Memaparkan catatan dengan label aman shah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label aman shah. Papar semua catatan

Khamis, September 15, 2022

Aman Shah meninggal dunia

 


Pelakon dan penyanyi era 80-an, Aman Shah, 68, menghembuskan nafas terakhir selepas melakukan pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN), kira-kira jam 2.20 petang Rabu.

Berita pemergian penyanyi yang popular menerusi lagu Kepulangan Yang Dinanti itu disahkan anak saudaranya, Mohd Naufal Abdul Latiff kepada BH Online.

Mohd Naufal berkata, arwah dimasukkan ke IJN pada 9 September lalu, bagaimanapun menjalani pembedahan memasang kateter belon atau sten, semalam.

Bagaimanapun, katanya, keadaan kritikal dan tidak stabil sehinggalah menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Koronari (CCU), petang ini.

"Hari ini, beberapa kali Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) terpaksa dilakukan. Namun, keadaan arwah tidak menunjukkan tindak balas yang baik.

"Pilihan terakhir, arwah terpaksa diberikan bantuan pernafasan. Bagaimanapun, tak sampai tempoh satu jam, arwah menghembuskan nafas terakhir," katanya kepada BH Online.

Katanya, arwah sudah lama menghidap penyakit kencing manis dan jantung, malah, pernah berdepan beberapa serangan jantung termasuk di rumahnya, dua minggu lalu.

"Saya memang rapat dengan arwah. Sejak beberapa bulan ini, saya menegurnya apabila melihat keadaannya kurang sihat.

"Arwah mengakui keadaannya sudah teruk apabila tidak mendapatkan rawatan di IJN, selain sepatutnya arwah perlu melakukan pembedahan memasukkan sten dengan segera.

"Kondisi kesihatan arwah agak parah selepas terkena serangan jantung di Kota Bharu, Melaka dan terbaru, di rumahnya.

"Dua minggu lalu, arwah dikejarkan dan dimasukkan ke Hospital Serdang," katanya.

Mohd Naufal berkata, dia bersama anak arwah, Hadzly Aman Shah dan beberapa ahli keluarga sejak pagi tadi apabila diberitahu kondisi arwah semakin kritikal.

"Dalam pertemuan terakhir, arwah berpesan, di mana beliau menghembuskan nafas terakhir, di situlah jenazahnya disemadikan.

"Jenazah arwah akan dibawa ke Masjid Al-Mukhlisin Alam Damai, Cheras sebelum dikebumikan hari ini.

"Bagaimanapun, kami masih menguruskan beberapa prosedur sebelum membawa jenazah ke masjid," katanya.

Terdahulu, pada era 1980 dan 1990-an, bakat nyanyian dan lakonan Aman Shah atau nama sebenarnya, Aman Shah Abu Kassim cukup disanjungi.

Lagu popular menjadi siulan ialah Adikku Pandai Menari, manakala setiap kali menjelang Syawal, Kepulangan Yang Dinanti pasti mendapat pilihan corong radio.

Memiliki personaliti menarik, tinggi lampai dan wajah tampan, menjadikan jejaka kelahiran Johor Baharu itu laris di layar lebar.

Menonton filem Darah Satria pasti membangkitkan semangat anak muda menyertai kerjaya sebagai perajurit. Selain itu, Aman Shah juga membintangi filem Cikgu Sayang, Sayang Ibu dan Bas Konduktor

Dilahirkan pada 26 April 1954, Aman Shah pernah menghilangkan diri seketika. Beliau pernah bertugas di Arab Malaysia Development Berhad mulai 1992 hingga 2007, sekali gus mengurangkan aktiviti seninya.

Beliau tidak pernah menyimpan impian akan menjadi insan popular kerana kerjayanya hanya bermula di bawah khemah orang kahwin sekitar 1965.

Ketika itu, penyanyi terkenal era 1960-an, Allahyarham Datuk A Rahman Hassan bermain gitar pada satu majlis perkahwinan di Johor Bahru.

Aman Shah yang baru belajar dalam Darjah Lima memberanikan diri bermain gitar pada waktu rehat. Minatnya bermain gitar semakin menebal, namun tidak pernah mendapatkan pendidikan formal, sebaliknya belajar daripada buku muzik.

Apabila memasuki Tingkatan Lima, Aman Shah sudah menubuhkan kumpulannya sendiri, The Rembles apabila bertindak sebagai penyanyi dan pemain gitar utama.

The Rembles pernah dinobatkan sebagai Juara Kugiran Pesta Negeri Sembilan 1971. Nama The Rembles begitu digeruni apabila sering menyapu bersih gelaran juara setiap kali diadakan pertandingan kugiran atau nyanyian sekitar Johor dan Negeri Sembilan.

Perjalanan Aman Shah ke kota besar Kuala Lumpur bermula pada 1973. Setibanya di Kuala Lumpur, Aman Shah menumpang tidur di Bilik Musafir, Masjid Negara kerana tidak cukup wang untuk menginap di hotel.

Keesokan harinya, barulah tiba ke rumah artis terkenal, Sukarni Jaafar di Klang Gate untuk tumpang berteduh.

Akhirnya, Aman Shah menyertai Booty's Boys dan menerima gaji bulan RM2,000. Pada masa itu, khususnya awal 1970- an, jumlah itu dianggap terlalu lumayan baginya.

Sejak itu, Aman Shah bersama Booty's Boys sering mendapat undangan bermain muzik sekitar hotel di Kuala Lumpur dan tidak lama kemudian, Aman Shah bertemu dengan mendiang Mike Bernie, sekali gus menawarkannya menjadi artis syarikat rakaman EMI Music pada 1979.

Menerusi album Aman Shah 5, dia tampil dengan lagu popularnya, Adikku Pandai Menari yang dirakam pada 1983.

Selain itu, Aman Shah muncul dengan Mawarku, Cinta Tak Seindah Diucap, Dunia Orang Muda, Ku Mengerti Erti Sepi dan Kisah Gadis Keriangan.

Aman Shah bukan sekadar berbakat sebagai penyanyi, malah pernah maju setapak apabila bergelar komposer. Lagu ciptaannya, Perjalanan Sepi dendangan Shara Eqnor pernah menyertai pertandingan nyanyian First Asian Song Festival di Nagoya, Jepun pada 1989.

Lagu popular lain ciptaan Aman Shah ialah Mata dendangan Noor Kumalasari. Aman Shah juga terus mencipta populariti sebagai komposer hebat apabila dianugerahkan kembar tiga platinum di atas penjualan album kumpulan Ekamatra yang mengandungi lagu popular, Pusara Di Lebuh Raya.

Beliau terus melebarkan kerjaya seninya apabila berjinak-jinak sebagai pelakon. Aman Shah mula berlakon drama RTM sekitar 1980.

Antara drama lakonannya ialah Selembut Sutra dan Ke Puncak Jaya. Tidak lama selepas itu, Aman Shah sudah mampu bergelar penerbit.

Beliau pernah menerbitkan drama bangsawan untuk TV3, namun drama swasta pertama terbitannya ialah Mawas yang dihasilkan sempena ulang tahun kedua TV3.

Aman Shah akhirnya bertemu jodoh ketika usianya mencecah 24 tahun dengan Miss Kelantan, Rohani Nik berasal dari Dungun, Terengganu. Namun, rumah tangganya bertahan dua tahun.

Ketika menyertai program hiburan, Pusparama di Singapura, Aman Shah bertindak sebagai hos dan jatuh cinta pandang pertama kepada Farah Diba Abdul Aziz yang turut membuat persembahan bersama kumpulan duo, The Queens.

Setahun berkenalan, Farah yang berasal dari Bedok, Singapura ditunangkan bersama Aman Shah pada usia 14 tahun.

Mereka bercinta selama enam tahun. Akhirnya pada 21 Disember 1986, Aman Shah dan Farah bersanding di Bedok Tampines, Singapura selepas bernikah gantung di Jelebu.

Majlis persandingan di Singapura berlangsung meriah selama tiga hari, tiga malam. Namun, perkahwinan keduanya hanya mampu bertahan kira-kira empat tahun dan dikurniakan tiga cahaya mata.

Perkahwinan ketiga Aman Shah dikurniakan dua cahaya mata, namun beliau tidak pernah mendedahkan identiti isterinya.

Sumber : Berita Harian

Recent Posts