Rabu, September 07, 2022

Pelitup muka sudah tidak diwajibkan

 


Kementerian Kesihatan (KKM) memutuskan pemakaian pelitup muka dalam bangunan, kawasan dan ruang tertutup dijadikan sebagai pilihan berkuat kuasa serta-merta.

Mengumumkan perkara itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata ketetapan baharu itu bagaimanapun terpulang kepada pemilik premis sama ada mahu menentukan pengunjung perlu memakainya atau sebaliknya.

"Sejak 1 Mei 2022, pemakaian pelitup muka hanya diwajibkan apabila berada di dalam bangunan (indoor) dan di dalam pengangkutan awam termasuk perkhidmatan e-hailing.

"Berdasarkan penilaian situasi semasa COVID-19 serta mengambil kira keperluan semasa, KKM ingin mengumumkan bahawa pemakaian pelitup muka di dalam bangunan kini adalah atas pilihan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Persatuan Perubatan Biosimilar dan Generik Antarabangsa (IGBA) - Persatuan Industri Farmaseutikal Malaysia (MOPI) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah.

Khairy berkata, pemilik premis boleh menentukan sama ada pengunjung wajib memakai pelitup muka atau boleh memilih untuk memakainya kerana ia terbukti mampu mengurangkan penularan.

Bagaimanapun katanya, pemakaian pelitup muka masih diwajibkan bagi situasi seperti kes positif COVID-19, menggunakan pengangkutan awam dan semasa berada di fasiliti kesihatan seperti hospital, klinik, runah penjagaan, pusat hemodialisis dan yang setara dengannya.

"KKM juga amat menggalakkan agar pemakaian pelitup muka terus diamalkan terutama apabila berada di kawasan ramai orang dan sesak seperti pasar malam, stadium, gedung membeli belah dan rumah-rumah ibadah.

"Pemakaian pelitup muka juga digalakkan kepada individu bergejala seperti demam, batuk dan selsema, individu berisiko tinggi seperti warga tua, orang dengan penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah dan ibu mengandung serta ketika melakukan aktiviti bersama orang yang berisiko tinggi seperti warga emas dan kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata, keperluan pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan kawasan terbuka adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini iaitu tidak diwajibkan.

"Dengan kelonggaran ini juga, orang ramai perlu memikul tanggungjawab individu yang lebih besar melindungi bukan sahaja diri sendiri, tetapi seluruh komuniti.

"KKM percaya orang ramai masih akan terus mengamalkan kawalan kendiri yang terbaik, termasuk memastikan kebersihan diri, bagi mengelakkan dari dijangkiti penyakit berjangkit termasuk COVID-19 seperti yang diamalkan pada masa ini," katanya.

Pemakaian pelitup muka diwajibkan bermula 1 Ogos 2020 susulan penularan pandemik COVID-19 ketika negara masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Malah, menerusi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), mana-mana individu yang melanggar kesalahan berkenaan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan.

Bagaimanapun, mulai 1 Mei lalu, KKM mengumumkan kelonggaran pemakaian pelitup muka apabila ia tidak lagi diwajibkan di luar bangunan dan kawasan terbuka, namun pelitup muka masih wajib dipakai apabila berada di dalam bangunan dan pengangkutan awam termasuk e-hailing.

Penguatkuasaan pemakaian pelitup muka adalah berdasarkan peruntukan dalam Akta 342.

Dalam pada itu, ditanya mengenai bila jangkaan negara boleh beralih ke fasa endemik sepenuhnya, Khairy berkata, perkara itu berdasarkan mutasi virus COVID-19.

"Kita melihat bahawa selepas beberapa bulan atau tahun virus itu akan tenggelam dengan sendirinya tetapi dalam kes COVID-19 kita tak tahu ke arah mana mutasinya membawa virus itu.

"Ada kemungkinan mutasinya membawa virus itu ke arah lebih bahaya kepada manusia, maknanya mutasi baharu akan sebabkan penyakit lebih serius ataupun ada senario di mana mutasi ini berubah kepada virus yang tidak memberi ancaman kepada manusia," katanya.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts