Khamis, Jun 15, 2023

Akta Anti-Menghendap mula dikuatkuasa 31 Mei 2023


 


Rang Undang-Undang berkaitan jenayah intip dan hendap mula berkuatkuasa pada 31 Mei lalu dan disahkan melalui notis daripada Jabatan Peguam Negara.

Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), berkata Seksyen 507A mendefinisikan sesiapa yang berulang kali melakukan sebarang tindakan gangguan, berniat untuk menyebabkan atau mengetahui bahawa berkemungkinan menyebabkan kesusahan, ketakutan atau kecemasan kepada seseorang mengenai keselamatannya, boleh disabitkan melakukan kesalahan menghendap.

"Jika seseorang berulang kali mengekori; berkomunikasi atau cuba berkomunikasi dalam sebarang cara; berlegar-legar di kediaman atau tempat kerja anda dan memberi atau menghantar apa-apa sahaja kepada anda dalam sebarang cara dan membuatkan anda tertekan atau takut, anda mungkin seorang daripada mangsa pemandiri menghendap.

"Maka kini, anda boleh mendapatkan pertolongan daripada pihak polis jika dihendap atau memohon kepada mahkamah untuk mengeluarkan perintah perlindungan terhadap individu sedang disiasat atau dituduh dengan kesalahan menghendap," katanya

Katanya, menurut pindaan RUU Kanun Keseksaan dan RUU Kanun Tatacara Jenayah, individu yang didapati bersalah melakukan perbuatan menghendap boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

"WAO memuji tindakan menjadikan perbuatan menghendap sebagai satu jenayah di mana ia akan membantu menjamin keselamatan ribuan orang di Malaysia yang pernah dihendap dan hidup dalam ketakutan," katanya.

WHO turut mengusulkan kepada kerajaan untuk mengemaskini garis panduan dan SOP yang berkaitan untuk menggambarkan menghendap sebagai satu jenayah dan menyediakan latihan dan sumber yang mencukupi kepada semua agensi yang berkaitan termasuk pegawai polis, pegawai kebajikan masyarakat, pendakwa raya, badan kehakiman dan barisan hadapan yang lain.

Katanya, kerajaan perlu menjalankan kempen publisiti di seluruh negara untuk memastikan mangsa pemandiri mengetahui hak mereka dan semua rakyat Malaysia dididik mengenai implikasi melakukan jenayah menghendap.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.