Memaparkan catatan dengan label prk kuala terengganu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label prk kuala terengganu. Papar semua catatan

Ahad, Julai 23, 2023

Azan calon PH PRK Parlimen Kuala Terengganu


Bekas Ahli Parlimen Indera Mahkota, Pahang, Azan Ismail diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) yang akan bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu.

Perkara itu diumumkan Presiden PKR yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Pengumuman Calon PKR, di sini malam ini.

Pengumuman itu sekaligus memberi bayangan saingan PRK di kerusi berkenaan akan menyaksikan pertaruhan calon Kerajaan Perpaduan dari PH, bukan Barisan Nasional (BN) seperti ura-ura, sebelum ini.

Pencalonan Azan juga menafikan khabar angin sejak siang tadi, menyatakan kononnya Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar akan dipertaruh di sana.

Azan kini Ketua Cabang PKR Kuala Terengganu dan pernah menerajui kepimpinan PKR Terengganu sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) dari 2018 hingga 2021.
Pengerusi MPN PKR Terengganu kini ialah Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.

PRK Parlimen Kuala Terengganu diadakan selepas kemenangan calon PAS, Datuk Ahmad Amzad Hashim dibatalkan Mahkamah Pilihan Raya atas dakwaan wujudnya unsur rasuah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) November lalu.

Pada PRU-15 lalu, Ahmad Amzad yang juga bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berjaya mempertahan kerusi Parlimen Terengganu yang dimenangi pada PRU-14 dengan majoriti 40,907 undi.

Sumber : Berita Harian

Selasa, Julai 18, 2023

Hari mengundi PRK Kuala Terengganu serentak PRN

 


Hari mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) P036 Kuala Terengganu diadakan serentak dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh turut memaklumkan, penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai.

"Bagi pengundian awal pula adalah pada 8 Ogos," katanya menerusi sidang akhbar di ibu pejabat SPR di sini pada Selasa.

Menurutnya, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga pukul 11.59 malam 11 Ogos.

"Semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara bagi PRK Kuala Terengganu dibuka semula bermula hari ini," ujar beliau.

Abdul Ghani berkata, tarikh tutup permohonan bagi kategori 1A adalah 26 Julai manakala 21 Julai bagi kategori 1B dan 1C.

Kategori 1A adalah petugas pilihan raya, anggota dan pegawai SPR serta petugas media.

Rakyat Malaysia yang berada di luar negara merupakan kategori 1B dan 1C pula adalah agensi dan organisasi.

Ujarnya, SPR telah melantik seorang pegawai pengurus pilihan raya dibantu oleh 19 penolong.

"Bagi tujuan memantau aktiviti kempen, SPR akan mengekalkan empat Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang sama daripada 252 pasukan yang telah ditubuhkan untuk PRN sebagaimana diumumkan sebelum ini," katanya lagi.

Jelas Abdul Ghani, Dewan Banquet, Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu akan dijadikan sebagai pusat penamaan Calon (PPC) iaitu berkongsi premis dengan DUN N15 Ladang.

PPC bagi DUN N13 Wakaf Mempelam, N14 Bandar dan N16 Batu Buruk adalah kekal seperti lokasi yang telah ditetapkan sebelum ini.

"Bagi Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) Parlimen Kuala Terengganu dan keempat-empat DUN di bawahnya akan menggunakan Dewan Banquet, Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu," katanya.

PRN melibatkan enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu Kedah, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.

Sumber : Sinar Harian

Recent Posts