Selasa, April 03, 2012

NKEA tunjuk perkembangan membanggakan

Sepanjang 2011, Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) menunjukkan perkembangan membanggakan dengan projek-projek dirancang sedang dilaksanakan mengikut jadual.

Bagi projek untuk meletakkan Kuala Lumpur dan Lembah Klang di antara 20 bandar raya dunia yang mempunyai pertumbuhan ekonomi dan gaya hidup hebat pada 2020, ia berjaya menarik syarikat-syarikat multinasional dan bakat-bakat tempatan yang diusahakan oleh dua agensi berikut iaitu, Talent Corp. dan InvestKL.

Setakat ini, syarikat-syarikat multinasional yang telah menubuhkan operasi ataupun menyatakan komitmen pelaburan mereka adalah Sclumberger, PayPal, IBM dan Toshiba.

Sehingga Disember 2011, seramai 680 rakyat Malaysia yang berkhidmat di luar negara telah kembali ke negara ini di bawah Program Membawa Balik Pakar sementara 482 permohonan Pas Penduduk telah diterima.

"Program tersebut diperkenalkan bertujuan menarik balik pakar-pakar tempatan di luar negara serta juga mengekalkan bakat-bakat asing yang tinggal di negara ini," kata Laporan Tahunan 2011 - Program Transformasi Ekonomi yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.

Selain itu, laporan itu menyatakan, usaha-usaha meningkatkan kemudahan awam di bandar raya Kuala Lumpur diteruskan dengan memperkenalkan satu lagi projek pengangkutan awam mega.

Projek itu iaitu Klang Valley MyRapid Transit (KVMRT) dijalankan bagi menggalakkan penduduk di Lembah Klang menggunakan kemudahan awam dan seterusnya mengurangkan masalah kesesakan di dalam bandar raya.

Pembinaan laluan pertama, Sungai Buloh-Kajang telah bermula Julai lalu dan perkhidmatan MRT pertama negara ini itu dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2017.

Satu sektor lain yang dikenal pasti NKEA adalah minyak, gas dan tenaga yang mana kerajaan menyasarkan pertumbuhan sebanyak lima peratus setahun bermula pada 2010 sehingga 2020.

Bagi mencapai matlamat tersebut, kerajaan memberi fokus kepada empat teras iaitu mengekalkan pengeluaran minyak dan gas, meningkatkan pertumbuhan hiliran, menjadikan Malaysia sebagai hab Asia bagi perkhidmatan lapangan minyak serta membangunkan platform tenaga untuk pertumbuhan.

Kerajaan juga telah mengenal pasti perkhidmatan kewangan sebagai satu faktor penting dan perlu dilakukan transformasi bagi memenuhi kehendak perniagaan dan pelanggan dalam ekonomi berpendapatan tinggi pada 2020.

Menerusi 10 Projek Permulaan (EPP) dengan 49 inisiatif, sektor kewangan diramalkan menyumbang RM121.5 bilion dalam pendapatan kasar negara (PNK) serta mencipta 45,000 peluang pekerjaan.

Pada 2011, Perdana Menteri telah melancarkan satu perancangan penting dalam sektor itu iaitu Pelan Induk Sektor Kewangan yang melakar hala tuju kepada sistem kewangan bagi tempoh beberapa dekad.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts