Rabu, Januari 19, 2022

Lee Zii Jia tinggalkan BAM

 

Lee Zii Jia memberikan alasan yang dia tidak tahan dengan tekanan diterimanya sebagai pemain perseorangan lelaki nombor satu negara sekali gus membuat keputusan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan badan induk itu ada menerima surat peletakan jawatan daripada Zii Jia pada 11 Januari lalu.

Beliau berkata susulan itu, pihaknya mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pemain berkenaan dan keluarganya bagi memujuk untuk dia kekal bersama skuad kebangsaan apatah lagi selepas sudah bersama BAM sejak usianya 13 tahun.

Katanya, BAM sudah semestinya mahu membawa Zii Jia ke peringkat lebih tinggi bagi membolehkan dia menjadi seperti bekas jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei.

"Dia baru saja memenangi satu gelaran Seluruh England (2020) dan seharusnya dia kekal fokus dan kekal bersama BAM. Namun, dia mengatakan yang dirinya bukan Chong Wei dan tidak boleh tahan tekanan.

"Dia mahu mencapai apa yang dia inginkan dengan cara dia sendiri. Kita hormati pandangan semua orang, namun kita ada sebuah institusi dan sebab itu saya memanggil mesyuarat Ahli Majlis BAM pada 17 Januari untuk mendengar permasalahan yang kita hadapi ini kerana dia adalah aset utama kita.

"Sudah tentu kita tidak mahu lihat masa depan dia tidak dipersia-siakan. Selepas kita mendengar penjelasan semua pihak, majlis sudah berbincang dan mengeluarkan satu keputusan.

"Namun, kita sudah memberi mandat kepada Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos untuk melihat perkara ini dan akan membuat satu sidang media di ABM (Akademi Badminton Malaysia) Jumaat ini," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 di Beijing di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Norza berkata beliau merasakan masalah Zii Jia bukan dengan BAM tetapi mungkin kerana dia melihat keutamaannya yang lain.

"Saya rasa masalah dia bukan dengan BAM kerana kalau kita lihat Chong Wei bersama BAM 19 tahun. Bila dia sampai kemuncak prestasi, BAM adalah tempat dia menjadi legenda.

"Tapi mungkin keutamaan Zii Jia lain. Apapun kita dengar dulu dan mungkin ada harga yang perlu dibayar selepas memilih untuk bergelar pemain bebas," katanya yang turut mengakui secara peribadinya beliau kecewa dengan keputusan Zii Jia, namun dalam masa yang sama BAM akan cuba fahami situasi pemain itu tanpa prejudis.

Sumber dari Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.