Azan calon PH PRK Parlimen Kuala Terengganu


Bekas Ahli Parlimen Indera Mahkota, Pahang, Azan Ismail diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) yang akan bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu.

Perkara itu diumumkan Presiden PKR yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Pengumuman Calon PKR, di sini malam ini.

Pengumuman itu sekaligus memberi bayangan saingan PRK di kerusi berkenaan akan menyaksikan pertaruhan calon Kerajaan Perpaduan dari PH, bukan Barisan Nasional (BN) seperti ura-ura, sebelum ini.

Pencalonan Azan juga menafikan khabar angin sejak siang tadi, menyatakan kononnya Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar akan dipertaruh di sana.

Azan kini Ketua Cabang PKR Kuala Terengganu dan pernah menerajui kepimpinan PKR Terengganu sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) dari 2018 hingga 2021.
Pengerusi MPN PKR Terengganu kini ialah Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.

PRK Parlimen Kuala Terengganu diadakan selepas kemenangan calon PAS, Datuk Ahmad Amzad Hashim dibatalkan Mahkamah Pilihan Raya atas dakwaan wujudnya unsur rasuah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) November lalu.

Pada PRU-15 lalu, Ahmad Amzad yang juga bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berjaya mempertahan kerusi Parlimen Terengganu yang dimenangi pada PRU-14 dengan majoriti 40,907 undi.

Sumber : Berita Harian

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.