Memaparkan catatan dengan label Hadi Awang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hadi Awang. Papar semua catatan

Sabtu, Ogos 07, 2010

Hak Bumiputera perlu kekal, kata presiden PAS


Hak dan keistimewaan Bumiputera khususnya orang Melayu yang merupakan penduduk majoriti di negara ini perlu dikekalkan, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurut beliau realiti pada masa ini ialah golongan Bumiputera majoritinya masih miskin dan mereka sememangnya berhak mendapat hak dan keistimewaan yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"(Beri) kepada siapa yang berhak, majoritinya adalah Bumiputera yang miskin, yang bukan Bumiputera tidak seramai Bumiputera," katanya selepas melancarkan buku karyanya bertajuk Taktik dan Strategi Berpolitik Gaya Khulafa Ar-Rasyidin, sempena Jubli Perak Maahad Darul Al-Quran di Rusila, Marang hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua daripada DAP, agar kerajaan memansuhkan dasar pemberian diskaun kepada bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial dan mewah di Selangor.

Abdul Hadi berkata bahawa kaum lain yang miskin juga wajib mendapat pembelaan sewajarnya daripada kerajaan.

Katanya tindakan Tony itu belum dibincangkan di peringkat kepimpinan parti pakatan pembangkang yang dianggotai PAS, DAP dan PKR.

Beliau turut menganggap kenyataan Tony lebih bersifat peribadi.

- Bernama

Selasa, Mac 30, 2010

Nik Aziz kekal mursyidul am PAS lima tahun lagi


Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini dilantik semula sebagai mursidul am PAS untuk sesi 2010-15.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat kedua majlis syura ulamanya di pejabat agung PAS,di Kuala Lumpur pada 29 Mac 2010.

Pelantikan itu sekali gus menutup ruang spekulasi berhubung kedudukan tokoh popular PAS itu yang melanda sejak minggu lalu apabila kedudukannya bergantung kepada sokongan 16 lagi anggota majlis tersebut.

Spekulasi tercetus minggu lalu apabila majlis syura ulamanya tidak membuat sebarang pelantikan terhadap pengerusi dan timbalannya, sebaliknya hanya melantik lima anggota tambahan.

Majlis tersebut mempunyai 17 anggota - masing-masing empat wakil daripada jawatankuasa pusat dan dewan ulama, dua orang daripada dewan Pemuda dan Muslimat serta empat lagi anggota tambahan.

Sementara itu, dalam mesyuarat hari ini juga, Datuk Dr Haron Din turut dilantik semula sebagai timbalan mursyidul am bagi membantu tugas-tugas Nik Aziz sebagai pengerusi majlis tertinggi dalam parti.

Hormati keputusan, Nik Aziz terima

Turut dilantik sebagai anggota tambahan: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Razak, Pesuruhjaya PAS Perlis Hashim Jasin dan bekas timbalan presiden Hassan Syukri.

Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang ketika ditemui pemberita di parlimen mengesahkan pelantikan Nik Aziz dan Dr Haron selama lima tahun.

Tambahnya, Nik Abdul Aziz sebelum ini yang menyatakan kegembiraan sekiranya tidak dilantik semula, bertindak demikian dengan "moral yang tinggi."

Ditanya mengenai pertimbangan anggota majlis berkenaan terhadap tahap kesihatan Nik Abdul Aziz, Abdul Hadi berkata menteri besar Kelantan itu dilihat masih mampu menjalankan tugas-tugasnya.

Sementara itu, walaupun membayangkan enggan dilantik semula sebagai pemimpin nombor satu dalam PAS, Nik Aziz hari ini dijangka mengumumkan kesediaannya memikul semula tanggungjawab dengan segera.

Menurut setiausaha politiknya Wan Nik Wan Yussof, satu kenyataan akhbar berhubung perkara itu akan dikeluarkan lewat petang ini.

“Beliau terima. Tetapi (bertugas) macam dulu juga, kalau sakit tidak dapatlah hadir ke mesyuarat,” katanya kepada Malaysiakini tengah hari ini.

“Penerimaan tersebut dibuat bagi menghormati keputusan majlis syura ulama. Berdasarkan pengalamannya juga, beliau wajar dilantik semula.”

- MALAYSIAKINI

Sabtu, Januari 09, 2010

Nik Aziz: Perbuatan bakar gereja berdosa

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata tindakan cuba membakar empat buah gereja di sekitar Lembah Klang semalam adalah perbuatan berdosa dan akan menerima balasan di akhirat nanti.

"Jadi tiap-tiap orang nak bakar gereja...dia kena reti, gereja ini harta kawan kita orang Kristian... bila kita bakar kita telah melukakan hati dia, berdosa kita di akhirat kelak," katanya.

Nik Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan, berkata demikian kepada pemberita selepas menutup majlis Taklimat Isu-Isu Penerangan PAS Pusat di Shah Alam hari ini.

Katanya perbuatan membakar gereja di sebalik kehangatan bantahan isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain boleh terjadi apabila segelintir rakyat kehilangan sensitiviti dan kesucian agama dalam diri masing-masing.

Katanya apabila orang tidak mempunyai nilai sensitiviti agama maka perbuatan membakar gereja tidak menjadi masalah kepada pelakunya kerana mereka tidak mengenal soal dosa atau pahala.

Hadi kutuk perbuatan bakar gereja

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan pihak tidak bertanggungjawab menyerang tiga buah gereja di Lembah Klang semalam.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas meninjau kerosakan bangunan gereja Metro Tabernacle di Wangsa Maju hari ini.

Malah, kata Abdul Hadi, sewaktu perang pun umat Islam dilarang memusnahkan tempat ibadat, "apatah lagi ketika kita hidup dalam aman".

Beliau ditemani timbalan presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa. Mereka adalah antara pemimpin Pakatan Rakyat yang melawat bangunan gereja tersebut.

Dalam kejadian tengah malam semalam, pejabat pentadbiran di tingkat bawah bangunan gereja tersebut hangus terbakar.

Kerosakan tersebut sangat teruk sehingga mengakibatkan keseluruhan bangunan tersebut sudah tidak boleh digunakan lagi.

- MALAYSIAKINI

Ahad, Disember 20, 2009

Dasar bersama Pakatan Rakyat sasar Putrajaya


Pakatan Rakyat mempertingkatkan usahanya untuk menguasai Putrajaya dengan mengumumkan dasar bersama Pakatan yang menjanjikan pembaharuan segera dan kesaksamaan.

Sebagai respons kepada musuh politiknya, Barisan Nasional, dasar bersama itu berjanji untuk mengurangkan dasar-dasar yang berasaskan kaum dan menggubal akta hubungan kaum dan akta peluang saksama serta dasar-dasar lain yang berasaskan merit seperti pemberian biasiswa kerajaan.

Ia turut menjanjikan layanan istimewa kepada Sabah dan Sarawak - di mana pengaruh Pakatan tidak kuat - dengan menjanjikan akses kepada royalti minyak serta berjanji untuk menyelesaikan masalah-masalah yang sudah lama berlanjutan.

Pakatan juga berjanji untuk menubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyelesaikan isu-isu membabitkan isu pendatang haram, yang didakwanya tidak diberi perhatian oleh kerajaan pusat.


Sokongan kuat dari dua negeri Malaysia Timur itu amat penting dalam usaha Pakatan untuk menguasai Putrajaya dalam pilihanraya umum kerana satu perempat jumlah kerusi parlimen adalah dari sana.

Pakatan juga berjanji untuk menangani isu-isu agama yang selama ini telah menimbulkan pergeseran antara parti Islam PAS dan parti sekular DAP.

Di samping itu, Pakatan juga berjanji untuk mewujudkan satu mekanisme yang komprehensif untuk menangani kes-kes di mana berlaku bertindihan antara undang-undang sivil dan Syariah.

Untuk tujuan itu, sebuah suruhanjaya diraja akan ditubuhkan untuk mengkaji secara mendalam isu-isu yang berkaitan dengannya.

Agihan ekonomi negeri

Di peringkat institusi pula, Pakatan berjanji untuk memastikan kebebasan dan ketelusan sepenuhnya Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman bagi memulihkan keyakinan rakyat terhasdap sistem kehakiman.


Pembaharuan lain yang dijanjikan termasuk menjadikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Petronas dan institusi-institusi kerajaan yang lain dipertanggungjawabkan terus kepada Parlimen.

Ini termasuk mendapatkan kelulusan Parlimen bagi pelantikan jawatan penting kerajaan seperti ketua polis negara, peguam negara, pesuruhjaya SPRM dan ketua audit negara.

Mengenai ekonomi, Pakatan bercadang mendesentralisasikan pengurusan ekonomi negara bagi meningkatkan kecekapan, produktiviti dan taburan pembangunan yang seimbang.

Cadangan ini termasuk pengagihan kuasa pentadbiran dan ekonomi dan pelaksanaan kerja-kerja infrastruktur kepada kerajaan negeri.Dasar Pakatan Rakyat itu merangkumi empat perkara, iaitu demokrasi telus dan tulen; memacu ekonomi berprestasi tinggi, mampan dan adil; keadilan sosial dan pembangunan insan; dan hubungan persekutuan-negeri dan dasr luar negara.

- MALAYSIAKINI

Khamis, Oktober 29, 2009

PAS adakan seminar ganti muktamar khas

PAS akan mengadakan satu seminar khas bagi membincangkan halatuju parti itu bagi menggantikann muktamar khas yang dicadangkan oleh Mursyidul Amnya.

Seminar yang bakal disertai oleh lebih 1000 perwakilan dari seluruh negara itu akan diadakan 7 Disember ini di Dewan Datuk Fadzil Noor, Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar, Kuala Lumpur.

Antara yang akan dijemput memberikan pandangan nanti adalah Profesor Dr Abdul Aziz Bari.

Demikian beritahu Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam sidang medianya jam 1.00 pagi tadi.

Sidang media itu diadakan selepas mesyuarat khas Jawatankuasa Pusat yang diadakan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.

Selain itu, mesyuarat khas itu juga mengambil ketetapan agar Lembaga Disiplin PAS yang dipimpin oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyiasat semua dakwaan terhadap PAS Selangor.

Lembaga ini akan mencadangkan tindakan disiplin kepada mana-mana pihak yang didapati bersalah melanggar disiplin parti.

Dalam sidang media itu juga, Abdul Hadi memaklumkan, isu Kerajaan Perpaduan ditutup sepenuhnya dan tidak akan berbangkit lagi.

Turut serta dalam sidang media selepas mesyuarat berjalan mulai jam 9.00 malam hingga 1.00 pagi itu adalah Naib Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahudin Ayub, Mahfuz Omar dan Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali serta Ketua Pemuda, Nasrudin Hassan Tantawi.

- HARAKAH

Isnin, Julai 13, 2009

Parti tidak tentukan kedudukan akidah - Haji Hadi

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mengaku parti itu tidak boleh menentukan kedudukan akidah mana-mana pihak termasuk Umno, walaupun sesetengah pemimpinnya menganggap lawan mereka itu sebagai tidak Islam.

"Kita tidak boleh menentukan akidah seseorang, yang penting sikap dan tindakan mereka mestilah bersifat Islam. Kita adalah satu bangsa dan satu agama.

"Kita berharap saudara kita daripada Umno kembali ke pangkal jalan. Kita mestilah melaksanakan Islam seperti diperintahkan dalam al-Quran dan hadis," katanya kepada media selepas berceramah di Cuchoh Puteri A, malam kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cabaran BN terhadap Pas supaya pemimpin parti itu membuktikan di mana tidak Islamnya Umno berbanding Pas ekoran sikap pemimpin Pas sering menuduh Umno sebagai tidak Islam.

Berikutan itu, Abdul Hadi berkata, Pas akan sentiasa membuka pintu untuk berbincang dengan Umno selaras tuntutan Islam dan hadis.

"Walaupun mempunyai kerjasama dan ikatan dalam Pakatan Rakyat, Pas dibenarkan untuk berbincang dengan semua pihak, termasuk Umno. Berikutan itu, kita mahu ruang ini dibuka dan pada masa sama, media memberi laporan adil serta ikut sama menjelaskan Islam itu sendiri daripada perspektif kami," katanya.

- BERITA HARIAN

Ahad, Julai 12, 2009

Pas tidak tutup pintu - Haji Hadi

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan Pas tidak akan menutup pintu bagi berbincang dengan UMNO dan pihak-pihak lain mengenai Islam.

Katanya, walaupun pakatan pembangkang berusaha mengukuhkan hubungan kerjasama mereka, namun perbincangan mengenainya dengan semua pihak termasuk UMNO selaku parti yang menerajui pemerintahan perlu terus dibuka.

Beliau berkata, perbincangan mengenai Islam haruslah berlandaskan tuntutan sebenar ajaran al-Quran dan hadis.

''Kita adalah satu bangsa satu agama tapi mestilah kita melaksanakan Islam dan sebab itu kita membuka pintu untuk berbincang dengan UMNO mengenai Islam berdasarkan al-Quran dan hadis.

''Supaya mana yang diucapkan dalam pakatan untuk mengukuhkan pakatan, dalam masa yang sama dibenarkan kita berbincang dengan semua pihak termasuk dengan UMNO dan kita mahu ruang ini dibuka,'' katanya kepada pemberita selepas memberikan ceramah di Kampung Chuchoh Puteri A di sini malam tadi.

Abdul Hadi diminta mengulas mengenai cabaran Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya Pas membuktikan kenyataan mereka yang mengatakan UMNO menolak syiar Islam.

Rabu lalu sewaktu berceramah di kubu kuat Pas itu, Muhyiddin menegaskan bahawa UMNO yang ditubuhkan pada 11 Mei 1946 terlebih dahulu memperjuangkan syiar Islam daripada Pas dengan memperjuangkan kemerdekaan negara yang juga tuntutan fardu kifayah.

Fasal 3 Perlembagaan UMNO menyebut mengenai asas dan tujuan penubuhan UMNO yang antara lain menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebangsaan beragama.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz hari ini dilaporkan tidak berminat menjawab cabaran itu.

Abdul Hadi berkata, Pas menyambut baik untuk berbincang dengan semua pihak walaupun pada masa yang sama terikat dengan kerjasama yang ada dalam pakatan pembangkang.

''Pas menyambut untuk berbincang dengan semua pihak, pada masa yang sama kita ada rumah kita sendiri yang kita perlu ikut dengan landasan kita.

''Dalam masa yang sama kita perlu menyampaikan mesej kita kepada semua pihak dan untuk penyampaian mesej ini mestilah kita bersikap terbuka kepada semua pihak,'' ujarnya.

- MINGGUAN MALAYSIA

Selasa, Julai 07, 2009

PAS masih sedia temui Umno - Hadi

PAS masih bersedia berbincang dengan Umno dalam hal politik dan ekonomi demi kebaikan negara, tetapi ia mahu berhati-hati sebelum berbuat demikian, lapor Bernama.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS akan menimbang terlebih dahulu perkara yang akan dibincang bagi mengelak pertemuan itu memberi kesan negatif kepada parti berkenaan dan sekutunya dalam Pakatan Rakyat.

Abdul Hadi mengulas pelawaan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, yang juga ketua Wanita Umno, untuk berbincang dengan Muslimat PAS.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas berceramah pada pilihanraya kecil DUN Manek Urai di Kampung Sungai Sok malam
tadi.

Abdul Hadi sebelum ini menimbulkan polemik dalam PAS apabila menyuarakan hasrat membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno tetapi cadangan itu dibantah Mursyidul Amnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ditolak oleh Pakatan Rakyat.

Walaupun ada cadangan untuk berdebat oleh Nik Abdul Aziz dan wacana ilmiah oleh Dewan Pemuda PAS, sehingga hari ini belum ada pertemuan antara pemimpin Umno dan PAS diadakan ke arah itu.

- MALAYSIAKINI

Jumaat, Julai 03, 2009

Haji Hadi restu wacana

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata keputusan Dewan Pemuda parti itu menjemput Pemuda Umno untuk mengadakan wacana ilmiah berhubung isu semasa tidak bercanggah dengan pendirian Pas.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang, berkata Pas membenarkan perbincangan secara ilmiah diadakan dengan mana-mana pihak, termasuk Umno bagi menyelesaikan masalah yang ada.

"Ia sesuatu yang baik dan tidak bercanggah dengan pendirian parti," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, semalam.

Kelmarin, Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan, menyerahkan surat jemputan wacana itu kepada Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim dan pelawaan itu disambut baik pergerakan berkenaan.

Tindakan Dewan Pemuda Pas itu bagaimanapun dibantah Ketua Pemuda Sosialis DAP, Anthony Loke, kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan penyokong pembangkang.

Abdul Hadi berkata, Pas tetap mahu mengukuhkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat, tetapi dalam masa yang sama membenarkan perbincangan diadakan dengan mana-mana pihak termasuk Umno dan Barisan Nasional (BN).

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub, pula berkata Pakatan Rakyat sentiasa sedia untuk membincangkan isu membabitkan kepentingan negara, termasuk pemulihan ekonomi, pendidikan dan sosial pada bila-bila masa saja.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagaimanapun menyerahkan kepada kepemimpinan tertinggi Pas berhubung perkara itu.

"Saya mendapat tafsiran dan penjelasan yang berbeza terhadap perkara itu. Terserah kepada mereka sama ada mahu meneruskan perbincangan itu dengan tajuk yang difikirkan sesuai," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zulkifli Nordin, berkata perbincangan atau wacana ilmiah antara Pemuda Pas dan Umno itu adalah langkah baik bagi kepentingan bangsa dan agama.

"Wacana ini sekurang-kurangnya dapat menyelesaikan masalah umat Islam," katanya.

Mengenai bantahan Pemuda Sosialis DAP terhadap perbincangan itu, Zulkifli berkata, pendirian DAP itu memang dijangka kerana parti berkenaan bersifat sekular.

"Mereka (DAP) tidak boleh melihat orang Melayu beragama Islam duduk semeja kerana ia tidak membawa sebarang kebaikan kepada mereka. Perkara itu tidak menggembirakan mereka," katanya.

- BERITA HARIAN

Selasa, Jun 30, 2009

Hadi tak tahu Nik Aziz mahu debat dengan PM

Presiden Pas tidak tahu menahu cadangan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk mengadakan debat terbuka dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi menyelesaikan kekalutan politik antara parti itu dengan Umno.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau hanya tahu mengenai cadangan untuk berdebat itu melalui laporan media.

"Saya belum mendapat apa-apa maklumat daripada tok guru (Nik Aziz), cuma tahu daripada akhbar saja... saya tidak dapat kenyataan penuh. Jadi, saya akan jumpa tok guru untuk mendapatkan maklumat lanjut," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, di sini, semalam.

Beliau mengulas pelawaan Menteri Besar Kelantan kepada Najib supaya berdebat secara terbuka bagi menyelesaikan kekalutan politik antara kedua-dua parti yang berlarutan.

Sementara itu, Zulkifli Noordin (PKR-Kulim Bandar Baharu) tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana debat secara terbuka tidak akan membawa kebaikan kepada mana-mana pihak.

"Tujuan debat itu untuk apa? Kalau nak cari populariti berdebatlah. Tapi kalau nak selesai masalah, dialoglah," katanya.

Sebaliknya, beliau mencadangkan kedua-dua pihak menggunakan pentas lebih sesuai iaitu berbincang mencari kesepakatan Islam dan Melayu menerusi dialog tertutup.

"Saya lebih suka diadakan dialog tertutup dan berbincang dalam bentuk kumpulan. Kita akan tahu apa yang menjadi masalah sehingga menimbulkan keadaan tidak senang hati antara kita semua," katanya.

Zulkifli berkata, dialog itu juga perlu dihadiri seorang pengendali yang berpengalaman dalam agama dan ummah bagi memastikan kelancaran.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayob pula mengakui idea Nik Abdul Aziz itu tidak dibincangkan pada peringkat Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, sebaliknya atas kedudukannya sebagai Menteri Besar Kelantan.

Bagaimanapun, beliau menyokong debat terbuka antara Pas dan Umno.

Ditanya kemungkinan cadangan debat mendapat tentangan pemimpin Pakatan Rakyat seperti isu kerajaan perpaduan sebelum ini, beliau berkata, kedua-dua isu itu dua perkara berbeza.

Sementara itu, di KOTA BHARU, Nik Abdul Aziz berkata beliau tetap akan menghantar surat kepada Najib untuk mengajaknya berdebat walaupun pelbagai pihak membantah hasratnya itu.

Sambil melahirkan rasa kecewa, beliau berkata, tindakan Umno itu tidak betul kerana belum sempat surat dikirim, keputusan menolak sudah dibuat.

"Laporan akhbar hari ini, nampaknya semua sebut tidak mahu debat. Saya dukacita kerana debat ini cara paling baik dalam Islam dan demokrasi," katanya kepada pemberita di pejabatnya, di Kota Darulnaim, di sini, semalam.

- BERITA HARIAN

Jumaat, Jun 19, 2009

Manek Urai tanpa poster Haji Hadi?


Berbeza dengan pilihanraya kecil lain, DUN Manek Urai menyaksikan kelainannya apabila poster Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak akan dinaikkan sebagai strategi kempen.

Jentera pilihanraya PAS Kelantan berhasrat menonjolkan poster calon bersama Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang juga menteri besar sebagai sebahagian strategi "melokalisasi" kempen tersebut.

"Ia bertujuan melokalisasi (strategi) kempen pilihanraya kecil ini. Ini lawan kepada (pendekatan) Umno yang kita tahu akan cuba menasionalkannya.

"Ini pilihanraya tempatan (negeri),” kata Timbalan Pengarah Pilihanraya PAS negeri, Nasir Daud kepada Malaysiakini hari ini.

Ketiadaan poster Abdul Hadi - yang selalunya dinaikkan bersama Nik Aziz - menimbulkan spekulasi bahawa dua tokoh atasan PAS ini tidak lagi sealiran, khususnya dalam isu kerajaan perpaduan.

Bagaimanapun PAS Kelantan menafikan tindakan tersebut ada kaitan dengan isu kerajaan perpaduan - yang hangat diperkatakan dan memberi gambaran dua tokoh sedang bergeser.

“Ia tidak ada kaitan langsung dengan isu kerajaan perpaduan. Ini (hal) pilihanraya kecil,” kata Nasir sambil menyifatkan perkara itu sebagai “geder” atau khabar angin.

Lawat kawasan

Bagaimanapun, tambahnya, poster-poster belum lagi dicetak.

"Yang sudah ada sikit-sikit itu (dibuat) sendiri-sendiri," kata Nasir, yang juga penduduk tempatan Kuala Krai - tidak berapa jauh dari Manek Urai.

Ditanya sama ada tindakan tidak mencetak poster presiden itu akan membuatkan Abdul Hadi berkecil hati, Nasir hanya menjawab: "Tidak apa".

Sementara itu, beliau turut menafikan terdapat usaha PAS dari negeri-negeri tertentu memboikot kempen pilihanraya kecil PAS di DUN itu.

"Pada 13 Jun lalu mereka sudah datang membuat lawatan ke kawasan dan berjumpa dengan orang tempatan.

"Malam tadi baru saja (ahli jawatankuasa PAS pusat) Abu Bakar Chik datang," katanya.

Nasir berkata, jentera PAS dari negeri lain akan mula turun ke Manek Urai mulai esok.

Malaysiakini difahamkan, Abu Bakar termasuk dalam senarai pemimpin yang "tidak dialu-alukan" oleh PAS negeri di Manek Urai.

Dikatakan, termasuk dalam senarai itu ialah Abdul Hadi, timbalannya Nasharuddin Mat Isa dan setiausaha agung, Datuk Mustafa Ali.

Dewan Harian PAS akan bermesyuarat Isnin ini - dijangka membincangkan soal kerajaan perpaduan dan persiapan menghadapi pilihanraya kecil DUN Manek Urai.

- MALAYSIAKINI

Sabtu, Jun 13, 2009

Pemimpin PAS patut utama agenda perkukuhkan Melayu

Oleh JAMHARIAH JAAFAR

Amat pelik apabila Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, terus membidas pemimpin Pas lain yang menyuarakan kemungkinan untuk membentuk kerajaan perpaduan dan menyifatkan mereka 'boneka Umno'.

Kadangkala benar kata ramai bahawa dunia politik boleh mengabui mata, hala tuju dan matlamat manusia terutama mereka yang bergelar ahli politik. Kekaburan pandangan dan mata hati itu juga kadang kala membuatkan kewibawaan seseorang pemimpin disegani itu, sedikit tercemar.

Adakalanya ahli politik terpaksa mengetepikan pandangan dan ideologi politiknya apabila kedaulatan bangsanya diperlekeh dan dipertikai. Adakalanya, ahli dan parti politik perlu bermuhasabah diri dan mengkaji semula apa sebenarnya yang sedang berlaku dan kesannya kepada masa depan bangsa, agama dan negara.

Jika dikaji semula keputusan pertandingan pemilihan barisan kepemimpinan baru Pas pada muktamar yang baru berakhir minggu lalu, mesej yang disampaikan perwakilan parti itu amat jelas - mereka inginkan kepemimpinan ulama yang berpandangan sederhana dan boleh meleraikan kemelut yang sedang melanda bangsa dan agama Islam hari ini.

Rakyat Malaysia sudah mengetahui betapa keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 pada Mac 2008 memberi tamparan hebat kepada Barisan Nasional (BN) dan kemenangan besar kepada Pakatan Rakyat.

Namun, kemenangan itu telah memberi kesan besar kepada kesinambungan kuasa bangsa Melayu sehingga kuasa Raja-Raja Melayu terpaksa digunakan untuk meleraikan beberapa kemelut yang tercetus.

Kelmarin, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, yang terkenal dengan kesabarannya sebagai bekas Ketua Hakim Negara, telah meluahkan kekesalan terhadap gerakan yang mempertikai hak orang Melayu dan Bumiputera Sabah serta Sarawak.

"Perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Negara dan Perlembagaan Negeri ini adalah persetujuan yang sudah dicapai secara bersama dalam semangat memberi dan menerima... semangat memahami dan menghormati di kalangan pemimpin pelbagai kaum ketika kemerdekaan negara dirunding.

"Oleh itu, apa juga gerakan yang dicetuskan untuk mempertikai perkara ini bukan saja sudah melanggar peruntukan asas dalam Perlembagaan Negara dan negeri, malah turut mempertikai kedaulatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan kedaulatan Raja-Raja Melayu," titah baginda.

Merujuk kepada titah Sultan Perak ini, hanya dua parti politik yang benar-benar mendokong perjuangan untuk bangsa Melayu dan Islam � Umno dan Pas.

Kerana itu, bangsa Melayu yang benar-benarkan inginkan perjuangan bangsa Melayu diteruskan dan agenda bangsa diperkukuhkan, hanya boleh menaruh harapan dan impian kepada kedua-dua parti ini untuk mengekalkan kuasa yang ada hari ini.

Kembali kepada perjuangan Pas sebagai sebuah parti politik, pendapat bekas Ketua Pemuda Pas yang kini Naib Presidennya, Salahuddin Ayub, seorang pemimpin berhaluan liberal tapi telah berjaya membawa begitu banyak perubahan kepada golongan muda parti itu, perlu dijadikan sandaran:

"Saya nak tegaskan di sini bahawa manusia menilai bukan dari segi pakaian, serbannya, jubahnya, kot atau tali leher yang mereka pakai tetapi melalui pemikiran yang mereka bawa dan terjemahkan.

"Kalau jubah besar atau kot mahal tetapi tidak mampu melahirkan pemikiran yang baik, tidak akan ke mana juga."

Persoalan yang perlu dikemukakan kepada pemimpin Pas dan Umno ialah apa salahnya sekiranya kedua-dua parti Melayu ini duduk semeja dan berbincang mengenai masalah yang dihadapi anak bangsa.

Jika ada pun cakap-cakap mengenai perpaduan antara Pas dan Umno, ia tidak akan menjadi realisasi selagi kedua-dua parti tidak boleh melepaskan perasaan ego masing-masing.

Di kala Umno semakin bermuhasabah diri dan kembali ke landasan perjuangan bangsa, mengapa Pas tidak boleh mengetepikan sedikit sentimen politik untuk berbincang mengenai hak anak bangsa yang semakin diperlekeh.

"Mengapa kita perlu rasa takut dan bimbang bangsa lain akan berasa kecil hati sekiranya agenda bangsa Melayu diperdebatkan. Kita tidak perlu apologetik kerana setiap bangsa akan berjuang untuk kepentingan bangsa masing-masing.

"Kita cuma tidak tahu apa yang diperdebat dalam akhbar berbahasa Cina dan India mengenai perjuangan dan nasib bangsa masing-masing, kerana kita tidak faham bahasa mereka. Tapi sekiranya kita faham sudah pasti kita akan terkejut betapa kuatnya sentimen dalam perjuangan bangsa kedua-dua rakan kita ini," kata Profesor Datuk Ramlah Adam dalam satu forum anjuran Ibu Pejabat Umno, baru-baru ini.

Justeru, apabila Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang mencetuskan idea kerajaan perpaduan, ramai anak Melayu menarik nafas lega kerana pemimpin yang disegani ternyata memiliki kebimbangan sama dengan pejuang bangsa lain � ke mana hala tuju bangsa Melayu pada masa depan?

Kejayaan Nasharudin Mat Isa sebagai Timbalan Presiden dan gandingan Salahuddin, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Mahfuz Omar, semakin melegakan kerana mereka adalah antara pemimpin Pas berpandangan sederhana dan dijangka tidak menghadapi masalah sekiranya diajak berbincang isu membabitkan agenda bangsa dan agama.

Apa lagi dengan pengumuman Hadi yang melantik Datuk Mustafa Ali sebagai Setiausaha Agung Pas yang baru, yang memang terkenal dengan sikap keterbukaan dan tidak gentar dalam meluahkan idea demi kepentingan bangsa dan agama.

Hakikat bahawa bukan semua orang akan menerima idea yang dicadangkan memang sudah dijangka. Sudah pasti akan ada ahli parti yang berasa diri semakin berpengaruh, akan berpendapat 'musuh' seperti Umno perlu dihapuskan, tanpa memikir padah yang mungkin menimpa bangsa sendiri.

Kerana itu tidak pelik apabila Hadi menyejukkan suasana dan memberi beberapa syarat kepada Umno dan BN, sekiranya sebarang perbincangan ke arah kerajaan perpaduan hendak diteruskan.

Antara syarat yang menggesa kerajaan BN melaksana pemulihan terhadap demokrasi negara, sistem kehakiman, Suruhanjaya Pilihan Raya dan kebebasan media - sebenarnya tidak sukar kerana pemulihan dalam institusi terbabit berlaku pada setiap masa.

Fakta di sini ialah Pas yang membuka mulut mengenai idea kerajaan perpaduan ini dan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak menyambut baik dan menyatakan keterbukaan Umno terhadap konsep ini.

Persoalan yang diharap dapat dijawab barisan kepemimpinan baru Pas ialah mengapa lagi perlu syarat itu dan ini, jika sekadar untuk duduk berbincang dengan Umno - mengenai soal perjuangan dan masa depan bangsa sendiri?

Khamis, Jun 11, 2009

Presiden PAS umum saf kepimpinan baru


Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang sebentar tadi mengumumkan perlantikan Dato' Mustafa Ali sebagai Setiausaha Agung yang baru menggantikan Dato' Kamaruddin Jaffar.

Pengumuman dibuat pada sidang media yang diadakan di Pejabat Agung PAS sejurus selesai Mesyuarat Jawatan Kuasa Kerja PAS Pusat yang bermula jam 10 pagi tadi.

Pada sidang itu, Ustaz Hadi mengumumkan Ustaz Idris Ahmad sebagai Ketua Penerangan PAS Pusat dan mengekalkan Dr. Mohd Hatta Ramli sebagai Bendahari.

Timbalan Pengarah 1 Jabatan Pilihanraya PAS Pusat, Dato' Abdul Halim Abdul Rahman pula dilantik menggantikan tempat Mustafa sebagai Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat.

Bekas-bekas Naib Presiden, Dato Husam Musa dan Mohamad Sabu yang tewas dalam pertandingan kerusi Timbalan Presiden dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa tambahan.

Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Paroi, Mohd Taufek Abdul Ghani dan Wan Ubaidah Wan Omar ialah dua muka baru yang dilantik.

Dr Mariah Mahmod dan Anuar Tahir turut dilantik semula.

- HARAKAH DAILY

Ahad, April 26, 2009

Perbincangan kerajaan perpaduan ditangguhkan - Hj Hadi Awang


Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata perbincangan dengan pemimpin Umno berhubung cadangan penubuhan kerajaan perpaduan terpaksa ditunda kerana beliau perlu menilai terlebih dahulu kepimpinan baru Umno dan BN di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, hasrat untuk membincangkan cadangan tersebut adalah dengan kepimpinan dahulu iaitu sewaktu pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sehubungan itu, beliau menolak dakwaan kononnya beliau menarik balik cadangan itu bagi menjaga kepentingannya dalam mempertahan jawatan Presiden parti yang mungkin dicabar dalam muktamar agung parti Jun depan.

"Cadangan ini (kerajaan perpaduan) semasa Abdullah, tetapi sekarang (Umno) di bawah pimpinan baru (Datuk Seri Najib).

"Pada masa itu, pada dasarnya saya setuju, tapi sekarang lainlah ceritanya apabila Umno di bawah kepimpinan baru," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-52 PAS kawasan Bachok, hari ini, lapor Bernama.

Berdasar kepada perkembangan masa dalam parti itu, terdapat kalangan akar umbi PAS yang tidak setuju dengan rundingan dengan Umno itu.

PAS Bukit Bintang merupakan kawasan pertama yang tidak mencalonkan Abdul Hadi untuk mempertahankan jawatan presiden.

Sebaliknya, kawasan tersebut mencalonkan Menteri Besar Kelantan, yang juga Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat bagi jawatan tersebut.

Sebelum ini, Abdul Hadi dilaporkan berkata, cadangan penubuhan kerajaan perpaduan yang melibatkan semua parti politik ditarik balik atas alasan ia tidak difahami orang ramai termasuk ahli PAS sendiri.

Minta BN bertanding

Hasrat Abdul Hadi berhubung cadangan itu juga dibantah oleh Nik Aziz yang juga mursyidul am PAS, yang menyatakan cadangan itu bertentangan dengan keputusan Muktamar Agung Pas di Ipoh tahun lalu.

Nik Aziz berkata, sebarang keputusan mestilah berdasarkan keputusan yang diambil dalam muktamar agung parti dan keputusan lain hendaklah dibuat melalui satu mesyuarat khas yang dipersetuju oleh Pakatan Rakyat.

Sementara itu, Abdul Hadi mencabar BN supaya bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Penant.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dijadual mengumumkan tarikh pilihanraya kecil itu Isnin depan.

Abdul Hadi berkata, BN serba salah untuk berbuat demikian berikutan kemenangan pakatan pembangkang dalam beberapa siri pilihanraya kecil di Permatang Pauh, Bukit Selambau dan di Bukit Gantang.

Berdasarkan kemenangan sebelum ini, Abdul Hadi yakin parti pakatan
pembangkang boleh menang dengan mudah di Penanti.

- MALAYSIAKINI

Sabtu, Januari 10, 2009

PAS sokong projek Lapangan Terbang Sultan Mahmud

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersetuju dan menyokong usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) mewujudkan Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini bagi kemudahan jemaah haji di ketiga-tiga ah haji di Terengganu, Kelatan dan Pahang," katanya pada sesi ceramah Pas di Kampung Tok Nasek di sini.

Penerbangan terus ke tanah suci bermula tahun lepas, setelah kerajaan Terengganu menaiktaraf LTSM itu membabitkan kos RM400 juta, bagi membolehkan pesawat Boeing 747 mendarat di situ sejak September lepas.

Projek pembinaan LTSM itu, dimulakan sebaik sahaja BN mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Pas pada 2004.

Pada musim haji lepas, sebanyak 18 penerbangan terus pergi dan balik dari LTSM-Jeddah, membawa lebih 5,000 jemaah haji dari Pantai Timur.

Bagaimanapun, Abdul Hadi mempersoalkan kos pembinaan lapangan terbang itu yang didakwanya menggunakan sumber kewangan kerajaan negeri.

"Yang kita persoalkan kenapa kos pembinaan lapangan terbang itu ditanggung oleh kerajaan negeri.

Sepatutnya ditanggung kerajaan pusat," katanya.

Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, calon Pas, Mohd. Abdul Wahid Endut dan Azharudin Mamat atau Adam, Bebas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 17 Jan ini sebagai hari pengundian.

- Bernama

Recent Posts