Rabu, Oktober 18, 2023

1 bilion kuota tambahan skim Amanah Hartanah Bumiputera (AHB)

 


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini telah melancarkan satu bilion unit tambahan Skim Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) untuk langganan umum.

Anwar berkata, penambahan unit tersebut adalah kali kelima dilakukan sejak AHB dilancarkan pada 2010 menjadikan jumlah unit terkumpul AHB sebanyak lima bilion unit.

Dengan penambahan itu katanya, ia sekali gus meningkatkan komitmen Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) untuk memberikan peluang kepada lebih ramai golongan bumiputera untuk mempunyai pemilikan benefisial (syer) ke atas pasaran hartanah di lokasi-lokasi utama.

“Hari ini saya luncurkan satu bilion skim tambahan AHB, ini merupakan lonjakan yang agak besar, meningkatkan saiznya menjadi lima bilion unit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Unit Tambahan 1 Bilion Dana AHB di sini hari ini.

Pada majlis sama, Anwar yang juga Pengerusi Yayasan AHB (YAHB) turut mengumumkan jumlah pelaburan maksimum yang sebelum ini dihadkan kepada RM500,000 kini dinaikkan kepada RM1 juta bagi pelabur individu, manakala pelaburan minimum kekal pada jumlah 100 unit.

Penambahan dana itu juga katanya memberi peluang kepada bumiputera untuk menyimpan dan melabur terutamanya sebagai perancangan persaraan.

Sementara itu, Pengerusi PHB, Tan Sri Ahmad Nizam Salleh berkata sehingga kini, PHB mempunyai aset bernilai sekitar RM11 bilion.

Malah katanya, dengan pertumbuhan aset yang memberangsangkan dan pendapatan yang lestari, AHB telah berjaya membuat pembayaran dividen sejumlah RM1.97 bilion kepada pemegang unit amanah, semenjak pelancarannya.

Mengulas lanjut kata Ahmad Nizam, PHB turut merangka pelan transformasi perniagaan pada tahun ini dengan penekanan utama terhadap empat aspek penting.

Ia termasuk mempelbagaikan portfolio, memperkukuhkan governance, kecekapan pengurusan risiko dan menambah baik keupayaan modal insan.

“Berpaksikan hala tuju pelan transformasi tersebut, PHB menyasarkan nilai aset keseluruhannya akan meningkat kepada RM25 bilion menjelang tahun 2030.

“Sebahagian daripada pelan perniagaan untuk 2024, PHB juga berhasrat untuk memastikan bahawa peluang pelaburan akan menjadi lebih terbuka kepada pelabur kecil dan juga kelompok berpendapatan rendah Bumiputera.

“PHB juga sedang mengadakan pelbagai program baharu untuk menggalakkan golongan muda supaya menguruskan kewangan mereka secara terancang untuk persediaan masa depan yang lebih teratur melalui Amanah Saham Hartanah Bumiputera,” katanya.

Sumber dari KOSMO!

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.