Yuran pendaftaran IPTA dihadkan bawah RM1,500, diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN

 


Kementerian Pendidikan Tinggi diperuntukkan RM16.3 bilion berbanding RM15.3 bilion pada tahun 2024.

Perkara-perkara yang berkaitan universiti dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lain yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2024.


Diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN

Perdana Menteri menegaskan bahawa hutang mesti dibayar. Bagi membina sikap bertanggungjawab dalam kalangan peminjam, kerajaan bersetuju untuk memberikan diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bermula 14 Oktober 2023 sehingga 31 Mac 2024 dengan kadar berikut:

  • Diskaun 10 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman
  • Diskaun 10 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran 
  • Diskaun 15 peratus untuk bayaran secara potongan gaji atau debit terus berjadual.

Yuran bagi tujuan pendaftaran masuk ke universiti awam dihadkan 

Menurut Anwar, pihaknya tidak akan sama sekali mengizinkan mahasiswa khususnya dari keluarga susah yang mendapat tempat di universiti awam dihalang atau dinafikan haknya daripada mendaftar hanya kerana tidak mampu melunaskan bayaran yuran kemasukan pengajian. 


Tidak ada duit untuk bayar yuran tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalang mahasiswa mengambil peperiksaan.


Oleh itu, bermula Januari 2024, yuran bagi tujuan pendaftaran masuk ke universiti awam dihadkan untuk tidak melebihi RM1,500. 


Ini supaya selari dengan nilai pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) oleh PTPTN berjumlah RM1,500 kepada semua bakal pelajar baharu yang layak.


Pada masa yang sama, pelajar sedia ada yang tidak mampu membayar yuran pengajian tidak akan disekat bagi mendaftar subjek pada setiap semester dan bayaran boleh dilunaskan selepas pendaftaran subjek. Sebarang peraturan pembayaran oleh universiti hendaklah mengambil kira kebajikan pelajar.


Pada masa hadapan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar universiti bersama-sama PTPTN atau badan lain hendaklah berperanan memudah cara dan membantu mahasiswa serta bakal pelajar yang mempunyai masalah pembayaran yuran.


Menggantikan dan meluaskan capaian Wi-Fi di semua universiti awam

Aduan yang sering diajukan dalam Siri Temu Anwar bersama mahasiswa ialah masalah capaian internet yang lemah di universiti. 


Oleh itu, Belanjawan MADANI Kedua menyediakan RM250 juta untuk menggantikan dan meluaskan capaian Wi-Fi di semua universiti awam. Ini termasuk RM5 juta untuk melaksanakan projek pendigitalan hospital pengajar universiti.


Menyelenggara dan membaiki prasarana di IPT

Bagi meningkatkan tahap keselesaan dan keselamatan di institusi pendidikan tinggi (IPT), RM300 juta disediakan untuk menyelenggara dan membaiki prasarana di IPT serta menggantikan peralatan lama yang usang. 


Ini termasuk RM50 juta bagi perolehan peralatan di empat universiti teknikal Malaysia.


Penumpuan kepada latihan dan kemahiran bakat-bakat baharu


Institusi Pendidikan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) termasuklah Universiti Teknologi MARA (UiTM) hendaklah menumpukan kepada latihan dan peningkatan kemahiran bakat- bakat baharu tempatan bumiputera dalam bidang berpertumbuhan tinggi seperti ekonomi Islam, aeroangkasa dan industri kreatif.


Kerjasama antara IPTA dan IPTS merancakkan aktiviti penyelidikan dan inovasi yang boleh dikomersialkan

Sejumlah RM510 juta tersedia sebagai dana Penyelidikan dan pembangunan (R&D) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Pendidikan Tinggi. 

Antaranya, RM50 juta dikhususkan sebagai geran padanan untuk universiti awam bekerjasama dengan sektor swasta dalam merancakkan aktiviti penyelidikan dan inovasi yang boleh dikomersialkan.

Program pembelajaran bagi komuniti rentan

Kerajaan akan terus merakyatkan ilmu dengan menggalakkan komuniti rentan seperti Orang Kurang Upaya (OKU), Orang Asli, ibu tunggal dan warga emas mengikuti Program Pembelajaran Sepanjang Hayat di kolej komuniti.


Sejumlah RM5 juta disediakan untuk manfaat 5,000 komuniti tumpuan di 105 kolej komuniti seluruh negara.


Bagi meningkatkan tahap sosioekonomi dan mendaya upaya usahawan setempat, kerajaan menyediakan RM1 juta kepada setiap universiti awam untuk memperhebat pelaksanaan Program Pengupayaan Komuniti MADANI dan Program Pemulihan Dalam Komuniti OKU.


Penubuhan pusat pengajian kecerdasan buatan

Malaysia perlu bergerak pantas untuk menerajui bidang tujahan masa hadapan selari dengan ledakan transformasi digital global. Inovasi dan bakat digital perlu diperkasakan khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara yang lebih mampan. 


Bagi memperhebat penerokaan bidang AI rentas disiplin ilmu, sukacita saya mengumumkan penubuhan pusat pengajian kecerdasan buatan pertama negara iaitu Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) di Universiti Teknologi Malaysia dengan peruntukan awal sebanyak RM20 juta.


Bantuan pembiayaan pendidikan golongan miskin

BNM dan institusi kewangan Islam juga sedang memajukan program rintis pelaburan berimpak melalui Akaun Pelaburan (IA) yang lebih meluas. 


Usaha ini menggabungkan elemen perkongsian risiko antara pihak pelabur dalam pelaburan berteraskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan juga elemen pelaburan sosial iaitu sebahagian keuntungan akan disalurkan untuk pembangunan sosial seperti pembiayaan pendidikan golongan miskin. 


Sumber dari RELEVAN

Tiada ulasan:

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Dikuasakan oleh Blogger.