Sabtu, Januari 09, 2010

Nik Aziz: Perbuatan bakar gereja berdosa

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata tindakan cuba membakar empat buah gereja di sekitar Lembah Klang semalam adalah perbuatan berdosa dan akan menerima balasan di akhirat nanti.

"Jadi tiap-tiap orang nak bakar gereja...dia kena reti, gereja ini harta kawan kita orang Kristian... bila kita bakar kita telah melukakan hati dia, berdosa kita di akhirat kelak," katanya.

Nik Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan, berkata demikian kepada pemberita selepas menutup majlis Taklimat Isu-Isu Penerangan PAS Pusat di Shah Alam hari ini.

Katanya perbuatan membakar gereja di sebalik kehangatan bantahan isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain boleh terjadi apabila segelintir rakyat kehilangan sensitiviti dan kesucian agama dalam diri masing-masing.

Katanya apabila orang tidak mempunyai nilai sensitiviti agama maka perbuatan membakar gereja tidak menjadi masalah kepada pelakunya kerana mereka tidak mengenal soal dosa atau pahala.

Hadi kutuk perbuatan bakar gereja

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan pihak tidak bertanggungjawab menyerang tiga buah gereja di Lembah Klang semalam.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas meninjau kerosakan bangunan gereja Metro Tabernacle di Wangsa Maju hari ini.

Malah, kata Abdul Hadi, sewaktu perang pun umat Islam dilarang memusnahkan tempat ibadat, "apatah lagi ketika kita hidup dalam aman".

Beliau ditemani timbalan presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa. Mereka adalah antara pemimpin Pakatan Rakyat yang melawat bangunan gereja tersebut.

Dalam kejadian tengah malam semalam, pejabat pentadbiran di tingkat bawah bangunan gereja tersebut hangus terbakar.

Kerosakan tersebut sangat teruk sehingga mengakibatkan keseluruhan bangunan tersebut sudah tidak boleh digunakan lagi.

- MALAYSIAKINI

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts