Rabu, Oktober 25, 2023

Inisiatif kerjaya dalam Belanjawan 2024




Pada 13 Oktober lalu, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membentangkan Belanjawan 2024 yang mencakupi pelbagai aspek penting dalam kehidupan seperti pendidikan, kesihatan dan juga pekerjaan.

Selain bantuan tunai, rakyat juga ternanti-nanti mengenai inisiatif-inisiatif berkaitan pekerjaan yang sangat penting untuk pendapatan atau gaji yang lebih baik dan sekali gus, dapat menjalani kehidupan sejahtera.

Sehubungan itu, Relevan bawakan Konsultan Kerjaya, Nik Akmal Nik Othman untuk mengupas lebih lanjut mengenai Belanjawan 2024 yang berfokus kepada aspek pekerjaan.
OKU, warga emas dan bekas banduan.

Menurut Nik Akmal, secara keseluruhan belanjawan itu telah menyentuh semua golongan dengan sangat baik termasuk orang kelainan upaya (OKU), warga emas dan bekas banduan.

“Golongan ini sangat sukar untuk mendapatkan pekerjaan disebabkan persepsi dan keraguan majikan terhadap kebolehan mereka.

“Inisiatif ini sangat menarik kerana ia adalah buat pertama kali isu ini disentuh dan dimasukkan dalam belanjawan negara,” katanya.

Jelas beliau, OKU banyak memohon pekerjaan tetapi para majikan berat hati untuk menggaji mereka walhal tugasan tersebut tidak berkaitan dengan ketidakupayaan anggota mereka.

Bagi syarikat-syarikat kecil, mereka tidak terikat dengan polisi untuk menggaji OKU berbeza dengan syarikat besar antarabangsa (MNC) yang mengamalkan polisi mesra kepelbagaian, ekuiti, penyertaan dan kepunyaan (DEIB) seperti menggaji satu peratus kakitangan OKU.

“Namun, syarikat besar di Malaysia hanyalah tiga peratus dan selebihnya syarikat kecil.

“Oleh itu, inisiatif yang digerakkan oleh kerajaan sangat baik untuk membantu golongan ini mendapatkan pekerjaan,” katanya.

Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)

Di samping itu, Nik Akmal juga memuji usaha kerajaan memperkasakan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sehingga peruntukan belanjawan untuk bidang tersebut sentiasa meningkat setiap tahun.

Pada 2024, peruntukannya adalah sebanyak RM6.8 bilion.

“Orang-orang industri sangat suka mengambil pelajar lepasan TVET kerana mereka ada kemahiran insaniah dan kalau diambil bekerja mereka boleh terus buat kerja.

“Saya juga melihat TVET sudah diterima dengan sangat baik oleh masyarakat kita dan persepsi negatif telah berjaya dikikis.

“TVET juga merupakan bidang pekerjaan yang mendapat permintaan tinggi pada ketika ini,” katanya.

Program Academy in Industry

Dalam pada itu, satu lagi inisiatif untuk para pekerja ialah Program Academy in Industry (AiI).
Ia menyediakan kemahiran sambil bekerja dalam tempoh sehingga 18 bulan dengan peruntukan RM70 juta.

“Konsep ini adalah pertama kali dibuat dan ia merupakan inisiatif yang sangat bagus dengan memberi manfaat kepada 14,000 orang pekerja.

“Jumlahnya tidak terlalu kecil dan tidak juga terlalu besar, tetapi sangat bermakna untuk melahirkan tenaga yang mahir dan cemerlang ,” terangnya.

Usahawan belia

Satu lagi inisiatif yang sangat baik ialah peruntukan RM20 juta untuk melahirkan usahawan belia.
Nik Akmal berkata, usaha tersebut selari dengan Dasar Keusahawan Negara 2030 dan ia bakal membuka peluang pekerjaan yang besar kepada golongan belia.

“Para belia mempunyai kebolehan dan bakat untuk berniaga apatah lagi dengan kemajuan teknologi serta penggunaan media sosial.

“Oleh itu, platform yang disediakan oleh kerajaan ini dapat membantu mereka menguruskan perniagaan dengan lebih baik dan melonjakkan lagi jualan,” katanya.

Industri halal

Mengenai industri halal pula, Nik Akmal berkata, ia merupakan berita yang sangat baik.

Selaras dengan Pelan Induk Industri Halal 2030, inisiatif itu dilihat akan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan.

Ujarnya, dunia sudah mengiktiraf Malaysia dengan industri halal terbaik dan ia adalah kelebihan yang boleh dibanggakan.

Di samping inisiatif positif yang dibentangkan dalam Belanjawan 2024, Nik Akmal juga mahu menyentuh dua perkara penting yang wajar diberi perhatian dalam belanjawan negara.

Underemployment

Pertama, isu underemployment iaitu golongan pekerja yang bekerja di bawah kelayakan akademik yang merupakan bilangan terbesar pekerja di Malaysia.

“Ini adalah realiti sebenar dunia pekerjaan pada ketika ini, ramai yang sanggup bekerja dengan gaji Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau diploma walaupun memiliki ijazah sarjana muda.

“Mereka sanggup menerima gaji yang rendah untuk meneruskan kehidupan sementara mendapat pekerjaan yang setara dengan kelayakan akademik.

“Dari segi data pengangguran memang kita lihat cantik, peratusan menurun, tetapi kalau mahu melihat landskap cari kerja yang sebenar kita tidak boleh abaikan golongan ini yang berjumlah jutaan orang,” katanya.

Graduan menganggur

Kedua ialah graduan menganggur dan lambakan graduan dalam bidang-bidang tertentu.

Beliau berkata, isu ini sudah berlanjutan sejak sekian lama dan wajar diberikan bajet khusus dalam belanjawan untuk menyelesaikan masalah tersebut.

“Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dan Kementerian Sumber Manusia mempunyai data jenis pekerjaan diperlukan untuk tahun-tahun tertentu.

“Contohnya, tahun 2024 memerlukan seramai 100,000 orang jurutera, tetapi pengambilan pelajar jurusan tersebut melebihi kosongan kerja yang diperlukan sehingga berlaku lambakan.

“Isu ini berterusan kerana tiada koordinasi secara serius dan berstruktur untuk berapa bilangan pelajar ke institusi pengajian tinggi (IPT) yang perlu ambil jurusan tersebut supaya kemasukan selari dengan permintaan pasaran apabila mereka menamatkan pengajian nanti,” ujarnya.

Jelas beliau lagi, sekarang ini lambakan graduan disumbang oleh penghasilan graduan melebihi keperluan industri.

Oleh itu, Nik Akmal menyarankan pihak IPT, TalentCorp dan Kementerian Sumber Manusia perlu mempunyai kerjasama bersepadu untuk berkongsi data serta keperluan pekerjaan semasa bagi mengelakkan lambakan graduan yang akhirnya menganggur atau bekerja di bawah kelayakan.


Sumber : RELEVAN

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.