Selasa, September 06, 2022

Elaun penjawat awam di luar negara dinaikkan mulai 1 Januari 2023

 


Perdana Menteri mengumumkan kenaikan elaun bulanan bagi penjawat awam yang berkhidmat di luar negara berkuat kuasa 1 Januari 2022.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Persidangan Ketua-Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia Ke-sembilan (HOMC9) Secara Maya.

"Kerajaan turut menggalakkan diplomat kita untuk menguasai bahasa asing selaras dengan keperluan menjalankan urusan rundingan diplomatik dan perdagangan dengan negara lain.

"Justeru, Kerajaan bersetuju untuk menaikkan elaun bulanan bagi penjawat awam berkhidmat di luar negara yang menguasai dan menggunakan bahasa asing dalam menjalankan tugas rasmi mereka, berkuat kuasa 1 Januari 2023," katanya.

Yang turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Noraini Ahmad; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada petugas Wisma Putra yang berkhidmat dengan penuh dedikasi demi kesejahteraan Keluarga Malaysia, di dalam dan di luar negara.

Beliau berkata, kerajaan prihatin dengan peranan penting yang dimainkan Kementerian Luar Negeri dan Perwakilan Diplomatik Malaysia di luar negara dalam membantu kerajaan mengurus pandemik dan menangani impak-impak negatifnya.

"Semasa dunia berdepan pandemik COVID-19 dan kebanyakan negara satu demi satu menutup sempadan antarabangsa masing-masing, Kementerian Luar Negeri dengan jaringan Perwakilan Diplomatik kita telah memainkan peranan penting," katanya.

Sumber : Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.