Memaparkan catatan dengan label Ekonomi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ekonomi. Papar semua catatan

Jumaat, Februari 26, 2021

Keuntungan Kumpulan Public Bank susut 11.6 peratus pada 2020

 

Kumpulan Public Bank mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM4.87 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, turun 11.6 peratus daripada RM5.51 bilion tahun sebelumnya.

Bagi tahun kewangan dilaporkan, Kumpulan mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM6.29 bilion, susut 11.9 peratus daripada 2019.

Pengasas dan Pengerusi Emeritus Kumpulan Public Bank, Tan Sri Dr. Teh Hong Piow berkata, keuntungan lebih rendah pada tahun lalu terutama disebabkan oleh pemampatan margin faedah bersih berikutan pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 125 mata asas.

Ia turut disumbang oleh kerugian pengubahan bersih satu sekali sebanyak RM498 juta yang dialami berikutan langkah-langkah bantuan Covid-19 yang ditawarkan kepada individu dan perniagaan.

Beliau yang juga Pengarah dan Penasihat Public Bank berkata, 2020 merupakan tahun penuh cabaran yang tidak berlaku susulan pandemik Covid-19 menyebabkan gangguan dan ketidaktentuan ekonomi yang ketara, ditambah dengan pengurangan beberapaka kali OPR meberi tekanan ke atas sektor perbankan.

“Walaupun begitu, Kumpulan Public Bank masih berupaya menunjukkan prestasi yang cemerlang dan mengekalkan keuntungannya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, keuntungan operasi sebelum peruntukan kerugian pinjaman mencatatkan pertumbuhan sebanyak RM1.6 peratus kepada RM7.40 bilion, berbanding RM7.28 bilion tahun sebelumnya.

Katanya, pada tahun lalu, Kumpulan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.6 peratus dalam jumlah pinjaman yang diperkukuh oleh pembiayaan hartanah kediaman, kenderaan penumpang dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Tambah Hong Piow, pendapatan bukan faedah mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan dengan peningkatan sebanyak 17.5 peratus daripada 2019, terutama disebabkan pertumbuhan kukuh dalam perniagaan unit amanah, pendapatan pelaburan serta pembrokeran saham Kumpulan.

“Perniagaan unit amanah Kumpulan Public Banmk yang dijalankan subsidiari milik penuhnya, Public Mutual terus menjadi penyumbang utama.

“Pada tahun lalu, Public Mutual mencatatkan peningkatan sebanyak 10.5 peratus dalam keuntungan sebelum cukai kepada RM714.8 juta. Jumlah nilai aset bersih dana-dana di bawah pengurusannya meningkat sebanyak 15.8 peratus melepasi RM100 bilion untuk pertama kali kepada RM100.3 bilion,” katanya. 

Sumber : Utusan

Sabtu, Februari 13, 2021

1.4 juta peminjam mohon bantuan

 

Pelaksanaan moratorium automatik sepenuhnya bukan jalan penyelesaian terbaik untuk ekonomi dan rakyat.

  Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, moratorium bersasar dilihat lebih bersesuaian kerana ia meletakkan pilihan di tangan peminjam untuk membuat keputusan kewangan mereka.

  Katanya, moratorium automatik sepenuhnya juga menyebabkan individu dan perniagaan lebih sukar mendapatkan pinjaman kerana bank akan memilih untuk menghindari risiko.

  "Bantuan kewangan kepada individu dan perniagaan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tidak pernah berhenti.

  "Justeru, mereka yang berdepan masalah diminta segera berhubung dengan bank masing-masing bagi mendapatkan bantuan kewangan bersesuaian dengan situasi kewangan mereka," katanya pada sidang media pengumuman prestasi ekonomi suku keempat 2020 secara maya, semalam.

  Menurutnya, setakat ini, 1.4 juta peminjam memohon bantuan bayaran balik pinjaman, dengan kadar kelulusan 95 peratus.

 Nor Shamsiah berkata, 45 peratus daripada peminjam yang menerima bantuan pembayaran balik pinjaman memilih mengurangkan ansuran bulanan berbanding meminta moratorium, malah ia membabitkan peminjam dan isi rumah dalam kumpulan berpendapatan rendah atau B40.

 Katanya, ini menunjukkan peminjam membuat pilihan tepat menguruskan hutang berdasarkan apa yang mereka mampu dan tidak memohon moratorium.

  Sementara itu, beliau berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun ini dijangka lebih baik berbanding tahun lalu terutama disokong pemulihan permintaan global dan pelaksanaan program vaksin.

  "Ekonomi Malaysia akan pulih disokong permintaan luaran yang lebih baik dan langkah Belanjawan 2021.

  "Walaupun pertumbuhan jangka pendek pada tahun ini dipengaruhi pelaksanaan semula langkah pembendungan lebih ketat, namun kesannya tidak seteruk dialami pada tahun lalu," katanya.

Sumber : Harian Metro

Isnin, Januari 25, 2021

Inisiatif pemberian komputer riba, tablet mula Februari 2021

 

Inisiatif Cerdik yang akan menyediakan akses digital meliputi komputer riba, tablet dan sambungan data untuk pelajar dari keluarga berpendapatan rendah akan dilaksanakan bermula Februari 2021 ini.

Inisiatif itu membabitkan sumbangan berjumlah RM150 juta daripada 13 syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mewakili syarikat di bawah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dan Petronas.

Yayasan Hasanah dalam kenyataan hari ini berkata, langkah ini dilaksanakan bagi membantu pelajar mengadaptasi norma baharu sesi persekolahan dalam talian, e-pembelajaran dan pengajaran di luar bilik darjah.

Pemilihan pelajar dan sekolah ditentukan oleh Kementerian Pendidikan (KPM), yang juga akan meneliti spesifikasi perkakasan dan perisian untuk memastikan pelaksanaan yang lebih mampan termasuk sokongan jaminan, kebolehgunaan, dan jangka hayat yang lebih lama untuk pembelajaran digital masa depan.

Dalam pembentangan Belanjawan 2021 tahun lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengumumkan sumbangan sebanyak RM150 juta ke dalam Tabung Cerdik oleh GLC dan GLIC.

Katanya, projek itu akan diselia Yayasan Hasanah adalah bagi tujuan pemberian komputer riba kepada 150,000 murid di 500 sekolah sebagai projek rintis.

Sumber : Harian Metro

Isnin, Januari 11, 2021

Kadar pengangguran November 2020 pada paras 4.8 peratus

 


Kadar pengangguran meningkat sedikit sebanyak 0.1 mata peratus kepada 4.8 peratus pada November 2020 berbanding bulan sebelumnya, yang mana jumlah penganggur setakat bulan berkenaan adalah 764,400 individu.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata berikutan gelombang ketiga pandemik yang berterusan pada November lalu, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah dilaksanakan secara berperingkat bagi

membendung peningkatan drastik kes COVID-19 dan seterusnya mengimbangi keperluan di antara sistem penjagaan kesihatan dan ekonomi.

Katanya, pelaksanaan PKPB yang bermula di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor pada 14 Oktober 2020 telah diperluaskan ke seluruh negara kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan. 

"Semasa PKPB, perjalanan merentas negeri adalah tidak dibenarkan, manakala aktiviti ekonomi terus beroperasi dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard yang ketat.

"Oleh itu, pada November 2020 menyaksikan penurunan kecil dalam bilangan guna tenaga, manakala kadar pengangguran meningkat sedikit berbanding bulan sebelumnya. 

"Antara lain, keadaan ini berkemungkinan disebabkan oleh faktor kehilangan pekerjaan dan pembatalan atau pembekuan pengambilan pekerja baharu," katanya dalam kenyataan mengenai Statistik Tenaga Buruh, Malaysia, November 2020, di sini, hari ini.

Mohd Uzir berkata, bilangan penganggur pada November meningkat sebanyak 2.2 peratus atau bersamaan dengan 16,200 orang, merekodkan 764,400 penganggur (Oktober 2020: 748,200 orang).

Penganggur aktif yang didefinisikan sebagai mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan, meningkat 2.3 peratus mencatatkan sejumlah 637,700 orang (Oktober 2020: 623,100 orang), katanya.

"Begitu juga penganggur tidak aktif atau kumpulan pasif yang percaya tiada pekerjaan yang tersedia meningkat sebanyak 1.3 peratus kepada 126,700 orang (Oktober 2020: 125,100 orang)."

"Mengenai situasi guna tenaga, pada November, bilangan penduduk bekerja turun sebanyak 11,000 orang kepada 15.2 juta orang (Oktober 2020: 15.21 juta orang) selepas merekodkan trend menaik selama lima bulan berturut-turut.

"Pada bulan berkenaan, kategori pekerja meningkat 0.2 peratus (+19.6 ribu orang) kepada 11.78 juta orang. Sebaliknya, golongan yang bekerja sendiri berkurang sebanyak 0.6 peratus merekodkan 2.41 juta orang. Kumpulan ini sebahagian besar adalah terdiri daripada penerima gaji harian yang bekerja di pasar tani, pasar malam dan gerai-gerai; freelancers; dan pekebun kecil," katanya.

Merumuskan kedudukan keseluruhan tenaga buruh, beliau berkata, dalam bulan terakhir tahun 2020, kes baharu COVID-19 di Malaysia terus mencatatkan peningkatan di mana secara purata melebihi 1,500 kes sehari.

"Namun, aktiviti ekonomi terus beroperasi seperti biasa dengan pematuhan prosedur operasi standard yang ketat. Pada bulan itu juga, didapati lebih banyak aktiviti perjalanan domestik berikutan perayaan Krismas, cuti sekolah dan cuti akhir tahun.

"Secara keseluruhannya, dengan keadaan ketidaktentuan ekonomi dan kesihatan yang berterusan di seluruh dunia dan dalam negara, dijangka permintaan buruh yang lebih perlahan berterusan pada Disember 2020. Sementara itu, penawaran buruh akan kekal kompetitif dalam situasi yang mencabar ini," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

Rabu, Disember 09, 2020

Maybank Islamic perkenal akaun pelaburan baharu

 

Maybank Islamic Bhd melancarkan akaun pelaburan tertutup Multi-Asset Investment-i (MAIA) dengan sasaran meraih pelaburan RM250 juta menerusi produk yang julung kali seumpamanya ditawarkan bank komersial.

MAIA ditawarkan kepada pelanggan yang bermatlamat memaksimumkan pulangan dengan pelaburan dalam portfolio pelbagai aset pembiayaan bank dan pasaran sekuriti patuh Syariah.

Sebanyak 50 peratus pelaburan MAIA akan dibuat ke dalam aset pembiayaan Maybank Islamic yang menguntungkan dan stabil seperti gadai janji, sewa beli serta pembiayaan unit amanah.

MAIA memberi peluang kepada pelabur yang ingin meneroka peluang pelaburan pada jangka masa sederhana hingga panjang yang baharu dan akaun ini terbuka kepada individu serta pelabur institusi dengan pelaburan minimum sebanyak RM10,000.

Maybank Islamic Asset Management (MIAM) dilantik sebagai Pengurus Pelaburan Luar akan melaburkan baki 50 peratus dalam ekuiti patuh Syariah dan Amanah Pelaburan Hartanah (REITs).

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican, berkata bank menyasarkan potensi pulangan yang lebih tinggi sebanyak 4.25 peratus setahun untuk penempatan selama tiga tahun, menjadikan MAIA satu pelaburan yang menarik memandangkan persekitaran kadar faedah agak rendah sekarang.

"Kami percaya MAIA dapat memenuhi keperluan pelabur yang mencari pilihan pelaburan patuh Syariah yang bertujuan untuk mengekalkan modal sambil menghasilkan pulangan yang stabil dan

relatif lebih tinggi," katanya.

Mohamed Rafique berkata, pelancaran MAIA adalah tonggak bagi Maybank Islamic yang menjadi institusi perbankan Islam pertama mewujudkan produk pelaburan yang menawarkan peluang kepada pelabur untuk melabur bukan hanya pada aset pembiayaan bank yang kukuh, tetapi juga sekuriti patuh Syariah.

"Dengan ketidaktentuan ekonomi semasa akibat penyebaran COVID-19, Maybank Islamic menyasarkan untuk membantu pelanggannya untuk mengembangkan pelaburan mereka.

"Ia terutama yang mencari pulangan pendapatan berpotensi dan pertumbuhan modal dengan melabur dalam portfolio pembiayaan bank Islam terbesar di Malaysia serta dana yang terdiri daripada portfolio sekuriti patuh Syariah," katanya.

Di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSA) 2013, institusi kewangan Islam dibenarkan menjadi perantara pelaburan.

Maybank Islamic adalah yang pertama merealisasikannya dengan pelancaran produk Akaun Pelaburannya (IA) pada tahun 2015.

Di bawah produk IA, MAIA adalah inovasi kedua produk pelaburan untuk bank.

Sumber : Berita Harian

 

Sabtu, November 21, 2020

Pemulihan ekonomi Malaysia dijangka berbentuk U

 

Pemulihan ekonomi Malaysia berkemungkinan lebih berbentuk U berbanding V, berikutan sekatan baharu disebabkan peningkatan kes jangkitan COVID-19, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Kerajaan berusaha untuk mengawal virus itu tanpa menjejaskan perniagaan dengan melaksanakan sekatan bersasar, kata Azmin dalam satu temubual bersama Bloomberg TV.

Bagaimanapun, beliau berkata, lebih banyak perlu dilakukan bagi melandaikan kenaikan kes jangkitan.

"Kelihatannya itulah situasi buat masa sekarang, namun kadarnya masih lagi perlahan," katanya semasa ditanya mengenai prospek pemulihan berbentuk U.

"Pendekatan terbaik adalah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung virus, namun itu akan menjejaskan ekonomi," kata Azmin, merujuk pelaksanaan sekatan pergerakan menyeluruh yang menjejaskan ekonomi Malaysia awal tahun ini.

Peningkatan kluster jangkitan yang muncul sejak akhir September memaksa kerajaan mengenakan larangan baharu terhadap kebanyakan aktiviti sosial, selain mengenakan sekatan di hampir semua negeri.

Sekatan berkenaan memberi ancaman kepada ekonomi Malaysia yang bernilai RM1.45 trilion, ketika ia sedang menunjukkan isyarat pemulihan.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menguncup dengan kadar lebih perlahan pada suku ketiga, melantun daripada penguncupan tertinggi dalam tempoh sedekad apabila negara mula melonggarkan sekatan bermula Mei lalu.

Petunjuk sejak itu membayangkan 'sokongan kukuh' pemulihan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus minggu lalu.

Bagaimanapun, peningkatan kes virus kebelakangan ini boleh menjejaskan tinjauan berkenaan.

Kes jangkitan baharu di negara ini kekal mencatatkan empat angka dalam beberapa hari lalu.

Kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berdepan satu lagi cabaran minggu depan.

Majoriti pakatan kerajaan yang kecil di Parlimen akan diuji apabila pembuat dasar mengundi Belanjawan 2021, Khamis depan.

Sejak dua minggu lalu, Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang merahsiakan sokongan masing-masing, melainkan terdapat perubahan.

Kegagalan meluluskan belanjawan bermakna kekalahan undi tidak percaya.

"Tiada sebab untuk Ahli Parlimen tidak menyokong belanjawan apabila ia disasarkan kepada rakyat dan aktiviti ekonomi di Malaysia," kata Azmin.

"Menteri Kewangan sudah mengambil semua pandangan untuk pertimbangan," tambahnya.

Azmin, yang baru-baru ini dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berkata, mereka bersedia untuk berdepan pilihan raya umum.

"Dengan trek rekod sejak lapan bulan lalu, kami akan memenangi majoriti lebih besar dalam pilihan raya akan datang," katanya sambil menambah, situasi virus ketika ini bagaimanapun tidak membolehkan sebarang pilihan raya diadakan sekarang.

Sumber : BLOOMBERG

 

 

Jumaat, November 13, 2020

Minggu Saham Digital 2020

 

Permodalan Nasional Bhd. (PNB) bakal me­nganjurkan Minggu Saham Digital (MSD), adaptasi daripada Minggu Saham Amanah Malaysia yang bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan masyarakat tentang perancangan kewangan dan kepentingan pelaburan secara online.

MSD yang akan bermula pada 18 November-24 November ini bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri dan Pengerusi Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB), Tan Sri Muh­yiddin Yassin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam, pelbagai program bakal disiarkan secara langsung seperti rancangan memasak, sesi bual bicara dan program hibur didik yang menarik sepanjang tujuh hari acara digital MSD.

“Bagi memeriahkan lagi jadual program yang disiarkan antara 12.30 tengahari hingga 10.30 malam melalui laman Facebook dan saluran YouTube MSD itu, ia akan mempersembahkan barisan penceramah dan personaliti ter­kenal.

“Seluruh rakyat Malaysia dijemput mengambil bahagian dalam MSD menerusi platform digital yang tersedia dan mudah dilayari dengan slogan ­#Laburbersama,” katanya.

PNB menjelaskan, antara program yang dirancang ialah konsert maya terbesar, Pass the Mic! yang bakal menampilkan Feeya Iskandar, Sissy Imann, Jiggy dan Alif Farhan sebagai hos serta artis K Clique, Akim Ahmad, Hael Husaini, Dayang Nurfaizah dan Aman Ra.

Program lain yang bakal bersiaran ialah Cikgu CEO (ketua pegawai eksekutif) yang merupakan siri webinar topikal yang interaktif dan mudah diikuti selain memberi peluang kepada golongan belia berinteraksi bersama CEO.

My Cerita akan menjelaskan lebih lanjut mengenai PNB, Amanah Saham Nasional Bhd. dan UMW Holdings Bhd. serta mendapatkan penerangan mengenai fungsi, budaya, visi dan misi syarikat-syarikat tersebut.

Masak Macam Mak pula akan memberi penghormatan kepada selebriti Fizo Omar, Elfira Loy, Sherson Lian dan Datuk Fazley Yaakob bersama ibu mereka memasak bersama.

Jumpa di 118 pula menampilkan Ketua Pegawai Pelaburan, Harta Tanah PNB, Rick Ramli dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad, Tengku Datuk Ab Aziz Tengku Mahmud.

Kereta Kita memberi peluang kepada penonton menyelami perbualan menarik antara pengacara Hazeman Huzir dan Fahrin Ahmad bersama tetamu mengenai kereta kegemaran mereka.

Betul Ke, Doc? dibawakan khas kepada penonton oleh ­Duopharma Biotech Bhd. yang akan merungkai mitos kesihatan yang luar biasa bersama pakar-pakar perunding perubatan.

Program lain ialah Lepak Je! dan GG Bro! serta Forum Kewa­ngan Syariah.

Selain itu, MSD juga menawarkan pelbagai hadiah menarik me­lalui peraduan yang dianjurkan dan antaranya ialah Live Trivia & Live Trivia Bonanza Penonton dan Eh Mana Kod? Iaitu penca­rian harta karun secara maya.

Semua peserta berpeluang memenangi hadiah-hadiah menarik seperti kerta Ford ­Ranger 2.0L XLT Plus 4WD bernilai RM130,000, Toyota Vios 1.5G (AT) bernilai RM90,000, Yamaha R25 bernilai RM21,500 dan Honda Dash 125S bernilai RM6,000

Sumber : Kosmo!

 

 

Khamis, Oktober 15, 2020

BNM jangka keadaan perniagaan bertambah baik pada separuh kedua 2020



Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan keadaan perniagaan akan bertambah baik pada separuh kedua 2020 seiring dengan peningkatan secara beransur-ansur aktiviti ekonomi.

“Langkah melanjutkan bantuan kewangan bersasar akan terus dapat membantu menyokong perniagaan di samping skim jaminan korporat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan pemulihan nyata semakin kukuh.

“Paling penting, ketampakan yang lebih ketara terhadap prestasi pinjaman daripada peralihan kepada bantuan pembayaran semula yang lebih bersasar kekal penting untuk mengurangkan penghindaran risiko dan meningkatkan bekalan kredit semasa fasa pemulihan ini,” katanya dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan- Separuh Pertama 2020” yang dikeluarkan di sini hari ini.

Laporan itu menyediakan penilaian BNM ke atas risiko semasa dan berpotensi terhadap kestabilan kewangan dan daya tahan sistem kewangan Malaysia bagi mengekalkan peranan pengantaraan kewangannya dalam ekonomi.

Hutang luaran sektor korporat meningkat 4.9 peratus, terutamanya digerakkan oleh pinjaman tambahan oleh syarikat-syarikat yang terlibat dalam sektor berkaitan minyak dan gas dan kesan penilaian ekoran kelemahan nilai ringgit pada separuh pertama 2020 berbanding mata wang utama dan serantau terpilih.

Bagaimanapun, bank pusat berkata risiko kestabilan kewangan daripada pinjaman luar kekal boleh diuruskan kerana pinjaman kebanyakannya bersifat jangka pertengahan hingga panjang dan dilindung nilai kepada sebarang pendedahan terhadap pergerakan mata wang.

Sementara itu, bank pusat itu berkata risiko peningkatan penularan COVID-19 sekali lagi boleh menjejaskan permintaan global. Sektor yang mungkin akan terus terjejas menguasai sekitar 16 peratus daripada jumlah pinjaman sistem perbankan,” kata bank pusat.

BNM menjangkakan sistem perbankan akan kekal berdaya tahan terhadap peningkatan ketara dalam keseluruhan rosot nilai perniagaan dengan kerugian kepada bank dikurangkan secara signifikan melalui obligasi cagaran dan sumber pendapatan pelbagai di antara peminjam besar.

Sumber : Bernama

Rabu, September 30, 2020

Public Mutual umum agihan 11 dana untuk 2020

 

Public Mutual Bhd, anak syarikat milik penuh Public Bank mengumumkan pengagihan melebihi RM119 juta bagi 11 dana untuk tahun kewangan berakhir 30 September 2020.

Dalam kenyataan hari ini, ia berkata mendahului pengagihan kasar itu adalah Public Enterprises Bond Fund pada 4.75 sen seunit, diikuti Public Islamic Global Equity Fund (tiga sen seunit), Public e-Flexi Allocation Fund (dua sen seunit), Public Singapore Equity Fund (1.5 sen seunit) dan Public Advantage Growth Equity Fund (satu sen seunit).

Dana lain adalah Public Islamic Enterprises Equity Fund (0.75 sen seunit), Public Islamic Advantage Growth Equity Fund (0.75 sen seunit), Public US Equity Fund (0.75 sen seunit), Public Strategic Balanced Fund (0.75 sen seunit), PB Global Equity Fund (dua sen seunit) and PB SmallCap Growth Fund (satu sen seunit).

Public Mutual adalah syarikat unit amanah swasta terbesar di Malaysia, menguruskan lebih 160 dana unit amanah dan penyedia Skim Persaraan Swasta (PRS) yang diluluskan, menguruskan sembilan dana di bawah skim itu.

Sehingga akhir Ogos 2020, saiz dana yang diuruskan syarikat itu bernilai RM95.6 bilion.

Sumber : Berita Harian

Selasa, September 29, 2020

Santan dijangka buka lebih 100 cawangan menjelang tahun 2022

 


Syarikat makanan dan minuman (F&B), Santan, bakal mengembangkan rangkaian restorannya ke pasaran global bermula dengan Shenzhen, China dan United Kingdom pada suku pertama tahun depan.

Jenama bawah AirAsia Group itu turut menyasarkan pasaran Filipina dan Indonesia, namun masih meneliti lokasi sesuai dan situasi pandemik Covid-19 yang telah melambatkan proses pengembangan tersebut.

Pengurus Besar Santan, ­Ca­therine Goh berkata, pihaknya menyasarkan pembukaan lebih 100 cawangan di seluruh negara pada tahun 2022 berbanding 15 cawangan buat masa ini.

“Santan akan membuka lima lagi cawangan baharu tahun ini, malah kami telah menerima le­bih 1,000 pertanyaan untuk be­kerjasama membuka cawangan baharu.

“Memandangkan Santan sudah mendapat sijil pendaftaran francais rasmi oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), maka kami komited untuk meluaskan lagi rangkaian melalui platform francais dengan fi serendah RM50,000.

“Selain membantu usahawan muda untuk menceburi industri F&B, pembukaan 20 restoran tahun ini membuka ratusan peluang pekerjaan seperti kakita­ngan kaunter hadapan dan pe­ngurusan restoran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar yang diadakan bersempena penyampaian sijil francais Santan di sini semalam.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi.

Timbalannya, Datuk Rosol Wahid; Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dan Presiden ­AirAsia Digital, Aireen Omar turut hadir.

Menurut Catherine, pihaknya turut menyasarkan pembukaan cawangan pertama di Sabah dan Sarawak menjelang suku pertama 2021.

Sementara itu, Tony berkata, operasi Santan dijangka ­me­n­yumbang sekitar 15 peratus kepada perolehan Kumpulan dalam tempoh tiga tahun.

Sumber : Kosmo!

Selasa, September 15, 2020

Kadar pengangguran dijangka turun kepada 4.5 peratus

 

Kadar pengangguran di negara ini dijangka terus menurun kepada tahap 4.5 peratus pada penghujung tahun ini, menurut United Overseas Bank (Malaysia) Bhd. (UOB Malaysia).

Kadar pengangguran terbaharu direkodkan pada 4.7 peratus pada bulan Julai, selepas mencapai kemuncak 5.3 peratus pada Mei dan turun kepada 4.9 peratus pada Jun.

Ahli Ekonomi Kanan UOB Malaysia, Julia Goh berkata, kadar pengangguran dijangka terus mereda kepada 3.7 peratus pada 2021.

Jelasnya, ia masih lebih tinggi berbanding tahap sebelum berlakunya pandemik Covid-19 disebabkan kebanyakan syarikat masih perlu menyesuaikan diri dengan keadaan pasca pandemik.

“Pasaran tenaga buruh terus merekodkan pemulihan de­ngan bilangan pekerjaan telah meningkat lebih daripada paras 15 juta pekerjaan buat pertama kali dalam tempoh empat bulan pada 15.07 juta pekerjaan Julai lalu.

“Kebanyakan sektor ekonomi merekodkan peningkatan pengambilan pekerja pada Julai, didahului sektor per­khidmatan terutamanya penginapan, makanan dan minuman serta aktiviti pengangkutan dan penyimpanan.

“Peningkatan pengambilan pekerja dalam sektor pembuatan pula diterajui industri elektrik dan elektronik, berkaitan logam, percetakan, automotif dan produk berkaitan getah,” katanya dalam nota penyelidikan yang dikeluarkan semalam.

Selain itu, Goh menerangkan, pemulihan pasaran buruh bakal berdepan cabaran daripada penamatan Program Subsidi Upah dan moratorium automatik pada 30 September ini.

“Sejak dimulakan pada 1 April, PSU telah membantu 2.7 juta pekerja menerusi peruntukan yang diluluskan berjumlah RM13.8 bilion kepada 330,682 majikan.

“Selepas ini, bantuan upah serta pembayaran pembiayaan hanya diberikan kepada golo­ngan yang masih terjejas akibat pandemik Covid-19 dan langkah ini akan membantu mengelakkan satu lagi gelombang penutupan dan pemberhentian perniagaan,” katanya.

Sumber : Kosmo!

Jumaat, September 11, 2020

Malaysia Airlines sedia tiga pilihan tambang ekonomi


Malaysia Airlines Bhd memberikan pelanggannya lebih banyak faktor untuk melancong dengan menawarkan tambang tetap yang terkini bagi tempat duduk kelas ekonomi ke destinasi domestik berikutan permintaan terhadap perjalanan dalam negara mula menunjukkan aliran positif.

Pelanggan berpeluang menempah tambang sehala semua dalam satu bermula 8 hingga 13 September ini di laman web rasmi syarikat penerbangan itu, aplikasi mudah alih atau ejen yang dilantik untuk semua destinasi domestik bagi perjalanan segera sehingga 16 Disember 2020.

Tawaran bagi semua tempat duduk kelas ekonomi itu memberikan fleksibiliti kepada pelanggan untuk membuat tempahan perjalanan berdasarkan keperluan dan keutamaan perjalanan mereka serta kemampuan untuk membeli.

"Pelanggan akan mempunyai akses kepada tiga pilihan tambang unik (Lite, Basic, Flex) yang menawarkan manfaat berlainan seperti elaun bagasi, pemilihan tempat duduk dan perkhidmatan keutamaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi destinasi ke Semenanjung dan dalam Sabah/Sarawak, tambang sehala semua dalam satu ialah RM179 (Lite), RM199 (Basic) dan RM259 (Flex), tambang ke Sabah ialah RM299 (Lite), RM319 (Basic) dan RM379 (Flex), manakala Sarawak RM239 (Lite), RM259 (Basic) dan RM319 (Flex).

Semua penumpang tanpa mengira kategori tambang akan terus berpeluang menikmati kelebihan dan perkhidmatan penuh penerbangan premium serba lengkap termasuk bagasi kabin sehingga tujuh kilogram, minuman serta makanan/snek percuma selain akses kepada sistem hiburan yang disediakan bagi pesawat Malaysia Airlines.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kapten Izham Ismail berkata menerusi tawaran tambang tetap itu, MAB berharap untuk merancakkan lagi perjalanan domestik membabitkan tawaran melebihi 300,000 tempat duduk.

Syarikat penerbangan itu sedia maklum mengenai minat yang menggalakkan bagi perjalanan domestik sejak fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan tempahan yang tertinggi dicatatkan semasa cuti hujung minggu yang panjang bersempena Hari Kebangsaan.

"Perkembangan positif itu menghasilkan peningkatan tempahan tiket penerbangan melebihi 500 peratus di peringkat domestik. Selain itu, cabang operasi kami, MHholidays turut menunjukkan aliran peningkatan dengan pakej percutian yang ditawarkan melebihi 300 peratus daripada sasaran kami," katanya.

Perkembangan yang menggalakkan itu melibatkan terutamanya lokasi yang menawarkan tarikan semulajadi seperti pulau, pantai, tanah tinggi dan hutan seperti Pulau Pinang, Langkawi dan Johor Bahru.

Bagi memudahkan perjalanan penumpang, Malaysia Airlines akan meningkatkan kapasitinya mulai Oktober 2020 untuk beberapa destinasi utama termasuk Kota Kinabalu, Langkawi, Labuan Johor Bahru dan Kuching.

Sumber : Berita Harian


Ahad, September 06, 2020

Grab perluas perkhidmatan ke bandar kecil Semenanjung


Penyedia perkhidmatan e-hailing, Grab akan memperluaskan tiga rangkaian perkhidmatannya, iaitu GrabCar, GrabFood dan GrabMart ke beberapa bandar kecil di Semenanjung Malaysia bulan ini.

Ketua Bahagian Kerajaan dan Hal Ehwal Awam Grab Malaysia, Ebi Azly Abdullah berkata inisiatif itu bertujuan untuk mewujudkan lebih banyak peluang untuk komuniti menjana pendapatan dan memperkasakan sektor ekonomi digital negara.

Antara kawasan terbabit ialah Cameron Highlands di Pahang, Pantai Remis di Perak, Baling di Kedah selain Mersing dan Segamat di Johor, katanya,

"Perkhidmatan GrabCar di Mersing dan Segamat (dijangka) bermula akhir September ini seterusnya khidmat GrabFood dan GrabMart (tanpa tunai dengan GrabPay) dirancang pada suku keempat tahun ini. Di utara Semenanjung, Grab akan mula beroperasi di bandar seperti Cameron Highlands, Pantai Remis dan Baling.

"Ini adalah sebahagian usaha Grab bagi memastikan tiada yang ketinggalan dalam ekonomi digital terutama masyarakat luar bandar yang mana menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, pendapatan penengah adalah 41 peratus lebih rendah daripada penduduk bandar," katanya yang ditemui pemberita selepas majlis pelancaran DesaMall@Mersing oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, di sini, hari ini.

Ebi Azly berkata, sebagai penyokong ekonomi digital, pihaknya berbangga dapat membawa teknologi berkenaan kepada masyarakat luar bandar dengan menyediakan khidmat solusi yang lebih selamat, boleh dipercayai dan berpatutan.

"Secara tidak langsung, kami mewujudkan lebih banyak peluang meraih pendapatan di seluruh ekosistem perkhidmatan kami merangkumi pengangkutan, makanan dan pasar raya terutama di kawasan luar bandar.

"Dengan pengembangan ini, kami juga berharap dapat bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan rakan kongsi strategik agar aktiviti ekonomi digital di kawasan terlibat terus berkembang maju," katanya.

Beliau berkata, Grab juga memperluas inisiatif 'Pakej Pikul Bersama' bagi ahli pemandu baharu yang menyertai platform itu dengan menyediakan pembayaran balik secara sekali sahaja sehingga RM120 bagi lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan RM70 bagi pemeriksaan permulaan kenderaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

Menurutnya inisiatif itu diwujudkan bagi membantu rakan pemandu melepasi beberapa proses peraturan ketika pertama kali diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan, tahun lepas sekaligus membantu memastikan ekonomi yang lebih adil dan inklusif.

"Grab bermatlamat untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam menyokong dan mewujudkan lebih banyak peluang pendapatan bagi rakyat Malaysia di seluruh negara dengan menyediakan kehidupan lebih baik," katanya.

Ebi Azly berkata, dengan pengenalan perkhidmatan Grab yang lain seperti GrabFood dan GrabMart dalam beberapa bulan akan datang, ia dapat membantu meningkatkan lagi peluang perniagaan dan pendapatan di seluruh negara.

"Justeru, ia akan memberi pendekatan tambahan bagi perniagaan untuk memperluas pangkalan pelanggan mereka dengan memanfaatkan jutaan pengguna Grab ke kawasan bandar dan bandar kecil.

"Grab akan bekerjasama rapat dengan usahawan luar bandar dalam menjayakan kempen dan strategi promosi yang disesuaikan dalam usaha membantu mereka mengembangkan perniagaan mereka," katanya.

Grab adalah aplikasi super terkemuka di Asia Tenggara yang menyediakan perkhidmatan harian dan telah dimuat turun lebih daripada 166 juta pengguna di peranti mudah alih dan memberi akses kepada lebih daripada sembilan juta pemandu, peniaga dan ejen.

Sumber : BERNAMA

Khamis, September 03, 2020

7 cadangan tingkat ekonomi negara



Berikut adalah 7 cadangan tingkatkan ekonomi negara oleh Setiausaha Agung UMNO, DATUK SERI AHMAD MASLAN.

Pertama, tutup segala ketirisan pendapatan melalui khidmat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang lebih cekap. Misalnya baru-baru ini, JKDM berjaya membanteras penyeludupan berbilion ringgit oleh pihak yang cuba lari daripada cukai. Sekiranya ada kaedah moden untuk memeriksa kontena di pelabuhan dan lapangan terbang, maka lebih banyak penyeludupan tidak boleh terlepas. Kadang-kadang deklarasi dokumen kontena itu adalah barang yang tidak tinggi cukainya tetapi pihak sana melakukan pembohongan bagi mengelak dikenakan cukai yang tinggi.

Kedua, berkaitan JKDM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang sudah ada fail untuk dikongsi ketika kita melaksanakan cukai jualan dan perkhidmatan (GST) di mana ada perjanjian persefahaman (MoU) antara pihak kastam dan LHDN supaya mereka berkongsi maklumat. Ini kerana ketika GST dilaksanakan, kita tahu berapa nilai syarikat-syarikat yang membayar cukai kerana fail GST ini boleh membanteras pelarian cukai. Kini GST hanya digantikan dengan SST, maka fail itu masih ada dan masih boleh dirujuk supaya dapat mengelak penyelewengan.

Yang ketiga, mengenai hasil bumi. Saya difahamkan ada nadir bumi yang nilainya begitu besar iaitu trilion ringgit yang tidak mempunyai kesan radioaktif termasuk di Perak, Pahang dan Johor. Maklumat ini adalah maklumat kementerian. Saya harapkan Majlis Mineral Negara dapat mempercepatkan perkara ini. Badan diketuai Kementerian Tenaga dan Sumber Asli ini boleh memanggil beberapa kementerian dan kerajaan negeri bagi mengenal pasti hasil-hasil bumi, tidak terhad kepada nadir bumi sahaja tetapi sumber lain yang belum diterokai secara kapasiti penuh. Segala nadir bumi ini milik negeri tetapi lesennya milik Persekutuan. Ini boleh dijadikan industri hiliran di mana boleh dibuat kerajaan Pusat.

Cadangan keempat saya adalah Petronas memberikan dividen khas di mana tempoh hari Petronas memberi RM30 bilion untuk membayar pulang balik GST dan LHDN, menjadikan nilainya RM24 bilion. Tahun ini dikatakan syarikat itu akan memberikan RM24 bilion sahaja, namun ketika Lim Guan Eng menjadi Menteri Kewangan, Petronas memberi RM54 bilion di mana terdapat RM30 bilion perbezaan. Kita faham Petronas memerlukan keuntungan itu untuk menerokai kawasan-kawasan baharu dan membiayai kos penerokaan minyak dan gas tetapi pada kita, ini adalah saat negara memerlukan hasil akibat pandemik. Maka saya kira Petronas boleh memberikan dividen khas. Ini bukan hanya untuk Petronas tetapi juga syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) (KMD) dan syarikat-syarikat dibawah Khazanah Nasional Berhad. Selain dividen biasa, mereka harus meningkatkan produktiviti bagi meningkatkan juga hasil dan keuntungan supaya mereka boleh memberi dividen khas kepada kerajaan. Itu adalah sumber yang banyak.

Cadangan yang kelima, Malaysia harus menjadi hab e-dagang serantau seperti yang kita telah katakan pada zaman Barisan Nasional (BN) di mana kita ada MoU bersama Alibaba iaitu Jack Ma, e-dagang terbesar negara China dan salah satu terbesar dalam dunia supaya Malaysia menjadi hab e-dagang serantau. Kini, perkara itu tidak terjadi kerana pertukaran kerajaan. Jadi, kerajaan boleh menghidupkan kembali perkara ini kerana dalam situasi pandemik ini, sektor e-dagang meningkat serta Malaysia berpotensi menjadi pusat e-dagang dan kita oleh meningkatkan pendapatan negara.

Cadangan keenam, satu per empat makanan di Malaysia diimport. Import yang tinggi menyebabkan pengaliran wang keluar. Kalau kita tahu daripada pengiraan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), jika import tinggi, maka pertumbuhan KDNK akan berkurangan. Jadi, kerajaan perlu pertimbangkan supaya ada pengganti import yang boleh diperhebatkan pengeluarannya di Malaysia. Sebagai contoh, daging dan produk tenusu. Walhal lembu, kerbau, kambing boleh hidup di Malaysia dan kita ada kelengkapannya. Kita berpotensi menjadi gedung makanan negara.

Yang ketujuh adalah mengadakan apa yang kita panggil sebagai reformasi sistem percukaian negara. Kita boleh buang cukai-cukai yang tidak perlu. Contohnya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) mewujudkan tujuh cukai baharu dan naikkan tiga cukai lama hanya untuk menggantikan satu cukai iaitu GST. Cukai-cukai itu termasuk cukai jualan, cukai perkhidmatan, cukai digital, cukai soda, cukai pelepasan, cukai petak dan yang dinaikkan adalah cukai keuntungan hartanah (RPGT), duti setem dan cukai taksiran. Namun, hasil daripada cukai-cukai masih tidak seberapa. Kita perlu rombak sistem percukaian ini supaya tidak membebankan rakyat. Harus diketengahkan juga adalah keadaan semasa negara sebelum kita melaksanakan perkara ini dan rakyat juga harus bersedia. Sekiranya kita tidak mahu lagi GST, kita boleh perkenalkan cukai nilai tambah (VAT) untuk menggantikan cukai yang banyak tetapi ini terpulang kepada kerajaan. VAT dibuat di 170 negara. Ia adalah cukai yang boleh menggantikan GST. Saya cadangkan sekiranya VAT dilaksana, kita bermula dengan kadar yang rendah dan cukai-cukai lain yang berkadar tinggi dihapuskan.

Sumber : Utusan

 

Ahad, Ogos 12, 2018

Perkhidmatan pembinaan, bahan mentah utama dikecualikan SST






Tekanan membabitkan harga rumah, bangunan perindustrian dan komersial dijangka dapat diringankan berikutan pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta pengecualiannya di bawah Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Sehubungan itu, beliau berkata Kerajaan Persekutuan berharap kos pembinaan akan menjadi lebih rendah susulan pengecualian cukai SST ke atas bahan mentah utama seperti simen, pasir dan besi.

“Menerusi cadangan pengecualian barang-barang tersebut daripada SST dan kaedah pelaksanaan cukai SST yang lebih baik berbanding GST, saya berharap pihak pemaju dan pembeli mendapat faedah berikutan pengurangan beban cukai ini,” katanya dalam satu kenyataan, Ahad.

Di bawah regim GST, bahan-bahan asas seperti batu-bata, simen, pasir dan lain-lain bahan pembinaan dikenakan GST pada kadar enam peratus.

Malah, perkhidmatan pembinaan juga turut dikenakan GST sebanyak enam peratus.

Berikutan itu, kata Lim, ia telah meningkatkan kos pembinaan di bawah era GST termasuk kenaikan harga rumah.

- BERNAMA

Sabtu, November 04, 2017

Tony Fernandes Berkongsi Pengalaman Dalam Memoir


Selepas lebih satu dekad bertungkus-lumus melalui onak dan duri sebagai seorang usahawan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad, Tan Sri Tony Fernandes kini mahu menghargai kehidupan dan ‘berehat’.

Menerusi wawancara bersama portal berita Channel News Asia sempena pelancaran memoir terbarunya, Flying High pada Isnin, Tony yang sering bekerja 18 jam sehari pernah beranggapan bahawa tidur itu membuang masa. Beliau berkata, dia kini mahu ‘bergerak perlahan’.

Memoir yang mengisahkan lelaki berusia 53 tahun itu, menggambarkan dirinya sebagai seorang lelaki yang telah ‘melakukan segala-galanya pada kadar maksimum.’

Bagaimanapun, beliau menyedari bahawa hidup memerlukan keseimbangan, dan adalah penting untuk seseorang mendapatkan rehat yang sewajarnya.

Beliau juga berkata: "Adalah mustahil untuk memberi 100 peratus, setiap hari."

Memoir 244 muka surat itu keseluruhannya menceritkan kehidupan usahawan Malaysia berkenaan bermula dari zaman kanak-kanak, zaman remaja sebagai pelajar sekolah menengah di United Kingdom kemudian dari menjalankan sebuah syarikat muzik kepada syarikat penerbangan.

“Apabila saya menjelajah dari satu negara ke satu negara lain, ia hanya kerana mesyuarat. Sekarang, saya mahu lebih luangkan masa untuk menikmati budaya dan tempat itu.

“Kini, saya rasa lebih efektif kerana lebih stabil,” ujarnya kepada Channel News Asia.

Menurut Tony, kestabilan ini datang dari isterinya, Chloe. Mereka menjalinkan hubungan selama dua tahun sebelum mengikat tali perkahwinan dua minggu lalu. Pasangan itu pertama kali bertemu di sebuah restoran di Paris.

Tony menggambarkan isterinya yang merupakan warga Korea Selatan itu sebagai ‘faktor kestabilan yang baik’ bagi dirinya.

Isnin, September 07, 2015

Tawaran Menarik Syarikat Penerbangan Disebalik Kelemahan Ringgit



Syarikat penerbangan dan pelancongan terus mempromosikan pelbagai tawaran menarik termasuk tambang murah dan destinasi baru kepada para pelanggan di sebalik kelemahan dan kejatuhan nilai ringgit di pasaran antarabangsa, demikian lapor StarBiz, sisipan bisnes akhbar The Star.


Malindo Air misalnya memperkenalkan laluan baru ke Amritsar, India dengan harga pergi-balik sekitar RM1,200 sahaja manakala AirAsia turut menawarkan laluan baru iaitu ke Goa, dengan tambang sehala serendah RM12 sahaja.

Kedua-dua laluan baru itu adalah yang pertama kali ditawarkan oleh syarikat-syarikat penerbangan ini dan tidak dapat dinafikan yang ia adalah destinasi pelancongan yang popular di India.

Minggu lalu juga turut menyaksikan kemunculan semula All Nippon Airways (ANA) iaitu syarikat penerbangan Jepun ke KLIA selepas sekian lama menarik diri.

Laporan yang memetik agensi-agensi dan pengendali industri pelancongan baru-baru ini menyatakan, situasi ekonomi yang lembab, pelaksanaan GST dan nilai ringgit yang merudum telah menjejaskan sektor berkenaan.

Ringgit adalah matawang yang paling teruk dilanda krisis tahun ini berbanding negara-negara lain jatuh sehingga 18% yang bersamaan dengan kedudukan paling rendah dalam tempoh 17 tahun iaitu sekitar RM4.29 berbanding dengan AS$1 pada 26 Ogos lalu.

Kini ramai dikatakan telah memilih untuk menghabiskan cuti tahunan mereka di dalam negara berbanding luar negara.

"Orang ramai lebih berhati-hati dan berkira dalam keadaan situasi sekarang tetapi pada masa yang sama mereka masih ingin melancong atau bercuti lebih-lebih menjelang musim cuti nanti," kata seorang eksekutif syarikat penerbangan.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes ketika dihubungi berkata pihaknya tidak nampak, kejatuhan nilai ringgit akan menjejaskan industri pelancongan.

Sebaliknya, kata beliau, orang ramai akan lebih memilih untuk mengambil pakej perjalanan yang lebih pendek.

Sewaktu berlangsungnya Ekspo Matta, Penerbangan Malaysia Berhad (MAB) menawarkan diskaun sehingga 50% untuk beberapa destinasi tertentu, Malindo pula menawarkan tambang serendah RM15 manakala AirAsia pula menawarkan kerusi percuma bermula Isnin.

Malah syarikat-syarikat penerbangan dari Asia Tengah, seperti Emirates, Etihad dan Qatar Airways turut menurunkan harga untuk kekal kompetatif di pasaran yang sengit.

Ketua Pegawai Eksekutif Malindo, Chandran Rama Muthy berkata, respon pelanggan ke atas laluan baru ke Amritsar sangat menggalakkan.

Sementara Tony Fernandes pula berkata, jualan ke laluan baru mereka, Goa mencatatkan jualan rekod pada Khamis.

"Untuk tempoh tiga bulan akan datang, perjalanan ke destinasi itu telahpun 60% habis dijual," kata Tony Fernandes lagi.

Kembalinya ANA ke KLIA menunjukkan yang trafik keluar dari Malaysia telah kembali meningkat dan sasaran mereka ialah laluan KL-Tokyo-Amerika. Ini diakui oleh Naib Presiden Kanan Jualan ANA, Jun Katagiri.

ANA kini menawarkan harga promosi sempena kembalinya mereka ke KLIA, RM1,000 sahaja bagi laluan KL-Tokyo manakala Los Angeles sebanyak RM2,600 dan New York sebanyak RM3,100 sahaja.

Sebelum ANA, British Airways sudah pun kembali beroperasi di KLIA dan menjelang Oktober nanti, giliran AirChina pula.

Malang sekali, AirFrance mengambil keputusan untuk menamatkan operasinya dari KLIA juga pada bulan Oktober.

Persatuan Penerbangan Asia Pasifik melaporkan, syarikat penerbangan yang beroperasi dari rantau Asia mencatatkan jumlah penumpang sebanyak 23.7 juta orang iaitu pertambahan sebanyak 6.5% untuk tempoh yang sama tahun lalu. Manakala trafik penerbangan di rantau Asia Pasifik pula menunjukkan peningkatan sebanyak 8.5% pada Julai.

Sementara penerbangan keluar mungkin akan berhadapan dengan penurunan permintaan ekoran nilai ringgit yang lembab tetapi pada masa yang sama, penerbangan masuk mungkin akan menyaksikan peningkatan yang mendadak kerana kedatangan pelancongan yang ramai ekoran kuasa membeli yang tinggi



Rabu, November 05, 2014

Tarif elektrik di Semenanjung kekal hingga Jun 2015

Kerajaan memutuskan untuk mengekalkan kadar tarif elektrik di Semenanjung sehingga Jun tahun 2015.

Untuk tujuan itu, kerajaan menampung kos RM1.683 billion bagi bahan api dan penjanaan menggunakan hasil penjimatan daripada rundingan semula Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA), Penjana Tenaga Bebas (IPP) Generasi Pertama dan mengekalkan harga gas berpaip yang dibekalkan oleh PETRONAS kepada Sektor Elektrik.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata tarif elektrik di Semenanjung ditetapkan melalui sistem Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) iaitu satu komponennya adalah mekanisme ketidakseimbangan pelepasan kos bahan api (ICPT) yang dilaksanakan sejak Januari lalu.

Mekanisme itu, katanya, membolehkan kerajaan menyemak kadar tarif setiap enam bulan berdasarkan perubahan dalam harga bahan api dan penjanaan.

"Mekanisme ICPT mengambil kira perubahan harga gas berpaip, gas asli cecair (LNG), arang batu, minyak jenis 'medium fuel oil' (MFO) dan kos penjanaan lain berkaitan PPA, kos pembekalan daripada Tenaga Boleh Baharu (TBB) dan pembelian tenaga elektrik dari negara luar.

"Sistem sama diamalkan di kebanyakan negara maju dan membangun seperti Australia dan United Kingdom selain negara anggota ASEAN termasuk Singapura, Thailand dan Filipina.

"Mekanisme ini membenarkan kadar tarif yang mencerminkan kos pembekalan elektrik yang lebih telus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ongkili berkata, jumlah kos ICPT bagi tempoh Januari hingga Jun 2014 ialah RM465.93 juta, manakala Julai hingga Disember 2014 sebanyak RM382.03 juta.

"Jumlah keseluruhan adalah RM847.96 juta, bersamaan kenaikan kadar tarif elektrik 1.62 sen/kWj, akan ditampung melalui penjimatan hasil rundingan semula PPA, IPP Generasi Pertama," katanya.

Beliau berkata, selepas mengambil kira kos ICPT bagi mengekalkan kadar tarif, baki penjimatan hasil rundingan semula PPA, IPP Generasi Pertama adalah RM170 juta dan tidak mencukupi menampung kos ICPT akan datang.

Katanya, susulan penangguhan kenaikan harga gas berpaip, PETRONAS akan menanggung pendapatan terdahulu bagi tempoh Julai 2014 hingga Jun 2015 sebanyak RM836 juta.

"Sebagai kerajaan bertanggungjawab dan prihatin terhadap kebajikan rakyat, keputusan dibuat adalah untuk mengurangkan impak rasionalisasi subsidi dan ketidaktentuan harga di peringkat global. Namun, ini tidak dapat menjamin kelestarian pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.

"Oleh yang demikian, kementerian menggesa rakyat memainkan peranan menggunakan tenaga elektrik secara berhemah dan mengurangkan pembaziran.

"Antara langkah yang boleh diambil ialah menggunakan peralatan elektrik cekap tenaga, memadamkan peralatan elektrik yang tidak digunakan dan menetapkan suhu termostat alat penghawa dingin pada 24 darjah Celsius," katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga mahu pihak utiliti sentiasa berusaha menyediakan bekalan elektrik yang efisien, mencukupi, berdaya harap dan kos efektif demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Sumber : BERITA HARIAN

Selasa, Oktober 28, 2014

Subsidi petrol mulai 2015

Golongan berpendapat­an tinggi iaitu melebihi RM10,000 sebulan tidak akan menerima subsidi petrol dan perlu membayarnya mengikut harga pasaran.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadz­lah (gambar) berkata, ini kerana nilai pemberian subsidi petrol yang akan diumumkan kerajaan adalah berdasarkan kumpulan pendapatan yang akan ditentukan nanti.

Katanya, kumpulan akan dipe­cahkan kepada tiga kelompok dengan golongan berpendapatan rendah dan menengah sahaja yang akan diberikan subsidi, manakala berpendapatan tinggi tidak me­nerima subsidi.

“Secara kasarnya individu yang berpendapatan rendah kurang di bawah RM5,000 sebulan akan diberi subsidi sepenuhnya, manakala berpendapatan menengah bermula RM5,000 hingga RM10,000 sebulan menerima subsidi pada kadar lebih rendah. Keutamaan adalah untuk membantu kumpulan sasar yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perbankan Islam Antarabangsa Bank Rakyat di sini hari ini. Turut hadir Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mat Noor Nawi.

Semasa pembentangan Bajet 2015, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan akan membangunkan satu mekanisme baharu pemberian subsidi petroleum, agar pemberiannya lebih tersasar kepada golongan yang memerlukan.

Mengikut laporan sebelum ini, rasionalisasi subsidi diesel dan petrol untuk menjaga kepentingan golongan disasar mungkin akan dilaksanakan pada Januari tahun depan bagi diesel dan Jun bagi petrol RON95.

Mekanisme pelaksanaan rasionalisasi subsidi itu akan diumumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang masih menunggu cadangan daripada syarikat-syarikat tempatan.

Kata Ahmad Husni, pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diagihkan mengikut pendapatan isi rumah, sementara subsidi petrol adalah berdasarkan pendapatan individu.

Peruntukan subsidi telah me­ningkat 14 kali ganda daripada RM1.65 bilion pada 2002 kepada RM23.5 bilion pada 2013. Hal itu disebabkan peningkatan jumlah kenderaan daripada 13.6 juta pada 2008 kepada 23.7 juta buah pada 2013.

Najib akan mengumumkan mekanisme pemberian subsidi itu dalam masa terdekat, bagi menggantikan kaedah ketika ini yang mana subsidi dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, termasuk golongan berpendapatan tinggi.

Sumber : UTUSAN

Selasa, Oktober 14, 2014

Senarai Penuh Barangan Dikecualikan GST

Kerajaan telah mendedahkan senarai nama barangan yang dikecualikan daripada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), yang akan berkuat kuasa pada 1 April 2015.

Terdapat lebih 900 barangan dan perkhidmatan yang dikecualikan daripada GST.

Antara perkhidmatan yang dikecualikan cukai ialah pendidikan swasta dan perkhidmatan kesihatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan beberapa kategori barangan yang dikecualikan daripada GST dalam ucapan pembentangan Bajet 2015 Jumaat lalu.

Senarai penuh barangan dan perkhidmatan yang dikecualikan daripada GST telah digazetkan dan kini boleh diketahui dengan melayari laman web, e-Warta Persekutuan : http://www.federalgazette.agc.gov.my/bm_index.php

Sumber : mSTAR

Recent Posts