Selasa, Oktober 24, 2023

Akaun Fleksibel ganti pengeluaran bersasar KWSP mulai tahun 2024


      Kerajaan tidak bercadang melaksanakan sekali lagi pengeluaran bersasar daripada dana       Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata sebaliknya tumpuan kerajaan ketika ini adalah untuk membuka satu lagi akaun kepada pencarum KWSP iaitu Akaun Fleksibel mulai tahun depan.

"Mulai tahun depan, sudah diumumkan dalam Belanjawan 2024 kita akan membuka satu lagi akaun untuk pencarum KWSP. Buat masa ini, akaun KWSP adalah terdiri daripada Akaun I dan Akaun II. Apa yang diumumkan adalah Akaun Fleksibel.

"Kita akan mengumumkan mengenai apa maksud Akaun Fleksibel ini. Akaun III yang mana boleh diakses oleh semua ahli tanpa mengira mereka daripada kumpulan B40, M40 atau T20 pada bila-bila masa, khususnya ketika kecemasan.

"Ini adalah untuk memanfaatkan dan meringankan beban kewangan ketika menghadapi keperluan di luar jangkaan. Sekarang ini sedang dimuktamadkan," katanya menjawab soalan tambahan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.

Ahmad berkata, mekanisme dan peratus dana yang akan dimasukkan dalam Akaun Fleksibel KWSP masih belum diputuskan.

Sebelum ini, pelbagai pihak menuntut kerajaan melaksana sekali lagi pengeluaran bersasar KWSP berikutan kenaikan kos sara hidup susulan peningkatan harga barangan serta kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Menjawab soalan asal Kalam sama ada kerajaan bercadang meningkatkan pelaburan tempatan KWSP, beliau berkata, setakat Jun lalu jumlah keseluruhan pelaburan KWSP dalam pasaran domestik adalah sebanyak RM665 bilion.

Katanya, jumlah pelaburan itu dijangka akan meningkat kepada RM700 bilion pada akhir 2023 iaitu peningkatan sebanyak sembilan peratus berbanding 2022.

"Pelaburan KWSP adalah berpandukan alokasi dana yang ditetapkan oleh Panel Pelaburan KWSP pada setiap tahun. Untuk tempoh 2018 hingga 2022, KWSP sudah memperuntukkan purata melebihi 80 peratus daripada jumlah alokasi dana tahunan untuk dilaburkan dalam pasaran domestik.

"Bagi 2023, sebanyak RM97 bilion atau 83 peratus daripada jumlah alokasi dana tahunan sudah diperuntukkan. KWSP akan terus memberi keutamaan kepada pelaburan domestik dengan membahagikan sebahagian besar daripada dana tahunannya kepada pasaran tempatan untuk pelaburan domestik, termasuk dalam bentuk pasaran wang di bank-bank tempatan," katanya.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts