Rabu, Januari 31, 2024

Yang di-Pertuan Agong ke-17

 



Istana Negara hari ini memaklumkan penggunaan nama rasmi bagi Yang di-Pertuan Agong ke-17 dan Raja Permaisuri Agong.

Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertuan Agong, Datuk Nazim Mohd Alim, memaklumkan penggunaan nama rasmi bagi Yang di-Pertuan Agong ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Beliau turut memaklumkan, nama rasmi bagi Raja Permaisuri Agong ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Sultan Ibrahim hari ini selamat melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara.

Turut melafaz sumpah memegang jawatan ialah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Sultan Ibrahim dan Sultan Nazrin Shah dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara pada Oktober lalu bagi tempoh lima tahun bermula hari ini.

Malaysia adalah sebuah daripada 43 negara di dunia yang mengamalkan sistem pemerintahan raja berperlembagaan dan satu-satunya negara yang mengamalkan sistem penggiliran dalam kalangan sembilan Raja Melayu.

Sultan Ibrahim, 65, dan Sultan Nazrin Shah, 67, melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan di hadapan Raja-raja Melayu dari Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.

Johor diwakili Pemangku Sultan Johor, Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang, Perlis diwakili Pemangku Raja Perlis, manakala Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan.

Yang turut hadir, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak selain dif-dif kenamaan yang mewakili badan eksekutif, perundangan dan kehakiman.

Istiadat di Balairung Seri itu diadakan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-264 (Khas) yang dipengerusikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Sultan Ibrahim turut menandatangani Surat-surat Perisytiharan Memegang Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian membacakan kandungan surat perisytiharan itu dan bermulanya secara rasmi Sultan Ibrahim sebagai Ketua Utama Negara yang baharu Malaysia berdasarkan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Munir Md Salleh memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT memohon kesejahteraan ke atas Yang di-Pertuan Agong serta seluruh rakyat dan negara ini.

Sultan Ibrahim menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 semalam selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 31 Januari 2019. 

Sumber : BERNAMA


B

Ads byBeliau turut memaklumkan, nama rasmi bagi Raja Permaisuri Agong ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Sultan Ibrahim hari ini selamat melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalamacara penuh adat istiadat di Istana Negara.


0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts