Selasa, Disember 28, 2021

Rebat 100 peratus bil elektrik Disember untuk mangsa banjir

 


Rebat 100 peratus secara sekali beri atau 'one-off' bagi bil elektrik Disember diberikan kepada pengguna domestik bagi meringankan beban mangsa banjir, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata pemberian rebat itu bakal memanfaatkan sekitar 72,000 pengguna domestik yang menjadi mangsa banjir di beberapa negeri ketika ini.

Selain itu, katanya, TNB turut memberikan perkhidmatan pemeriksaan pendawaian percuma kepada mangsa banjir.

"Untuk meringankan beban mangsa banjir, TNB akan memberi rebat 100 peratus secara 'one-off' untuk bil elektrik Disember, yang akan memanfaatkan 72,000 pelanggan domestik, iaitu rumah.

"Saya juga sudah minta TNB membantu kediaman milik keluarga B40 yang terjejas banjir apabila bekalan elektrik disambung semula.

"Sejak Jumaat, TNB telah melaksanakan kerja pemeriksaan pendawaian percuma kepada pengguna domestik kerana air banjir mungkin menyebabkan kerosakan pendawaian, suis dan sebagainya, jadi situasi itu agak berbahaya," katanya pada sidang media di Masjid Al-Muttaqin di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri memaklumkan Kementerian Kewangan juga sedang berbincang dengan beberapa syarikat pengeluar kenderaan untuk memberi kemudahan tertentu kepada mangsa banjir.

Katanya, langkah itu berikutan ramai mangsa banjir yang perlu membaiki kenderaan ditenggelami air.

"Perodua umumkan akan beri percuma kos tarik kereta ke pusat servis mereka, dan bayaran upah untuk baik pulih dan servis juga adalah percuma.

"Kos alat ganti masih perlu dibayar, namun Perodua bersetuju memberikan diskaun 50 peratus untuk kereta jenama Perodua.

"Saya difahamkan Menteri Kewangan akan berunding dengan syarikat lain seperti Proton dan sebagainya dan harap mereka mengikut langkah Perodua, ini amat dialu-alukan," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri meluangkan waktu lebih tiga jam sejak 9.30 pagi untuk meninjau Taman Sri Nanding dan Kampung Dusun Tua di sini, yang antara kawasan paling teruk terjejas banjir di Selangor.

Sumber : Berita Harian

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts