Khamis, Mei 03, 2012

Gaji minimum: Perjuangan yang sudah selesai?

RAMAI yang tersenyum lebar apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi " hadiah" Hari Pekerja tahun ini dengan mengumumkan kadar gaji minimum kebangsaan bagi sektor swasta iaitu sebanyak RM900 di Semenanjung dan RM800 di Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, dasar terbaharu ini tidak melibatkan sektor domestik seperti tukang kebun dan orang gaji.

Ini bermakna perjuangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) selama 15 tahun telah membuahkan hasil walaupun pada hakikatnya mereka memperjuangkan kadar gaji minimum kebangsaan adalah RM1,200.

Dengan pengumuman ini, pasti golongan pekerja sektor swasta boleh menarik nafas lega kerana telah mempunyai "duit lebih" untuk berdepan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini.

Malah ia juga dilihat sebagai satu jaminan tidak akan ada lagi pekerja di sektor itu menerima kadar gaji di bawah paras kemiskinan kebangsaan.

Di Malaysia, gaji pekerja sektor swasta masih di tahap yang sangat rendah di mana Kajian Guna Tenaga Kebangsaan (NER) oleh Kementerian Sumber Manusia pada 2009 mendapati 33.8 peratus pekerja bergaji di bawah paras kemiskinan kebangsaan iaitu RM800 sebulan pada masa ini.

Namun, perlu diingat bahawa kerajaan tidak akan melakukan perubahan ini dengan sia-sia. Pengumuman ini pastinya hadir bersama harapan besar untuk melihat golongan pekerja di negara ini turut meningkatkan produktiviti dan kualiti.

Produktiviti dan kualiti merupakan kata kunci bagi memastikan hasrat untuk melihat Malaysia berubah kepada sebuah negara berpendapatan tinggi serta berstatus negara maju berjaya dicapai.

Pelaksanaan dasar ini juga seharusnya menjadi penyuntik semangat kepada warga pekerja sektor swasta untuk berusaha dengan lebih gigih dan komited.

Walaupun ada segelintir pihak yang masih tidak berpuas hati mengenai kadar tersebut dan ramai juga yang mendesak mahukan gaji minimum kebangsaan ditetapkan pada RM1,200, terdapat rasional kenapa ia tidak boleh dilaksanakan, sekurang-kurangnya pada waktu sekarang.

Pengenalan kepada gaji minimum atau kenaikan gaji pada kadar apa sekalipun sudah pastinya akan menyebabkan lonjakan harga barangan seterusnya mendorong kepada tekanan inflasi.

Walau apa pun alasan yang bakal digunakan peniaga, sama ada kos semakin meningkat, harga bahan mentah semakin mahal di pasaran atau sebagainya, ia pasti memeritkan pengguna dan menyebabkan kuasa beli merosot. Sudah tentu ia bukan satu faktor positif kepada ekonomi.

Gaji minimum juga dikhuatiri boleh menyebabkan perniagaan-perniagaan kecil seperti industri kecil dan sederhana (IKS) dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengalami masalah dari segi kos overhed malah mungkin mengakibatkan syarikat-syarikat ini terpaksa gulung tikar.

Persatuan IKS Malaysia semasa satu sidang akhbar sebelum ini pernah memberitahu, sekiranya dasar gaji minimum kebangsaan dilaksanakan, ia bakal memberi kesan yang sangat besar kepada kos pengilangan kerana syarikat-syarikat tersebut amat bergantung kepada tenaga buruh.

Malah dengan margin keuntungan bersih sekitar tiga hingga lima peratus sahaja, ia dilihat mampu membunuh syarikat-syarikat tersebut dan menyebabkan kadar pengangguran di negara ini meningkat.

Ini dapat dilihat di Thailand apabila kerajaan menaikkan kadar gaji minimum harian sebanyak 40 peratus pada 1 April lalu, dijangka 100,000 PKS akan ditutup selepas enam bulan pelaksanaannya.

Syarikat-syarikat itu tidak mampu untuk terus menanggung kos overhed yang lebih tinggi berbanding keuntungan.

Namun apa yang diharapkan ia tidak berlaku di Malaysia di mana pelaksanaan gaji minimum seharusnya mewujudkan situasi menang-menang kepada semua pihak; pekerja dan syarikat seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara yang lebih positif.

Mungkin tempoh enam bulan "grace period" selepas ia diwartakan bakal memberi tempoh yang mencukupi untuk majikan terutamanya yang terdiri daripada usahawan IKS dan PKS untuk bersedia.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.