Isnin, Januari 08, 2024

Tiga jenis cukai untuk pemilik hartanah

 


Antara cukai lazim yang dikenakan kepada rakyat ialah cukai pendapatan, cukai kepenggunaan (seperti GST dan SST) serta cukai kepada pemilik hartanah.


Di Malaysia, pemilik hartanah perlu bersedia membayar tiga jenis cukai, iaitu cukai tanah, cukai taksiran dan jika melibatkan penjualan hartanah, cukai keuntungan harta tanah.


Ketiga-tiga cukai ini mempunyai kepentingan dan fungsinya yang tersendiri.


Cukai tanah


Menurut PropertyGuru, cukai tanah ialah cukai yang dikenakan kepada pemilik mana-mana hartanah atas tanah (landed) di Malaysia, termasuk tanah pegangan bebas (freehold) dan pajakan (leasehold).


Cukai tersebut dinilai dan dikenakan oleh kerajaan negeri melalui Pejabat Tanah dan Galian (PTG).


Cukai sama turut dikenakan ke atas pemilikan hartanah berstatus strata yang dikenali sebagai cukai petak.


Pembayaran cukai tanah diwajibkan melalui Kanun Tanah Negara manakala cukai petak ditadbir di bawah Akta Pengurusan Strata (SMA) 2013 dan Akta Hak Milik Strata (STA) 1985.


Kadar cukai tanah adalah bergantung kepada saiz hartanah, namun ia berbeza mengikut negeri. Malah, kadarnya juga berbeza mengikut lokasi dan jenis hartanah.


Untuk mengetahui kadar cukai tanah yang tepat untuk kediaman, anda disarankan untuk menghubungi PTG negeri masing-masing.


Cukai taksiran


Cukai taksiran pula merupakan cukai tanah tempatan yang dikutip oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menampung kos membangun dan mengekalkan infrastruktur serta perkhidmatan tempatan.


Cukai yang turut dikenali sebagai cukai pintu itu dikenakan untuk menampung kos seperti cahaya lampu jalan, pembersihan taman, pengumpulan sisa dan pekerjaan lain yang diperlukan untuk menjadikan tempat tinggal lebih baik dan selesa.


Semua pemilik hartanah perlu membayar cukai taksiran, baik pemilik hartanah kediaman atau industri.


Namun, terdapat beberapa pengecualian atau bayaran balik yang ditawarkan kepada kes istimewa, seperti hartanah yang tidak didiami (tuntutan remisi) serta perumahan kos rendah dan sederhana (bagi sesetengah negeri).


Kadar cukai taksiran akan dikira berdasarkan anggaran nilai sewa tahunan hartanah. Sekali lagi, ia berbeza mengikut negeri.


Pembayarannya pula boleh dibuat dua kali dalam setahun, iaitu sebelum 28 Februari dan 31 Ogos setiap tahun.


CKHT


Cukai keuntungan harta tanah (CKHT) pula merupakan cukai yang dikenakan atas keuntungan daripada pelupusan aset yang boleh dikenakan cukai seperti rumah, bangunan komersial, ladang dan tanah kosong.


Malah, bermula 1988, cukai itu turut dikenakan ke atas keuntungan daripada pelupusan saham dalam syarikat hartanah.


CKHT ditadbir oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerusi Akta Keuntungan Cukai Harta Tanah 1976 yang menggantikan Akta Cukai Spekulasi Tanah 1974. Kedua-dua akta tersebut diperkenalkan bagi menyekat aktiviti spekulasi hartanah.


Menurut LHDN, CKHT akan dikenakan ke atas pelupus dalam tahun taksiran di mana transaksi pelupusan berlaku. Pelupus yang dimaksudkan termasuk individu, syarikat, perkongsian, pertubuhan, pemegang amanah dan lain-lain orang yang boleh dikenakan cukai.


Perunding hartanah, Hazran Zuberi berkata, terdapat beberapa kos yang boleh ditolak dan dikecualikan dalam kiraan keuntungan atas jualan sesuatu hartanah kediaman.


Ini termasuk kos pengubahsuaian, yuran guaman, jurunilai, perunding hartanah, kos ke atas iklan jualan serta pengecualian atau pelepasan individu.


“Nilai pengecualian yang diberi kerajaan adalah 10 peratus atau RM10,000, yang mana lebih tinggi,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia


Sumber : RELEVAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.