Selasa, Januari 23, 2024

Pekerja e-hailing ditawar pakej khas internet serendah RM33


Kira-kira 150,000 hingga 200,000 pekerja e-hailing dan p-hailing di seluruh negara akan menikmati kemudahan pakej khas telekomunikasi serendah RM33 sebulan bagi data minimum 40GB.

Mengumumkan perkembangan itu di sini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata langganan pakej khas berkenaan boleh dibuat mulai hari ini.

Katanya, ia adalah pakej pertama tahun ini sekali gus membuktikan kerjasama baik antara kementeriannya dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan rakan strategik lain untuk menyediakan pakej komunikasi dengan harga berpatutan, sesuai manfaat dan keperluan kategori disasar iaitu penghantar.

"Pakej ini adalah bersifat perniagaan kepada pernigaan. Bermaksud sesebuah syarikat p-hailing akan berbincang dengan Telco (syarikat telekomunikasi) untuk menyediakan perkhidmatan atau pakej yang sesuai manfaat dengan keperluan penghantar mereka.

"Saya percaya usaha ini dapat membantu dianggarkan 150,000 hingga 200,000 penghantar di seluruh negara. Kita harap ini akan menjadi langkah pertama tahun ini diikuti langkah dan pakej yang lain selepas ini," katanya pada sidang media selepas melancarkan Pakej P-Hailing RAHMAH di sini, hari ini.

Fahmi berkata tempoh mula langganan akan berjalan selama sebulan dengan pakej langganan ditawarkan pula adalah bagi tempoh satu tahun.

"Sebagai permulaan, kita akan buka selama sebulan ini untuk lihat prestasi langganan. Selepas beberapa minggu, kita akan dapat 'update' (kemaskini) mungkin selepas Tahun Baru Cina dan selepas itu, jika perlu kita cadangkan dilanjutkan (tempoh daftar langganan).

"Kita tahu kadang kala ada penghantar yang akan 'drop up' dari program atau pindah kepada syarikat lain, tapi ia tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan syarikat telco dan p-hailing.

"Tapi sekiranya ada keperluan dilanjutkan, saya tak fikir ia jadi satu perkara yang mustahil untuk dilanjutkan. Saya rasa tempoh satu tahun adalah standard. Selepas setahun mungkin ada pekej yang bersifat Rahmah lagi selepas itu," katanya.

Sementara itu, menyentuh tahap penerimagunaan bagi 5G, Fahmi berkata setakat 31 Disember lalu, jumlah pelanggan 5G di seluruh negara sudah mencecah lapan juta akaun.

"Ini peningkatan positif. Belum lagi mengambil kira jumlah pelanggan selepas kita umumkan tidak ada kos tambahan bagi melanggan pakej 5G, yang sudah diumumkan pada 9 Januari lalu.

"Menjelang hujung bulan ini, kita akan dapat angka baru dan tak mustahil angkanya akan lebih memberangsangkan.

"Kita perlu ingat, jumlah akaun di Malaysia pada waktu ini adalah sekitar 45 juta akaun dalam pelbagai pengguna telco, tapi setakat ini, lapan juta adalah pengguna 5G," katanya.

Dalam pada itu Fahmi berkata pihaknya juga sedang mempertimbang untuk melanjutkan langganan pakej 5G Rahmah yang memberi manfaat kepada kumpulan B40 yang layak.

"Setakat penghujung November, angkanya sekitar 50 peratus kumpulan B40 yang layak mendapat peranti 5G RM120 dibawah pakej 5G Rahmah. Jadi sekiranya ada keperluan untuk dilanjutkan pakej 5G Rahmah, maka kita akan umumkan kemudian," katanya.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts