Memaparkan catatan dengan label Artis. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Artis. Papar semua catatan

Khamis, September 15, 2022

Aman Shah meninggal dunia

 


Pelakon dan penyanyi era 80-an, Aman Shah, 68, menghembuskan nafas terakhir selepas melakukan pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN), kira-kira jam 2.20 petang Rabu.

Berita pemergian penyanyi yang popular menerusi lagu Kepulangan Yang Dinanti itu disahkan anak saudaranya, Mohd Naufal Abdul Latiff kepada BH Online.

Mohd Naufal berkata, arwah dimasukkan ke IJN pada 9 September lalu, bagaimanapun menjalani pembedahan memasang kateter belon atau sten, semalam.

Bagaimanapun, katanya, keadaan kritikal dan tidak stabil sehinggalah menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Koronari (CCU), petang ini.

"Hari ini, beberapa kali Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) terpaksa dilakukan. Namun, keadaan arwah tidak menunjukkan tindak balas yang baik.

"Pilihan terakhir, arwah terpaksa diberikan bantuan pernafasan. Bagaimanapun, tak sampai tempoh satu jam, arwah menghembuskan nafas terakhir," katanya kepada BH Online.

Katanya, arwah sudah lama menghidap penyakit kencing manis dan jantung, malah, pernah berdepan beberapa serangan jantung termasuk di rumahnya, dua minggu lalu.

"Saya memang rapat dengan arwah. Sejak beberapa bulan ini, saya menegurnya apabila melihat keadaannya kurang sihat.

"Arwah mengakui keadaannya sudah teruk apabila tidak mendapatkan rawatan di IJN, selain sepatutnya arwah perlu melakukan pembedahan memasukkan sten dengan segera.

"Kondisi kesihatan arwah agak parah selepas terkena serangan jantung di Kota Bharu, Melaka dan terbaru, di rumahnya.

"Dua minggu lalu, arwah dikejarkan dan dimasukkan ke Hospital Serdang," katanya.

Mohd Naufal berkata, dia bersama anak arwah, Hadzly Aman Shah dan beberapa ahli keluarga sejak pagi tadi apabila diberitahu kondisi arwah semakin kritikal.

"Dalam pertemuan terakhir, arwah berpesan, di mana beliau menghembuskan nafas terakhir, di situlah jenazahnya disemadikan.

"Jenazah arwah akan dibawa ke Masjid Al-Mukhlisin Alam Damai, Cheras sebelum dikebumikan hari ini.

"Bagaimanapun, kami masih menguruskan beberapa prosedur sebelum membawa jenazah ke masjid," katanya.

Terdahulu, pada era 1980 dan 1990-an, bakat nyanyian dan lakonan Aman Shah atau nama sebenarnya, Aman Shah Abu Kassim cukup disanjungi.

Lagu popular menjadi siulan ialah Adikku Pandai Menari, manakala setiap kali menjelang Syawal, Kepulangan Yang Dinanti pasti mendapat pilihan corong radio.

Memiliki personaliti menarik, tinggi lampai dan wajah tampan, menjadikan jejaka kelahiran Johor Baharu itu laris di layar lebar.

Menonton filem Darah Satria pasti membangkitkan semangat anak muda menyertai kerjaya sebagai perajurit. Selain itu, Aman Shah juga membintangi filem Cikgu Sayang, Sayang Ibu dan Bas Konduktor

Dilahirkan pada 26 April 1954, Aman Shah pernah menghilangkan diri seketika. Beliau pernah bertugas di Arab Malaysia Development Berhad mulai 1992 hingga 2007, sekali gus mengurangkan aktiviti seninya.

Beliau tidak pernah menyimpan impian akan menjadi insan popular kerana kerjayanya hanya bermula di bawah khemah orang kahwin sekitar 1965.

Ketika itu, penyanyi terkenal era 1960-an, Allahyarham Datuk A Rahman Hassan bermain gitar pada satu majlis perkahwinan di Johor Bahru.

Aman Shah yang baru belajar dalam Darjah Lima memberanikan diri bermain gitar pada waktu rehat. Minatnya bermain gitar semakin menebal, namun tidak pernah mendapatkan pendidikan formal, sebaliknya belajar daripada buku muzik.

Apabila memasuki Tingkatan Lima, Aman Shah sudah menubuhkan kumpulannya sendiri, The Rembles apabila bertindak sebagai penyanyi dan pemain gitar utama.

The Rembles pernah dinobatkan sebagai Juara Kugiran Pesta Negeri Sembilan 1971. Nama The Rembles begitu digeruni apabila sering menyapu bersih gelaran juara setiap kali diadakan pertandingan kugiran atau nyanyian sekitar Johor dan Negeri Sembilan.

Perjalanan Aman Shah ke kota besar Kuala Lumpur bermula pada 1973. Setibanya di Kuala Lumpur, Aman Shah menumpang tidur di Bilik Musafir, Masjid Negara kerana tidak cukup wang untuk menginap di hotel.

Keesokan harinya, barulah tiba ke rumah artis terkenal, Sukarni Jaafar di Klang Gate untuk tumpang berteduh.

Akhirnya, Aman Shah menyertai Booty's Boys dan menerima gaji bulan RM2,000. Pada masa itu, khususnya awal 1970- an, jumlah itu dianggap terlalu lumayan baginya.

Sejak itu, Aman Shah bersama Booty's Boys sering mendapat undangan bermain muzik sekitar hotel di Kuala Lumpur dan tidak lama kemudian, Aman Shah bertemu dengan mendiang Mike Bernie, sekali gus menawarkannya menjadi artis syarikat rakaman EMI Music pada 1979.

Menerusi album Aman Shah 5, dia tampil dengan lagu popularnya, Adikku Pandai Menari yang dirakam pada 1983.

Selain itu, Aman Shah muncul dengan Mawarku, Cinta Tak Seindah Diucap, Dunia Orang Muda, Ku Mengerti Erti Sepi dan Kisah Gadis Keriangan.

Aman Shah bukan sekadar berbakat sebagai penyanyi, malah pernah maju setapak apabila bergelar komposer. Lagu ciptaannya, Perjalanan Sepi dendangan Shara Eqnor pernah menyertai pertandingan nyanyian First Asian Song Festival di Nagoya, Jepun pada 1989.

Lagu popular lain ciptaan Aman Shah ialah Mata dendangan Noor Kumalasari. Aman Shah juga terus mencipta populariti sebagai komposer hebat apabila dianugerahkan kembar tiga platinum di atas penjualan album kumpulan Ekamatra yang mengandungi lagu popular, Pusara Di Lebuh Raya.

Beliau terus melebarkan kerjaya seninya apabila berjinak-jinak sebagai pelakon. Aman Shah mula berlakon drama RTM sekitar 1980.

Antara drama lakonannya ialah Selembut Sutra dan Ke Puncak Jaya. Tidak lama selepas itu, Aman Shah sudah mampu bergelar penerbit.

Beliau pernah menerbitkan drama bangsawan untuk TV3, namun drama swasta pertama terbitannya ialah Mawas yang dihasilkan sempena ulang tahun kedua TV3.

Aman Shah akhirnya bertemu jodoh ketika usianya mencecah 24 tahun dengan Miss Kelantan, Rohani Nik berasal dari Dungun, Terengganu. Namun, rumah tangganya bertahan dua tahun.

Ketika menyertai program hiburan, Pusparama di Singapura, Aman Shah bertindak sebagai hos dan jatuh cinta pandang pertama kepada Farah Diba Abdul Aziz yang turut membuat persembahan bersama kumpulan duo, The Queens.

Setahun berkenalan, Farah yang berasal dari Bedok, Singapura ditunangkan bersama Aman Shah pada usia 14 tahun.

Mereka bercinta selama enam tahun. Akhirnya pada 21 Disember 1986, Aman Shah dan Farah bersanding di Bedok Tampines, Singapura selepas bernikah gantung di Jelebu.

Majlis persandingan di Singapura berlangsung meriah selama tiga hari, tiga malam. Namun, perkahwinan keduanya hanya mampu bertahan kira-kira empat tahun dan dikurniakan tiga cahaya mata.

Perkahwinan ketiga Aman Shah dikurniakan dua cahaya mata, namun beliau tidak pernah mendedahkan identiti isterinya.

Sumber : Berita Harian

Jumaat, Ogos 05, 2022

Mizz Nina dan Noh Salleh bercerai

 


Pasangan selebriti, Mizz Nina dan Noh Salleh dikatakan sudah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur.

Sumber Harian Metro berkata, pasangan itu terlebih dulu memfailkan perceraian pada 14 Jun lalu di mahkamah sama.

Difahamkan, perceraian mereka di bawah kod kes 055 iaitu permohonan lafaz talak dengan kebenaran mahkamah.

Sebelumnya, akhbar ini melaporkan Noh, 37, atau nama sebenarnya, Mohammad Noh Salleh menafikan desas-desus keretakan rumah tangga yang bertebaran di media sosial pada 13 Julai lalu.

"Entahlah, tiada komen. Korang semua kena tipu…good luck (selamat berjaya)," katanya ketika ditemui media.

Kemudian, beberapa hari selepas itu Mizz Nina, 42, atau nama sebenarnya, Shazrina Azman memuat naik hantaran di Instagram yang seolah-olah memberi bayangan dia sedang melalui saat-saat sukar hingga mengundang pelbagai reaksi netizen.

Masih mengunci mulut mengenai dakwaan rumah tangganya dengan Noh, ruangan komen dipenuhi dengan ucapan mendoakan yang terbaik buat Mizz Nina.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 2 Julai 2011. Sekitar April lalu, pasangan itu memperkenalkan Musa sebagai anak angkat bagi menyerikan rumah tangga mereka.

Sumber : Harian Metro

Sabtu, Julai 23, 2022

Wany Hasrita sah milik jejaka profesional industri penerbangan

 


Penyanyi Wany Hasrita, 30, selamat bernikah dengan jejaka pilihan, Mohd Al-Adib Fahmi Harun, 30, dengan dua kali lafaz di sebuah premis acara di Damansara Perdana, di sini, pada jam 9.11 malam tadi.

Pasangan itu dinikahkan bapa pengantin perempuan Hasbullah Hassan, 56, dengan disaksikan Penolong Pendaftar Perkahwinan Qariah Masjid Al Mukarramah Daerah Petaling, Mat Syaharuddin Al Rasyid Mat Isa.

Pada majlis itu, Wany atau nama sebenar, Nurshazwany Hasrita Hasbullah menerima mas kahwin sebentuk cincin berlian. Bagaimanapun, wang hantaran dirahsiakan serta tiada dulang hantaran daripada kedua-dua pihak.

Wany yang popular dengan lagu Menahan Rindu bersyukur majlis dirancang lancar dan berterima kasih kepada keluarga, rakan dan peminat yang sentiasa mendoakan yang terbaik buat dirinya.

"Alhamdulillah, saya bersyukur majlis pernikahan ini lancar dan dipermudahkan Allah.

"Terima kasih kepada emak, ayah, keluarga, rakan-rakan, media dan peminat yang tanpa jemu menitipkan doa yang baik-baik buat saya tidak kira untuk kerjaya mahu pun peribadi.

"Insya-Allah, ini adalah fasa baharu buat saya dan suami. Perjalanan kami masih panjang. Tanggungjawab menjadi isteri dan dalam masa sama bergelar anak seni akan saya cuba berikan yang terbaik.

"Cuma, selepas ini tentu saja keluarga menjadi keutamaan saya.

"Saya berdoa semoga segala-galanya dipermudahkan. Paling penting, saya

mohon semua pihak mendoakan yang terbaik buat saya dan suami dalam melayari bahtera perkahwinan ini," katanya.

Berkongsi mengenai jejaka yang berjaya menambat hati dan bekerja dalam bidang penerbangan di Kuching, Sarawak itu, Wany berkata, mereka mula rapat sejak 2019.

"Kalau diikutkan saya sudah kenal Adib sejak 2010. Ketika itu, saya kenal

dia melalui rakan baik yang juga sepupunya… Kenal macam tu saja.

"Ketika itu pun, saya belum jadi penyanyi lagi. Cuma, pada 2019 barulah kami mula rapat.

"Kami ikut satu sama lain di Instagram (IG) dan banyak berhubung di situ.

"Pada suatu hari, dia melawak mengenai kartun Thomas & Friends. Saya pun boleh layan.

"Sejak itu, kami terus 'ngam' dan saling memahami dalam banyak perkara.

"Tidak ada istilah 'declare' menjadi kekasih dalam perhubungan kami. Masing-masing faham perasaan dan hati. Akhirnya, kami putuskan untuk membawa perhubungan ini ke fasa yang lebih serius," katanya.

Wany yang juga Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 pada 2018, berkata, mereka bertunang pada 26 Februari lalu.

"Apabila sudah rapat, kami terus fikir dan rancang ke fasa seterusnya.

"Apatah lagi ketika itu (pada 2019) masing-masing sudah berumur 28 tahun. Selama ini saya tidak terlalu 'looking forward' untuk berkahwin. Tapi selepas rapat, semuanya 'ngam' dan serasi dari segi semua perkara.

"Malah, dari mula perhubungan ia bukan lagi untuk cuba-cuba tapi memang nak berkahwin. Dia pun sama juga begitu. Itu yang kami ambil keputusan untuk bertunang terlebih dahulu pada 26 Februari lalu di sebuah hotel di Sepang, Selangor.

"Majlis itu hanya dihadiri ahli keluarga dan rakan terdekat saja.

"Kalau diikutkan perancangan nak berkahwin dibuat lebih awal, tapi disebabkan jarak kami di mana dia bekerja di Kuching, masa dan komitmen kerjaya, kami ambil keputusan untuk cari waktu paling sesuai.

"Ditambah pula kita sudah masuk fasa peralihan endemik, jadi kami fikir ini waktu yang tepat," katanya.

Dilihat mengambil sikap berahsia dalam perhubungan yang dibina, Wany yang juga pemenang tempat ketiga Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL 35) menerusi lagu Belenggu Rindu duet bersama Datuk Jamal Abdillah berkata, perkara itu lebih kepada menghormati peribadi suaminya.

"Bukan rahsia sebenarnya. Saya pun belajar daripada pengalaman sebelum ini yang mana selagi belum ada ketetapan yang sahih dalam perhubungan itu tidak perlu dikongsikan.

"Itu sebab dalam perhubungan kali ini, saya ambil pendekatan begitu. Biar semuanya sudah 'confirm' barulah kita kongsikan.

"Lagi pula dia juga bukan seorang yang cenderung kepada media sosial. Dia tak suka menonjolkan diri apatah lagi di media sosial.

"Jadi saya kena belajar untuk menjaga privasi itu. Walaupun dia jenis tak kisah, tapi saya sendiri yang nak menjaga atas dasar menghormati," katanya.

Ditanya mengenai penerimaan suami terhadap kerjaya dan status dirinya sebagai selebriti terkenal, Wany berkata, Adib sangat memahami.

"Macam dikatakan, dia bukan jenis 'kaki media sosial'. Disebabkan itu dia tak ambil tahu sangat. Lagu saya pun dia tak tahu banyak, jauh sekali soal gosip. Pendek kata, suami bukan seorang yang minat dalam industri hiburan.

"Alhamdulillah, dia menerima saya seadanya dan sangat baik. Dia memahami kerjaya saya dan tak kacau. Cuma berpesan apa yang perlu dijaga, kena jaga.

"Pendek kata, dia meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada saya untuk menjaga diri. Pada masa sama, dia pun tahu siapa kawan-kawan saya, sebaliknya begitu juga saya," katanya.

Melalui perhubungan jarak jauh selama ini, Wany berkata mereka menjalaninya dengan baik sahaja selain Adib yang juga berasal dari Kuching, Sarawak.

"Kami okay saja 'long distance relationship' (LDR). Kami menjalani hubungan ini macam biasa dan tak ada isu pun. Nak kata keluar bersama, memang jarang sekali.

"Sepanjang tiga tahun ini, boleh kira tak lebih 10 kali. Di IG memang tak pernah letak pun gambar dia. Siapa yang tahu saja tahu," katanya.

Majlis pernikahan itu dihadiri kira-kira 300 tetamu merangkumi kedua-dua keluarga, rakan rapat dan media.

Busana kedua mempelai pula mendapat sentuhan pereka Altelia Amani.

Majlis kesyukuran bagi meraikan pasangan pengantin baharu ini akan diadakan di Cheras, Ahad ini.

Sumber : Berita Harian

Ahad, Jun 19, 2022

Adibah Noor meninggal dunia rahsiakan derita kanser daripada bapa

 


Penyanyi dan pelakon, Allahyarham Adibah Noor yang meninggal dunia disebabkan kanser ovari tahap empat Sabtu lalu menyembunyikan derita penyakit tersebut bukan sahaja daripada pengetahuan umum, bahkan bapa sendiri.

Bapa Allahyarham, Mohd. Omar Zainal Abidin, 89, yang ditemui Kosmo! Online usai pengebumian anaknya itu sebentar tadi memaklumkan dia sendiri tidak mengetahui anaknya menghidap penyakit penyakit tersebut

“Saya tak tahu. Dia tidak beritahu walaupun saya ayahnya. Dia pergi hospital pun dia tidak beritahu. Tapi kalau Tuhan nak ambil, Dia ambil juga.

“Itu anak saya nombor tiga. Dia seorang yang taat dan pemurah. Kalau orang lain nak kata dia kedekut, terpulanglah. Bagi saya dia okey, semuanya okey.

“Saya tiada apa nak cerita, tiada apa yang nak dipanjangkan. Mohon doakan yang baik-baik buat anak saya,” katanya.

Tambahnya lagi, Allahyarham juga bukan jenis yang suka menyusahkan walaupun ahli keluarga sendiri.

“Ramai tak tahu dia sakit. Saya pun lambat juga diberitahu. Anak-anak saya semua macam begitu. Dia hanya cakap sakit bahagian perut.

“Dia masuk hospital pun dia tak cakap. Dia memang jenis tak nak menyusahkan orang,” katanya.

Terdahulu, Allahyarham Adibah Noor, 52, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat, di sini, pukul 11.30 pagi.

Terdahulu, jenazah arwah dimandi dan disembahyangkan di Masjid Al-Ansar, Taman Keramat sekitar pukul 9 pagi.

Lebih 100 orang termasuk rakan artis dan penggiat seni hiburan tanah air hadir memberi penghormatan terakhir termasuklah Datuk Afdlin Shauki, Nikki Palikat, Suki, Remy Ishak, Nadiya Nissa, Ruzana Ibrahim, Liza Abdullah, Anuar Zain, Ziana Zain, Nadiya Nissa, Ruzana Ibrahim, Sharifah Amani, Saiful Apek dan Linda Onn.

Adibah atau nama sebenarnya, Adibah Noor Mohd. Omar menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gleneagles akibat penyakit kanser ovari tahap empat pukul 7.30 malam, semalam. 

Sumber : KOSMO!

Rabu, Jun 15, 2022

Hamid Gurkha meninggal dunia

 


Pelawak legenda, Hamid Gurkha, 90, menghembuskan nafas terakhir akibat penyakit tibi dan beberapa komplikasi lain di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, dekat sini, jam 2.19 petang ini.

Berita pemergian Hamid atau nama sebenarnya, Abdul Hamid Abdul Rahman disahkan anak bongsunya, Nor Ashita Hamid.

Nor Ashita berkata, doktor mengesahkan arwah bapa mempunyai penyakit tibi dan beberapa komplikasi lain.

"Kami reda atas pemergian arwah.

"Allah lebih menyayangi arwah selepas enam hari dimasukkan ke hospital," katanya kepada BH Online.

Katanya, jenazah arwah masih berada di hospital untuk melalui beberapa prosedur.

"Saya dan adik-beradik tak dapat menjangkakan bila pengebumian akan dilaksanakan.

"Mungkin hari ini atau esok, tetapi kami berharap urusan pengebumian dapat dipercepatkan," katanya.

Khamis lalu, Nor Ashita menafikan arwah dalam keadaan tenat hingga terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

Bagaimanapun, Nor Ashita memaklumkan, arwah bapanya dalam keadaan stabil dan terkawal selepas dirawat di hospital akibat selepas mengalami batuk teruk.

Terdahulu, BH melaporkan pada Aidilfitri lalu, keadaan Hamid hanya terlantar atas katil selepas diuji jangkitan COVID-19 pada Februari lalu.

Namun, bintang yang mula dikenali menerusi filem Panglima Badol pada 1978 tidak mengalami penyakit kronik, sebaliknya hanya masalah pendengaran disebabkan kian uzur pada usia menginjak 90 tahun.

Hamid dan Timah Abdul Hamid, 80, mendirikan rumah tangga enam dekad pada April 1957.

Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan lapan cahaya mata, namun dua daripadanya meninggal dunia. Beliau juga dikurniakan 32 cucu dan 18 cicit.

Sumber : Berita Harian

Rabu, Jun 01, 2022

Aripah Damanhuri sudah tiada


 

Pelakon veteran Aripah Damanhuri, 73, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL), jam.8.15 pagi ini akibat kegagalan fungsi organ dalam badan selepas lebih sebulan dirawat di hospital sejak 23 April lalu.

Anaknya, Fais Nurpais Ismail dihubungi yang mengesahkan berita sedih ini, memaklumkan Allahyarham ibunya baharu dipindahkan ke wad biasa dari Unit Rawatan Rapi (ICU) kira-kira lima hari lalu.

"Keadaan mak sebelum ini nampak semakin stabil sehinggalah doktor akhirnya memindahkan arwah dari ICU ke wad biasa untuk meneruskan rawatan. Tapi, sudah suratan takdir yang Allah tetapkan, mak akhirnya pergi jua.

"Kami sekeluarga reda dengan pemergian mak dan ucapkan terima kasih kepada doktor serta jururawat yang sudah merawat mak sepanjang di hospital ini. Begitu juga, terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesihatan mak," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Faiz Nurpais, keadaan ibunya ketika di ICU hospital sebelum ini pun sudah sedar dan boleh membuka mata serta menggerak-gerakkan jari. Cuma, katanya Allahyarham tidak boleh bercakap.

"Selama melawat mak di hospital, keadaan kesihatannya nampak okey dan stabil kerana dia sudah sedar, boleh buka mata dan menggerakkan jari. Mak juga tahu apa yang kita cakapkan dengannya.Tapi, inilah takdir.

"Allhahyarham mak akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudatul Sakinah Taman Batu Muda pada hari ini, dan sekarang urusan dengan pihak pengurusan tanah perkuburan masih dilakukan," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Aripah dimasukkan ke HKL pada 23 April lalu selepas paras oksigen menurun dan terpaksa ditidurkan.

Bagaimanapun, pada 26 April lalu, Fais Nurpais memaklumkan keadaan kesihatan ibunya, Aripah sudah menunjukkan sedikit tindak balas positif sejak dimasukkan ke ICU HKL untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Difahamkan juga, Aripah yang tiada sebarang penyakit sebelum ini diberitahu mengalami jangkitan kuman dalam darah dan sudah merebak sehingga mengganggu fungsi organ tertentu dalam badannya termasuk di bahagian buah pingga

Sumber : Metro

Wany Hasrita belum ‘pudar’

 


Hampir enam tahun berkecimpung dalam dunia seni hiburan sebagai penyanyi, Wany Hasrita kini boleh dikatakan sebagai antara selebriti wanita popular tanah air yang tidak perlu diperkenalkan lagi.
Pernah menggondol anugerah Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH31) pada 2018, jarang sekali media memaparkan cerita kurang enak mahu pun kontroversi panas membabitkan penyanyi berusia 30 tahun itu.
Imej bersih itu menjadi antara kelebihan yang ada pada diri penyanyi berkening cantik itu. Tanpa perlu menjaja nama sendiri dengan berita-berita tidak enak, pemilik nama lengkap Nurshazwany Hasrita Hasbullah itu masih belum tenggelam lagi walaupun industri dibanjiri ramai pendatang baharu untuk bergelar artis.
Wany yang ditemui Pose sewaktu majlis sidang media program Karaoke Superstar di Garden Theater, The Garden Kuala Lumpur baru-baru ini sempat berkongsi perkembangan terkini serta perancangannya dalam karier seni.
Ujar Wany dalam masa terdekat dia akan mengeluarkan sebuah lagu baharu bergandingan sekali lagi dengan penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah.
“Untuk perkembangan terkini, saya tidak sabar untuk tunggu lagu baharu saya bergandingan sekali lagi dengan Datuk Jamal dilancarkan tidak lama lagi.
“Saya sangat teruja dan gembira apabila diberi peluang sekali lagi untuk menyanyi bersama-sama Jamal Abdillah. Saya rasa bertuah,” katanya.
Dalam keterujaan menunggu lagu baharunya bersama Jamal dilancarkan, Wany pada masa sama risau kerana lagu duetnya bersama Jamal sebelum ini menerusi lagu Belenggu Rindu sudah berada pada tahapnya tersendiri.
“Saya sebenarnya agak risau sebab lagu Belenggu Rindu sudah berada pada tahap terbaik selepas memenangi tempat ketiga dalam Anugerah Juara Lagu ke-35.
“Jadi untuk keluarkan lagi lagu baharu dan berduet pula dengan orang yang sama sebenarnya agak merisaukan saya juga. Bagaimanapun, saya akan buat yang terbaik dan berharap pendengar suka dengan lagu itu nanti,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Wany juga kini sibuk mengumpul material untuk projeknya yang akan datang, juga berkaitan dengan lagu baharu.
Pemegang Sarjana Muda Sains Perubatan dari Universiti Pengurusan dan Sains (MSU), Shah Alam itu menjelaskan, dia kini dalam rangka untuk menghasilkan sebuah lagu baharu yang disuntik elemen lebih segar berbanding lagu-lagu terdahulu.
Ujar Wany, dia mahu menghasilkan sebuah lagu yang masih berkonsepkan balada, namun dalam ‘mood’ gembira.
“Saya mahu hasilkan lagu berlainan dengan apa yang sering saya bawakan sebelum ini. Kebanyakan lagu-lagu berentak balada saya semuanya tentang kesedihan.
“Jadi saya mahu lari daripada kebiasaan dengan menghasilkan lagu balada, namun dalam mood gembira,” katanya.
Wany turut bersyukur apabila perjalanan karier seninya untuk tahun 2022 setakat ini berjalan lancar dengan beberapa perancangan.
Biarpun timbul khabar angin mendakwa namanya kian menyepi, Wany cuma berjalan mengikut apa yang telah dirancang.
Bakal melebarkan sayapnya sebagai usahawan, Wany kini dalam proses awal untuk mengeluarkan produk sendiri berasaskan kosmetik sekali gus menceburkan diri dalam bidang perniagaan.
Sumber : Kosmo!

Sabtu, Februari 12, 2022

Jit Murad ditemui tidak bernyawa di rumah

 

Pelakon, pengarah dan aktivis teater, Jit Murad, 62, ditemui tidak bernyawa oleh rakan-rakan di kediamannya di Bukit Damansara, jam 2.15 petang, hari ini.

Berita pemergian Jit atau nama sebenarnya, Aziz Mirzan disahkan oleh teman baiknya, Fizar Harun kepada BH Online.

Fizar berkata, dia dan beberapa teman cuba menghubungi arwah, namun tidak berjawab.

"Jadi, saya dan beberapa teman bergegas ke kondominiumnya untuk memeriksa.

"Namun, kami menemui arwah sudah tidak bernyawa," kata Fizar.

Fizar berkata, dia berkawan rapat dengan arwah, namun, sudah beberapa tahun tidak bertemu.

"Sehingga kini, punca kematian belum dikenal pasti. Saya dan teman-teman masih menunggu keputusan bedah siasat pihak hospital untuk mengetahuinya.

"Mengenai lokasi jenazah dikebumikan, ia terserah kepada keluarga arwah. Ia mungkin akan dimaklumkan esok," katanya.

Terdahulu berita pemergian arwah dikongsi beberapa teman artis termasuk Puan Sri Seri Tiara Jacquelina, Susan Lancester dan Que Haidar dalam laman sosial.

Jit adalah anak kepada bekas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Allahyarham Tan Sri Murad Mohamed Noor.

Beliau mula bergiat aktif dalam dunia perfileman, televisyen dan pentas teater pada 1987. Antara teater popular yang ditulis dan dibintangi termasuklah Spilt Gravy On Rice pada 1995, The Storyteller (1996) dan Gold Rain and Hailstones (2002).

Allahyarham dilahirkan di Kuala Lumpur memiliki pendidikan dalam bidang sosiologi, pengajian bandar dan sejarah seni.

Sepanjang kerjaya, arwah disegani sebagai seorang penulis, pelakon dan penerbit teater yang berdedikasi serta dinamik.

Arwah turut dikenali sebagai penulis prolifik di Asia Tenggara selepas berjaya menghasilkan naskhah kontemporari yang meraih beberapa anugerah termasuk Anugerah Boh Cameronian.

Beliau pernah bekerjasama dengan beberapa nama besar termasuk Datuk Krishen Jit, Datuk Zahim Albakri dan Jo Kukathas.

Arwah pernah membintangi filem Selubung, Mimpi Moon, Talentime dan 1957: Hati Malaya.

Sumber : Berita Harian

 

 

Recent Posts