mengenai keseluruhan debat bertajuk 'Pemansuhan PTPTN dan Hala Tuju Pendidikan Tinggi' itu, Ismail berkata segala hujah yang disampaikan Mohd Rafizi adalah tidak benar dan jelas bermotifkan politik.

Katanya Mohd Rafizi menunjukkan pembangkang hanya mahu memberi maklumat yang salah kepada orang ramai, khususnya penuntut universiti, sekali gus memberi kelebihan kepada pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

"Ini cara pembangkang, mereka hidup atas dua perkara, pertama mainkan isu... di mana apa sahaja kerajaan buat mereka akan 'spin' dan kedua memberi janji manis," katanya.

Ismail juga berkata jika benar pendidikan percuma boleh dilaksana, sudah pasti pembangkang berbuat demikian di negeri yang diteraju mereka seperti Selangor menerusi Universiti Selangor dan Kolej Universiti Islam Selangor.

"Kita sebaliknya telah hapuskan yuran sekolah malah beri wang bantuan RM100 kepada pelajar sekolah dan baucar buku RM200 kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT). Kerajaan juga tanggung subsidi yuran pendidikan 80 dan 90 peratus dan cuma 20 peratus sahaja ditanggung oleh pelajar," katanya.

Terdahulu, pada majlis yang dirasmikan Anggota Parlimen Sepang Datuk Seri Mohd Zin Mohamed itu, sebanyak RM5.2 juta WPP diagih kepada 3,480 penuntut IPT bagi kawasan Shah Alam, Kapar, Klang, Hulu Selangor, Selayang, Gombak, Kelana Jaya, Petaling Jaya Selatan dan Petaling Jaya Utara.

PTPTN memperuntukkan RM8.5 juta WPP untuk diagih kepada 5,660 penuntut IPT di Selangor bagi sesi kemasukan Mei/Jun ini.

- BERNAMA

Debat Sinar "Pemansuhan PTPTN dan Hala Tuju Pendidikan Tinggi" Khairi dan Rafizi


Debat Sinar "Pemansuhan PTPTN dan Hala Tuju Pendidikan Tinggi" Khairi dan Rafizi

SHAH ALAM - Debat Sinar Harian bertemakan "Pemansuhan PTPTN dan Hala Tuju Pendidikan Tinggi" antara Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin malam tadi dilihat satu bentuk serangan peribadi ke atas Umno selain tidak mencapai objektif sebenar.

Kata Ketua Pemuda Umno Selangor, Ungku Md Salleh Ungku Jamal, Rafizi seolah-olah menggunakan medium debat untuk menyerang Khairy dan ini tidak seharusnya berlaku.

“Pihak Pakatan Rakyat (PR) jelas gagal melaksanakan janji mereka terhadap rakyat.

"Buktinya hingga kini mereka gagal melaksanakan pendidikan percuma di peringkat negeri lagi,” ulas beliau selepas debat malam tadi berakhir.

Bagaimanapun tambah beliau, isu pemansuhan PTPTN tidak relevan kerana rakyat dan pelajar khususnya masih memerlukan bantuan kewangan menerusi agensi itu bagi tujuan pembelajaran.

“Namun demikian, usaha Sinar Harian menganjrkan debat ini harus dipuji dan jika boleh, diteruskan lagi di masa akan datang,” katanya lagi.

Ketua Pemuda Umno Wilayah, Jailani Abdul Aziz pula berpendapat, debat ini dilihat memberi tindak balas yang memberangsangkan dari semua pihak terutama kepada para pelajar.

“Bagi saya, Rafizi menggunakan idea dan hujah yang bagus dalam debat malam ini,” ulas beliau.

Tetapi beliau tidak bersetuju untuk memansuhkan PTPTN kerana bagi beliau terdapat pro and kontra jika pemansuhan ini dibuat.

Ketua Pemuda Umno Shah Alam, Mohd Izuddin Mohamad Razali berkata, debat malam tadi menjadi salah satu amalan demokrasi yang dapat dilakukan ke arah pembaharuan sistem politik di negara.

“Tindak balas positif dapat dilihat secara jelas dalam debat yang diadakan malam ini,” katanya.

Dalam itu, beberapa pemimpin dari Pakatan Rakyat berkata, medium debat merupakan cara yang paling munasabah sekali gus adil kepada kedua-dua parti antara perikatan itu dan Umno suarakan hujah secara umum kepada rakyat.

Menurut ahli jawatankuasa kerja Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad, debat yang diadakan merupakan yang terbaik dan boleh dianggap yang bertaraf dunia dapat dianjurkan Sinar Harian.

“Kita diberi peluang secara adil kerana kedua-dua parti politik Umno dan PR sama-sama diberi peluang untuk membentangkan hujah masing-masing,” ulas beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor.

Tambah beliau, ini jelas menunjukkan negara melangkah ke satu arah yang lebih baik iaitu membudayakan politik secara adil dan bersih.

“Sebelum ini PR tidak pernah dapat peluang dalam mana-mana media arus perdana atau televisyen bagi memberi hujah atau mengadakan debat secara terbuka seperti malam ini,” tambah beliau.

Katanya lagi, debat malam tadi sekali gus memberi peluang kepada mereka bagi membuktikan dasar yang dipegang selama ini kepada rakyat secara terbuka.

Beliau sempat meluahkan rasa terima kasih kepada pihak Sinar Harian di atas keberanian membudayakan wacana dan diskusi secara adil dan terbuka kepada kedua-dua parti politik.

Pihaknya menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada rakyat bagi menilai sendiri dan membuat sebarang keputusan dalam debat yang diadakan ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad ketika dihubungi Sinar Harian Online menyatakan yang debat malam tadi merupakan satu pencapaian yang bagus dan beliau mengharapkan agar usaha ini dapat dilakukan secara berterusan di masa akan datang.

“Rakyat sendiri dapat menilai secara terbuka dan jelas dasar mana yang mereka patut ikut,” kata beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor.

Beliau juga bersetuju yang pendidikan percuma seharusnya direalisasikan dan yakin pihak PR mampu menepati segala janji kepada rakyat.

- SINAR HARIAN

Khamis, Mei 03, 2012

Gaji minimum: Perjuangan yang sudah selesai?

RAMAI yang tersenyum lebar apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi " hadiah" Hari Pekerja tahun ini dengan mengumumkan kadar gaji minimum kebangsaan bagi sektor swasta iaitu sebanyak RM900 di Semenanjung dan RM800 di Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, dasar terbaharu ini tidak melibatkan sektor domestik seperti tukang kebun dan orang gaji.

Ini bermakna perjuangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) selama 15 tahun telah membuahkan hasil walaupun pada hakikatnya mereka memperjuangkan kadar gaji minimum kebangsaan adalah RM1,200.

Dengan pengumuman ini, pasti golongan pekerja sektor swasta boleh menarik nafas lega kerana telah mempunyai "duit lebih" untuk berdepan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini.

Malah ia juga dilihat sebagai satu jaminan tidak akan ada lagi pekerja di sektor itu menerima kadar gaji di bawah paras kemiskinan kebangsaan.

Di Malaysia, gaji pekerja sektor swasta masih di tahap yang sangat rendah di mana Kajian Guna Tenaga Kebangsaan (NER) oleh Kementerian Sumber Manusia pada 2009 mendapati 33.8 peratus pekerja bergaji di bawah paras kemiskinan kebangsaan iaitu RM800 sebulan pada masa ini.

Namun, perlu diingat bahawa kerajaan tidak akan melakukan perubahan ini dengan sia-sia. Pengumuman ini pastinya hadir bersama harapan besar untuk melihat golongan pekerja di negara ini turut meningkatkan produktiviti dan kualiti.

Produktiviti dan kualiti merupakan kata kunci bagi memastikan hasrat untuk melihat Malaysia berubah kepada sebuah negara berpendapatan tinggi serta berstatus negara maju berjaya dicapai.

Pelaksanaan dasar ini juga seharusnya menjadi penyuntik semangat kepada warga pekerja sektor swasta untuk berusaha dengan lebih gigih dan komited.

Walaupun ada segelintir pihak yang masih tidak berpuas hati mengenai kadar tersebut dan ramai juga yang mendesak mahukan gaji minimum kebangsaan ditetapkan pada RM1,200, terdapat rasional kenapa ia tidak boleh dilaksanakan, sekurang-kurangnya pada waktu sekarang.

Pengenalan kepada gaji minimum atau kenaikan gaji pada kadar apa sekalipun sudah pastinya akan menyebabkan lonjakan harga barangan seterusnya mendorong kepada tekanan inflasi.

Walau apa pun alasan yang bakal digunakan peniaga, sama ada kos semakin meningkat, harga bahan mentah semakin mahal di pasaran atau sebagainya, ia pasti memeritkan pengguna dan menyebabkan kuasa beli merosot. Sudah tentu ia bukan satu faktor positif kepada ekonomi.

Gaji minimum juga dikhuatiri boleh menyebabkan perniagaan-perniagaan kecil seperti industri kecil dan sederhana (IKS) dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengalami masalah dari segi kos overhed malah mungkin mengakibatkan syarikat-syarikat ini terpaksa gulung tikar.

Persatuan IKS Malaysia semasa satu sidang akhbar sebelum ini pernah memberitahu, sekiranya dasar gaji minimum kebangsaan dilaksanakan, ia bakal memberi kesan yang sangat besar kepada kos pengilangan kerana syarikat-syarikat tersebut amat bergantung kepada tenaga buruh.

Malah dengan margin keuntungan bersih sekitar tiga hingga lima peratus sahaja, ia dilihat mampu membunuh syarikat-syarikat tersebut dan menyebabkan kadar pengangguran di negara ini meningkat.

Ini dapat dilihat di Thailand apabila kerajaan menaikkan kadar gaji minimum harian sebanyak 40 peratus pada 1 April lalu, dijangka 100,000 PKS akan ditutup selepas enam bulan pelaksanaannya.

Syarikat-syarikat itu tidak mampu untuk terus menanggung kos overhed yang lebih tinggi berbanding keuntungan.

Namun apa yang diharapkan ia tidak berlaku di Malaysia di mana pelaksanaan gaji minimum seharusnya mewujudkan situasi menang-menang kepada semua pihak; pekerja dan syarikat seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara yang lebih positif.

Mungkin tempoh enam bulan "grace period" selepas ia diwartakan bakal memberi tempoh yang mencukupi untuk majikan terutamanya yang terdiri daripada usahawan IKS dan PKS untuk bersedia.

- UTUSAN

Selasa, Mei 01, 2012

Gaji Minimum Sektor Swasta RM900

PUTRAJAYA: Gaji bulanan minimum bagi pekerja sektor swasta di Semenanjung ditetapkan pada RM900 dan RM800 bagi Sarawak, Sabah dan Labuan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin.

Ia meliputi pekerja dalam semua sektor ekonomi kecuali mereka yang berkhidmat dalam sektor perkhidmatan domestik, seperti pembantu rumah dan tukang kebun.

Ia berfungsi kepada RM4.33 sejam bagi para pekerja di Semenanjung manakala pekerja di Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan akan dibayar minimum RM3.85 sejam.

Akhirnya, terdapat hanya satu gaji minimum bagi negara ini, katanya, sambil menambah bahawa gaji minimum akan dikaji semula dari semasa ke semasa selaras dengan produktiviti negara, kemampuan dan daya saing.

Gaji minimum yang dijangkakan banyak pihak telah diumumkan oleh Najib pada perhimpunan khas dengan ribuan pekerja sektor swasta di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, malam Isnin.

“Ini merupakan hadiah khas daripada Kerajaan Persekutuan kepada pekerja seluruh negara yang dicintai," katanya.

Kadar gaji minimum itu akan berkuat kuasa enam bulan dari tarikh Perintah Gaji Minima diwartakan.

Bagaimanapun, katanya, tarikh efektif bagi syarikat kecil atau perusahaan mikro dilanjutkan selama enam bulan lagi bagi memberi mereka ruang dan peluang untuk membuat persediaan supaya perniagaan mereka tidak akan terjejas.

Najib berkata, tempoh 12 bulan tidak meliputi firma profesional seperti klinik pergigian dan perubatan, perundangan, arkitek dan perunding.

Beliau berkata, walaupun mereka mempunyai lima orang pekerja atau kurang, mereka dikehendaki melaksanakan gaji minimum dalam tempoh enam bulan selepas Perintah itu diwartakan.

Beliau menambah, tempoh yang diberikan itu adalah mencukupi untuk majikan menstruktur semula gaji dan operasi perniagaan mereka.

"Kerajaan menyediakan satu mekanisme pelaksanaan yang fleksibel supaya mereka yang benar-benar tidak dapat melaksanakan gaji minimum boleh merayu untuk ditangguhkan.

"Kami juga menyediakan satu mekanisme di mana beberapa elaun atau bayaran tunai tetap dibenarkan untuk diserap dalam pengiraan bagi gaji minimum.

"Ini adalah untuk memastikan bahawa pelaksanaannya tidak membebankan majikan dan tidak akan kehilangan pekerja," katanya.

Sementara itu, Najib berkata, Kerajaan menyedari pekerja menuntut gaji minimum antara RM1,200 dan RM1,500, namun ia tidak dapat dilaksanakan.

Berdasarkan syor Majlis Perundingan Gaji Kebangsaan dan kajian Bank Dunia, gaji minimum tidak boleh ditetapkan terlalu tinggi.

"Jika ia melepasi paras RM900 (gaji pokok), ia akan menjejaskan ekonomi, pasaran buruh dan kemasukan pekerja asing.

"Jika ia berlaku, industri tidak boleh beroperasi dengan sewajarnya dan ramai akan kehilangan kerja mereka dan Kerajaan tidak mahu membiarkan perkara ini berlaku kerana ia akan menjejaskan kebajikan pekerja dan kepentingan negara," katanya.

Selepas beberapa siri perbincangan, satu keputusan telah dicapai oleh Majlis itu bahawa gaji minimum akan ditetapkan berdasarkan keperluan asas keluarga pekerja, keupayaan majikan untuk membayar gaji, produktiviti, peningkatan dalam kos sara hidup dan keadaan pasaran buruh.

Beliau berkata, Majlis mengemukakan syornya dan Kerajaan bersetuju dengan pelarasan.

Najib juga menjelaskan perbezaan kadar gaji minimum antara Semenanjung dan Sarawak, Sabah dan Labuan adalah disebabkan perubahan dalam struktur gaji dan kos yang ketara di kawasan itu.

Bagaimanapun, Kerajaan berharap dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, gaji minimum untuk Sabah, Sarawak dan Labuan boleh diselaraskan dengan Semenanjung.

- MSTAR

Selasa, April 24, 2012

JPN perjelas isu 'MyKad' bertarikh luput


Gambar 'Mykad' dengan perkataan "Pemastautin Sementara" dan mempunyai tarikh luput bersebar luas di Internet sejak termuat di Facebook minggu lepas.

Dikatakan dikeluarkan kepada warganegara Burma, perkara itu menimbulkan persoalan sama ada warga asing diberi kerakyatan dan sama ada ia boleh digunakan dalam pilihan raya umum akan datang.

Semakan dengan pangkalan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan pemegang MyKad itu bukan pengundi berdaftar.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagaimanapun menjelaskan hari ini bahawa MyKad ini sebagai versi kad lama pemastautin sementara yang dikeluarkan pada 2001.

"Pada masa itu, kerajaan tidak mempunyai pelbagai jenis kad untuk warganegara, permautautin tetap dan pemastautin sementara," kata JPN dalam kenyataannya kepada Malaysiakini.

- MALAYSIAKINI

 

Selasa, April 03, 2012

NKRA pendidikan meningkat

Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2011 menyaksikan Inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Mempertingkatkan Pencapaian Pelajar mencatatkan pelbagai kejayaan membanggakan merangkumi kawasan bandar serta luar bandar.

Berdasarkan laporan tersebut, antara pencapaian terbesar tahun lalu adalah kejayaan mencatatkan pendaftaran prasekolah sebanyak 77.23 peratus kanak-kanak di negara ini iaitu sebanyak 732,902 kanak-kanak berusia 4 tahun ke atas.

Kejayaan ini dihasilkan menerusi pembukaan sebanyak 3,089 kelas prasekolah di seluruh negara iaitu dua kali ganda daripada kelas yang dibuka pada tahun 2010.

Di peringkat sekolah rendah, inisiatif NKRA turut menyaksikan program Literasi dan Numerasi (LINUS) kepada kanak-kanak darjah 2 mencapai kadar literasi 97.5 peratus dan kadar numerasi 98.6 peratus manakala kanak-kanak darjah 1 bagi Kohort 2 mencatatkan kadar literasi 91 peratus dan kadar numerasi 95.4 peratus.

Bagi membantu murid-murid yang lemah, salah satu inisiatif dalam NKRA tersebut tahun lalu adalah memperkenalkan mekanisme untuk mengesan murid-murid yang mempunyai masalah pembelajaran. Sepanjang tahun lepas, sebanyak 3,916 murid lemah di kalangan Tahun 2 telah berjaya dikenal pasti.

Menyedari sekolah berkualiti merupakan kunci untuk meningkatkan tahap pendidikan di negara ini, inisiatif NKRA tersebut telah menganugerahkan status Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) kepada 32 sekolah rendah dan menengah pada tahun lalu berbanding 20 sekolah pada tahun 2010.

Menerusi program Pembangunan Prestasi Sekolah (SIP), laporan tahunan itu mencatatkan peratusan sekolah-sekolah yang berada dalam Band (pencapaian) rendah iaitu Band 6 dan Band 7 berjaya diturunkan sebanyak 40.25 peratus iaitu sebanyak 380 sekolah daripada 636 sekolah pada 2010.

Program SIP yang juga merupakan sistem pengumpulan data berpusat itu turut membolehkan peningkatan sebanyak 2.86 peratus jumlah sekolah ke dalam Band 1 dan Band 2 iaitu 2,157 sekolah berbanding 1,770 sekolah dua tahun lalu.

Sementara itu, menerusi inisiatif skim tawaran baru, sebanyak 5.23 peratus guru besar sekolah rendah atau 403 orang dan empat peratus pengetua sekolah menengah atau 92 orang telah dianugerahkan tawaran tersebut di atas kejayaan meningkatkan pencapaian sekolah merangkumi segenap aspek.

Inisiatif lain yang turut diperkenalkan adalah Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) iaitu sistem maklumat laman web peringkat kebangsaan untuk semua sekolah awam di negara ini.

- UTUSAN

NKEA tunjuk perkembangan membanggakan

Sepanjang 2011, Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) menunjukkan perkembangan membanggakan dengan projek-projek dirancang sedang dilaksanakan mengikut jadual.

Bagi projek untuk meletakkan Kuala Lumpur dan Lembah Klang di antara 20 bandar raya dunia yang mempunyai pertumbuhan ekonomi dan gaya hidup hebat pada 2020, ia berjaya menarik syarikat-syarikat multinasional dan bakat-bakat tempatan yang diusahakan oleh dua agensi berikut iaitu, Talent Corp. dan InvestKL.

Setakat ini, syarikat-syarikat multinasional yang telah menubuhkan operasi ataupun menyatakan komitmen pelaburan mereka adalah Sclumberger, PayPal, IBM dan Toshiba.

Sehingga Disember 2011, seramai 680 rakyat Malaysia yang berkhidmat di luar negara telah kembali ke negara ini di bawah Program Membawa Balik Pakar sementara 482 permohonan Pas Penduduk telah diterima.

"Program tersebut diperkenalkan bertujuan menarik balik pakar-pakar tempatan di luar negara serta juga mengekalkan bakat-bakat asing yang tinggal di negara ini," kata Laporan Tahunan 2011 - Program Transformasi Ekonomi yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.

Selain itu, laporan itu menyatakan, usaha-usaha meningkatkan kemudahan awam di bandar raya Kuala Lumpur diteruskan dengan memperkenalkan satu lagi projek pengangkutan awam mega.

Projek itu iaitu Klang Valley MyRapid Transit (KVMRT) dijalankan bagi menggalakkan penduduk di Lembah Klang menggunakan kemudahan awam dan seterusnya mengurangkan masalah kesesakan di dalam bandar raya.

Pembinaan laluan pertama, Sungai Buloh-Kajang telah bermula Julai lalu dan perkhidmatan MRT pertama negara ini itu dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2017.

Satu sektor lain yang dikenal pasti NKEA adalah minyak, gas dan tenaga yang mana kerajaan menyasarkan pertumbuhan sebanyak lima peratus setahun bermula pada 2010 sehingga 2020.

Bagi mencapai matlamat tersebut, kerajaan memberi fokus kepada empat teras iaitu mengekalkan pengeluaran minyak dan gas, meningkatkan pertumbuhan hiliran, menjadikan Malaysia sebagai hab Asia bagi perkhidmatan lapangan minyak serta membangunkan platform tenaga untuk pertumbuhan.

Kerajaan juga telah mengenal pasti perkhidmatan kewangan sebagai satu faktor penting dan perlu dilakukan transformasi bagi memenuhi kehendak perniagaan dan pelanggan dalam ekonomi berpendapatan tinggi pada 2020.

Menerusi 10 Projek Permulaan (EPP) dengan 49 inisiatif, sektor kewangan diramalkan menyumbang RM121.5 bilion dalam pendapatan kasar negara (PNK) serta mencipta 45,000 peluang pekerjaan.

Pada 2011, Perdana Menteri telah melancarkan satu perancangan penting dalam sektor itu iaitu Pelan Induk Sektor Kewangan yang melakar hala tuju kepada sistem kewangan bagi tempoh beberapa dekad.

- UTUSAN

Rabu, Mac 14, 2012

Rakyat diseru kukuh perpaduan - Agong


Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah menyeru rakyat mengukuhkan perpaduan dan terus memberikan sokongan kepada kerajaan bagi memastikan segala agenda dirancang dapat direalisasikan.

Baginda bertitah, rakyat perlu mengelak daripada melakukan tindakan yang boleh menjejas atau menggugat kedaulatan negara atau cuba menidakkan pengorbanan pejuang kemerdekaan.

Titah baginda, rakyat juga perlu menumpahkan taat setia tidak berbelah-bahagi kepada negara dan sentiasa memelihara, melindungi serta mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.
“Beta berharap semua pihak terutama generasi muda berusaha memahami dan menghayati sejarah kemerdekaan negara hasil pengorbanan pejuang kemerdekaan dan seterusnya menghargai kebebasan yang dinikmati sekarang.

“Beta juga berharap pemimpin di setiap peringkat, cendekiawan, media massa dan badan bukan kerajaan (NGO) memainkan peranan lebih berkesan dalam meningkatkan kefahaman dan penghayatan mengenai kepentingan perpaduan nasional,” titah baginda ketika merasmikan istiadat pembukaan mesyuarat pertama penggal kelima Parlimen ke-12, di sini, semalam.

Terdahulu, baginda memeriksa perbarisan kehormat empat pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja dari Kem Sungai Besi diketuai Mejar Amrizar Mohd Ashaari.

Turut hadir, Permaisuri Agong, Tuanku Haminah Hamidun; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang; Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, anggota Kabinet dan Ahli Parlimen.
Tuanku Abdul Halim bertitah, Malaysia akan terus berada di landasan kukuh ke arah mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif dan agenda transformasi.

“Semua itu bertujuan menyediakan peluang kehidupan lebih baik kepada rakyat. Berkat usaha gigih kerajaan dan sokongan rakyat, negara kekal makmur walaupun dunia bergelut krisis kewangan, kemelut politik dan ketidaktentuan persekitaran.

“Adalah menjadi hasrat kerajaan supaya manfaat kemakmuran ekonomi hasil Dasar Transformasi Nasional akan melimpah kepada semua lapisan rakyat tanpa ada yang terpinggir,” titahnya.

Baginda bertitah, perjalanan ke arah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020 bukan saja memerlukan transformasi ekonomi, malah menuntut keseimbangan antara kepentingan individu dan kumpulan dengan kepentingan negara.

“Menerusi kepemimpinan kerajaan kini yang mengamalkan pendekatan kesederhanaan atau wassatiyyah, pelbagai usaha transformasi sosiopolitik sudah dan sedang dilaksanakan.

“Antaranya termasuk penambahbaikan undang-undang dan peraturan, sistem pilihan raya serta memastikan hak dan kebebasan asasi rakyat berlandaskan Perlembagaan Persekutuan terjamin,” titahnya.

Baginda bertitah, kerajaan juga komited memperkukuh kebebasan sivil dan melaksanakan transformasi politik, selain melindungi dan memastikan kebebasan berterusan badan kehakiman kerana ia menjadi teras penting demokrasi.

Tuanku Abdul Halim bertitah, petunjuk ekonomi utama 2011 seperti pertumbuhan ekonomi pada kadar 5.1 peratus selain jumlah dagangan tertinggi pernah direkodkan, membuktikan pengurusan ekonomi kerajaan berada di landasan tepat.

- BERITA HARIAN

Isnin, Mac 12, 2012

Shahrizat berundur sebagai menteri 8 April


Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akan berundur sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 8 April ini selepas tamat penggal sebagai Ahli Dewan Negara.

Bagaimanapun, beliau akan terus menerajui Wanita UMNO bagi menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh akar umbi.

"Surat peletakan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini. Peletakan jawatan itu akan berkuat-kuasa pada 8 April ini," katanya.

Beliau membuat pengumuman itu dalam satu sidang media selepas merasmikan "Majlis Karisma Keluarga: Jalinan Kasih" di Taman Tema Desa Waterpark, di sini.

Pengunduran beliau dalam barisan Kabinet itu dipercayai ada kaitan dengan isu Pusat Fidlot Nasional. (NFC) yang menjalankan ternakan lembu di Gemas, Negeri Sembilan yang didakwa wujud penyelewengan serta membabitkan ahli keluarganya.

Isu itu tercetus berikutan Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober tahun lalu yang menyentuh mengenai pengurusan NFC kerana berdepan masalah apabila sasaran pengeluarannya dikurangkan daripada 60,000 ekor lembu kepada 8,000 lembu.

Pada 13 Januari, Shahrizat mula bercuti daripada menjalankan tugas sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat selama tiga minggu.

- BERITA HARIAN

Khamis, Januari 05, 2012

Nur Amalina Che Bakri nafi dakwaan dirinya sudah 'hanyut'


SABARIAH Hassan berinteraksi dengan Nur Amalina Che Bakri melalui sidang video di rumahnya di Taman Saujana, Kota Tinggi, Johor, semalam. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Nur Amalina Che Bakri menegaskan beliau berada dalam keadaan baik dan sentiasa memberi tumpuan kepada pengajian perubatan yang sedang diikutinya di Universiti Edinburgh, Scotland.

Melalui sidang video Internet menerusi perisian Skype dengan pemberita di kediaman keluarganya di Kota Tinggi, dekat sini, mahasiswa berusia 23 tahun itu sekali lagi menafikan dakwaan yang dia sudah hanyut dengan kehidupan sosial.

Beliau turut memberi penjelasan terperinci berhubung beberapa keping gambar yang hangat diperkatakan kebelakangan ini.

Menurutnya, beliau memang meminati fesyen dan berpakaian cantik sejak kecil lagi, justeru tidak timbul isu telah membuka tudung kerana ia hanya dipakai ketika ke sekolah dan majlis-majlis yang memerlukan ia dipakai.

"Mengenai gambar dengan seluar yang dikatakan seksi, seluar itu ibu yang belikan dan dia sendiri yang mengambil gambar itu. Takkan ibu nak belikan pakaian yang melampaui batas? Seluar itu tidak menampakkan kulit kerana ia terdiri dari dua lapisan dengan lapisan berwarna coklat.

"Gambar dengan Sam pula adalah salah seorang kenalan Ina yang ibu juga kenal. Ia dirakam dalam keadaan rapat tetapi kami tidak bersentuhan, berpelukan atau melakukan apa-apa, malah ia juga telah dipotong walhal ia gambar secara beramai-ramai bersama rakan lain," katanya.

Jelas Nur Amalina lagi, Sam merupakan kenalan biasa yang turut sama dengan rakan-rakan lain merasai masakan Melayu apabila ibunya Sabariah Hassan, 52, berkunjung melawatnya di sana.

Tambahnya, gambar meluncur ais bersama rakan pula dirakam ketika sambutan hari lahirnya baru-baru ini.

Katanya, adalah mustahil untuk belajar setiap masa dan kadangkala beliau melepaskan tekanan dengan melakukan aktiviti bersama rakan lain seperti meluncur ais, bermain boling dan bersiar-siar.

Tegas beliau, biasiswa yang diberikan semuanya digunakan untuk pengajian dan belanja pakaian disediakan oleh ibunya sendiri.

Ditanya sama ada kontroversi ini sedikit sebanyak menjejaskan tumpuan dalam pengajian, Nur Amalina berkata, isu itu akan meningkatkan lagi semangat dan motivasinya untuk mengharumkan nama negara.

"Terima kasih kepada mereka yang memberikan nasihat dan komen mengenai saya. Saya akan jadikan ia sebagai iktibar untuk menjadi insan yang lebih baik tetapi bukan dengan kutukan dan menjatuhkan saya," katanya.

- UTUSAN

Selasa, Disember 27, 2011

15 Berita untuk Pemilihan "Sepuluh Berita Asia Tenggara yang Paling Penting Tahun 2011"

1. Industri Kewangan ASEAN Diperkukuh, Bursa Sekuriti Pertama di Laos dan Kemboja

Bursa sekuriti pertama di Laos dirasmikan di Vientiane pada 11 Januari 2011. Pada Julai 2011, bursa sekuriti pertama di Kemboja ditubuhkan dan akan mula beroperasi pada Januari 2012. Setakat ini, semua negara ASEAN kecuali Myanmar mempunyai bursa sekuriti. Industri kewangan dianggap tonggak kepada ekonomi moden. Perkembangan industri kewangan negara-negara ASEAN bermakna besar bagi pembangunan ekonomi serantau.

2. "Single Visa" ASEAN akan Diperkenalkan

Pada 17 Januari 2011, Sidang Menteri Pelancongan ASEAN diadakan di Phnom Penh. Sidang berkenaan telah membincangkan dan meluluskan Rancangan Strategi Pembangunan Pelancongan ASEAN 2011-2015. Sasaran utama rancangan itu adalah memperkenalkan "Single Visa" dalam tempoh lima tahun yang akan datang. Setelah visa itu diperkenalkan, pelancong di luar rantau ASEAN boleh melancong semua negara ASEAN dengan memegang visa itu. Dalam Sidang Menteri Luar ASEAN yang diadakan pada 16 Januari pula, para menteri bersepakat untuk meneliti kebolehlaksanaan rancangan berkenaan, dan memperkenalkan visa itu secepat mungkin.

3. Kumpulan Pemimpin Baharu Vietnam Terpilih

Kumpulan pemimpin baharu Vietnam terpilih semasa Perhimpunan Kebangsaan Ke-11 Parti Komunis Vietnam pada 19 Januari 2011. Nguyen Phu Trong menggantikan Nong Duc Manh dan dipilih sebagai Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam. Ini menandakan peralihan kumpulan pemimpin negara berkenaan. Dari awal Julai hingga awal Ogos pula, Persidangan Pertama Kongres Ke-13 Vietnam telah memilih pemimpin-pemimpin negara termasuk Pengerusi Kongres, Presiden dan Perdana Menteri.

4. Konflik Paling Sengit di Sempadan Thailand-Kemboja

Dari 4 hingga 7 Februari, dan dari 22 hingga 29 April 2011, tentera Kemboja dan Thailand bertempur di wilayah yang dipertikaikan di kawasan sempadan. Kedua-dua pihak telah menggunakan senjata berat seperti meriam dan peluru roket. Pertempuran ini mengorbankan berpuluh-puluh anggota tentera. Pada 15 September, Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra membuat lawatan ke Kemboja dan berunding dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen. Kedua-dua pemimpin itu bersetuju untuk mematuhi keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa, The Hague untuk menempatkan semula tentera di kawasan sekitar Kuil Preah Vihear. Dengan itu, situasi yang tegang di wilayah berkenaan menjadi reda.

5. Pembaharuan dan Perdamaian Dalaman Myanmar Dipercepat

Pada 30 Mac 2011, Presiden U Thein Sein dan kabinet baharu Myanmar mengangkat sumpah di Naypyidaw. Badan berkuasa tertinggi Myanmar iaitu Majlis Kedamaian dan Pembangunan Kebangsaan menyerahkan kuasa kepada kerajaan baharu. Ini menandakan peralihan pemerintah ketenteraan ke kerajaan yang dipilih oleh rakyat di Myanmar. Pada 19 Ogos, Presiden U Thein Sein menemui Aung San Suu Kyi. Pada Oktober pula, U Thein Sein meluluskan untuk meminda undang-undang pendaftaran parti politik, membatalkan banyak sekatan dan halangan, supaya memberi laluan kepada Aung San Suu Kyi untuk terlibat dalam proses politik negara.

6. Pilihan Raya Singapura Tanda Permulaan Perubahan Politik

Pilihan raya kongres Singapura diadakan pada 7 Mei 2011. Parti pemerintah, Parti Gerakan Rakyat mendapat 60.14% undi yang sah, iaitu sokongan yang paling rendah sejak beberapa dekat lalu. Di samping itu, jumlah kawasan pilihan raya yang dimenangi parti pembangkang pula mencipta rekod dalam sejarah. Pada 14 Mei, Menteri Mentor, Lee Kuan Yew dan Menteri Kanan Goh Chok Tong mengeluarkan kenyataan bersama yang menyatakan mereka tidak akan memegang jawatan dalam kabinet baharu, supaya memberi laluan kepada generasi muda. Pada 18 Mei, Lee Hsien Loong mengumumkan senarai kabinet baharu, Lee Kuan Yew buat kali pertama tidak dilantik jawatan dalam kabinet sejak menyandang jawatan Perdana Menteri pada 1959. Kabinet baharu menampakkan ciri-ciri cekap, inovatif dan muda.

7. Indonesia Perkenalkan Pelan Pembangunan Jangka Sederhana

Pada Julai 2011, Indonesia memperkenalkan pelan pembangunan ekonomi nasional jangka sederhana, yang mensasarkan kadar purata pertumbuhan ekonomi negara mencapai 7 hingga 8 peratus dalam 15 tahun yang akan datang. Wawasannya menjadikan Indonesia antara 10 kuasa ekonomi terdepan di dunia menjelang 2025. Selepas krisis kewangan tercetus pada tahun 2008, ekonomi Indonesia berkembang baik setelah mengalami tempias yang terhad ekoran kemelesetan ekonomi Eropah dan Amerika, serta mencapai pertumbuhan tinggi, inflasi rendah dan kadar pengangguran rendah. Kadar pertumbuhan KDNK Indonesia mencapai 5%-6% selama enam tahun berturut-turut. Indonesia merupakan anggota Kumpulan 20 dan juga negara membangun yang besar, ia sedang memberikan pengaruh yang kian besar di Asia bahkan dunia.

8. Yingluck Shinawatra Dipilih Perdana Menteri Wanita Pertama Thailand

Pilihan raya Dewan Rakyat Thailand diadakan pada 3 Julai 2011. Parti Pheu Thai yang dipimpin Yingluck Shinawatra mengalahkan Parti Demokrat yang dipimpin oleh Abhisit Vejjajiva dan menang dalam pilihan raya tersebut. Dalam persidangan Dewan Rakyat yang diadakan pada 5 Ogos, Yingluck dipilih sebagai Perdana Menteri wanita pertama dalam sejarah Thailand. Pada 8 Ogos, Yingluck menerima titah Raja Bhumibol Adulyadej dan secara rasmi memulakan perkhidmatan sebagai Perdana Menteri ke-28 Thailand.

9. Bencana Banjir Besar Melanda Thailand

Hujan lebat turun dengan tidak terhenti di Thailand sejak akhir Julai 2011. Bencana banjir dan banjir lumpur turut berlaku, yang mengakibatkan kematian dan kecederaan yang teruk. Penghasilan padi dan pelancongan Thailand turut terjejas teruk. Pada 15 November, Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra mengaku bahawa banjir di sebahagian bandar raya Bangkok mungkin tidak dapat susut menjelang akhir tahun ini.

10. Tunjuk Perasaan "Bersih" Diredakan Polis Malaysia

Pada 9 Julai 2011, anggota dan penyokong Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) mengadakan tunjuk perasaan di beberapa tempat di Kuala Lumpur, menggesa pembaharuan terhadap sistem pilihan raya yang sedia ada. Polis Malaysia mengambil tindakan yang berkesan dan berjaya mengelakkan situasi daripada memburuk. Pada 10 Julai, Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Najib Tun Razak mengumumkan tunjuk perasaan tersebut adalah haram. Walau bagaimanapun kerajaan telah meminda dan menyempurnakan undang-undang pilihan raya. Pilihan raya Malaysia bakal diadakan pada 2012. Pertubuhan Bersih pernah mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran pada 10 November 2007, secara tidak langsung mengakibatkan "gempa bumi politik" sewaktu pilihan raya umum berlangsung pada Mac 2008. Dalam pilihan raya umum itu, Barisan Nasional buat pertama kali kehilangan 2/3 kerusi dalam parlimen.

11. Pemimpin China-Filipina dan China-Vietnam Bincang Isu Laut China Selatan

Pada 30 Ogos dan 11 Oktober 2011, Presiden Filipina, Benigno Aquino III dan Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam, Nguyen Phu Trong masing-masing membuat lawatan ke China. Presiden China, Hu Jintao ketika berunding dengan Aquino menyatakan, China berpendirian teguh dalam isu Laut China Selatan, iaitu pertikaian berkenaan mesti diselesaikan oleh kedua-dua negara terlibat melalui rundingan secara damai. China bersedia bersama-sama negara-negara ASEAN termasuk Filipina, melaksanakan Deklarasi Tata Pengendalian Pihak-Pihak Berkaitan di Laut China Selatan. Aquino pula menyatakan, Filipina akan berusaha melaksanakan deklarasi tersebut. Isu Laut China Selatan bukan segalanya hubungan China-Filipina dan ia tidak akan mempengaruhi hubungan Filipina-China. Beliau berharap pertikaian berkenaan dapat diselesaikan secepat mungkin.

Hu Jintao dan Nguyen Phu Trong telah bertukar-tukar pandangan tentang isu laut. Nguyen Phu Trong menyatakan bahawa pihaknya bersedia berhubung dengan pemimpin China mengenai penyelesaian masalah laut. Beliau menegaskan bahawa isu ini tidak akan mempengaruhi hubungan kedua-dua parti, negara dan rakyat.

Sebelum itu, Menteri Luar China, Yang Jiechi dan Menteri-Menteri Luar ASEAN telah mencapai persetujuan tentang pelan tindakan susulan kepada Deklarasi Tata Pengendalian Pihak-Pihak Berkaitan di Laut China Selatan.

12. Tragedi Pembunuhan 13 Anak Kapal China

Pada 5 Oktober 2011, dua buah kapal kargo China dirompak di kawasan Tiga Segi Emas Sungai Mekong, 13 anak kapal China dibunuh dalam tragedi berkenaan. Menjaga keselamatan pelayaran di aliran Sungai Mekong merupakan tugas yang mendesak bagi negara-negara di kawasan aliran sungai berkenaan. Pada 31 Oktober, Persidangan Kerjasama Keselamatan Penguatkuasaan Aliran Sungai Mekong China, Laos, Myanmar dan Thailand diadakan di Beijing, serta mengeluarkan kenyataan bersama.

13. Pusat China-ASEAN Ditubuhkan

Majlis perasmian Pusat China-ASEAN diadakan di Bali, Indonesia pada 18 November 2011. Pusat China-ASEAN yang beribu pejabat di Beijing, merupakan sebuah pertubuhan antara kerajaan. Misinya menggalakkan kerjasama China-ASEAN dalam bidang perdagangan, pelaburan, pelancongan, pendidikan dan kebudayaan.

14. Rundingan TPP, Keutamaan Baharu Strategi AS

Pada 12 hingga 13 November 2011, Sidang Kemuncak Tidak Rasmi APEC diadakan di Hawaii, AS. Dalam tempoh sidang itu berlangsung, AS giat mendorong rundingan mengenai Perjanjian Hubungan Rakan Ekonomi Strategik Merentasi Pasifik (TPP). Setakat ini, sembilan buah negara termasuk AS, Singapura, Malaysia, Brunei, Vietnam, Australia, New Zealand, Chile dan Peru, telah menganggotai rundingan TPP. Pada 17 November, pemimpin-pemimpin ASEAN telah meluluskan Kerangka Hubungan Rakan Ekonomi Komprehensif Serantau dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-19. Matlamatnya kawasan perdagangan bebas yang merangkumi 10 negara ASEAN, China, Jepun, Korea Selatan, India, Australia dan New Zealand selepas tahun 2013.

15. Perluasan Sidang Kemuncak Asia Timur, ASEAN Tetap Berperanan Utama

Pada 19 November 2011, Sidang Kemuncak Asia Timur ke-6 diadakan di Bali, Indonesia. AS dan Rusia menghadiri sidang itu sebagai anggota. Justeru mekanisme Sidang Kemuncak Asia Timur diperluas daripada 10+6 kepada 10+8, iaitu 10 negara ASEAN, China, Jepun, Korea Selatan, India, Australia, New Zealand, AS dan Rusia. Rusia dan New Zealand telah menghantar Menteri Luar untuk menghadiri sidang kemuncak kali ini.

Hasil utama sidang kemuncak berkenaan, dua perisytiharan yang masing-masing mengenai prinsip saling menguntungkan dan kesalinghubungan dengan ASEAN. Sidang itu menegaskan peranan pimpinan ASEAN, kerjasama 10+1 dan 10+3 sebagai saluran kerjasama utama.

UNDIAN boleh dibuat di: http://malay.cri.cn/504/2011/11/17/Zt181s125987.htm

Sabtu, November 12, 2011

Pengaruh tarikh 11.11.11 dalam kehidupan manusia

KATA orang tarikh cantik senang hendak diingat. Benarkah itu saja yang dimaksudkan atau ada simbolik di sebalik pemilihan tarikh tersebut?

Tarikh lahir misalnya adalah sesuatu yang sudah ditentukan dari azali. Namun, bagi yang melahirkan anak secara pembedahan kadang kala berpeluang merancang dan memilih tarikh untuk melahirkan bayi mereka.

Untuk peristiwa bersejarah pula terutamanya hari pernikahan memang menjadi lumrah bagi sesetengah pasangan memilih satu tarikh yang menarik, bermakna serta mudah diingati semua.

Trend memilih tarikh yang cantik memang semakin popular apatah lagi apabila nombor yang dipilih berganda seperti 11.11.11 yang jatuh pada hari ini.

Selain mudah diingati, nombor tersebut juga tampak eksklusif pada pemiliknya dan seakan memberitahu kepada umum bahawa mereka adalah golongan yang sentiasa berada di hadapan atau nombor 1.

Pada kaum Cina pula, pemilihan nombor amat penting kerana mereka mempercayai ia berkait rapat dengan untung nasib seseorang.

Semua ini hanyalah kepercayaan sebuah budaya dan kaum sahaja. Kita hanya boleh menjadikan ia sekadar suka-suka dan tidak perlulah berlebih-lebih sehingga bertentangan dengan hukum syarak.

Ketibaan tarikh 11.11.11 tahun ini jatuh pada hari Jumaat, menjadi pilihan kebanyakan pasangan untuk disatukan.

Kenyataan tersebut diakui oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali.

Beliau memberitahu, statistik membuktikan peningkatan permohonan pernikahan pada tarikh tersebut.

Katanya, berdasarkan semakan rekod dalam sistem e-Munakahat milik Jawi, jumlah permohonan pernikahan bagi tarikh 11 November 2011 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah seperti berikut iaitu daerah Damansara sebanyak 20 permohonan , Kuala Lumpur (36), Setapak (42), Sungai Besi, (71), Kepong (40) dan Putrajaya ( 25).

Jumlah keseluruhan permohonan yang diterima ialah 234 permohonan sehingga 8 November 2011.

"Tarikh 10.10.2010 tahun lalu sebanyak 111 permohonan pernikahan diterima dan jumlah tersebut meningkat sebanyak 123 pasangan yang memohon untuk tarikh 11.11.11 ini," ujar beliau.

Bagi Jawi sendiri tiada masalah dalam memenuhi keperluan tersebut kerana selain juru nikah dalaman, mereka turut melantik juru nikah di peringkat kariah yang terdiri daripada imam masjid setempat.

Sementara itu, Penasihat Media Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Tuan Asmawi Tuan Umar berkata, trend pemilihan tarikh dari sudut pandangan Islam tiada salahnya, namun apa yang lebih penting ialah menjaga syariat sepanjang tempoh bertunang dan kerukunan rumah tangga selepas bernikah.

"Tiada masalah jika pilih nombor berganda untuk sekadar suka-suka, namun perlu ingat Islam tidak mengajar kita membazir.

"Keberkatan juga amat penting bagi mendapatkan rumah tangga yang sejahtera. Maka sebab itu saya ingin menasihatkan bakal pengantin agar menjaga tingkah laku dan adab sebelum bernikah agar perkahwinan yang dibina itu dirahmati Allah, nombor cantik itu semua bukanlah perkara utama," ujar beliau.

Berkongsi pengalaman dengan jurugambar perkahwinan terkenal tanah air, Fairuz Ismail dari Avicenna Studio turut mendapati tempahan untuk tarikh 11.11.11 ini telah diterimanya sejak dari tahun lepas lagi.

"Memang tidak dinafikan ramai pelanggan yang berminat untuk mendapatkan tarikh ini. Kebanyakannya untuk tujuan pernikahan kerana tarikh ini jatuh pada hari Jumaat.

"Saya melihat trend ini sebagai satu yang menarik dari segi mudah untuk mengingati dan cantik apabila dicatat di atas album, nombor cek hantaran RM11,111.11 dan sebagainya.

"Lebih kurang 11 bakal pengantin menempah tarikh tersebut namun syarikat fotografi saya hanya menerima tiga tempah. Tiga pengantin yang dipilih ini berdasarkan kualiti yang kami mahu berikan kepada mereka dan melihat juga kepada tahap keseriusan mereka untuk memilih tarikh tersebut.

"Tempahan terakhir ditutup sekurang-kurangnya lima bulan sebelum tarikh 11.11.11 itu sendiri.

"Ini supaya senang bagi pihak kami membuat perancangan teratur dan teliti bagi pasangan pengantin terpilih supaya semuanya berjalan dengan lancar dan memuaskan hati semua pihak," jelasnya.

Tambah Fairuz lagi, apa yang penting ialah bakal pengantin tersebut berjanji akan memelihara ikatan cinta mereka dan bukan sekadar berbangga pada pemilihan tarikh menarik.

"Saya sendiri memilih tarikh 8.8.2008 untuk melangsungkan perkahwinan kerana nombor itu menarik dan mudah diingati.

"Bagi saya sebagai lelaki pemilihan nombor bukanlah satu perkara utama, namun bagi wanita lebih mengutamakan perkara tersebut," ujar Fairuz.

Sementara itu, bakal disatukan di kediaman tingkat 11 di Putrajaya, dengan jumlah hantaran RM11,111, bakal pengantin baru, Nurul Ain Suhari, 26, dan pasangannya, Muhammad Farid Mazlan, 26, mengakui teruja dengan pemilihan tarikh tersebut.

"Kalau boleh saya mahu dinikahkan pada pukul 11 pagi tapi imam sibuk pula pada waktu tersebut," ujar Nurul Ain berseloroh.

Menurut Nurul Ain lagi, 11.11.11 yang kebetulannya jatuh pada hari Jumaat merupakan tarikh yang telah dia dan tunangnya pilih sejak dari tahun lepas lagi.

"Sebenarnya saya yang suka dengan nombor 11.11.11. Pemilihan tarikh itu bermakna kerana ia merupakan tarikh bersejarah dalam kehidupan saya, justeru saya memang mahukan satu tarikh istimewa untuk tujuan yang istimewa juga," ujar Nurul Ain yang bertunang pada Januari lalu.

Selain perkahwinan, terdapat banyak juga acara hebat yang akan berlangsung pada tarikh tersebut. Antaranya, satu acara larian merentas gurun Sahara bakal dicatatkan oleh Suwaibah Muhammad Nasir pada tarikh 11.11.11.

Bekas Anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ini sedang sibuk mempersiapkan diri bagi merealisasikan hasratnya menawan Gurun Sahara dengan membuat larian solo sejauh 1,111 kilometer merentas gurun tersebut yang akan bermula hari ini.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu pernah mewakili negara ke pertandingan mendaki Bangunan Empire States, New York dan meraih tempat ke-12 selain pernah berlari di Itali, Indonesia dan Singapura.

Beliau akan terus berlari bagi mengumpul dana membantu golongan kurang bernasib baik.

- UTUSAN

Jumaat, November 11, 2011

Kakitangan awam terlalu ramai?


AKHBAR Nanyang Siang Pau terbitan 8 November 2011 menyiarkan artikel mengenai hasrat DAP untuk mengurangkan jumlah penjawat awam sekiranya pihak pembangkang dipilih mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.

Artikel yang ditulis wartawan akhbar itu, Koh Kok Wei bertajuk ‘Kakitangan Awam Ramai Atau Tidak?’ disiarkan dalam ruangan Pendapat Yuanlun, halaman A14.

Isu bilangan kakitangan awam di negara kita sama ada perlu dikurangkan ataupun ditambah memang mencetuskan kontroversi yang tersendiri.

Bilangan penduduk negara ini sekarang ialah seramai 26 juta orang dengan jumlah kakitangan awam sebanyak 1.3 juta orang.

Ini bermakna nisbahnya, seorang kakitangan awam bagi setiap 20 penduduk. Memang benar angka itu agak tinggi dan ini belum dicampur pertambahan kakitangan awam baru setiap tahun.

Apabila berlaku kenaikan gaji dan pemberian bonus kepada mereka, kos amat tinggi perlu ditanggung oleh kerajaan. Itu yang menyebabkan orang ramai merasa marah dan menuduh pihak kerajaan membela terlalu ramai kakitangan awam.

Adakah benar bilangan kakitangan awam negara kita sudah terlalu ramai? Ramai orang yang membandingkan penduduk Taiwan sebanyak 23 juta orang dengan kakitangan awam mereka yang hanya 70,000 orang sahaja.

Sebenarnya apa yang dimaksudkan kakitangan awam di Taiwan tidak termasuk anggota tentera, petugas awam, polis, guru-guru dan pelatih tentera.

Di negara kita, bilangan guru sahaja sudah menjangkau 400,000 orang, ditambah pula dengan polis seramai 100,000 orang dan tentera 100,000. Bilangan itu adalah separuh daripada jumlah keseluruhan kakitangan awam.

Dikatakan apabila pihak pembangkang membentuk kerajaan, mereka akan kurangkan bilangan kakitangan awam negara ini. Mereka mahu kurangkan antara 20 hingga 30 peratus. Adakah ini bermakna pengurangan itu akan melibatkan anggota tentera, polis dan guru?

Untuk pengetahuan semua, apa yang dimaksudkan gelombang besar pasukan kakitangan awam ini, bukan sahaja termasuk kakitangan Kerajaan Pusat, malah ia juga meliputi kakitangan awam yang berada di peringkat kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

Bagaimanapun, kita akui memang kakitangan awam kita ramai dan ia menjadi organisasi yang menggelembung besar. Salah satu faktor ini berlaku kerana pertindihan jawatan dan fungsi antara kakitangan awam Kerajaan Pusat, kerajaan negeri dan PBT.

Apa yang dikemukakan pihak pembangkang bagi mengurangkan ‘bala tentera’ kakitangan awam itu, memang dialu-alukan oleh rakyat biasa yang tidak tahu apa-apa.

Sebaliknya bagi kakitangan awam itu sendiri, mereka tentu merasa kurang senang. Sebab itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan mudah membidas kembali pihak pembangkang.

Beliau berkata, jika mereka mahu kurangkan kakitangan awam selepas memerintah Kerajaan Pusat nanti, kenapa tidak kurangkan kakitangan awam di negeri-negeri yang mereka perintah sekarang ini terlebih dahulu.

Sebenarnya, menambah dan mengurangkan kakitangan awam tidak sepatutnya dijadikan bahan politik antara parti pembangkang dan parti pemerintah.

Daripada asyik bermain dengan angka, tumpuan utama yang sepatutnya diberi perhatian serius dengan segera adalah menyelesaikan pertindihan struktur serta fungsi kakitangan awam.

ANWAR JUMPA NGO CINA

AKHBAR Sin Chew Daily bertarikh 5 November 2011 menyiarkan laporan khas mengenai pertemuan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina yang telah berlangsung pada Selasa (8 November) lalu.

Laporan khas yang ditulis Er Pik Yeh bertajuk Suasana PRU Semakin Menebal disiarkan dalam ruangan Pelbagai Berita Dalam Negeri, halaman 24.

Bahang PRU Ke-13 sudah semakin hampir. Sehubungan itu, parti pembangkang dan pemerintah sedang bersaing untuk mengeratkan hubungan dengan NGO Cina dan meraih sokongan kaum itu.

Contohnya, Ketua Pembangkang yang juga Penasihat PKR telah menjemput 50 NGO Cina dan badan agama untuk menghadiri perjumpaan dengan beliau.

Ini supaya masyarakat Cina lebih memahami perjuangan PKR dan pendirian beliau terhadap isu-isu hangat yang telah tercetus termasuk berkaitan keagamaan dan undang-undang Islam.

Selain Anwar; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Presiden parti itu, Azmin Ali dan ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kaum Cina daripada PKR akan turut menghadiri pertemuan itu. Ini adalah pertemuan kali pertama Anwar dengan NGO Cina sejak menjadi Ketua Pembangkang.

Menurut Ahli Jawatankuasa Politik PKR yang juga bekas Timbalan Ketua Wanita MCA, Datin Paduka Dr. Tan Yee Kew, tujuan perjumpaan itu adalah supaya masyarakat Cina lebih faham tentang dasar perjuangan PKR.

Antaranya mengenai hakikat PKR bukan parti Melayu dan ia mempunyai pandangan tersendiri berkaitan pelbagai isu negara termasuk berhubung pelaksanaan undang-undang Islam.

Beliau berkata, pada masa ini ramai orang tersalah anggap bahawa PKR adalah sebuah parti Melayu. Sebenarnya ia adalah sebuah parti untuk semua kaum dan ini terbukti apabila satu pertiga ahli Parlimen dan ADUN PKR adalah kaum Cina.

‘‘Pertemuan ini adalah rentetan daripada kunjungan Anwar ke Timur Tengah, Amerika Syarikat dan Britian baru-baru ini untuk memahami cara negara-negara terbabit berpolitik dan mentadbir negara.

‘‘Anwar berharap melalui perjumpaan ini, NGO Cina akan dapat memahami pandangan beliau, contohnya hala tuju PKR pada masa akan datang dan perkembangan ekonomi negara. Beliau juga bersikap terbuka untuk membincangkan isu keagamaan supaya rakyat dapat hidup bersama dengan tenang dan aman,’’ katanya.

Yee Kew berkata, Anwar akan mengemukakan pandangan PKR bahawa yang menjadi teras Perlembagaan adalah undang-undang biasa dan bukannya undang-undang Islam.

Sebab itu, hukum hudud tidak akan dilaksanakan. Jaminan itu akan dapat menghilangkan kerisauan masyarakat Cina berhubung cadangan pelaksanaan undang-undang Islam terbabit.

‘‘Kami berharap setiap pertubuhan menghantar tiga wakil. Golongan muda seperti daripada kalangan pertubuhan Kristian digalakkan menghantar empat atau lima orang wakil. PKR sendiri akan menghantar lebih 30 wakil. Jemputan keseluruhan adalah seramai 150 orang,’’ kata Yee Kew.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Persekutuan Pertubuhan-Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong), Tan Yew Sin berkata, pihaknya akan menghantar beberapa pimpinan atasan untuk menghadiri perjumpaan itu.

Beliau berkata, Hua Zong akan mengemukakan beberapa soalan terutama sekali tentang kepentingan masyarakat Cina serta isu keagamaan seperti pelaksanaan hukum hudud.

‘‘Kami mahu tahu daripada mulut Anwar sendiri mengenai pendirian beliau terhadap pelaksanaan hukum hudud dan hasrat Pas untuk mewujudkan negara Islam.

‘‘Isu lain membabitkan pengharaman penjualan arak di Selangor dan larangan pembukaan kelab-kelab hiburan di Kedah sepanjang Ramadan,’’ kata Yew Sin.

Apabila ditanya adakah Presiden Hua Zong, Tan Sri Pheng Yin Huah diundang sama dalam perjumpaan itu, Yew Sin berkata, setakat ini beliau masih belum mendapat sebarang maklumat.

Bagaimanapun, katanya, pada waktu itu mungkin Yin Huah sedang menjalankan tugas di luar negara.

- UTUSAN

Jumaat, November 04, 2011

Keyakinan pengguna susut - Tinjauan

Keyakinan pengguna di Malaysia mengalami penurunan sukuan terbesar pada suku ketiga 2011, sejak suku ketiga 2008, susut sembilan mata kepada indeks 101.

Menurut kajian keyakinan pengguna secara dalam talian global terkini oleh Nielsen, penurunan keyakinan pengguna Malaysia itu berpunca daripada data ekonomi pada suku itu yang tidak memberangsangkan.

“Ini termasuk pertumbuhan perlahan dalam keluaran perkilangan negara, yang menunjukkan permintaan global yang lemah.

“Pakar ekonomi juga berjaya menurunkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK).

“Faktor luaran seperti masalah ekonomi yang berterusan di Amerika Syarikat dan Eropah, turut menambah kebimbangan pelabur dalam ekonomi yang bergantung kepada eksport ini,” kata Pengarah Urusan Nielsen Malaysia, Kow Kuan Hua dalam satu kenyataan.

Kow berkata, selepas peningkatan keyakinan dalam beberapa suku, pengguna kini mula bimbang terhadap prospek pekerjaan, jaminan pekerjaan dan tekanan inflasi.

Kajian keyakinan pengguna secara dalam talian Nielsen Global dimulakan pada 2005 itu, menjejak keyakinan pengguna, kebimbangan utama, dan cadangan perbelanjaan dalam kalangan lebih 28,000 pengguna Internet di 56 negara.

Meskipun tahap keyakinan turun sembilan mata, Malaysia mencatat skor keyakinan pengguna kesepuluh tertinggi (bersama Norway) dalam kalangan 56 negara yang terlibat dalam kajian itu.

“Hampir separuh (49 peratus) pengguna berpendapat negara kini mengalami kemelesetan ekonomi,” kata Kow.

- SINAR HARIAN

Recent Posts