Memaparkan catatan dengan label badminton. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label badminton. Papar semua catatan

Isnin, Oktober 23, 2023

Aaron-Wooi Yik juara Terbuka Denmark

 


Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menamatkan kemarau penantian enam tahun sejak digandingkan apabila meraih gelaran Jelajah Dunia BWF di Terbuka Denmark, sebentar tadi.

Sejak mula digandingkan bersama pada 2017, Aaron-Wooi Yik sering dikecewakan terutama di pentas final dan kejayaan ini menambah koleksi mereka selepas meraih gelaran dunia di Tokyo pada 2022.

Pada aksi final di Arena Jyske Bank, Odense, beregu ranking keempat dunia itu berjaya mengatasi lawan dari Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana dengan keputusan straight set 21-13, 21-17 dalam tempoh 33 minit .

Pertemuan itu adalah yang keempat buat kedua-dua beregu dengan sebelum ini, Aaron-Wooi Yik meraih tiga kemenangan - terbaru di pusingan kedua Terbuka Jepun, Julai lalu.

Aaron-Wooi Yik selepas ini dijadual menyertai Terbuka Perancis yang dijadual berlangsung dari 24 hingga 29 Oktober.

Bagi Wooi Yik, kejayaan sulung pada Jelajah Dunia itu amat bermakna apatah lagi mereka sudah lama digandingkan termasuk pernah menang gelaran juara dunia.

"Saat ini (kejayaan menang Terbuka Denmark) akan sentiasa saya ingati," katanya selepas perlawanan.

Sementara itu Aaron pula jelas gembira dengan kejayaan itu dan akan mengambil sedikit masa untuk meraikan kejayaan mereka sebelum kembali ke gelanggang di Terbuka Perancis.

Atas kejayaan di Terbuka Denmark yang berstatus Super 750 itu, Olahragawan 2022, Aaron-Wooi Yik membawa pulang hadiah wang tunai US$62,900 (RM299,875) dan 11,000 mata BWF.

Sumber : Berita Harian

Rabu, Januari 19, 2022

Lee Zii Jia tinggalkan BAM

 

Lee Zii Jia memberikan alasan yang dia tidak tahan dengan tekanan diterimanya sebagai pemain perseorangan lelaki nombor satu negara sekali gus membuat keputusan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan badan induk itu ada menerima surat peletakan jawatan daripada Zii Jia pada 11 Januari lalu.

Beliau berkata susulan itu, pihaknya mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pemain berkenaan dan keluarganya bagi memujuk untuk dia kekal bersama skuad kebangsaan apatah lagi selepas sudah bersama BAM sejak usianya 13 tahun.

Katanya, BAM sudah semestinya mahu membawa Zii Jia ke peringkat lebih tinggi bagi membolehkan dia menjadi seperti bekas jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei.

"Dia baru saja memenangi satu gelaran Seluruh England (2020) dan seharusnya dia kekal fokus dan kekal bersama BAM. Namun, dia mengatakan yang dirinya bukan Chong Wei dan tidak boleh tahan tekanan.

"Dia mahu mencapai apa yang dia inginkan dengan cara dia sendiri. Kita hormati pandangan semua orang, namun kita ada sebuah institusi dan sebab itu saya memanggil mesyuarat Ahli Majlis BAM pada 17 Januari untuk mendengar permasalahan yang kita hadapi ini kerana dia adalah aset utama kita.

"Sudah tentu kita tidak mahu lihat masa depan dia tidak dipersia-siakan. Selepas kita mendengar penjelasan semua pihak, majlis sudah berbincang dan mengeluarkan satu keputusan.

"Namun, kita sudah memberi mandat kepada Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos untuk melihat perkara ini dan akan membuat satu sidang media di ABM (Akademi Badminton Malaysia) Jumaat ini," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 di Beijing di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Norza berkata beliau merasakan masalah Zii Jia bukan dengan BAM tetapi mungkin kerana dia melihat keutamaannya yang lain.

"Saya rasa masalah dia bukan dengan BAM kerana kalau kita lihat Chong Wei bersama BAM 19 tahun. Bila dia sampai kemuncak prestasi, BAM adalah tempat dia menjadi legenda.

"Tapi mungkin keutamaan Zii Jia lain. Apapun kita dengar dulu dan mungkin ada harga yang perlu dibayar selepas memilih untuk bergelar pemain bebas," katanya yang turut mengakui secara peribadinya beliau kecewa dengan keputusan Zii Jia, namun dalam masa yang sama BAM akan cuba fahami situasi pemain itu tanpa prejudis.

Sumber dari Berita Harian

Ahad, Ogos 01, 2021

OLIMPIK 2020 : Malaysia raih gangsa beregu badminton

 

Skuad badminton memastikan mereka tidak pulang tangan kosong selepas beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik merangkul pingat gangsa dalam acara beregu lelaki di Sukan Olimpik 2002.

Gangsa yang menjadi pingat pertama buat kontinjen negara pada temasya kali ini diraih selepas mereka menumbangkan gandingan dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 17-21, 21-17, 21-14 pada penentuan pingat.

Ini menyaksikan beregu nombor sembilan dunia itu berjaya membalas dendam atas kekalahan 16-21, 19-21 di tangan lawan sama pada aksi peringkat kumpulan sebelum ini.

Malah, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan adalah pasangan dari Indonesia yang kedua menjadi 'mangsa' beregu negara pada temasya kali ini selepas mereka menumbangkan Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon di suku akhir.

Apapun, pingat gangsa buat beregu negara itu sememangnya satu pencapaian yang amat membanggakan apatah lagi ini adalah penampilan pertama mereka pada temasya berprestij itu.

Malah, kejayaan menumbangkan Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon yang juga beregu nombor satu dunia sebelum ini juga boleh dianggap bagaikan 'pingat emas' untuk mereka.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik skuad badminton dilakar pada temasya Olimpik Rio lima tahun lalu yang menyaksikan mereka menghadiahkan tiga pingat perak buat negara.

Tiga pingat itu disumbangkan oleh Datuk Lee Chong Wei menerusi acara perseorangan lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki) dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran).

Sumber : Berita Harian

 

 

Recent Posts